Utusan Online - Hiburan |
Bukan katak di bawah tempurung Posted: Bukan katak di bawah tempurungOleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
FARAH Diana Anuar atau lebih dikenali sebagai Farah AF mula mencipta nama dalam bidang nyanyian setelah menyertai program realiti televisyen (TV), Akademi Fantasia pada tahun 2004. Walaupun hanya menduduki tempat keempat pada program tersebut, Farah sudah memiliki dua album iaitu Antara Dua yang diterbitkan pada tahun 2005 dan Fantasia, 2009. Namun, rezeki Farah tidak menjurus ke arah bidang nyanyian semata-mata sebaliknya bintangnya mula bergemerlapan setelah semakin melibatkan diri dalam bidang pengacaraan. Justeru, selain menjadi pengacara untuk rancangan pagi terbitan stesen TV9, Nasi Lemak Kopi 0, Farah kini dikenali pula sebagai pengacara program Rasa Halal, terbitan Astro Oasis. Rasa Halal adalah sebuah rancangan travelog yang membawa penonton mengembara ke negara-negara luar sambil memperkenalkan masakan tradisonal masyarakat setempat yang halal. Selain itu, rancangan ini juga memberikan maklumat berhubung kawasan untuk solat bagi pelancong beragama Islam yang berminat untuk melawat ke negara yang disiarkan melalui rancangan tersebut. Musim pertama Rasa Halal, Farah telah membawa penonton menjelajah ke Xian, China yang mana, sambutan ke atas episod tersebut amat memberangsangkan. Dari situ, Farah diberi peluang untuk meneruskan tugasnya sebagai pengacara Rasa Halal sehingga ke musim terbaru yakni keenam. Selain Xian, program ini juga telah membawa Farah menjelajah sehingga ke Taiwan, Hong Kong, Kemboja dan juga Vietnam. Memasuki musim keenam, program ini bakal membawa penonton mengembara bersama ke Laos dan Thailand dan telah pun mula bersiaran pada 6 Disember lalu. Menyelami penglibatan Farah dalam bidang pengacaraan, wanita ini berkata, pengalaman yang ditimba menambahkan lagi minat terhadap bidang pengacaraan. "Peluang untuk menjadi pengacara membawa saya ke tempat-tempat yang belum pernah saya lawati sebelum ini. "Pelbagai negara telah saya pergi dan ini sekali gus mendedahkan saya kepada pengalaman yang pastinya tidak akan saya lupakan. "Melalui bidang ini juga, ia banyak menambah ilmu yang dimiliki kerana menjadi pengacara memerlukan kita banyak membaca serta membuat kajian sebelum memulakan tugas. "Selain itu, benarlah kata orang bahawa jauh perjalanan, luas pandangan kerana kita berpeluang bertemu dengan macam-macam jenis orang dan ragam serta mengenali sejarah dan budaya yang berbeza. "Semua itu banyak membantu saya dalam mematangkan diri bukan hanya sebagai seorang pengacara, tetapi juga sebagai seorang wanita," katanya kepada Hits. Wanita ini yang baru melangsungkan perkahwinannya pada 15 Julai lalu juga berkata, antara pengalaman yang memberikan impak terbesar kepadanya ialah pada musim pertama apabila mereka singgah di bandar Xian. "Semasa di sana, kami singgah di sebuah perkampungan Islam. Masjid di sana cukup unik dan alunan azannya juga berbeza. "Ketika itu, saya merasa cukup tersentuh kerana berpeluang berjumpa dengan saudara seagama walaupun berada beribu-ribu batu jauhnya daripada tanah air. "Saya bukanlah seorang yang suka berjalan pada asalnya, tetapi peluang untuk melihat pelbagai budaya yang terdapat di sekeliling kita sudah mengubah pendirian itu. "Jikalau berpeluang, saya nasihatkan kepada orang ramai agar mengambil kesempatan yang ada berjalan ke negara orang. "Pastinya kita tidak akan kesepian kerana masyarakat beragama Islam berada di mana-mana sahaja dan mereka juga akan menerima kehadiran kita dengan tangan yang terbuka," jelasnya lagi. Setelah bersiaran selama enam musim, pastinya ada kelainan yang ingin ditampilkan oleh pengacara ini yang juga penyanyi lagu tema program Ustazah Pilihan, Warisan Hawa. Katanya, yang kali ini bukan sahaja akan tampil dengan imej yang lebih santai dan bersahaja, tetapi juga memaparkan kematangannya dalam mengendalikan rancangan tersebut. Belum Rezeki Dalam setiap perkahwinan, pastinya kehadiran cahaya mata antara sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga. Begitu juga dengan wanita kelahiran Kuala Lumpur ini, apabila tiba soal cahaya mata, dia juga ternanti-nantikannya. Pasti ada pihak yang tertanya apakah Farah dan suaminya, Johan Johari bakal menimang kehadiran orang baru dalam keluarga mereka apatah lagi perkahwinan mereka kini sudah menghampiri tempoh lima bulan. Wanita yang pernah memenangi anugerah Artis Harapan Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-12 ini berkata, sehingga kini, mereka masih belum dikurniakan rezeki. "Kami sememangnya tidak merancang kerana segalanya terserah kepada takdir. "Anak adalah rezeki yang sememangnya dinantikan oleh setiap pasangan yang berkahwin, jadi kami memang mempunyai harapan tersebut. "Apatah lagi tahun depan Farah sudah memasuki 27 tahun, kalau boleh biarlah dapat timang anak secepat mungkin," katanya. Full content generated by Get Full RSS. | ||
ALC TV tempatan bertaraf dunia Posted: ALC TV tempatan bertaraf duniaOleh ABD. AZIZ ITAR MD. AFENDI Hamdan (dua dari kiri) sewaktu melancarkan program dan produk rancangan televisyen yang dibawa ke ATF 2011 di Singapura, baru-baru ini. LANGKAH Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menyertai Forum Televisyen Asia (ATF) 2011 di Singapura dari 7 hingga 9 Disember lalu telah membuka banyak ruang kepada syarikat-syarikat produksi tempatan bagi memasarkan produk-produk mereka di forum tersebut. Seramai 63 penerbit termasuklah daripada medium drama, filem, dokumentari dan wakil-wakil stesen televisyen seperti RTM, Astro dan Media Prima Berhad bernaung di bawah bumbung Finas, merebut peluang pada forum yang dianjurkan buat kali ke-12 di negara itu. Eurofine (M) Sdn. Bhd., salah satu syarikat produksi tempatan yang mengambil kesempatan itu bagi menjual saluran televisyen, Asia Living Channel (ALC) kepada stesen-stesen penyiaran di luar negara dengan menyediakan pelbagai bahan dokumentari dari negara-negara Asia. Menurut Pengarah Urusannya, Ida Rahayu Md. Noor, ALC yang ditubuhkan pada tahun lalu dengan modal RM15 juta merupakan satu-satunya saluran TV kabel tempatan yang menyediakan dokumentari tentang budaya Asia untuk siaran di saluran-saluran TV luar negara. "Untuk penerbitan pertama, ALC menyediakan 1,000 jam bahan dokumentari untuk dijual kepada mana-mana stesen di luar negara yang berminat dengan saluran baru ini. Sebanyak 80 peratus daripada dokumentari yang dipaparkan adalah dari Malaysia dan tentang budaya negara ini. "Sementara 20 peratus lagi bahan dokumentari dalam ALC pula tentang budaya dari negara-negara Asia yang lain seperti Jepun, Korea Selatan, India dan Thailand. Kami membeli semua dokumentari itu daripada penerbit terbabit dan menjualnya secara pukal di luar negara. "Harga jualan bagi setiap produk ALC bergantung kepada bilangan penonton sesebuah stesen televisyen yang menyiarkan saluran kami ini melalui perkhidmatan-perkhidmatan satelit yang menyediakan khidmat ini di seluruh dunia," katanya sewaktu ditemui di Singapura, baru-baru ini. Eurofine yang telah 20 tahun terbabit dalam penerbitan drama dan rancangan televisyen katanya, mensasarkan jualan dan hak siaran ALC kepada stesen-stesen TV terutamanya dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS) dalam usaha membantu menarik pelancong dari negara terbabit. Tambahnya dengan durasi tayangan selama 1,000 jam untuk tempoh enam bulan itu, ALC secara tidak langsung diharap dapat membantu Kementerian Pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong dari Eropah dan AS ke negara ini pada masa depan. "Saya difahamkan setakat ini tidak sampai sejuta pelancong dari dua benua itu yang berkunjung ke negara ini. Malah, daripada sekitar 26 juta pelancong yang datang ke negara kita pada setiap tahun, 18 juta daripadanya terdiri daripada pelancong dari negara-negara Asia. "ALC mensasarkan jualan di 33 negara Eropah dan AS. Ini adalah langkah awal kami di mana pada masa depan, kami akan menubuhkan saluran televisyen lain seperti Toonz Asia Channel khas untuk rancangan-rancangan animasi dan Sutera Asia Channel pula untuk drama-drama," ujarnya. Selain Finas, turut terbabit dalam ATF 2011 ialah agensi-agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Multimedia Supercoridor (MSC) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade). Penyertaan dari Malaysia Finas boleh dikatakan berbaloi kerana menyertai ATF 2011 kerana perbadanan itu berjaya menarik 63 syarikat penerbit animasi, drama, filem tempatan termasuklah stesen-stesen penyiaran pada forum yang berlangsung di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands, Singapura itu. Pengerusi Finas, Datuk Md. Afendi Hamdan berkata, jumlah penyertaan itu yang terbesar dari Malaysia bagi memasarkan dan juga membeli rancangan-rancangan TV dari dalam serta luar negara di mana ia disertai 3,500 peserta dari lebih 10 buah negara di rantau ini. "Tahun lalu hanya seramai 23 syarikat produksi yang menyertai ATF di mana tahun ini bilangannya bertambah tiga kali ganda. Kerajaan melalui Finas memberi galakkan kepada syarikat-syarikat produksi bagi memasarkan produk-produk mereka pada forum seperti ini. "Finas menyediakan Pavilion Malaysia di ATF 2011. Semua syarikat produksi terbabit termasuklah stesen penyiaran seperti RTM, Media Prima Berhad dan Astro menggunakan pavilion ini bagi memasarkan produk atau membeli rancangan untuk siaran di stesen mereka. "Malah, kerajaan juga menyediakan rebat sebanyak 50 peratus daripada kos-kos yang mereka gunakan untuk menyertai forum ini bagi memberi galakan dan kemudahan sewaktu menjalankan urusniaga di sini ," katanya sewaktu ditemui pada forum tersebut. Jelas Md. Afendi, Finas yang telah menyertai ATF enam kali berturut-turut, merupakan salah satu inisiatif agensi itu membantu syarikat Malaysia terutamanya Bumiputra dalam memasarkan produk mereka ke luar. Finas yang menjadi pemangkin dalam pembangunan industri perfileman di Malaysia turut mencari peluang pemasaran pada forum seperti ATF 2011 bagi menjadikan negara ini salah satu hub dalam pasaran filem, dokumentari dan animasi yang penting di rantau Asia. "Malaysia misalnya telah terpilih sebagai tuan rumah pada Kongres Sains dan Penerbitan 2013 di mana tahun ini ia diadakan di Paris, Perancis dan tahun depan pula di Washington, Amerika Syarikat. Ia akan menarik ramai pembikin filem dan animasi dari seluruh dunia," ujarnya. Sementara itu, Ketua Pengarah Finas, Mohd. Naguib Razak pula berkata, ATF 2011 mampu membawa pulangan lumayan terutamanya buat penerbit yang menjual produk mereka di mana anggaran jualan mampu mencecah RM25 juta. Katanya, forum seperti itu juga akan mendedahkan penerbit dan pengedar rancangan TV Malaysia berurus niaga serta memasarkan produk mereka kepada wakil stesen-stesen TV dari luar negara. "Banyak lagi bahan siaran TV yang belum dipasarkan di luar negara. Apatah lagi, di mata dunia Malaysia mempunyai banyak tarikan daripada sudut sosio, politik dan budaya yang boleh dikatakan eksotik serta belum diketahui penonton," jelasnya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |