Adsense

Jumaat, 16 Disember 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Lemah, lesu

Posted: 15 Dec 2011 01:43 PM PST

Hip

Norish tampil lemah ketika jayakan pementasan monolog

MEMILIH artis popular untuk menjayakan sesebuah pementasan ada kala memang berbaloi kerana kehadiran mereka mampu menggamit perhatian peminat untuk datang menonton. Ketiak sebahagiannya berjaya melunaskan tanggungjawab diberi dengan baik, sehingga membuatkan penonton pulang dengan rasa puas di hati, sebahagian yang lain belum tentu berbaloi dipanggil menjayakan pementasan terbabit.

Festival Monodrama anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Istana Budaya dan CTRA Production beberapa hari turut menggunakan formula sama, apabila mengundang tiga nama popular, Misha Omar, Jasmin Hamid dan Norish Karman, untuk memperkuatkan persembahan, selain beberapa lagi penggiat teater. Sayangnya, tidak seperti biasa, kemunculan Norish pada pementasan itu gagal memberikan impak. Persembahannya ketika menyampaikan monolog Drama Bukan Dejavu arahan Rosminah Tahir kurang menyerlah.

Lontaran suaranya lemah dan pergerakannya juga kelihatan terbatas. Malah, dia satu-satunya pelakon yang menggunakan mikrofon kecil yang dilekatkan di pipi untuk membolehkan suaranya didengar khalayak.

Bahkan, pelakon Sayang Salmah ini juga dilihat memegang kertas, yang dikatakan membantunya mengingati dialog yang perlu dilontarkan pada persembahan berkenaan. Jelas sekali, dia seperti tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab diberikan. Sedangkan, kemunculan di pentas teater seperti itu bukanlah sesuatu yang boleh dianggap main-main, apatah lagi dalam kalangan penggiat seni persembahan.

Lalu, sebaik saja tamat persembahan malam kedua yang juga malam terakhir festival, beberapa wakil media ingin mendapatkan penjelasannya berhubung perkara berkenaan. Kenapa dia begitu mengecewakan sekali pada pementasan terbabit, sedangkan Norish antara pelakon disegani dan acap kali menerima pujian atas keberkesanan lakonannya sebelum ini?
Namun sayangnya, wanita jelita ini menghilangkan diri sebaik saja selesai persembahan. Difahamkan, pelakon itu terus melenyapkan diri tanpa sesiapa pun tahu sebabnya, tidak lama kemudian. Sekali lagi, wakil media kehampaan untuk mendengar penjelasan daripadanya.

Sebelum ini, Norish menyepikan diri daripada dunia seni sebaik saja selesai pementasan Terima Kasih Cinta, Februari lalu. Lalu, pembabitannya dalam festival monodrama ini tentu saja menarik perhatian media untuk mendapatkan perkembangan terbaru daripadanya. Persembahan mengecewakan yang ditampilkan pada pementasan terbaru itu menguatkan lagi keazaman wartawan untuk menemu bual pelakon terkenal berkenaan. Sayangnya, sekali lagi Norish menghilang.

Jasmin kembalikan keceriaan

ANDAINYA persembahan Norish tidak mencapai tahap yang diharapkan, kemunculan pelakon lain rata-rata membanggakan. Penampilan Jasmin Hamid yang baru-baru ini beraksi sebagai perempuan joget bernama Dara dalam Badai Semalam, cukup menghiburkan. Dia berjaya menguasai setiap ruang pentas yang pada mulanya agak hambar. Patutlah bekas penari dan bekas model sejak berusia 15 tahun itu diletakkan pada saat akhir kerana dia mampu menceriakan kembali keadaan.

Aksi spontannya membawa empat watak dalam satu masa harus diberikan tepukan gemuruh seperti mana figura ini memperolehnya setiap kali dia menamatkan dialog melalui monolog daripada drama Empat Dara Pingitan, yang mengisahkan empat sahabat mengharungi kehidupan penuh dengan kelucuan pada zaman kanak-kanak. Persembahannya bertenaga dan membuatkan penonton teringat-ingat walaupun selepas lama pertunjukannya tamat.

Keupayaan Jasmin mengisi ruang pentas dan berinteraksi dengan penonton membuatkan suasana cukup santai. Karya Ismail Kassan itu tidak bertambah berharga jadinya dengan cara Jasmin mengadaptasikan skrip ke lakonan.

Malah, Jasmin tidak segan menari dan mengalunkan lagu Empat Dara, yang turut dinyanyikan penonton, sebaik saja mereka menyaksikan figura itu cukup yakin mempersembahkan monolog terbabit dengan gaya bersahaja.

Monolog Gadis Yatim yang disampaikan Misha Omar juga dilihat amat baik kerana dia mampu menghayati watak gadis yang gelisah dan sedih setelah kematian ibu, sehinggalah dinasihatkan seorang sahabat supaya mendoakan kesejahteraan wanita itu yang berada dalam alam kubur, dengan meyakinkan. Artis kelahiran Kota Bharu ini semakin matang dalam lakonan, yang kian terserlah seperti mana ditonjolkannya dalam pementasan berkenaan.

Perjuangan bawa padah

Sementara itu, sesi awal monodrama dimulai dengan kehadiran bakat baru, Nur Amalina Jamil, menerusi monolog Nisya Khaleed, yang mengisahkan perjuangan seorang isteri berjihad bersama suami dengan cara yang salah, dan akhirnya membawa padah. Sentuhan dan arahan Ahmad Hashim ini cukup lemaknya kerana meruntun perasan tatkala bait dialog dilontarkan kemas oleh pelajar Universiti Sains Malaysia itu.

Habis persembahan penuh melankolik itu, timbul pula Monodrama berjudul Lara Di Kala Senja karya Mizalmi Ahmad yang diterajui Mohd Suhaimi Ahmad. Naskhah yang disampaikan ini cukup tertib dalam membicarakan perjuangan seorang sasterawan, tetapi bicara yang diterjemahkan dalam monodrama itu menerbitkan sedikit kebosanan penonton sehingga tumpuan pada sesi itu agak longgar. Pendidik di Kuala Kangsar itu dilihat terlalu berpandukan skrip dan pergerakan berulang serta terhad, mungkin bagi mengawal ketaksuban seorang anak muda yang menceritakan kisah penulis veteran bernama Pak Aziz yang dipinggirkan masyarakat ketika meniti usia tua.

Monolog Sehasta Perjuangan yang dibawa Mohd Fazreen, seorang petugas di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Negeri Sembilan, secara bersahaja bagaimanapun menaikkan semula gelodak yang membelenggu penonton, dengan kisah anak zaman kini yang hanya mengetahui sejarah negara melalui ibunya, bernama Timah Lawa. Walaupun ringkas, apa yang cuba disampaikan bakat teater dan pengarahan ini begitu jelas. Ketika ini, mood penonton kembali pulih dengan dendangan lagu lama yang membelai jiwa untuk terus memahami corak penceritaan berkenaan.

Manakala karya Timang Tinggi-Tinggi yang dipersembahkan Norjehan A Kadir yang mengangkat isu buang bayi juga mudah difahami penonton walaupun sesekali dialog dilontarkan dalam dialek Kelantan, yang mengundang ketawa penonton. Namun karya Ujang Arief dan diarah Alloy Azzaly ini dianggap berada di paras biasa kerana mengutarakan persoalan yang kerap dipaparkan.

Full content generated by Get Full RSS.

Janji persembahan sentuh perasaan

Posted: 15 Dec 2011 01:33 PM PST

Hip

Awie, Ella bergabung kali pertama dalam konsert besar

SELEPAS konsert Opera Hidup Wings mendapat sambutan menggalakkan pada penghujung April lalu, sekali lagi Istana Budaya akan digegarkan dengan konsert rock. Kali ini, pentas berprestij itu akan menyaksikan gabungan dua penyanyi terkemuka negara, Awie dan Ella.

Berlangsung dari 12 hingga 15 Januari depan di Panggung Sari Istana Budaya, kedua-duanya menjanjikan persembahan yang bakal menyentuh perasaan penonton. Masing-masing mengatakan, konsert ini akan memaparkan kisah hidup mereka dengan sulaman barisan lagu popular kedua-duanya. Apabila gandingan mereka diumumkan, pastinya penonton teringat kembali kepada lagu duet mereka, Baldu Biru. Pada konsert berkenaan, bukan sekadar lagu itu yang mungkin dipersembahkan, malah pelbagai lagi lagu bakal didendangkan bersama.

Begitulah kata Awie yang tampak selesa bekerjasama dengan Ella, malah masing-masing tidak sabar untuk menjayakan konsert khas yang menggandingkan mereka ini buat kali pertama.

Awie mahu konsert yang dibawakan Tall Order Productions milik pelakon terkenal, Hans Isaac ini menjadi buah mulut orang ramai, sekali gus antara persembahan yang akan diingati dalam tempoh masa yang panjang.

Pada sidang media konsert berkenaan di Istana Budaya kelmarin, Hans turut mengumumkan Edrie Hashim sebagai pengarah muzik bagi persembahan itu. Selain Edrie, barisan pemuzik yang turut mengiringi konsert ialah Ujang Exist (dram), Ujang (gitar), Fly (bass), Amir Feerza (perkusi), Kudin (keyboard) dan Jason Voo (keyboard).
Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Istana Budaya, Nik Kamarulzaman Nik Husin.

Rekaan pentas pula adalah hasil ciptaan Raja Malek dan Jia-Wei Loo, individu yang pernah terbabit dalam produksi muzikal Puteri Gunung Ledang, P Ramlee dan Kampung Boy tidak lama dulu.

Menurut Hans, latar belakang pentas diilhamkan daripada konsep hutan dan alam semula jadi yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa, tidak ubah seperti kehidupan Awie dan Ella yang juga ada naik dan turunnya.

"Konsert selalu dikaitkan dengan muzik, jadi kali ini di samping penghayatan muzik saya juga mahu memaparkan aksi visual, tidak ubah seperti Awie dan Ella sedang bercerita. Dendangan lagu akan ditemani dengan perjalanan cerita yang menggambarkan kehidupan mereka dan secara tidak langsung menghasilkan persembahan muzik yang menyentuh perasaan.

"Sasaran saya adalah untuk menggegarkan pentas Istana Budaya, dan tujuan saya bukan untuk mempersembahkan konsert heavy rock, tapi persembahan muzikal selama dua jam yang santai serta ringan untuk dihayati," katanya yang mensasarkan konsert itu untuk tontonan semua bangsa.

Hans yang sudah lama berhasrat menyatukan dua penyanyi ini berkata, sebanyak enam persembahan dilangsungkan sepanjang empat hari pertunjukan, dengan 8,000 tiket saja dikeluarkan.

Sementara itu, Awie dan Ella akui agak berat untuk mereka membawa gelaran raja dan ratu rock negara dan berasakan ia suatu tanggungjawab yang besar. Begitupun, gelaran itu pastinya dianggap pengiktirafan serta penghormatan buat mereka.

"Sememangnya ia bukan suatu yang mudah tambah lagi dengan gelaran yang diberikan pun sudah cukup berat. Namun kami berdua akan memberikan yang terbaik untuk setiap persembahan nanti dan saya akan memastikan penonton dapat berasakan perasaan cinta yang kami sampaikan.

"Inilah kerjasama pertama saya bersama Awie dalam sebuah konsert seperti ini. Sebelum ini kami hanya pernah digandingkan pada acara lebih kecil. Saya selesa bekerja dengan Awie, kerana kami bukanlah baru mengenali dan saya sendiri mengagumi Awie sebagai penyanyi rock yang unik," kata Ella.

Jelas tergambar kedua-dua insan seni ini saling mengagumi antara satu sama lain, seperti kata Awie, sukar untuk mencari bakat baru yang membawakan imej rock seperti Ella.

"Saya sudah menjadi peminat Ella sejak kali pertama menyaksikan persembahannya di Panggung Anniversari suatu ketika dulu. Pada masa itu, Jojie, kakaknya sebagai penyanyi latar. Tidak dinafikan pengaruh Ella sangat besar dalam industri seni dan tiada siapa yang mampu menandingi caranya menyanyi dan personalitinya yang tersendiri. Sememangnya dia adalah satu dalam sejuta," tambah Awie yang menganggap Ella sebagai kawan rapatnya.

Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan konsert eksklusif ini, boleh mendapatkan tiket di laman web www.ticket2u.biz dari harga RM40 hingga RM450. Serta segala pertanyaan mengenai tiket boleh dibuat di talian 03-41478600.

Full content generated by Get Full RSS.