Adsense

Jumaat, 16 Disember 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Ketengah bakat di luar negara

Posted: 15 Dec 2011 05:57 AM PST

PEMBABITANNYA dalam program realiti TV popular, Akademi Fantasia 5 (AF5) nyata tak sia-sia buat Mila atau Nor Sharmila Jirin, 24, apabila memilih karier sebagai anak seni. Bukan saja namanya dikenali ramai, tetapi langkah gadis genit ini semakin jauh.

Sekitar September lalu, Mila yang membawa diri ke Batumi, Georgia untuk kembara seninya mendapat peluang menyertai pertandingan Golden Talent International Pop TV Performers. Biarpun tidak bergelar juara, dia meraih tempat keempat.

Akur dengan persaingan hebat dari 22 negara Eropah dan Asia yang berentap, apa diinginkan Mila hanya untuk menimba pengalaman. Malah, siapa sangka dalam pertandingan itu juga dia memenangi anugerah Artis Paling Berbakat (Most Talented Artist).

Mila yang agak lama 'menyepi diri' memaklumkan perjalanan karier nyanyiannya masih aktif. Malah dalam diam, bakal muncul dengan single Inggeris pertama untuk pasaran antarabangsa tidak lama lagi.


"Single berjudul Break Down yang diketengahkan nanti adalah hasil ciptaan bersama antara saya dengan Lawrance Hobs, Daniel dan John. Kami mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan lagu ini sepenuhnya. Ia pengalaman sungguh berharga.


"Apapun, penghasilan lagu ini tiada kaitan dengan kisah hidup saya dan judul Break Down diperoleh pun selepas ia disiapkan. Namun, jujur saya akui amat teruja untuk memperdengarkan single ini kepada peminat serta penggemar muzik luar negara.

"Bagi pasaran antarabangsa, single ini dilancarkan secara online di iTunes dan rangkaian radio Internet di United Kingdom (UK) tidak lama lagi. Semua ini terhasil dengan kerjasama syarikat rakaman, MJ Panachea Record dan BGM Music yang berpangkalan di London.

"Apapun, saya sudah melakukan yang terbaik serta berusaha gigih untuk mengembangkan karier nyanyian ke peringkat antarabangsa. Bahkan, kerjasama dua hala yang dijalinkan ini selamat kerana ia tidak membabitkan sebarang perjanjian," katanya.

Penyanyi yang popular dengan Persis Mutiara itu berkata, langkah perjalanan kariernya untuk pasaran antarabangsa hanya bergantung kepada permintaan pendengar. Ujarnya, dia hanya akan ke UK apabila sudah ada permintaan. Justeru, tunggu dan lihat sajalah apa perkembangan selanjutnya.

Berbicara mengenai album Inggerisnya, Mila berkata, dia menyasarkan hanya 10 lagu akan dimuatkan. Bagaimanapun, 15 lagu sudah dirakamkan. Apapun, pasaran lagu terpilih dibuat secara berperingkat mengikut single.

Mengambil langkah berani, Mila juga tidak mengharapkan penajaan pihak tertentu. Biarpun, kos pembikinan album itu adalah 100 peratus tanggungannya sendiri, Mila mengakui masih mampu berbuat demikian. Katanya, kos tidaklah terlalu besar.

"Apa yang penting, saya puas. Sekalipun bukan mudah memperoleh peluang ini kerana perlu berhadapan cabaran tetapi saya berusaha sebaik mungkin. Lagi pun, inilah masanya untuk saya cuba ketengahkan bakat dan karier nyanyian untuk pasaran luar.

"Perubahan harus dilakukan untuk berjaya. Bahkan, kecanggihan teknologi masa kini juga boleh membantu menjayakannya. Tak dinafikan, sekarang pun pasaran muzik di luar negara lebih menjurus kepada pendekatan jalur lebar," katanya.

Katanya, apa yang dilakukan itu sekadar mahu membuktikan dalam zaman serba maju kini, tiada yang mustahil. Ibarat pepatah, di mana ada kemahuan pasti di situ ada jalan.

Mila sibuk urus perniagaan

SELAIN tumpuan penuh pada karier nyanyian, umum mengetahui Mila juga menceburi bidang perniagaan dengan menubuhkan syarikat Luvmila Corporation Sdn Bhd yang memasarkan produk kosmetik. Justeru, sejauh manakah perkembangan syarikatnya itu?

Mila tanpa berselindung mengakui syarikat yang sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu itu, tidak lagi memasarkan produk kosmetik. Sebaliknya, kini hanya menjurus kepada pengurusan artis dan pengendali acara anjuran syarikat korporat dan kerajaan.

Terbaru, syarikat Mila ini akan mengendalikan acara Putrajaya Bike Ride sempena program Cuti-Cuti 1Malaysia anjuran Kementerian Pelancongan di Dataran Putra, Presint 2, Putrajaya yang berlangsung esok dari jam 6.30 pagi hingga jam 4 petang.

"Sebagai pengendali yang menguruskan acara, pelbagai pengisian menarik disediakan untuk pengunjung. Antaranya acara menunggang basikal yang disertai kira-kira 1000 orang, pameran basikal, persembahan kebudayaan dan tarian, pameran homestay serta produk tempatan.

"Tidak ketinggalan, persembahan artis yang membabitkan Jay Jay serta penyanyi berketurunan Cina dan India. Ia seiring dengan matlamat mewujudkan perpaduan antara kaum di bawah 1Malaysia. Malah, turut mengetengahkan keindahan lanskap di Putrajaya.

"Kemasukan adalah percuma dan saya mengharapkan kehadiran ramai pengunjung. Majlis perasmian dilakukan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen. Apapun, sebagai syarikat baru, saya berusaha memastikan ia berjalan dengan lancar," katanya.

Mila berkata, disebabkan terlalu sibuk dengan karier nyanyian dan perniagaan diusahakannya, dia menolak tawaran lakonan. Katanya, minat berlakon itu masih ada, namun ia tidak dapat dipenuhi berikutan begitu sibuk dengan pelbagai urusan.

Menurut Mila, Putrajaya Bike Ride juga adalah projek besar pertama diuruskan syarikatnya. Katanya, ia bukan saja satu kepercayaan tetapi peluang yang harus dibuktikan. Justeru, ujarnya adalah lebih baik tumpuan diberikan kepada perkara keutamaan.

"Negara ini memiliki ramai bakat baru sama ada dalam bidang nyanyian atau pun lakonan. Oleh itu, kemunculan mereka seharusnya mendapat peluang. Jadi, bagi saya sekarang adalah masa untuk gigih berusaha mengembangkan perniagaan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Dokumentari terbaik

Posted: 15 Dec 2011 05:48 AM PST

FOKUS penganjur dan produser tempatan dalam mengangkat karya filem dokumentari seharusnya sentiasa diberi penekanan. Ini terbukti menerusi penerbitan karya filem dokumentari yang makin meningkat saban tahun.

Mungkin tidak ramai yang tahu penggiat seni tanah air mempunyai pelbagai karya filem dokumentari yang boleh dibanggakan. Malah ada antara karya ini dipertontonkan kepada khalayak antarabangsa menerusi kerjasama dengan saluran TV terkenal seperti National Geographic Channel dan Discovery Channel.

Karya Fight Masters: Silat, Smart Tunnel dan Becoming A King yang memaparkan keunikan adat istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin, menjadi contoh hasil terbaik yang terjalin bersama produksi antarabangsa.

Begitu juga, kisah mengenai legenda pemain bola sepak negara, Datuk Mokhtar Dahari diabadikan dalam karya filem dokumentari menerusi The Untold Truth About Supermokh, suatu yang menarik perhatian ramai peminat negara ini.


Kisah menarik ini bukan saja menyingkap sejarah kecemerlangan sukan negara, paling bermakna penerbitan karya ini berjaya meraih tiga anugerah pada Festival Dokumentari Finas yang berlangsung 11 Disember lalu.


Acara yang dianjurkan buat kali ketiga dan diadakan di Studio Sound Stage, Finas, Hulu Klang, Selangor ini mengiktiraf karya The Untold Truth About Supermokh menang anugerah Perak Dokumentari Terbaik membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000 bersama trofi dan sijil penghargaan, Pengarah/Penerbit Terbaik menerusi Tang Siang Ching mewakili produksi Image Farm Sdn Bhd (RM3,000) dan Dokumentari Ilmiah/Sejarah Terbaik (RM5,000).

Kemenangan pada malam itu turut diraikan produksi Nur Effendy Production Sdn Bhd apabila menang Anugerah Emas Dokumentari Terbaik menerusi karya Pemburu Kerbau Liar. Keputusan itu membolehkan produksi terbabit menerima hadiah wang tunai RM10,000 bersama trofi dan sijil penghargaan.

Karya sama turut menang anugerah Dokumentari Alam Semulajadi/Pelancongan Terbaik dengan hadiah wang tunai, RM5,000 dan Penyunting Terbaik (RM3,000) diberikan kepada Ahmad Shahizan, Nuralina Rafael dan Mohd Amer Izwan.

Pengarahnya, Mohammed Ridhaudeen Hassan berkata, pembikinan projek yang memakan masa sebulan di Kota Tinggi, Johor itu memberi tarikan tersendiri pada jalan cerita mengenai kisah individu menangkap kerbau.

"Kemenangan ini suatu yang tidak dijangka. Saya berpandangan mungkin teknik menangkap kerbau menggunakan motosikal memberikan keistimewaan pada penonton dan juri untuk memilih karya ini sebagai pemenang.

"Saya percaya karya yang mempunyai penceritaan menarik mampu memberi tarikan pada juri dan ini adalah kemenangan pertama saya pada acara ini," katanya.

Sebanyak 11 anugerah dipertandingkan termasuk tiga anugerah Khas Juri. Penganjur menerima 100 penyertaan untuk pencalonan awal tetapi hanya 19 karya dipilih juri.

Anugerah Gangsa Dokumentari Terbaik dimenangi produksi Dos Fellas Sdn Bhd yang menerbitkan karya A Leader's Legacy: Tun Abd Razak menerima hadiah wang tunai RM6,000 bersama trofi dan sijil penghargaan.

Dokumentari The Highland Towers Disaster yang memaparkan tragedi apartmen The Highland Towers runtuh pada 1993 berjaya meraih anugerah Dokumentari Isu Semasa/Kemasyarakatan Terbaik. Karya terbitan produksi Novista Sdn Bhd menerima hadiah kemenangan wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

Produser, Lara Ariffin berkongsi pengalaman sepanjang menyiapkan The Highland Towers Disaster yang berdepan cabaran paling utama apabila mendapatkan cerita daripada keluarga mangsa.

Katanya, usaha memujuk keluarga mangsa untuk bercerita suatu yang sukar dan ada di kalangan mereka masih bersedih dengan tragedi yang pernah meragut nyawa anggota keluarga.

"Menariknya, karya memaparkan syot dari Jabatan Bomba dan Penyelamat ketika melakukan usaha menyelamat mangsa pada hari kejadian. Sebenarnya, syot ini orang tidak pernah tengok dan ia sesuatu yang boleh dianggap eksklusif dipertontonkan menerusi dokumentari ini.

"Bagi saya, memilih cerita ini sebagai bahan dokumentari sesuatu yang sangat mustahak kerana ia membabitkan 48 mangsa yang terkorban. Malah, isu tanah runtuh sering berlaku di negara ini.

"Menerusi dokumentari ini, ia secara tidak langsung memberi peringatan kepada generasi sekarang agar lebih berhati-hati ketika berhasrat mendiami kawasan perumahan yang mempunyai permukaan tanah curam," katanya ketika dihubungi.

Katanya, kejayaan The Highland Towers Disaster di Festival Dokumentari Finas kali ini turut menyuntik semangat kepada produksinya apabila mencatat kemenangan berganda menerusi kategori sama di Asian Television Awards di Singapura, berlangsung minggu lalu.

Anugerah Dokumentari Kesenian/Kebudayaan Terbaik pula diberikan kepada produksi Big Adam Sdn Bhd yang menghasilkan karya Menyingkap Misteri Muzik Tarian Orang Asli. Mereka turut menerima hadiah wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan.

Untuk anugerah Sinematografi Terbaik dimenangi Tayanithi Ramanujem bersama Effendee Mazlan mewakili produksi Apparat Sdn Bhd yang mempertaruhkan karya Bisikan Ikan. Mereka menerima hadiah wang RM3,000 bersama trofi dan sijil penghargaan.

Tiga anugerah juri diberikan kepada Tang Siang Ching dari produksi Image Farm Sdn Bhd dengan karya Wira Chingay, Maram Ibrahim (Anna Pictures Sdn Bhd) bersama karya Belalang Rusa manakala Jamilah Taib (Galaxy Features Network) menang menerusi karya Kayu Koningau. Semua pemenang menerima trofi dan sijil penghargaan.

Full content generated by Get Full RSS.