Adsense

Rabu, 7 Disember 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tajaan bersyarat

Posted: 06 Dec 2011 04:09 PM PST

Hip

Ezlynn, Adam diraikan dalam majlis gemilang Januari depan

MAJLIS resepsi perkahwinan pasangan popular, Norman Hakim dan Memey Suhaiza, yang mendapat tajaan Rafflesia sepenuhnya pernah mencetuskan polemik apabila ada beberapa pihak mempersoalkan perjalanan acara berkenaan. Dari nilai tajaan hinggalah ke atur cara majlis, semuanya tidak kena pada mata mereka.

Bagaimanapun, niat murni Rafflesia untuk meraikan pasangan selebriti tanah air tidak terhenti hanya kerana kata-kata nista sesetengah pihak. Mereka akan terus mengadakan majlis perkahwinan yang gemilang buat mana-mana artis yang mempunyai hubungan baik bersama mereka. Selepas diijabkabulkan dua minggu lalu, penyanyi Ezlynn dan pasangannya Adam, bakal mengikut jejak langkah Norman dan Memey apabila pihak Rafflesia bakal menaja majlis resepsi mereka menerusi satu acara yang penuh gilang-gemilang dan meriah iaitu Rafflesia Pearl Wedding, pada 11 Januari depan.

Seperti biasa, tajaan itu meliputi dari hujung rambut hingga ke hujung kaki pasangan mempelai berkenaan, hiasan dewan serta jamuan untuk tetamu yang hadir, persis apa yang dinikmati pasangan pelakon sensasi terbabit.

Busana pengantin yang bakal membaluti tubuh penyanyi yang cukup popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye itu juga nyata bukan calang-calang kerana ia akan dihiasi mutiara mewah milik jenama mutiara terkenal itu.

Untuk majlis yang bertemakan Sepanyol Pada Musim Luruh itu, Ezlynn akan menyarung dua helai gaun pengantin. Sehelai berwarna kuning champagne, bertatahkan mutiara laut China, manakala sehelai lagi rona keemasan yang berhiaskan mutiara Tahiti hitam dengan setiap satunya berharga berharga RM80,000 hingga RM100,000 sebutir. Si suami pula akan menyarungkan kot rekaan Lord's Tailor.
Pastinya apabila kisah tajaan ini disiarkan di media, pelbagai pihak akan mula memandang serong kepada pasangan suami isteri ini kerana membenarkan perkahwinan mereka menjadi sebuah komoditi. Saat diajukan soalan nakal ini kepada pasangan terbabit, Adam menegaskan bahawa apa yang berlaku antara mereka dengan pihak penaja lebih kepada situasi menang-menang.

"Walaupun Rafflesia menaja keseluruhan majlis resepsi ini, ia tidak bermakna kami terima bulat-bulat apa yang mereka tawarkan. Dalam hal ini, mereka cukup terbuka pada perbincangan. Sebelum menerima tawaran itu, kami ada menetapkan beberapa syarat untuk mereka patuhi.

"Semoden mana pun majlis ini dan apa pun tema yang dipilih, saya mahu ia dimulakan dengan doa selamat. Kami juga mahu kedua-dua orang tua kami hadir di majlis ini. Apalah ertinya majlis perkahwinan tanpa kehadiran ibu bapa? Selain itu, sebelum ini Ezlynn pernah berniat menghadiahkan buku doa selamat kepada tetamu yang hadir sebagai cenderahati.

"Senang sebenarnya bekerja dengan pihak Rafflesia kerana mereka tidak cerewet dan bersedia menerima idea kami. Dalam hal ini, apa yang penting ialah sikap toleransi dan mahu berkompromi," kata Adam pada majlis sidang media yang diadakan di ibu negara, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Rafflesia Pearl Centre, Winnie Sin; pereka busana pengantin Ezlynn, Liza Aizulkarnain; pereka layah, Sharifah Mariam Syed Mohd; pereka kasut pengantin yang juga pelakon yang semakin meningkat naik, Neelofa; perancang perkahwinan daripada Empayar Che Det, Mahadir (Che Det); dan wakil penaja lain.

Tambah Ezlynn, dalam hal ini pihak Rafflesia juga bersikap profesional apabila memberi amaran lebih awal mengenai implikasi yang bakal mereka hadapi apabila bersetuju menerima tajaan itu.

"Sewaktu menyampaikan tawaran, Winnie dan wakil mereka, Bill, ada juga membawa artikel yang menyiarkan kontroversi majlis perkahwinan Norman dan Memey. Malah Memey juga ada sama dalam pertemuan itu. Selepas masing-masing bersetuju dengan syarat yang diberikan, barulah perancangan mengenai majlis ini dijalankan," katanya yang turut menetapkan syarat supaya gaun pengantinnya itu nanti tidak terlalu seksi.

Sementara itu, ketika ditanya adakah Ezlynn juga bakal mengenakan gaun pengantin milik pereka antarabangsa sama seperti Memey, pegawai seranta bagi Rafflesia, Bill Bora berkata, mereka memang merancang untuk melakukan perkara yang serupa.

"Memang ada perancangan ke arah itu. Buat masa ini nama yang ada dalam fikiran kami ialah Roberto Cavalli. Sebenarnya harga pakaian pengantin Roberto dan Vera Wang memang tak banyak beza. Apa pun, kita tunggu saja nanti pengumuman seterusnya," kata Bill separuh berahsia.

Rajin masak untuk suami

JIKA pada majlis perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza lima tahun lalu Ezlynn ada menyumbangkan suaranya, untuk majlis resepsinya itu nanti, dia turut menaruh harapan untuk Siti melakukan perkara yang sama buatnya.

"Saya memang ada meminta Siti untuk menyanyi pada majlis saya dan secara dasarnya dia bersetuju. Mungkin saya akan menghubunginya sekali lagi sambil memaklumkan tarikh majlis. Saya harap dia dapat memenuhi impian saya ini.

"Selain Siti, saya juga mengimpikan penyanyi Anuar Zain untuk menghiburkan kami dan tetamu pada malam itu. Saya juga akan menyanyi pada majlis berkenaan dan lagu yang dipilih juga bersesuaian dengan tema Sepanyol iaitu Quizas, Quizas, Quizas, atau dalam bahasa Inggerisnya Perhaps, Perhaps, Perhaps," ujar Ezlynn dalam nada teruja.

Bercerita pengalamannya selepas bergelar isteri, paling ketara baginya apabila dia perlu memasak untuk suami.

"Selalunya, emak saya yang akan menelefon bertanyakan lauk yang saya masak hari itu. Biasalah, bila sudah bergelar isteri, tentunya soalan itu wajib ditanya. Mujurlah suami tidak begitu cerewet dalam bab makanan.

"Begitupun, saya tetap juga masak untuknya terutama makanan kegemarannya iaitu ayam masak kicap. Tapi kalau kebetulan kami berdua sibuk, kami akan makan di luar saja," ujarnya yang bakal muncul dengan single terbaru sebaik saja selesai menjalani sesi promosi filem terbarunya, Mon, Usin dan Jin Pakai Toncit berakhir.

Selain mendapat tanggungjawab baru iaitu menguruskan rumah tangga, Ezlynn berkata, perkahwinan juga memberikan kelegaan kepadanya.

"Sebaik saja berkahwin, saya dapat rasakan bebanan yang saya hadapi sebelum ini bertambah ringan. Jika dulu saya perlu menghadapinya sendirian, tapi selepas bergelar isteri, saya sedikit lega kerana dapat bergantung dengan suami berdepan situasi seperti itu," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Memalukan!

Posted: 06 Dec 2011 04:00 PM PST

Hip

Azmeer tinggalkan tempat juri kerana geram persembahan peserta Vokal

BARANGKALI sudah lama menahan kemarahan, kesabaran komposer yang juga juri tetap Vokal Bukan Sekadar Rupa, Azmeer, tidak dapat dibendung lagi malam Ahad lalu.

Prestasi empat peserta pada minggu kelapan yang tidak memperlihatkan peningkatan, nyata mengecewakan lelaki ini, yang menyebabkan Azmeer mengambil keputusan meninggalkan tempat duduk juri sebagai saja peserta terakhir minggu itu, Mafa, selesai mengadakan persembahan. Tindakan Azmeer meninggalkan tempat duduknya mengejutkan penonton di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, dan juga penonton di rumah. Malah tindakannya itu turut mengundang kecaman di laman sosial Facebook. Kata mereka, tindakan itu keterlaluan, malah sebahagiannya menganggap ia sengaja dibuat sebagai gimik.

Namun ketika ditemui selesai program berkenaan yang menyaksikan Irsa Sahabuddin atau Irsa disingkirkan, Azmeer berkata, dia bukan pelakon atau sengaja mencetuskan gimik untuk meraih publisiti murahan. Sebaliknya, dia berbuat demikian kerana jemu mengulang pesanan yang sama dan berasakan komennya selama ini hanyalah sia-sia.

"Saya bukan pelakon, tetapi kalau juri sudah bercakap berulang kali dan kesalahan sama masih dilakukan, buat apa saya nak komen lagi? Lebih baik saya tidak bercakap apa-apa dan tinggalkan saja pentas. Saya rasa itu tindakan terbaik daripada saya bercakap panjang lebar.

"Saya malu! Bagi saya, apa yang mereka buat sungguh memalukan. Saya mengharapkan perubahan setelah berminggu-minggu menyanyi, tetapi sampai minggu kelapan, kesalahan sama masih berulang. Penat saya bercakap selama ini. Saya rasa seperti membazir saja kerana apa yang saya cakap ibarat mengalir ke longkang.
"Tajuk program ini ialah Vokal Bukan Sekadar Rupa. Selain vokal, setiap peserta perlu menitikberatkan persembahan. Kalau menari macam budak tadika, buat apa? Saya bukan marah kepada Mafa seorang, tetapi semua peserta termasuk Asmidar. Prestasi Asmidar minggu ini mengecewakan, tidak seperti minggu lalu.

"Saya ada harga diri, saya tinggalkan pentas bukan kerana dirancang oleh pihak TV3. Saya seorang yang cerewet. Saya sudah terbabit dalam bidang ini berpuluh-puluh tahun. Sekali saya dengar mereka menyanyi, saya boleh tahu mereka menyanyi dengan betul atau tidak," katanya kecewa.

Menurut Azmeer lagi, Azmarul contohnya memang berkebolehan menyanyi, tetapi dia bukanlah penyanyi yang baik. Sewaktu mendendangkan lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan, dia dapat mengesan nada nyanyian Azmarul sumbang setiap dua minit. Bagaimanapun untuk lagu kedua, Umpan Jinak Di Air Tenang, nyanyian peserta dari Melaka itu lebih baik.

"Penonton biasa mungkin tak sedar nyanyian Azmarul bersepah. Saya buat kerja ini sudah lama, saya boleh kesan kesilapan dengan mudah. Kalau tak percaya apa yang saya katakan, boleh saksikan kembali persembahan Azmarul di tonton.com.my. Saya tidak mahu penyanyi yang hanya boleh menyanyi. Saya memang seorang yang cerewet, saya tak mahu bagus saja tetapi perlu sempurna. Saya tidak mahu mereka hanya wujud tiga empat tahun, selepas itu hanyut. Kalau boleh saya mahu mereka bertahan lama.

"Kenapa Jamal Abdillah dan Datuk Siti Nurhaliza boleh tahan lama? Sebabnya, mereka memang penyanyi yang bagus. Juri zaman dulu tak bagi muka. Mereka nilai seseorang mengikut kelayakan sebenarnya. Juri sekarang pula terlalu mudah memberikan pujian kepada peserta. Saya bukan orang yang macam itu. Jika penonton tidak suka dengan cara saya, terpulang kepada mereka. Itu memang cara saya, saya buat bukan mengikut arahan TV3," katanya.

Puas biarpun tersingkir

KURANG dua minggu dari sekarang, Vokal Bukan Sekadar Rupa bakal melabuhkan tirainya. Peringkat akhir yang berlangsung pada 25 Disember depan menjanjikan hanya dua tempat ke final.

Selepas kegagalan Irsa, tiga peserta yang masih bersaing iaitu Asmidar, Azmarul dan Mafa hanya mempunyai satu lagi peluang untuk menonjolkan kehebatan mereka bagi menempah tiket ke peringkat akhir.

Asmidar yang mendendangkan lagu Over The Rainbow dan Rembulan sekali lagi memikat hati juri, Azmeer dan Erra Fazira, apabila berjaya muncul peserta yang mencatat markah paling tinggi, malam itu.

Ia diikuti Mafa yang memilih lagu Dangerously In Love dan Ketahuan. Pada persembahan minggu lalu, Azmarul dan Irsa berada pada kedudukan dua terbawah. Bagaimanapun mereka diberi peluang untuk membela nasib masing-masing dengan menyanyikan lagu Beribu Sesalan. Tetapi nasib lebih menyebelahi Azmarul.

Namun bagi penuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), walaupun kecewa dengan penyingkirannya, namun dia tidak akan berputus asa untuk bergelar penyanyi.

"Walaupun kecewa kerana perjuangan saya terhenti, tetapi saya berpuas hati kerana tidak tersingkir pada peringkat awal. Buat masa ini saya akan meneruskan kembali pengajian dalam bidang Sarjana Muda Muzik dan sekiranya ada rezeki untuk menghasilkan single, saya akan mencuba," kata Irsa.

Full content generated by Get Full RSS.