Adsense

Rabu, 7 Disember 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Yuna, Najwa saling menyokong

Posted: 06 Dec 2011 04:55 AM PST

BAIK Yuna atau Najwa Latif, masing-masing punya aura tersendiri dan mereka berdua bukanlah bintang kelahiran program realiti TV seperti kebanyakan penyanyi kini, sebaliknya lahir dari medium hiburan jalur lebar.

Jika Yuna atau nama sebenar, Yunalis Zarai, 24, popular menerusi lagu Dan Sebenarnya, Najwa Latif, 16, mencetus fenomena menerusi lagu nyanyiannya, Cinta Muka Buku menerusi laman YouTube dengan mencatat jumlah tontonan antara yang tertinggi lebih empat juta peminat.

Tidak dinafikan dunia seni tanah air sejak beberapa tahun kebelakangan ini dimeriahkan dengan kemunculan ramai bakat baru dan indie (bergerak bebas). Bukan hanya menyanyi, malah kebanyakan mereka mampu menulis lirik sendiri. Secara tidak langsung mewujudkan satu persaingan sihat dalam dunia seni tanah air.

Bagaimanapun, kehadiran Najwa Latif membuatkan ramai yang membandingkan mereka berdua kerana banyak persamaan antara mereka seperti menyanyi dengan lagu ciptaan sendiri, penampilan mereka bertudung dan tidak lekang bersama gitar setiap kali menjayakan persembahan.


Dalam pertemuan ketika hadir menjayakan Malam Mesra MACP pada 29 November lalu, Yuna dan Najwa kelihatan mesra ketika digandingkan bersama. Walaupun Yuna sudah mencipta nama, malah fesyen tudungnya juga menjadi ikutan, nyata sebagai kakak, Yuna turut memberi pandangan dan nasihat buat Najwa.


Katanya, kehadiran bakat baru seperti Najwa Latif sememangnya satu yang positif buat industri seni tanah air. Kemunculan bakat baru sepertinya harus disokong dan diberi galakan.

"Banyak orang samakan saya dengan Najwa (Latif), tetapi muzik dan penampilan kami memang berbeza. Cuma kami berkongsi minat yang sama iaitu menjadikan muzik sebagai hobi.

"Perjalanan seni kami juga berbeza. Saya mula mempertaruhkan karya lagu saya menerusi myspace manakala Najwa pula menerusi Youtube. Tidak dinafikan, Najwa seorang yang berbakat besar.

"Saya rasa tidak adil jika orang menyamakan kami berdua. Dia harus diberi peluang untuk membuktikan bakatnya. Dia juga ada identiti dan muzik tersendiri. Sudah pasti lagunya juga mempunyai peminat tersendiri," katanya.

Yuna yang kini mengorak langkah ke peringkat antarabangsa dengan menghasilkan album di Amerika Syarikat, makin popular dengan lagu, Come As You Are yang pernah dipopularkan legenda rock antarabangsa, Nirvana. Lagu yang dinyanyikan dengan cara tersendiri itu menarik perhatian banyak pihak.

Katanya, lagu yang disampaikan Najwa mempunyai tarikan tersendiri biarpun muziknya kedengaran masih 'muda' bagi penyanyi belasan tahun sepertinya.

"Buat masa ini lebih elok jika Najwa memberi tumpuan kepada apa yang hendak dilakukannya terlebih dahulu dalam dunia seni. Duta jenama Canon ini tidak menolak kemungkinan akan berkerjasama dengan Najwa pada masa hadapan.

Mereka juga akan berentap pada kemuncak Anugerah Juara Lagu 26 (AJL26) yang akan berlangsung pada 29 Januari nanti. Ini juga kali pertama kemaraan Najwa di AJL menerusi Cinta Muka Buku manakala Yuna kali ketiga selepas Dan Sebenarnya, tahun lalu dengan Cinta Sempurna dan tahun ini mempertaruhkan dua lagu, Gadis Semasa dan Penakut.

Najwa pula sedar sebagai artis baru, dia tidak layak dibandingkan dengan artis senior yang lain. Padanya, kemunculan untuk memeriahkan industri tanah air kerana didorong minat yang mendalam pada dunia muzik.

"Yuna seorang penyanyi yang hebat. Dia berani membawa nama negara ke peringkat antarabangsa. Saya pula masih baru. Saya perlu mengasah bakat dalam nyanyian dan masih banyak yang perlu saya belajar.

"Mungkin kami mempunyai persamaan dari segi penampilan bertudung dan menggunakan alat muzik yang sama iaitu gitar. Begitupun, muzik kami memang berbeza," kata Najwa, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor.

Mengulas kolaborasi bersama artis lain termasuk Yuna sendiri, Najwa memaklumkan buat masa ini dia belum memikirkan kerjasama dengan Yuna sebaliknya untuk single terbaru dia bakal berkolaborasi bersama artis luar negara. Buat masa ini, dia tidak dapat memaklumkan mengenai lagu berkenaan kerana masih dalam perbincangan.

Mengenai persaingan AJL26 pula, Najwa memberitahu dia berasa seronok dan teruja dapat bersaing di pentas akhir. Baginya ia satu pengalaman baru dan saat yang ditunggu-tunggu.

"Ini satu pengalaman baru buat artis baru seperti saya. Seronok apabila berpeluang beraksi di pentas yang sama dengan artis berpengalaman yang lain seperti Faizal Tahir dan Anuar Zain, termasuk Yuna sendiri.

"Saya tidak meletakkan harapan tinggi. Sebaliknya berharap dapat menjayakan persembahan pada malam itu dengan sebaik mungkin," katanya.

PROFIL

NAMA PENUH: Imratul Najwa Abdul Latif
NAMA KOMERSIAL: Najwa Latif
TARIKH LAHIR: 23 Mei 1995
TEMPAT LAHIR: Batu Pahat, Johor
STATUS: Pelajar SMK (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor
HOBI: Menghasilkan lagu dan bermain peralatan muzik gitar, dram dan piano
LAMAN SOSIAL: http://www.najwalatifs.blogspot.com/
Facebook Fanpages: najwalatif
YOUTUBE: www.youtube.com/najwa595

PROFIL

NAMA SEBENAR: Yunalis Zarai
NAMA KOMERSIL: Yuna
TARIKH LAHIR: 14 November 1986
TEMPAT LAHIR: Alor Setar, Kedah
HOBI: Menonton filem
IDOLA: Fiona Apple (penyanyi luar negara yang pernah dikenali sekitar 1990).

Facebook (Yuna) dan twitter (@yunamusic)

Full content generated by Get Full RSS.

Mahu peminat puas

Posted: 06 Dec 2011 04:42 AM PST

NAMA mereka cukup besar dan kerana itu penganjur konsert tempatan yang sebelum ini berjaya menganjurkan konsert Rossa di sini, Splendid Entertainment yakin kumpulan Funk & Soul dari negara jiran Indonesia, Maliq & D'Essentials mampu menggegarkan KL Live.

Melihat kepada kemunculan mereka sebanyak lima kali dalam Festival Java Jazz Antarabangsa Jakarta sejak 2005 menyebabkan mereka dikenali bukan saja di negara sendiri, tetapi juga rantau Nusantara.

Dalam erti kata lain, walaupun tidak popular seperti kumpulan Ungu mahupun Sheila On 7 (S07), kredibiliti kumpulan itu sangat dihargai peminat terutama dalam genre muzik yang ditampilkan.

Penolong Pengurus Splendid Entertainment, Shaun Chin berkata, setakat ini sambutan diberikan peminat tempatan terhadap konsert Maliq & D'Essentials, yang dijadualkan berlangsung pada 16 Disember bermula jam 8.30 malam sangat menggalakkan.


Katanya, anggota kumpulan Maliq & D'Essentials iaitu Angga selaku vokalis utama, Indah (vokal), Ifa (keyboard), Javafinger (bass), Lale (gitar) dan Amar (horn) tidak sabar mahu menghiburkan peminat setia mereka.


"Mereka juga kini sedang melakukan latihan intensif bagi memastikan perancangan untuk persembahan pada malam itu nanti berjalan lancar. Apa yang penting bagi anggota kumpulan Maliq & D'Essential peminat yang hadir menyaksikan persembahan pada malam itu akan pulang dengan senyuman lebar dan puas menikmati muzik ditampilkan," katanya.

Pada malam itu nanti, Maliq & D'Essentials akan mempersembahkan lagu hit yang mampu membuai perasaan peminat mereka di sini seperti Terdiam, Untitled, The One, Heaven, Free Your Mind, Sunshine, Dia dan Kau Yang Bisa.

Tidak ketinggalan lagu berirama rancak pop dan acid jazz seperti Pilihanku dan Coba Katakan serta lagu pilihan daripada album terbaru yang sudah diedarkan tahun lalu dan popular seperti Terlalu dan Menari turut berada dalam senarai bakal dipersembahkan nanti.

Kata Shaun, pihaknya juga sudah memperoleh senarai pendek kumpulan muzik tempatan berbakat yang berpeluang memenangi hadiah iaitu mengadakan persembahan sebagai pembuka tirai konsert itu nanti.

Pertandingan itu dibuka menerusi laman web dan dianjurkan bersama JunkOnline. Ia bertujuan bagi membolehkan mereka yang meminati bidang muzik mencipta nama.

Penyertaan dibuka pada 27 Oktober hingga 20 November lalu dan menariknya apabila Maliq & D'Essentials sendiri akan memilih pemenang daripada lima kumpulan yang memperoleh undian online tertinggi. Pengumuman kumpulan manakah yang berjaya akan diadakan beberapa hari sebelum konsert berlangsung.

Sementara itu, jualan tiket untuk menyaksikan persembahan Maliq & D'Essentials masih dibuka kepada orang ramai. Mereka yang mahu mendapatkannya boleh mengunjungi kaunter jualan tiket TicketCharge dan AirAsiaRedTix atau melayari laman sesawang di www.ticketcharge.com dan www.airasiaredtix.com.

Seribu pembeli pertama akan mendapat diskaun 15 peratus. Harga tiket yang standard adalah RM98 dan harga jualan tiket tidak termasuk bayaran pemprosesan RM3.

Bagi pembaca setia Harian Metro, anda berpeluang memenangi dua tiket untuk menyaksikan konsert Maliq & D'Essentials secara percuma. Sebanyak 20 tiket untuk dua orang disediakan.

Mereka yang berminat boleh melayari mechanism@www.facebook.com/splendid8. Anda hanya perlu menekan 'like' dan beritahu mengapa anda menggemari Maliq & D'Essentials dengan tidak lebih daripada 30 patah perkataan.

Mereka yang berjaya menghasilkan komen paling kreatif berpeluang memenangi tiket disediakan. Peraduan ini bermula 4 Disember dan akan berakhir 11 Disember ini.

Full content generated by Get Full RSS.