Utusan Online - Hiburan |
Persatuan tunggal – Realiti atau khayalan? Posted: Persatuan tunggal – Realiti atau khayalan?Oleh HASNURUL MOHAMED INDUSTRI hiburan tanah air dilihat memerlukan sebuah persatuan yang proaktif bagi membela nasib lebih 3,000 artis yang mencari rezeki dalam industri tersebut. Walaupun terdapat banyak persatuan termasuk Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang menaungi 12 persatuan di bawahnya seperti Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dan Persatuan Penyiar Kebangsaan Malaysia (Penyiar), tetapi fungsi setiap persatuan yang sedia ada itu dikatakan belum benar-benar memuaskan. Justeru, ada yang mencadangkan, ditubuhkan sahaja sebuah persatuan baru dan mewajibkan semua artis menjadi ahli. Cadangan untuk menubuhkan sebuah persatuan baru bagi semua artis di Malaysia diilhamkan oleh Presiden Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez dan idea itu bukanlah satu perkara yang baru tetapi telah lama bermain dalam benak insan seni berkenaan. Jika persatuan baru itu diwujudkan dan seluruh warga dalam industri diwajibkan menjadi ahlinya, itu akan memudahkan dan melancarkan pengurusan artis terutamanya berkaitan dengan kebajikan. Persoalannya, apakah akan ada perbezaan jika persatuan bayang-bayang itu direalisasikan? Apakah kebaikan-kebaikan yang boleh dinikmati oleh ahlinya? Jawapan Freddie mudah iaitu masalah artis yang menjadi mangsa ditipu penganjur pertunjukkan pentas dapat diselesaikan. Pada hakikatnya, bukan semua artis di Malaysia menjadi ahli kepada persatuan. Alasan mereka, tidak nampak faedah ataupun kebaikan yang boleh diperoleh sekiranya menjadi ahli kepada mana-mana persatuan. Justeru, sehingga ke hari ini, hasrat untuk menubuhkan satu persatuan sahaja untuk semua yang terbabit dalam industri hiburan tanah air masih belum kesampaian. Sebenarnya, cadangan penubuhan satu persatuan itu mungkin boleh dicapai jika semua pihak bersatu hati. Tetapi sekiranya tiga persatuan artis iaitu Karyawan, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lirik (Papita) enggan mencapai kata sepakat, mungkin idea penubuhan satu persatuan sekadar cakap kosong pihak yang mencadangkan. Demi kebaikan semua artis dan karyawan tanah air, apakah caranya untuk tiga presiden persatuan, Freddie Fernandez, Harun Salim Bachik dan Datuk M. Daud Wahid, duduk semeja bagi membincangkan tentang isu penubuhan satu persatuan baru tanpa mengheret persoalan agenda peribadi. Bukan memaksa secara semberono – Freddie MENGULAS mengenai cadangan untuk mewujudkan hanya satu persatuan untuk artis di negara ini, Freddie mengajak semua pihak melihatnya secara objektif. Katanya, dia bukan memaksa untuk menerima idea itu secara semberono. Katanya, objektif penubuhan persatuan yang baru itu juga bukan bertujuan memecah belahkan artis tanah air atau pun mematikan sahaja persatuan-persatuan sedia ada. Sebaliknya, di dalam persatuan baru itu kelak, akan diwujudkan biro-biro bagi menggerakkan semua agenda yang selama ini, dilakukan secara berasingan oleh persatuan. "Yang baru ini bersifat menyatukan semua pihak yang terbabit dalam industri hiburan. Saya tahu ada yang terfikir, cadangan datang daripada saya sebab saya mahu menduduk kerusi presiden. "Soal pemimpin atau presiden persatuan baru itu nanti, biarlah diisi oleh orang lain di kalangan artis sendiri kerana hanya seorang artis sahaja yang memahami masalah yang dihadapi oleh artis lain," ujarnya. Beliau berkata, melalui satu persatuan, ia akan memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan di samping memudahkan persatuan berurusan dengan kerajaan. Merenung lebih jauh kebaikan bernaung di bawah satu persatuan, Freddie berkata, ia boleh menjimatkan kos operasi dan sekali gus, kedudukan kewangan persatuan menjadi lebih kukuh. "Apabila berlaku penjimatan kos operasi, kedudukan dari segi kewangan persatuan akan menjadi lebih kukuh. Dari situ, duit yang ada dalam persatuan boleh digunakan ke arah pengurusan pentadbiran yang lebih cekap. "Selain itu, persatuan yang ada pejabat, boleh mengupah khidmat kalangan profesional untuk melaksanakan segala program yang diatur oleh persatuan untuk ahli-ahlinya. "Bukannya ada persatuan tetapi tiada pejabat. Mana mungkin artis meletakkan kepercayaan kepada apa yang dinamakan sebagai persatuan tetapi lebih kepada istilah 'ada macam tiada," katanya. Di bawah persatuan yang baru itu kelak, Freddie yakin kebajikan ahli akan lebih terjamin kerana akan diwujudkan skim pencen dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), seperti mana yang dinikmati oleh kakitangan sektor swasta lain. "Artis tiada pencen tetapi mereka juga membayar cukai pendapatan. Poin saya di sini ialah, di bawah persatuan baru nanti, kita wujudkan skim pencen atau skim KWSP. "Semua ahli diwajibkan mencarum kepada KWSP dan mereka juga akan diberikan insurans perlindungan selain daripada hak-hak untuk mendapatkan royalti hasil karya seni mereka dipelihara. "Saya percaya, artis yang berhadapan dengan masalah undang-undang mahu nasib mereka dibela. Justeru, khidmat guaman juga diwujudkan andai kata persatuan baru ini menjadi realiti," katanya. Daud tolak bubar persatuan Persatuan-persatuan artis sedia ada tidak berpecah, jadi tidak perlu ada satu persatuan baharu, kata Presiden Papita, Datuk M. Daud. Beliau dengan lantangnya tidak setuju jika penubuhan persatuan yang baru menuntut pembubaran persatuan sedia ada. Katanya, walaupun perlu ada anjakan dan sifat kerjasama antara persatuan namun menubuhkan satu persatuan yang baru bukan satu jaminan untuk menyelesaikan pelbagai masalah. Daud berkata, persatuan-persatuan yang ada tidak berpecah sebaliknya ada gabungan. "Kita tidak pernah berpecah tetapi salah pendapat sahaja. Tidak perlu ada satu persatuan yang baru. Persatuan yang ada, kita perbaiki. "Maka itulah, apabila kita mahu menubuhkan satu persatuan yang baru, perlukah persatuan yang lama dibubarkan? Itu saya tidak setuju. "Kita tidak boleh ubah sejarah penubuhan sesuatu persatuan dan sayang jika persatuan yang paling tua seperti Seniman, dibubarkan," katanya yang hanya bersetuju untuk wujudkan gabungan demi menaikkan semula martabat industri. Daud berkata, semua persatuan menjaga kebajikan ahli-ahlinya kerana persatuan yang sedia ada hari ini, mempunyai pengkhususan keahlian. "Pada pandangan saya, biarlah persatuan sedia ada menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Tidak perlu mengusutkan keadaan dengan cadangan penubuhan satu persatuan yang baru. "Kalau penubuhan persatuan baru disebabkan persatuan yang ada berada dalam keadaan pecah belah, saya tidak setuju dengan kenyataan itu. "Sebab kita sememangnya sudah bersatu cuma dari segi pengurusan sahaja yang berbeza," katanya. Pada hemat Daud, sukar untuk meletakkan semua persatuan di bawah satu bumbung kerana setiap persatuan mempunyai pengkhususan. "Sama seperti Papita, keahlian kita berbeza. Pengkhususan Papita kepada ahli muzik, penyanyi, penggubah lagu dan lirik. "Saya tidak mahu hilangkan sejarah penubuhan Papita atau Seniman. Kalau jangan dibubarkan, itu saya setuju. Kita bukan hendak berlawan. "Kalau ada yang tampil dengan kertas kerja mengenai penubuhan satu persatuan baru, mungkin saya akan duduk untuk sama-sama melihatnya," kata Daud mengakhiri perbualan. Satu matlamat sama landasan – Harun Bagi Presiden persatuan artis tertua dalam negara, Seniman, Harun Salim Bachik berpendapat, penyatuan semua artis di bawah satu persatuan adalah baik jika matlamat perjuangan adalah atas landasan yang sama. Namun katanya, itu agak sukar untuk dicapai kerana akan wujud unsur kepentingan peribadi atau pun bercanggah pandangan dengan apa yang ingin diperjuangkan untuk ahli. "Apakah perlu ada satu lagi persatuan baru sedangkan persatuan sedia ada pun ini pun tidak diendahkan? "Apabila satu persatuan menganjurkan sesuatu acara, persatuan-persatuan lain tidak memberi sokongan. Itulah keadaan yang berlarutan melanda persatuan-persatuan di negara kita. "Jadi, saya tidak berapa hendak nampak apakah kebaikan yang ada jika persatuan baru diwujudkan. "Setakat nak buat persatuan sahaja, rasanya kita fokus kepada menambah ahli dalam persatuan sedia wujud," kata Harun secara jujur. Sama ada sukar diterima atau tidak, Harun berkata, tiada sesiapa pun yang dapat memberi jaminan jika penubuhan satu persatuan yang baru itu dapat menyelesaikan segala masalah yang melanda industri dan warganya. "Lainlah kalau persatuan itu dapat melakukan aktiviti bersama-sama dengan seluruh warga artis dan pengkarya tanah air tetapi ini akan timbul masalah kerana dalam industri, ada penyanyi, pelakon dan senang cakap, ada pekerja belakang tabir dan sebagainya. "Mungkin cadangan itu relevan tetapi kalau nak dibubarkan semua persatuan yang telah wujud sebelum ini hanya semata-mata untuk tubuhkan satu persatuan yang baru, apakah itu langkah yang cerdik?" soal Harun. Katanya lagi, jika alasan untuk menubuhkan satu persatuan yang baru adalah atas nama perjuangan, dia juga tidak nampak apakah yang mahu diperjuangkan kerana persatuan sedia ada hari ini, masih memperjuangkan kebajikan ahli-ahlinya. "Melainkan berjuang untuk menduduki kerusi dalam persatuan. Lain-lain, saya tidak nampak," kias Harun dengan makna yang cukup dalam. Harun mencadangkan, jika perlu untuk menarik golongan artis berpersatuan, ia mungkin boleh dilakukan jika persatuan-persatuan digabungkan, bukan dibubarkan. Full content generated by Get Full RSS. | ||
Posted: Satu bumbung bukan mudah
HASRAT untuk mewujudkan satu persatuan sahaja bagi dianggotai oleh seluruh warga artis tempatan merupakan satu cadangan yang bagus. Namun, ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukan kerana untuk menubuhkan sesebuah persatuan itu, ia banyak 'politik'. Begitulah pandangan peribadi penulis lirik yang tidak asing lagi, Habsah Hassan ketika diminta mengutarakan pendapatnya tentang cadangan mewajibkan semua artis termasuk komposer dan penulis lirik menjadi ahli kepada satu persatuan baru yang akan ditubuhkan kelak. "Seperti yang saya katakan, ia satu idea yang bagus tetapi bukan mudah untuk dilaksanakan sebab banyak 'politik'. "Lagipun, susah untuk mencari pemimpin yang tidak memikirkan tentang imbuhan sahaja, sebaliknya melakukan kerja secara ikhlas," katanya secara terus terang. Habsah berkata, sesetengah persatuan yang ada hari ini berfungsi dengan baik. Bagaimanapun katanya, masih ada persatuan yang bercakaran sesama sendiri kerana masing-masing dengan matlamat yang berbeza. Justeru katanya, perlu direnung kembali, apakah fungsi persatuan kepada artis jika persatuan yang sepatutnya memudahkan artis bersatu tetapi gagal berbuat demikian. "Kalau persatuan itu boleh memudahkan artis di Malaysia bersatu dengan satu agenda supaya suara mereka semua mudah didengari, maka idea penubuhan persatuan baru ini jangan ditolak. "Malangnya, tiada siapa pun yang mahu berbuat sesuatu tentang masalah persatuan-persatuan yang kini tujuan dan kehendaknya tidak seiring. "Itu yang menyebabkan ahlinya bertelagah dan mereka kurang yakin dengan persatuan tersebut. Jadi, ini yang menyebabkan mereka kurang aktif," katanya. Rosyam Nor tolak cadangan Sebagai ahli Seniman, aktor Rosyam Nor berkata, dia tidak bersetuju dengan cadangan penubuhan persatuan baru. Jelasnya, persatuan tidak diperlukan kerana persatuan yang sedia ada pun masih belum berfungsi dengan sepenuhnya. "Saya rasa tidak perlu ada satu persatuan yang baru sedangkan persatuan yang ada hari ini pun tidak menarik untuk dianggotai oleh artis-artis baru. "Pada pandangan saya, persatuan yang ada ini, buatlah kerja masing-masing dan mereka yang menjawat jawatan sebagai ahli jawatankuasa, jalankanlah kerja. "Cari artis-artis baru untuk tambah keahlian dan itu lebih bagus daripada wujudkan satu lagi persatuan baru," cadang Rosyam. Bawa perubahan - Zed Walaupun menjawat jawatan sebagai ahli jawatan kuasa Seniman, Zed Zaidi mempunyai pendiriannya tersendiri dalam isu penubuhan persatuan baru. "Kalau persatuan baru itu nanti boleh menjadi payung kepada semua artis, mengapa tidak ia diberikan sokongan? "Apa yang kita tengok pada persatuan hari ini ialah ketidakseimbangan yang berlaku. Artis-artis senior sahaja yang menjadi ahli kepada satu-satu persatuan manakala artis baru atau muda, menjauhkan diri. "Artis muda juga artis dan boleh masuk menjadi ahli tetapi kalau tidak ditekankan panduan kepada artis muda ini tentang hala tuju persatuan berkenaan, macam mana mahu menarik golongan itu berpersatuan? "Maka itulah, jika persatuan-persatuan sedia ada boleh menerima cadangan dan teguran daripada golongan artis muda, mungkin kita tidak perlukan satu persatuan baru," katanya. Lindung artis - Jehan Jehan Miskin bersetuju jika seluruh warga kerja dalam industri hiburan bersatu di bawah satu bumbung. Katanya, cadangan menubuhkan satu persatuan yang baru boleh diterimanya tetapi dengan syarat, persatuan berkenaan perlu jelas hala tuju . "Lagi banyak persatuan yang wujud dalam industri, lagi banyak berlaku perpecahan di kalangan artis atau pengkarya seni. "Elok jika semua bernaung di bawah satu persatuan sahaja tetapi matlamat, persatuan itu pula, mesti jelas dan telus," katanya. Beliau berkata, sudah tiba masanya kebajikan artis di Malaysia dibela dengan adil dan saksama, bukan pilih kasih. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |