Celebrity News |
Cerita Sedih : Sebuah Perjuangan Yang Belum Selesai - Karya Qolyeen_Aaryan Posted: 21 Nov 2011 07:30 AM PST Aku kembali tersandar di sebuah kerusi usang bertemankan senaskah diari pemberian terakhir sebelum pemergiannya untuk selama-lamanya dari dunia ini. Fikiranku melayang. Aku melihat pemandangan malam dari jendela bilikku. Pandanganku kini jauh ke arah karenah unggas-unggas malam yang sedang bercengkerama di bawah sinaran purnama…sambil sayup-sayup kedengaran... suara sang unggas bertempikan bagaikan sebuah alunan muzik yang sempurna seolah-olah memanggil-manggil namaku. Semakin lama semakin jelas.. Panggilan tadi menyebabkan lamunanku tiba-tiba terhenti. Huh!! Rupa-rupanya ibu memanggilku untuk makan malam. Aku menyahut, mengatakan TIDAK dengan pelbagai alasan. Akhirnya, ibuku terpaksa mengalah.. Perutku sebenarnya masih kosong sejak dari tengah hari lagi, tetapi seleraku menafikanku untuk menjamah walaupun sedikit makanan. Lamunanku kembali. Aku merasakan unggas-ungas tadi cukup bertuah kerana berpeluang hidup bebas walaupun kitaran hidupnya amat singkat. Pemergian buat selama-lamanya Wan, satu-satunya sahabat karibku telah memberi satu tamparan hebat kepadaku. Dialah segala-galanya bagiku..dialah sahabat sejatiku satu dalam seribu.. Memori indah ketika membesar bersama-sama, melalui zaman persekolahan juga bersama-sama menguatkan lagi tali persahabatan kami. Pendek kata, segala pahit manis, suka dan duka dilalui bersama. Itulah kenangan yang amat sukar dilupakan malah acap kali bermain-main di benak fikiranku. Aku masih ingat lagi kata-kata terakhirnya yang masih terngiang-ngiang memalu gegendang telingaku. "Az, ambil...ambil diariku ini. Bacalah apabila aku sudah tiada lagi di dunia ini. Teruskan perjuangan yang telah kita lafazkan dahulu… aku tahu kau boleh lakukannya tanpa aku, Az! Maafkan aku Az.. maafkan aku…" Itulah kata-kata terakhirnya yang sentiasa bermain di kotak fikiranku sehingga kini. Namun, aku mengerti, menerima segala hukum alam bahawa setiap yang bernyawa pasti akan kembali menemui Sang Pencipta-nya. Tapi…mengapa?.. MENGAPA? Mengapa Tuhan mengambilnya ketika usianya masih muda? Mengapa Tuhan mengambilnya ketika dia masih dahagakan kejayaan? Persoalan-persoalan itu seolah-olah mengusik naluriku yang ingin tahu. Suasana malam yang tadinya disinari cahaya purnama, kini renyai-renyai hujan mula rebah seolah-olah mengerti perasaanku yang pilu dan syahdu ini. SEBAK. Semakin lama semakin lebat bagaikan alam turut menangisi pemergian sahabat karibku itu. Tanpa ku sedari, setitik demi setitik embun mataku mula mencurah-curah membasahi pipiku. Aku tidak dapat menahan sebak, lalu ku biarkan deraian embun mataku berlabuh. Dalam linangan air mata, aku terlena… ****************************** Mulai saat dan ketika ini, aku bertekad untuk meneruskan perjuanganku sendirian. Namun..aku serba salah. Patutkah aku membaca diari Wan, sahabat karibku sendiri? Aku mengerti bahawa perbuatan menceroboh diari orang lain adalah satu perbuatan yang amat keji dan hina. Akan tetapi, apabila aku teringat akan kata-kata arwah Wan ketika itu, aku memberanikan diri untuk membuang rasa bersalahku dan terpaksa menjengukkan mukaku ke helai-helai diarinya itu walaupun hatiku terasa amat berat untuk melakukannya. Apabila difikirkan dan direnungkan kembali, aku begitu takut untuk meneruskan perjuangan hidup ini seorang diri. Tidak seperti dahulu, susah senang sentiasa bersama. Kami berdua ketika itu masih menuntut dalam tahun ke-3 dalam jurusan penyelidikan virus di sebuah institusi perubatan di Kanada. Dialah satu-satunya rakan sebangsa dan sebahasa denganku ketika menuntut di sana. Bangsa Melayu tulen..'takkan Melayu hilang di dunia'. Masih kuingat lagi bagaimana dia begitu beria-ia mahu kembali ke kampung halamannya setelah tiga tahun di perantauan. Mengikut apa yang telah kami rancangkan, kami akan pulang ke Malaysia setelah tamatnya pengajian tahun yang ke-3 ini nanti. Tapi sayang..seribu kali sayang. Manusia cuma mampu merancang, Tuhan yang menentukan segalanya. Hasrat Wan untuk kembali ke kampung halamannya tidak kesampaian. Ingatkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Apa yang kembali ke kampung halamannya hanyalah sekujur tubuh yang sudah tidak bernyawa lagi. Wan pergi buat selama-lamanya hanya seminggu sebelum menjelangnya cuti penghujung pengajian tahun yang ke-3. Sebelum ini, aku tidak pernah menyangka bahawa penuntut yang seceria dan sebijak ini terpaksa bergelut dengan maut dan berhadapan dengan realiti antara hidup dan mati dalam usia yang begitu muda. Aku sebak tanda simpati.. Selama ini, aku memang tidak tahu-menahu tentang penyakit yang dihidapinya kerana dia sentiasa merahsiakan keadaannya yang sebenar dari pengetahuanku sehinggalah dia tiba-tiba rebah ketika mengikuti sesi kuliah di kampus. Patutlah..sejak akhir-akhir ini, mukanya sentiasa kelihatan pucat dan dia sering mengadu sakit kepala. Mula-mula, aku risau juga tentang keadaannya itu. Apabila ditanya, alasannya cuma sakit biasa dan kurang tidur sahaja,..dan tiada apa yang perlu dirisaukan. Aku tidak memaksa. Dalam keadaannya yang sebegitu, dia tetap tabah dan meneruskan juga pengajiannya. Ketika menghadiri satu sesi kuliah,ketika itulah dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Dia terus dikejarkan ke hospital terdekat dan ditempatkan di unit rawatan rapi memandangkan keadaannya yang agak kritikal. Namun, segala tindakan sudah terlambat..nasi sudah menjadi bubur. Doktor yang merawatnya memaklumkan kepadaku bahawa barah otak yang dihadapi Wan kini sudah berada pada tahap kritikal disebabkan sel barah tersebut lambat dikesan. Ketika itu jugalah doktor membenarkan aku untuk menemani sahabat karibku itu buat kali yang terakhirnya. Dan ketika itu jugalah Wan menyatakan hasratnya yang terakhir kepadaku. ****************************** Aku kembali ke kampung halamanku seminggu selepas peristiwa hitam itu berlalu. Aku pulang dengan perasaan yang penuh hiba dan jiwa yang kosong, tidak seperti sebelumnya. Peristiwa itu benar-benar meghiris hati dan perasaanku. Aku memulakan langkah pertama jari-jemariku untuk membelek satu per-satu helaian diari itu. Aku membaca, dan terus membaca satu per-satu halaman dengan penuh teliti. Bola mataku umpama sedang mencari satu kepastian yang belum pasti terjawab. Setelah puas membelek-belek halaman demi halaman, aku menemui sekeping foto seorang gadis Inggeris terselit di dalam diari tersebut. Di bahagian belakang foto tersebut, tertulis sebuah catatan ringkas yang berbunyi; "Nice to meet you, handsome guy! From Tianna Lynn Adams, University of Regina, Canada." Sekali lagi aku tertarik dengan satu catatan ringkas yang ditulis di halaman 22, halaman yang diselitkan dengan foto itu tadi. - Tianna Lynn Adams, gadis pertama yang berjaya mencuri hatiku. Berumur 21 tahun dan dilahirkan pada 25 April 1984. Berasal dari Montreal, Kanada. Masih menuntut di University of Regina, Kanada dalam jurusan sains. Kali pertama berjumpa ketika menyertai program pertukaran pelajar di antara universiti-universiti di Kanada. – Rupa-rupanya dalam diam, sahabat karibku ini berkenan dengan seorang gadis Inggeris. Aku sinis sendirian. Aku meneruskan langkah kananku dengan membelek lagi halaman demi halaman. Jari-jemariku tekun membelek sambil bola mataku ligat meneliti setiap halaman. Takut pula nanti aku terlepas secebis daripada coretan kisah hidup nukilan dari hati dan sanubari sahabat karibku itu. Daripada apa yang aku perhatikan, dari lampiran pertama sehinggalah satu per-dua daripada 100 halaman diari tersebut, goresan penanya adalah berkisar tentang kisah suka dukanya ketika hidup di perantauan. Namun, apabila belekan jariku beralih dari halaman ke-50 ke halaman ke-51, mataku tiba-tiba tertumpu kepada sebuah catatan yang panjang lebar. Susunan frasa-frasa dan ayat-ayatnya seolah-olah menarik perhatianku untuk mendalami coretan tersebut. Alunan huruf-huruf yang begitu asyik bagaikan melambai-lambai kearah bola mataku agar membacanya seolah-olah ianya cuba menerangkan keadaannya yang sebenar. Pembacaanku terus tertumpu kepada catatan itu.. - 13 Mei 2007- - Aku mendapat tahu bahawa aku menghidap penyakit barah otak ketika aku pergi mendapatkan rawatan di hospital setelah mengalami sakit kepala yang berlarutan.. Penyakit yang tiada penawarnya..penyakit yang hampir pasti membawa maut. Petunjuk awal menunjukkan aku sentiasa berasa sakit kepala yang tiada penghujungnya. Mula-mulanya aku ingatkan ianya sekadar sakit kepala biasa sahaja. Namun, dari sehari ke sehari, sakitnya semakin menyucuk-nyucuk. Kesakitan yang sukar digambarkan. Doktor memberitahuku bahawa barah yang ku alami sekarang berada pada tahap bahaya kerana sel barah tersebut telah merebak dan menjangkiti keseluruhan bahagian otak dan juga bahagian saraf di dalam otak. Harapan tinggal harapan. Aku hampir berputus asa, namun aku tabahkan hati dan kuatkan semangat untuk meneruskan sisa-sisa hidupku. Malah, aku juga dimaklumkan bahawa aku cuma mempunyai tempoh enam bulan sahaja lagi untuk meneruskan sisa-sisa hidupku. Mahu tidak mahu, aku terpaksa menerima hakikat tersebut walaupun amat pahit untuk ditelan. PEDIH! Hatiku hancur berkecai. - Kini aku berada dalam dilema. Aku serba salah. Patutkah aku berterus terang dengan Az, sahabat baikku tentang keadaanku yang sebenarnya? Sekali lagi aku dihantui dengan perasaan serba salah.. setelah difikirkan, demi untuk kebaikan semua, aku nekad dengan keputusanku untuk merahsiakan keadaanku yang sebenarnya daripada pengetahuan Az. Aku berharap keputusanku ini tepat dan bijak. - Harapanku untuk menamatkan pengajianku lebur. Namun, setelah puas aku mencongak tempoh untuk menamatkan pengajian dalam tahun ke-3, aku mendapati baki tempoh hidupku kini sama dengan tempoh untuk aku menamatkan pengajianku dalam tahun ke-3..iaitu kurang dari tempoh enam bulan walaupun baki pengajian tahun yang terakhir mungkin tidak sempat aku jalani sekiranya jangkaan doktor itu tepat. - Aku melalui hari-hari terakhirku seperti biasa, seperti orang yang sihat, terutamanya di hadapan sahabat baikku sendiri, Az. Sememangnya aku amat membenci diriku ini kerana terpaksa berpura-pura di hadapan sahabatku sendiri. Hipokrit! Bukannya aku pengecut, cuma aku terpaksa. Keadaan memaksaku bertindak sedemikian. Maafkan aku, Az… Aku terharu. Terharu setelah membaca coretan itu. Rupa-rupanya dia telah mengetahui penyakitnya dari awal lagi..namum merahsiakannya daripada pengetahuanku. Aku hanya mampu membayangkan betapa bodohnya tindakannya itu. Tetapi, aku tidak pernah menyalahkannya semata-mata kerana tindakannya itu. Dia juga manusia biasa..tidak lepas dari melakukan kesilapan. Aku mengerti perasaannya ketika itu..serba salah! Jikalau aku tahu lebih awal tentang keadaannya ketika itu, tidaklah aku sekali-kali mengabaikannya semata-mata kerana aku tidak mahu terlepas satu pun aktiviti di kampus. Tidak sekali-kali akan kutinggalkannya keseorangan dalam kesunyian. Aku bagaikan menyalahkan diriku di atas segala yang telah berlaku. Terkilan.. Sekali-sekala, tanganku membelek-belek helaian diari itu bagaikan sebuah mesin yang bergerak secara automatik tanpa mengenal erti jemu dan penat lelah. Pada halaman yang terakhir, aku terkejut kerana aku mendapati sekeping sampul surat putih bersih yang tidak bersetem terselit di halaman tersebut. Muka hadapannya tertulis namaku yang agak jelas. Mula-mula aku sangkakan ianya hanya sampul kosong..tetapi jangkaanku ternyata jauh meleset. Tanganku pantas menyambar sampul tersebut..lalu sepantas kilat aku membukanya. Ternyata sepucuk surat terkandung di dalamnya. Aku membaca satu demi satu ayatnya dengan penuh teliti.. Tarikh surat itu ditulis memeranjatkan aku. Rupa-rupanya surat itu ditulis sehari sebelum pemergiannya. Bola mataku terlalu asyik tertumpu pada isi kandungan surat tersebut. Aku khusyuk.. "Kehadapan sahabatku, Azuddin. Semoga sentiasa sihat hendaknya. Az, maafkan aku kerana tidak memaklumkan terlebih dahulu kepadamu tentang keadaanku yang sebenarnya. Segala persoalan mungkin akan terjawab setelah Az membaca diari dan juga suratku ini. Tidak ada apa yang Az perlu risaukan.. Yang sudah berlaku, biarkan ia berlalu. Aku cuma mampu berdoa untuk kejayaan Az. Tabahkan hati dan kuatkanlah semangat. Kini, tatkala Az meratap warkahku ini, aku telah pun pergi ke tempat yang amat jauh dan pasti takkan kembali lagi untuk selama-lamanya. Keadaan kesihatanku yang semakin hari semakin terjejas memaksaku untuk menulis warkah ini di samping tempoh hayatku yang hanya tinggal seminggu sahaja lagi. Itupun jika jangkaan doktor itu tepat. Jikalau jangkaannya meleset, mungkin esok ataupun malam ini aku akan dipanggil menemui ajalku. Siapa tahu?? Ajal dan maut di tangan Tuhan. Janganlah berduka wahai sahabatku.. mungkin Tuhan lebih menyayangi aku..mungkin juga ada hikmah disebalik apa yang bakal berlaku ini. Tiada siapa yang tahu. Kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segalanya. Aku ingin memohon ampun dan maaf di atas kehadiran warkahku ini. Mungkin kehadiran warkahku ini akan menyentuh hatimu, Az. Sebenarnya, sewaktu aku menggagahkan penaku untuk menulis warkah ini, Az sedang mengikuti satu aktiviti ceramah di kampus. Aku mengambil kesempatan untuk mencoretkan sedikit kata pada malam ini adalah kerana esok aku akan menghadiri sesi kuliahku yang terakhir sebelum aku bertekad untuk berhenti dari meneruskan pengajianku. Aku tekad.. Sebelum mengundurkan diri, aku amat berharap harapanku yang terakhir ini akan menjadi satu kenyataan satu hari nanti. Impianku hanyalah ingin melihat Az berjaya menamatkan pengajian seterusnya dapat meneruskan perjuangan kita dalam bidang kajian virus. Aku amat berharap agar Az berjaya menemui penawar untuk mengawal virus dalam sel barah sekaligus dapat menyelamatkan lebih ramai nyawa manusia di bumi ini yang senasib denganku. Biarlah aku menjadi korbannya yang pertama dan terakhir. Teruskanlah perjuanganmu walaupun tanpa kelibatku di dunia ini lagi. Sesungguhnya aku tidak mampu untuk melawan takdir..namun aku berusaha agar tidak mudah berputus asa. Aku hanya mampu berdoa untuk setiap kejayaanmu. Terimalah sebuah puisi dariku khas untukmu yang bergelar seorang sahabat sejati. Sebagai kenangan PERSAHABATAN kita.. TEMAN Teman… Jika semalam aku terlalu bergembira.. Sedarkanlah aku Hari-hari esok mungkin dipenuhi KESEDIHAN Teman… Jika tika itu aku bergelak ketawa Ingatkanlah aku Bahawa waktu mendatang mungkin dipenuhi TANGISAN Teman… Andai tika ini aku terlalu jahat Pimpinlah aku...ajarilah aku Nilai-nilai KEMANUSIAAN Teman... Jika dahulu aku terasa hina Kau pujuklah aku Dengan kehebatan SYURGA Teman... Jika hari ini aku tidak berdaya Kau bisiklah kepadaku Tentang kekuasaan MAHA PENCIPTA Teman... Andai selama ini aku menyakitimu Luahkankah Agar aku BERUBAH Wahai teman-temanku... Andai esok aku beradu tanpa jaga Kau iringlah lenaku dengan Kalungan DOA… Baiklah Az, cukap setakat ini sahajalah coretanku untuk tatapanmu. Selamat tinggal Az.." Ikhlas dripada sahabatmu, Rizwan 5 November 2006 Tanpa ku sedari, air mata ku berlinang. Titis-titis embun mataku bagaikan merayu-rayu kepadaku minta dilepaskan. Aku tidak mampu menahan tangisan..lalu aku merelakannya. Aku terkedu.. ****************************** Sinar mentari bersinar kembali. Aku berjaya menamatkan pengajianku dengan cemerlang. Aku kini berada di sebuah intitusi penyelidikan perubatan di England dan berkhidmat sebagai seorang penyelidik tetap yang mengkaji vaksin untuk tujuan mencari penawar bagi penyakit barah. Telah dua tahun peristiwa hitam itu berlalu…tetapi ianya seakan-akan baru sahaja berlaku semalam. Peristiwa itu tetap segar di ingatanku sehingga ke hari ini. Terasa masa bagaikan semakin mencemburui aku…terasa masa cepat berlalu meninggalkanku. Aku meneruskan perjuangan semalam dengan bersungguh-sungguh dan dengan sedaya upayaku. Aku berjanji akan memerah segala keringatku demi untuk menunaikan hasrat terakhir Wan iaitu mencari penawar untuk penyakit barah. Namun, hasratnya kini masih belum lagi tercapai. Beberapa kajian yang dijalankanku menemui jalan buntu. Hampa. Aku berjanji kepada diriku agar tidak mudah mengalah, sebaliknya akan terus berusaha dengan lebih gigih lagi selagi aku belum menemui penawar bagi penyakit itu. Aku tahu aku pasti akan menemui juga penawar itu satu hari nanti. Tidak mustahil! Aku tahu hasil daripada berkat kesabaran dan kesungguhan, aku yakin tiada perkara yang mustahil untuk dicapai di dunai ini. Cuma masa sahaja yang akan menentukannya. Tetapi setakat ini, penawar tersebut masih belum ditemui. Pelbagai kajian masih dijalankan untuk mencari penawar tersebut. Wan, maafkan aku. Aku masih belum mampu untuk menunaikan hasratmu lagi. Aku hanya mampu berdoa kepada Yang Maha Kuasa agar rohmu sentiasa diberkati dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Dan aku,..aku masih di sini, menanti penghujung perjuanganku! Aku menjadi lebih berani dan bersemangat untuk meneruskan perjuanganku yang masih belum selesai ini.. Bilakah dilema ini akan berakhir? Aku termenung sendirian.. Kini, aku hanya mampu menanti pasti sebuah PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI… ****************************** * Karya ini didedikasikan khas buat mendiang Stephen Jabar ak Joseph Sandau (my youngest uncle) yang terlebih dahulu meninggalkan kami sekeluarga akibat radang otak (brain meningitis). 28.07.1978 - 25.06.2010. May U rest in peace. Kehadiranmu dalam hidup kami walaupun hanya seketika tetap menjadi kenangan manis buat kami semua. Hasil Karya, Qolyeen_Aaryan Suka Gossip Ini ClickLah Like @ Share !! Follow @zoomartis |
Malaysia Vs Indonesia di Sukan Sea 2011 Posted: 20 Nov 2011 10:56 PM PST Malam ini sudah pasti ditunggu-tunggu oleh semua lapisan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysiai khasnya. Setelah kita berhempas pulas sehingga berjaya ke FINAL, dan sering kali dicemuh dan di kritik, namun semua itu tidak bermakna jika kita berjaya mengalahkan pasukan yang menjadi pilihan dan sebagai tuan rumah. Malam ini pukul 8.00 berjuta mata akan menyaksikan sejarah yang sudah pasti membuatkan ramai insan diluar sana tersenyum dan mempunyai modal perbualan setiap kali berjumpa dengan rakan-rakan atau sanak saudara. Sekali lagi kita hanya mampu melihat jeritan sang merah putih yang mengemparkan satu stadium, namun doa dan sokongan anda sudah pasti akan menaikkan semangat pejuang negara. ZoOM : Apa kata anda mengenai perlawanan bola sepak diantara Malaysia dan Indonesia Malam ini ? Suka Gossip Ini ClickLah Like @ Share !! Follow @zoomartis |
You are subscribed to email updates from Celebrity News To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |