Utusan Online - Hiburan |
Tidak lengkap nyanyi tanpa labuci Posted: Tidak lengkap nyanyi tanpa labuciaziz.itar@utusan.com.my
PENYANYI yang terkenal dengan gelaran Raja Gelek ini sentiasa memastikan pakaian yang dipakainya sewaktu menyanyi mampu menarik perhatian ramai. Daud misalnya, akan muncul di atas pentas persembahan dengan pakaian berkelip-kelip dan berwarna-warni. Ia sesuai khususnya menerusi konsep lagu-lagu pop dan dangdut yang dibawakannya sejak lebih 30 tahun terbabit dalam bidang seni suara tanah air. Menurut pemilik nama sebenar, Muhammad Daud Kilau ini, labuci dengan pelbagai bentuk dan warna adalah elemen penting dalam pakaiannya. Kata penyanyi yang popular dengan lagu berjudul Cek Mek Molek ini, tanpa labuci pakaiannya seakan-akan menjadi kurang tarikan. "Sejak dari dulu lagi, saya tidak boleh menyanyi di atas pentas tanpa mengenakan pakaian yang berlabuci berwarna-warni. Itu adalah imej dan identiti saya di atas pentas. Biasanya, dalam satu-satu persembahan saya membawa sehingga lima pasang pakaian pelbagai warna. "Setiap satu lagu saya akan bertukar baju, bermakna kalau menyanyi lima lagu maka saya akan membawa lima pasang pakaian. Saya mahu persembahan saya kelihatan meriah dengan imej yang berwarna-warni dan penuh dengan kilauan cahaya," katanya kepada S3 ketika ditemui pada rakaman Konsert Emas terbitan Astro di Putrajaya, baru-baru ini. Bagi menyediakan pelbagai jenis fesyen dan warna baju yang penuh dengan labuci, penyanyi yang berusia 73 tahun ini sanggup mengeluarkan belanja yang besar. Ia semata-mata bagi memastikan persembahannya bukan sahaja kelihatan berbeza tetapi juga menjadi tumpuan ramai. Untuk itu, penyanyi berasal dari Kampung Sungai Ular, Bagan Datoh, Perak ini banyak menempah dan mereka sendiri pakaian untuk digunakan pada persembahan-persembahan pentasnya. Sehingga kini Daud mempunyai koleksi tidak kurang 50 pasang pakaian berlabuci. "Saya pernah mengeluarkan belanja sehingga RM1,000 untuk menempah dan menyiapkan sepasang pakaian yang khas digunakan pada persembahan saya. "Pakaian itu termasuklah baju dan seluar yang dipenuhi dengan labuci pelbagai warna dan corak yang berbeza-beza. "Bagi saya semua elemen itu amat penting sebagai daya penarik pada persembahan saya. "Selain menyanyikan lagu-lagu yang sedap didengar dan diselang-selikan dengan gelek tarian saya, pakaian yang bercahaya kesan daripada labuci itu juga adalah suatu daya penarik," ujarnya. Disebabkan imej dan identitinya itulah maka, bapa kepada dua anak dan sembilan cucu ini telah diundang melakonkan karakternya dalam filem Man Laksa arahan Mamat Khalid beberapa tahun lalu. Dalam adegan itu, dia tampil dengan watak dirinya sendiri dengan pakaian penuh labuci. Malah, lebih menggamatkan apabila watak M. Daud Kilau itu digambarkan terlalu hebat dan penuh glamor melalui satu adegan beliau sedang turun dari langit dengan berpakaian seperti jubah labuh. Jelas sekali, watak itu membuktikan imej pakaian berlabuci cukup sinonim dengannya. "Saya rasa sekarang ini cuma saya seorang sahaja penyanyi lelaki di negara ini yang akan tampil di atas pentas dengan pakaian penuh labuci. "Walaupun saya tahu fesyen pakaian itu menjadi trend dalam dunia hiburan pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an tetapi ia masih relevan hingga kini. "Sebagai penghibur saya mesti tampil berbeza dan lebih glamor barulah orang akan tengok persembahan saya. "Contohnya, pada 19 November lalu saya mengadakan persembahan di Menara Condong, Teluk Intan, Perak dengan imej sebegini tetapi sambutannya hebat. "Nampaknya para peminat masih boleh menerima gaya penampilan seperti ini. Malah, saya telah menampilkan imej sebegini sejak saya mula menjadi penyanyi selepas bergelar johan Bintang Radio tahun 1968. "Imej dengan pakaian penuh labuci, saya tidak boleh buang," jelasnya. Dia yang pernah meraih gelaran johan pada Pesta Dendang Rakyat 1985 (Nyanyian Asli) sehingga kini masih aktif menerima tawaran menyanyi di merata-rata tempat. Dengan kadar bayaran RM5,000 dan ke atas, ia adalah punca pendapatannya sejak 43 tahun lalu. Bagaimanapun, Daud yang turut popular dengan lagu Hutang Minta Hutang, Gila Judi, Anak Derhaka dan Sireh Pinang tidak mahu mencampur adukkan bidang nyanyian dengan lakonan. Baginya, bakatnya lebih ke arah nyanyian dan bukannya seni lakonan. "Saya berlakon dalam filem Man Laksa pun kerana wataknya yang tidak banyak dialog. "Saya pun bukannya pandai berlakon. Sebab itu, saya tidak menonjol dalam bidang lakonan walaupun ramai pengarah menawarkan saya berlakon tetapi kebanyakannya saya tolak. "Baru-baru ini contohnya, Astro telah menawarkan saya berlakon dalam drama bertajuk Kau Dan Aku dengan menawarkan bayaran RM7,500 tetapi selepas meneliti balik skrip dan dialognya, saya tolak tawaran itu. Saya tidak biasa berlakon dengan banyak dialog," katanya lagi. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Lirik Kak Chah cinta kepada Tuhan Posted: Lirik Kak Chah cinta kepada Tuhanaziz.itar@utusan.com.my ANAK seni berdarah kacukan Melayu, Jawa dan Cina ini telah menulis tidak kurang daripada 500 lirik. Kebanyakan karyanya menjadi lagu popular di mana ia terus diminati termasuklah oleh para pendengar generasi baru. Dia yang lebih mesra dengan panggilan Kak Chah menjadi sebutan ramai kerana lirik-lirik nukilannya bukan sahaja puitis. Malah, elemen-elemen cinta dalam bait-bait liriknya menjadi perhatian ramai. Sayangnya, kata Pengerusi Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) ini, ramai peminat kurang menyedari nilai-nilai cinta yang digarap menerusi lirik-lirik tulisannya yang bukan setakat kisah cinta pasangan kekasih. Sebaliknya kata Kak Chah, lirik-lirik tulisannya juga berkisar tentang cinta seorang hamba kepada Allah. Namun, tidak ramai menyedari elemen-elemen ketuhanan di sebalik lirik-lirik tulisannya itu. "Setiap kali mahu menulis lirik, saya harus faham siapakah audiens yang akan menghayatinya. Mereka kebanyakannya adalah golongan remaja dan masyarakat kebanyakan dan bukannya golongan alim ulama. "Apatah lagi, saya bukannya seorang ustazah yang bercakap tentang agama Islam secara terus dalam karya-karya dan tulisan saya. Sebab itu, saya gunakan kapasiti sebagai penulis lirik lagu dengan kaedah yang santai. "Saya gunakan bahasa Melayu yang ringkas dan mudah difahami dan bukannya bahasa Arab. Tujuannya supaya ia mudah difahami oleh pendengar," katanya bercerita kepada S3 tentang kisah di sebalik karya-karyanya itu. Namun, semua itu tidak menghalangnya menyelitkan jalan cerita dan mesej yang mengandungi elemen-elemen ketuhanan. Dia memang menulis tentang cinta tetapi ia tentang cinta manusia kepada Tuhan. Anak kelahiran Singapura ini berkata, boleh dikatakan semua liriknya sebenarnya sarat dengan elemen ketuhanan iaitu antara makhluk dan penciptanya. "Contohnya, lagu Mawar Terpinggir nyanyian Francissca Peter penuh dengan elemen ketuhanan di sebaliknya. Ia tentang kehadiran orang ketiga yang hadir dalam sesebuah hubungan kasih sayang. "Dalam lirik itu saya mahu ketengahkan bagaimana perasaan menjadi orang kedua atau ketiga di mana ia menagih rasa reda atas sesuatu ketentuan-Nya. Ia bukan kisah cinta sesama manusia sahaja. "Begitu juga dengan lirik lagu Menaruh Harapan nyanyian Zaiton Sameon yang mengisahkan pengharapan seseorang terhadap takdir hidupnya di mana akhirnya pergantungan terhadap Yang Maha Esa adalah klimaknya," ujarnya. Sebagai penulis lirik yang berpengalaman dan mempunyai wawasan sendiri, niat sebelum menyelitkan sesuatu mesej di sebalik lirik-lirik tulisannya cukup penting. Kak Chah yang juga penulis skrip filem Qaisy & Laila yang diterbitkannya pada tahun 2005 misalnya, menggunakan bakat menulis yang dianugerahkan Allah sebagai jalan bagi mencari keredhaan-Nya. "Saya sedar Allah berikan kita sesuatu kelebihan itu ada sebab musababnya. Sebab itu, bakat yang saya ada ini tidak seharusnya dipersia-siakan. Kalau ustazah berdakwah melalui ceramah agama, maka dakwah saya melalui lirik. "Dalam lirik tulisan saya, yang paling ditekankan adalah rasa cinta kepada Allah, itu adalah yang paling hakiki. Cinta kepada Tuhan itu paling hampir dan ia tidak pernah sia-sia, cuma hamba-Nya itu sahaja yang tidak mencari serta memahaminya. "Cinta sesama manusia biasanya selalu berakhir dengan kekecewaan. Sedangkan cinta Allah terhadap hamba-Nya sentiasa terbuka dan ia kekal abadi," jelasnya. Dalam usaha untuk meningkatkan ilham dan mutu penulisan lirik, Kak Chah banyak membaca buku-buku yang mengandungi elemen-elemen falsafah, selain sering mengikuti kelas pengajian agama di merata-rata tempat. Semua itu, kata penulis lirik lagu Merisik Khabar dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad dan Dialah Di Hati (Datuk Siti Nurhaliza) banyak membantunya dalam menghasilkan lirik-lirik yang mengandungi tema yang sarat dengan elemen ketuhanan. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |