Adsense

Jumaat, 30 Disember 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Diana mahu terbit filem pertama pada 2012

Posted: 29 Dec 2011 04:56 AM PST

PENGHAYATAN lakonannya memang bersungguh. Biarpun pengarah Murali Abdullah sudah menjerit 'cut!', kelopak mata Diana Johor masih bergenang dengan air mata. Juraian titisan jernih itu enggan berhenti biarpun babak pilu lakonan bersama Zamarul Hisham untuk telemovie Ku Hijrahkan Doa sudah selesai.

Situasi terbabit menimbulkan tanda tanya buat wakil Rap yang mengikuti penggambaran drama menarik itu di Sekinchan, Selangor itu, baru-baru ini.

Terfikir juga adakah Diana begitu sedih kerana terkenangkan kisah silam perkahwinannya dulu yang kembali mengganggu fikiran?

Enggan mengganggu 'mood' lakonannya ketika itu, Diana dibiarkan melayan perasaannya sendiri. Selepas beberapa ketika, penggambaran berakhir barulah Diana atau pemilik nama Nordiana Johor Zainal Abidin, 28, dapat bercakap panjang lebar.


"Jalan cerita ini sendiri sememangnya sedih, sebab itulah saya mudah menangis.

Mata saya pula memang sensitif dan kebetulan pula tergosok bahagian mata, apa lagi mata terasa sangat pedih sehinggakan air mata keluar tak berhenti-henti.
Selepas babak itu habis, saya terpaksa jumpa doktor untuk mendapatkan rawatan!

"Biasanya sebelum babak yang berat, Murali akan bagi panduan terlebih dulu untuk menghayati watak. Dengan cara inilah saya boleh menghayati watak dan menangis. Tapi menangis ni ada banyak jenis kerana ada kalanya kita menangis sebab terlalu gembira, kerana kehilangan sesuatu atau putus cinta.

"Tapi saya menangis bukan sebab terkenangkan kisah lama saya dulu," jelas Diana yang sempat bergambar di tepian sawah padi yang cantik pada hari itu.

Enggan lagi mengimbas kisah lalu membabitkan kehidupan bersama bekas suami, Ramelle Ashram Ramli yang pernah dibina hampir satu setengah tahun dan kini sudah berakhir, Diana ingin mengorak langkah baru memajukan syarikat produksinya, Unique Twins Sdn Bhd.

Syarikat itu ditubuhkan bersama saudara kembarnya, Norlina Johor Zainal Abidin atau Lina Johor pada 2008.

Bebas menentukan jalan hidup sendiri, sudah banyak perancangan dibuat Diana untuk 2012 akan datang. Antaranya, dia mahu lebih aktif menghasilkan karya bermutu termasuk menerbitkan filem cereka pertama.

Kejayaan menghasilkan beberapa drama yang sudah menemui penonton di beberapa stesen TV tempatan menjadi pembakar semangat Diana yang sememangnya berasal daripada keluarga yang gemar meneroka bidang perniagaan.

Daripada segi kelulusan akademik, Diana memang bijak kerana memiliki ijazah dalam jurusan Ekonomi Dan Kewangan dari University Curtin, Perth, Australia.
Jadi kelebihan itu dimanfaatkan dalam tugas seharian.

"Sebelum ini, drama berjudul Hana Hani Coklat Strawberi yang membabitkan kemunculan saya dan Lina sendiri sudah menemui peminat menerusi stesen Astro.
Lina banyak bekerja di belakang tabir dan hanya saya yang banyak berlakon.
Disebabkan ceritanya berkisar mengenai pasangan kembar, kami dilihat layak melakonkan watak kisah itu.

"Drama lain seperti Keras dan Puteri Kayangan juga sudah ditayangkan menerusi slot Cerekarama di TV3. Sekarang kami diberi kepercayaan menghasilkan drama pertama untuk RTM pula. Drama berjudul Melodi Cinta Sarikei ini akan menjalani penggambaran di Sarawak pada Februari nanti dan barisan pelakonnya masih dikenal pasti. Kami akan menggabungkan pelakon dari Kuala Lumpur bersama-sama pelakon tempatan Sarawak nanti.

"Saya juga menghasilkan pelbagai genre drama bergantung kepada skrip. Ada yang ditulis saya sendiri berdasarkan idea yang diberikan rakan dan ada yang diambil daripada beberapa penulis skrip profesional. Contohnya skrip Puteri Kayangan karya saya sendiri. Pada masa sama, ada beberapa penulis skrip yang giat menulis skrip untuk drama saya.

"Kalau tiada aral melintang, perancangan untuk menerbitkan filem pertama juga akan berjalan pada 2012 nanti. Setakat ini perbincangan lanjut dengan beberapa pihak masih berjalan. Namun, barisan tenaga kerja yang terbabit dalam filem ini sudah ada," katanya yang mahu mengangkat kualiti drama tempatan ke tahap yang lebih baik.

Memandangkan itu filem sulungnya, Diana membayangkan dirinya perlu berhati-hati memantau setiap inci perjalanannya terutama daripada aspek kewangan. Harapannya biarlah pasukan yang dipilih betul-betul boleh bekerja.

"Banyak benda perlu diteliti dan diambil kira. Mujurlah saya sudah lama berada dalam industri seni dan ada pengalaman. Sebelum buka produksi sendiri, saya juga ambil pendapat kawan yang sudi mencurahkan ilmu. Selain itu, saya juga belajar mengenai bisnes daripada ibu (Nor Aishah Abas, 54) yang menguruskan Hotel Pelangi di Muar, Johor dan Pelangi Balau Resort di Tanjung Balau Desaru, Johor.

"Kedua-dua ilmu ini saya gabungkan bagi mendapatkan hasil terbaik. Tidak dinafikan tekanan selalu ada. Pening juga menguruskan kerja tapi saya faham bidang perniagaan di mana-mana pun tetap ada cabarannya.

"Begitupun, saya masih akan berlakon dengan keutamaan tentulah kepada syarikat sendiri. Sama ada saya hadkan hanya untuk berlakon telemovie atau drama bersiri, semuanya bergantung kepada skrip dan pengarah. Saya sedar populariti saya tak begitu menyerlah kerana agak lama berhenti berlakon.

"Saya tinggalkan lakonan pada 2004 kerana sambung pelajaran di Australia selama tiga tahun dan kembali berlakon pada 2007. Saya berlakon kerana minat dan tak fikirkan sangat mengenai populariti.

"Dah lama berhenti, saya nak juga rasa pengalaman berlakon dengan syarikat produksi lain kerana sebelum ini saya kerap berlakon drama terbitan Skop Productions," katanya yang mula dikenali menerusi drama bersiri Sembilu.

Berbual dengan Diana, ternampak segala fokusnya kini lebih bertumpu kepada karier dan apabila ditanya mengenai persoalan peribadi, dia pantas memberikan jawapan tidak tergesa-gesa mahu menjalinkan hubungan baru.

"Buat masa ini memang saya tak terfikir mengenai teman hidup. Sebenarnya saya tak pernah serik untuk berkahwin lagi. Saya percaya Tuhan akan tentukan segala-galanya dan saya lebih senang mengikut arus. Saya terlampau sibuk dengan kerja sekarang dan selalu berdoa agar suatu hari dipertemukan dengan jodoh yang sesuai.

"Saya sememangnya sibuk kerana dalam sebulan, hanya beberapa hari saya dapat berehat di rumah," katanya.

PROFIL:

Nama penuh: Nordiana Johor Zainal Abidin
Panggilan: Diana Johor
Asal: Johor Bahru, Johor
Usia: 28 tahun
Kerjaya: Pengarah Hotel Pelangi, Johor, produser, pelakon, model iklan
Keluarga: Anak kedua daripada tiga beradik

Drama: Mas Maria, Sembilu, Astana Idaman, Hana Hani Cokelat Strawberi dan Tanah Keramat, Pelamin Di Pusara, Ku Hijrahkan Doa

Teater: Muzikal Tun Mahathir
Pendidikan: Ijazah Ekonomi Dan Kewangan dari University Curtin, Perth, Australia



Full content generated by Get Full RSS.

Ernie kaji pantang larang

Posted: 29 Dec 2011 04:50 AM PST

SAMBUTAN filem genre seram komedi sering menarik perhatian ramai penonton. Walaupun lambakan filem seram pernah menjadi isu hangat sebelum ini, filem genre itu masih ada ramai peminat dan ia turut menyumbang kepada kutipan 'box-office' bagi sinema tempatan.

Melihat kepada pencapaian filem tempatan sepanjang 2011, ia menyaksikan sebanyak 15 filem genre seram ditayangkan daripada jumlah 42 filem semuanya.

Jika filem Khurafat menjadi filem pembuka tirai tahun ini berjaya mencatat kutipan besar RM8.08 juta, penghujung 2011 ketika ini turut memberi ruang kepada filem seram komedi, Suatu Malam Kubur Berasap (SMKB) untuk meraih sokongan penonton.

Filem arahan Ernie Chen ini ditayangkan sejak 22 Disember lalu serta mempertaruhkan gandingan pelakon komedi yang terdiri daripada Angah, Along, Azrul, Wira dan Faiz yang pernah dicungkil bakat menerusi program realiti TV, Raja Lawak Astro.


Filem yang masih rancak ditayangkan ini turut bersaing dengan Papa I Love U terbitan Metrowealth Pictures yang baru menemui penonton bermula semalam.


Dibantu pelakon Zach X Factor dan Nurul Ain Nordin, filem seram komedi ini memberi cabaran besar pada Ernie kerana ia buah tangan sulungnya bersama produksi Outloud Studios Sdn Bhd.

Melihat pengalaman Ernie yang masih baru, pengarah keturunan Cina ini banyak membuat rujukan terhadap pantang larang masyarakat Melayu termasuk di tanah perkuburan Islam yang diangkat sebagai lokasi penggambaran.

Membelanjakan kos produksi sebanyak RM1.3 juta, Ernie bersikap positif terhadap gandingan lima bekas peserta Raja Lawak yang berbakat besar.

Turut mencuri tumpuan, pelakon komedi veteran Acappan dan Ruminah Sidek manakala kemunculan (Allahyarham) Zami Ismail turut meninggalkan impak.

Plot filem ini tertumpu kepada kejadian aneh dan gangguan hantu yang berlaku di Kampung Angan Tak Sudah. Kisah bermula pada tiga sahabat - Atan, Bun dan Pet yang kemudian berkenalan dengan Mie, seorang lelaki kota.

Atan lakonan Angah berkarakter lurus bendul, tetapi rajin dan bekerja sebagai penggali kubur. Along yang menjiwai watak Bun, seorang 'kutu rayau' dan Mat Motor manakala Pet (Asrul) bekerja memandu lori ayam yang sering pulang kerja lewat malam.

Konflik dan elemen seram cerita ini bermula selepas kedatangan Mie ke kampung itu. Tiga sahabat ini bersama penduduk kampung dikejutkan dengan pelbagai peristiwa pelik dan menakutkan. Selain itu, kehadiran watak Siti juga menimbulkan rasa seram kepada tiga rakan ini.



Full content generated by Get Full RSS.