Adsense

Jumaat, 23 Disember 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tinggalkan kerjaya di awan biru

Posted: 22 Dec 2011 04:30 AM PST

BELUM sampai setahun terjun ke dunia seni, pelakon jelita, Cristina Suzanne Stockstill atau Kris Suzanne, 26, berjaya mendapat kepercayaan pengarah popular, Osman Ali sebagai bintang utama drama rantaian terbaru, Bicara Hati.

Mungkin masih terlalu awal untuk menilai bakat seni gadis kacukan Melayu-Jerman ini, apatah lagi pertama kali membawakan watak utama menerusi siri yang bakal disiarkan Astro Prima, setiap Selasa, jam 9 malam bermula 3 Januari ini.

Mengakui dirinya masih mentah dalam dunia lakonan, Kris berkata, dia mendapat tunjuk ajar serta bantuan daripada pengarah serta pelakon yang terbabit produksi itu seperti Shanaaz Ahmad, Marsha Milan Londoh, Abby Nadzri, Balkish dan Lash Mokhtar.

Dalam drama kisah cinta itu, Kris memegang watak sebagai Zahlia.


"Zahlia seorang yang lemah lembut, selain suka melakukan kerja kebajikan. Dia tidak mudah marah, sebaliknya suka memendam perasaan. Memang pada awalnya agak mencabar juga untuk membawa watak yang banyak bermain emosi ini. Mujur saya mendapat dorongan daripada Abang Man (Osman Ali). Malah dia banyak membantu dari segi penghayatan watak.


"Ini pertama kali saya membawakan watak utama, sudah tentu cabarannya cukup kuat. Saya harap penonton juga dapat menerima penampilan saya menerusi drama ini," kata Kris yang bertudung sepanjang membawakan watak Zahlia.

Mengenai gandingan bersama Shanaaz yang membawa watak Tengku Syahran pula, Kris akui dia mendapat banyak tunjuk ajar dan bantuan daripada pelakon kacak kelahiran Pulau Pinang itu. Begitu juga barisan pelakon yang lebih berpengalaman daripadanya seperti Abby Nadzri.

Ternyata pengalamannya yang pernah bekerjasama dengan Osman menerusi drama Sentuhan Isabella, Kasih Najihah selain Cermin Pada Bulan (Erma Fatima) dan filem Kill bersama Redza Minhat, membuatkan Kris semakin serius memilih kerjaya lakonan.

Ternyata pada pandangan Kris, Osman punya idea dan kredibiliti tersendiri dalam berkarya. Walaupun pendiam, dia cukup serius ketika di lokasi penggambaran.

Demi nekad menjadi anak seni, bekas peserta program Pilih Kasih (PK) ini sanggup menamatkan perkhidmatan sebagai peragawati di awan biru bersama Penerbangan Malaysia (MAS) dan Qatar Airways. Dia ingin memberi sepenuh perhatian kepada kerjaya seni yang semakin sibuk.

Bercerita lanjut mengenai pembabitannya dalam dunia lakonan, Kris yang ditemui pada sidang media drama berkenaan di Flora Cafe, Ampwalk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, awalnya dia secara kebetulan mendapat peluang membawa watak pembantu dalam drama Cermin Pada Bulan sekitar 2004.

Jauh di sudut hati, dia menyimpan impian menjadi pelakon sejak kanak-kanak lagi. Minat itu bercambah apabila dia turut mendapat dorongan ibu untuk mencuba nasib dalam program realiti TV serta menghadiri beberapa sesi uji bakat.

"Saya mula membabitkan diri secara serius dalam lakonan sejak Mac lalu. Memang saya sekarang meletakkan kerjaya seni sebagai 'periuk nasi'. Jadi buat masa ini saya memang komited terhadap kerja. Saya memang akan menyambar apa saja peluang yang dirasakan menarik," kata Kris yang pernah dikenali dengan nama Kris Cempaka dalam program PK.

Kris yang menyimpan minat membuka perniagaan pencetakan Kemeja-T tidak kisah ditawarkan pelbagai peranan. Namun dia berharap dapat melakukan yang terbaik apabila diberi tanggungjawab membawakan watak pembantu atau watak utama menerusi mana-mana drama.

"Fokus saya kepada kerja terlebih dulu. Bekerja biarlah ikhlas. Bukan soal mengejar populariti atau kemewahan, sebaliknya saya menceburi bidang seni kerana suka berlakon dan mahu belajar daripada ramai pengarah," katanya.

Drama yang diadaptasi daripada novel popular karya Damya Hanna terbitan Alaf 21 itu dianggap sesuatu yang menarik untuk tatapan penonton Astro Prima kerana Osman ketika ini mencipta reputasi yang baik melalui filem Cun! dan Ombak Rindu.

Bagi Osman, drama terbarunya itu mencabar dirinya selepas kali terakhir menghasilkan drama bersiri, Rumah Itu Duniaku pada 2004.

Sekali lagi Osman memikul tanggung jawab yang besar untuk menterjemahkan sebuah naskhah cinta ke dalam bentuk audio dan visual.

"Penghasilan drama ini cukup menarik. Saya mendapat sokongan baik daripada penulis novel ini sendiri yang turut serta memberikan idea dan berbincang mengenai beberapa babak dan watak yang perlu dikembangkan supaya penceritaan menjadi lebih impak. Malah penulis novel ini juga kerap ke lokasi penggambaran kami.

"Tidak dinafikan memang ada penambahan dari segi perkembangan watak dan plot kerana saya mahukan kisah yang lebih dramatik," ujar Osman.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Urusan Tarantella Pictures Sdn Bhd, merangkap produser 'jutawan baru', Sharad Sharan; Pengurus Saluran Premium Astro, Nizam Sani serta barisan pelakon siri ini.

PROFIL

NAMA PENUH: Cristina Suzanne Stockstill
NAMA KOMERSIAL: Kris Cempaka, Kris Suzanne
TARIKH LAHIR: 22 Januari 1985
TEMPAT LAHIR: Johor
ADIK-BERADIK: Anak kedua daripada tiga beradik
HOBI: Mendaki, berkhemah dan fotografi
KERJAYA: Pramugari (2003 -2009), model dan pelakon
DRAMA: Kasih Najihah (TV9), Dia Bukan Maryam (TV9), Cermin Pada Bulan (TV3), Bicara Hati (Astro Prima)
FILEM INDIE: Kil (2011) dan My Indie Rock Darling (2006)



Full content generated by Get Full RSS.

Naguib nak turun padang

Posted: 22 Dec 2011 04:22 AM PST

MENCARI jalan penyelesaian dalam menangani pelbagai isu membabitkan industri hiburan tempatan bukan perkara yang boleh diambil sambil lewa. Malah jika tanggungjawab itu digalas pada bahu orang penting seperti Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), sudah tentu cabaran yang ditempuh besar.

Pengalaman ini dilalui Mohd Naguib Razak yang memainkan tanggungjawab utama menerajui agensi kerajaan itu di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sejak 1 September lalu.

Mohd Naguib berkata, cabaran berdepan masalah dan isu di kalangan penggiat seni tanah air memerlukan pertimbangan bijak tanpa memihak individu tertentu.

Paling penting, beliau percaya acara 'turun padang' seperti pertemuan bersama penggiat seni menerusi sesi dialog memberikan banyak kelebihan dalam mendapatkan respons dan mendengar masalah yang berlaku disampaikan secara langsung.


"Saya fikir apa yang paling mencabar ketika menjadi KP di Finas adalah desas-desus mengenai lambakan filem seram yang memberikan isu besar pada diri saya.


"Apa yang saya lihat, masyarakat kita perlu menghayati genre berbeza agar tidak menimbulkan pandangan negatif terhadap isu ini. Untuk mendapat jalan penyelesaian terbaik, saya turut merujuk perkara ini pada orang industri," katanya pada Sesi Dialog Bersama Media di Studio Mixstage Finas, Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Mohd Naguib mengadakan sidang media berkenaan sempena 100 hari perkhidmatannya bersama Finas. Menilai sepanjang tempoh itu, beliau berpandangan ia bukan jangka masa cukup untuk memperlihat sesuatu pencapaian.

"Apabila mencapai tempoh perkhidmatan selama 100 hari, saya cepat mahu mencari dua atau tiga kejayaan yang cepat tetapi ada beberapa perkara yang mungkin menyenangkan satu pihak dan ia perlu dilakukan dengan adil.

"Dalam mencari penyelesaian, sikap yang lebih matang penting dalam membawa industri ke arah peningkatan. Begitu juga, saya menerima pandangan penggiat seni yang menyatakan industri kita semakin besar dan kita perlu memainkan peranan besar untuk membangunkannya," katanya.

Pada pertemuan itu yang dihadiri Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan, Fatimah Ahmad dan rakan sejawatan, Bahagian Operasi, Mohd Zulkifli Ab Wahab, Mohd Naguib turut menggariskan tiga agenda penting yang ingin difokuskan menjelang perancangan Finas pada 2012.

Pertama, membawa karya tempatan ke peringkat antarabangsa memerlukan komitmen penggiat seni berdaya saing secara berkekalan.

"Kerjasama di peringkat antarabangsa juga penting dalam memberi ruang pada karya kita mendapat dana penerbitan lebih tinggi. Kedua, fokus diberikan pada usaha memperluas ruang pasaran dari aspek ekonomi dan industri kreatif.

"Merujuk pada pencapaian filem box-office sepanjang tahun ini mencatatkan kutipan hampir RM100 juta. Jumlah ini meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu.

"Saya percaya jumlah kutipan box-office ini boleh bertambah memandangkan 200 pawagam baru dijangka dibuka pada masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu, beliau bercadang mengadakan satu perjumpaan antara penggiat seni dengan agensi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Pinewood Studios (projek Iskandar Malaysia, Johor).

Katanya, pertemuan ini penting dalam memperjelas polisi kerajaan khusus mengenai pelaksanaan dan usaha memacu kemajuan program transformasi kerajaan (GTP) dan program transformasi ekonomi (ETP). Acara ini dijangka diadakan pada 19 Januari depan.

Agenda ketiga yang turut diberi perhatian, meneruskan modal insan di kalangan penggiat seni. Katanya, perkara ini merujuk pada aspek selain menjana kreativiti di bidang teknikal iaitu memikirkan strategi pemasaran dan pengetahuan perniagaan.

"Sebenarnya, kita mempunyai produk animasi yang rancak berkembang bersama penerbitan dokumentari. Dalam aspek ini, ia cukup penting agar penggiat seni menjalinkan kerjasama dengan produksi antarabangsa," katanya.

Mengulas isu sedia ada, Mohd Naguib menjelaskan, pembaharuan mengenai Skim Wajib Tayang akan diperkenalkan tidak lama lagi. Perubahan ini merujuk pada satu sistem yang lebih cekap untuk kemudahan produser.

"Begitu juga, Finas akan memperhalusi Studio Digital Mixstage agar memberi lebih kemudahan. Mengenai isu persatuan, sesi dialog perlu diadakan tetapi tidak dibuat tergesa-gesa.

"Saya sendiri terbuka dalam menghadapi segala isu dan tidak ambil secara peribadi. Saya juga tidak faham bagaimana isu seperti saya mempunyai pegawai khas menjadi isu kerana jawatan ini memang wujud di peringkat kementerian.

"Isu membabitkan Festival Filem Dokumentari dikatakan membelanjakan RM400,000 tidak betul. Perbelanjaannya tidak sampai RM300,000. Malah bajet RM100,000 sebelum ini dianggap kecil dan melihat pada penganjuran acara ini berdiri sendiri, ia turut menarik perhatian hampir 50 tetamu antarabangsa yang menjadi promosi pada dokumentari terbaik tempatan," katanya.



Full content generated by Get Full RSS.