Utusan Online - Hiburan |
Posted: 11.11.11 jadi pilihanOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL PASANGAN merpati dua sejoli ini memilih tarikh 11 November 2011 sebagai tarikh pernikahan mereka. TERPANCAR jelas kegembiraan dan kebahagiaan yang bukan kepalang di wajah mulus aktres dan pengacara yang meniti populariti serta buah mulut peminat hiburan tempatan. Sesekali bicaranya yang umpama bertih jagung itu disulami dengan ketawa kecil bagaikan memberi petanda bahawa Dira Abu Zahar memang benar-benar sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri sekali lagi. Barangkali bukan lagi satu rahsia apabila Dira akan mendirikan rumah tangga buat kali kedua bersama pengarah fotografi, Mohd. Helmi Mohd. Yusof atau Helmi, esok (11 November) di Merlimau, Melaka. Ditemani puteri tunggal kesayangannya, Tengku Anggun Deandra yang sudah mencecah usia dua tahun hasil perkahwinannya terdahulu, Dira yang berusia 27 tahun itu tidak mampu lagi untuk menyembunyikan debaran di dalam hatinya tatkala ini. "Saya sendiri tidak pernah menyangka mahupun menetapkan tempoh untuk menamatkan zaman janda. Memang inilah yang dikatakan takdir dan sebagai hamba-Nya, saya sendiri tidak mampu hendak menolak jodoh. "Saya juga tidak mahu menjadikan kisah silam sebagai satu halangan untuk saya mendirikan rumah tangga buat kali kedua. "Sudah pasti, saya mengharapkan perkahwinan kali ini akan kekal sampai bila-bila dan ia akan menjadi sebuah ikatan yang matang. "Saya harus akui apa yang telah saya lalui sebenarnya banyak mematangkan saya sebagai seorang individu," pinta Dira penuh jujur sambil mengaminkan doanya. Simbolik Pemilik nama penuh Khaidhirah Abu Zahar itu ditemui pada sesi perbincangan sempena majlis persandingannya di Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini. Turut hadir pada pertemuan itu, Helmi dan bakal ibu mertua Dira, Hasnah Hassan. Tidak sampai 24 jam sahaja lagi, Dira dan Helmi akan disatukan di kampung halaman pengantin perempuan di Merlimau selepas solat Jumaat. Pada majlis yang bakal diadakan secara sederhana itu, Dira akan menerima sembilan dulang hantaran dan sebagai balasan, pihak Helmi bakal menerima 11 dulang. Namun begitu, baik Helmi mahupun Dira, masing-masing mengunci rapat mulut mereka daripada mendedahkan mas kahwin dan wang hantaran yang bakal diterima Dira pada hari bersejarah mereka esok. Sekadar menyingkap sejarah perkenalan mereka, Dira dan Helmi telah lama mengenali antara satu sama lain apabila pernah bekerjasama dalam satu produksi drama berjudul Salah Mesej Suami (SMS) sekitar dua tahun lalu. Namun, semuanya berubah apabila Dira dan Helmi dipertemukan sekali lagi dalam filem Untuk 3 Hari arahan Afdlin Shauki tahun lalu. Bermula daripada situ, masing-masing memberanikan diri untuk berkenalan antara satu sama lain. Mengambil keputusan untuk mengikat pertunangan pada 15 Februari tahun ini, baik Dira mahupun Helmi akhirnya memutuskan untuk memilih tarikh 11.11.11 sebagai simbolik hari pernikahan mereka. "Sebenarnya kami pun tidak merancang untuk memilih tarikh itu. Kalau ikut perancangan asal, kami sepatutnya bernikah pada bulan Julai lalu tetapi disebabkan kesibukan kami, ia ditangguhkan ke November. "Kebetulan pula pada tarikh itu juga tiada sesiapa pun di kalangan keluarga kami yang berkahwin, maka, kami sepakat untuk memilih tarikh itu," jelas Dira yang sememangnya suka ketawa. Serasi Ketika ditanya apakah membuatkan Dira yang juga pengacara rancangan Melodi ini membuka hatinya untuk menerima cinta Helmi, tanpa ragu dia memberitahu sang arjuna itu dapat menerima dirinya seadanya. Bukan itu sahaja, jelas Dira, Helmi banyak mengajarnya erti kesabaran dan menyifatkan lelaki itu sebagai air yang dapat menyejukkan dirinya setiap kali dia berada dalam keadaan marah. Ditambah pula dengan keserasian dan kemesraan antara Helmi dan Anggun membuatkan Dira benar-benar terharu dan tersentuh lalu yakin dengan keputusannya untuk hidup bersama Helmi adalah tepat. "Saya tidak pernah memaksa dan kalau boleh tidak mahu untuk berbuat demikian semata-mata mahu anak saya menjadi rapat dengan Helmi serta-merta. "Sedangkan saya juga tidak menyuruh Anggun untuk menggelarkan Helmi dengan panggilan bapa, papa, daddy, ayah atau sebagainya. Buat masa ini, Anggun lebih selesa memanggil Helmi sebagai Uncle Helmi dan saya hanya membiarkannya. "Saya lebih selesa untuk proses itu berlaku secara semula jadi. Helmi juga tidak kekok untuk bersama dengan anak saya kerana dia mempunyai anak buah yang ramai. Secara tidak langsung, ia membuatkan hubungan itu lebih mudah," jelas anak bongsu daripada enam beradik ini penuh terbuka. Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: Pengembaraan cemerlangOleh SYAZWAN ZAKARIAH MENURUT Wikipedia, Herge atau nama sebenarnya Georges Remi percaya, jika ada pengarah yang mahu bikin filem Tintin, Steven Spielberg adalah satu-satunya orang yang paling sesuai. Spielberg yang juga peminat komik itu, membeli hak cipta daripada pelukis tersebut selepas kematiannya pada 1983. Selepas melalui pelbagai proses lebih dua dekad, akhirnya Tintin versi filem berjaya direalisasikan. Dibantu kepakaran Peter Jackson (The Lord of the Rings, 2001-2003) yang bertindak selaku penerbit, filem yang menggunakan tajuk The Adventures of Tintin ini menggunakan teknik performance capture seperti mana Avatar (2009). Tiga penulis lakon layar dari Britain, Steven Moffat, Edgar Wright dan Joe Cornish diberi tanggungjawab yang hampir mustahil untuk dilaksanakan. Untuk tempoh tayangan dua jam, mereka harus menggabungkan tiga album komik sekali gus iaitu The Crab with the Golden Claws, The Secret of the Unicorn dan Red Rackham's Treasure. Kisah bermula apabila Tintin membeli sebuah model kapal layar di sebuah pasar. Dia didatangi dua orang yang mahu membeli semula daripadanya – seorang menasihatkannya supaya berjaga-jaga, manakala seorang lagi menawarkan harga yang jauh lebih tinggi. Menyedari kapal itu menjadi rebutan, Tintin enggan menjualnya dan cuba mencari jawapan. Tintin kemudian diculik dan kapalnya dicuri. Pertemuannya secara tidak sengaja dengan Kapten Haddock menjadikan mereka pelarian dalam meneruskan misi untuk membongkar rahsia di sebalik kapal tersebut. Pada saat filem dibuka, mood dan suasana misteri berjaya dirasai. Dengan lukisan animasi yang teliti dan sangat halus, penonton dibawa bersama ke alam pengembaraan Tintin yang penuh menyeronokkan. Penceritaan yang bergerak pantas menjadikan penonton leka dan tiada ruang untuk merasa bosan. Barangkali Herge dan Spielberg berkongsi visi yang sama kerana Tintin juga seperti Indiana Jones (1981-2008). Kedua-dua hero ini mencari harta karun; di mana mereka mempunyai sedikit pembayang, manakala pembayang yang separuh lagi ada pada penjahat. Mereka juga terpaksa mengelilingi dunia menggunakan apa saja medium pengangkutan untuk menjayakan misi yang dicapai. The Adventures of Tintin adalah bukti betapa dahsyatnya teknologi perfileman moden. Peminat animasi pernah dikagumkan dengan teknik motion-capture dalam hasil kerja Robert Zemeckis seperti The Polar Express (2004) dan A Christmas Carol (2009). Namun, Tintin menjangkaui lebih daripada itu. Penonton seolah-olah terlupa bahawa apa yang disaksikan sekadar satu helah digital. Sama ada di lautan dengan kapal besar dan sampan; di udara dengan helikopter; menunggang unta di padang pasir atau babak kejar-mengejar di daratan – segalanya kelihatan realistik. Tanpa ragu, ini adalah kerja animasi terbaik tahun ini dan bakal melalui jalan yang mudah untuk ke anugerah Oscar. Kecemerlangan itu bukan saja diukur dengan kecanggihan imej komputer yang dicipta, tetapi skrip yang ditulis kemas dengan dialog-dialog yang jelas difahami, lebih-lebih lagi kanak-kanak. Penulis lakon layar bijak memadatkan kesemua latar belakang cerita dan watak. Misalnya, identiti Tintin sebagai seorang wartawan, tetapi tidak perlu digambarkan dia bekerja dengan siapa, untuk akhbar mana atau menunjukkan babak dia menggunakan mesin taip. Penonton hanya diberitahu apa yang mereka patut tahu dan cara itu berkesan untuk filem ini. The Adventures of Tintin juga menyaksikan kembalinya kerjasama di antara Spielberg dan komposer John Williams untuk skor muzik yang efektif. Williams ialah orang yang bertanggungjawab menata muzik bagi sekian banyak siri filem blockbuster seperti Jaws, Star Wars, Indiana Jones dan Harry Potter. Sebagai Kapten Haddock, Andy Serkis mengulangi kehebatannya sebagai pelakon performance capture terunggul selepas menjadi Gollum dalam siri filem The Lord of the Rings dan Caesar dalam Rise of the Planet of the Apes (2011). Peranan Haddock yang kaki mabuk tetapi bersemangat waja berjaya diadunkan menerusi gerak laku sebenar dan lukisan animasi yang 'bernyawa'. Daniel Craig juga menyerlah sebagai lanun Sakharine, manakala Simon Pegg dan Nick Frost memberi keseronokan pada watak detektif Thomson dan Thompson. Tidak dilupakan ialah anjing Snowy yang menjadi sidekick Tintin. Snowy ialah karakter yang mula-mula dibina untuk projek ini dan hasilnya amat mengujakan. Meskipun Jamie Bell adalah pilihan kedua selepas Thomas Sangster menarik diri, dia berjaya memberi justifikasi untuk watak Tintin. Usia sebenar Bell ialah 25 tahun, namun Tintin di tangannya kelihatan dan 'kedengaran' jauh lebih muda. Tintin seharusnya begitu, satu karakter yang timeless dan tidak dimakan usia. Jika Herge masih hidup hari ini, dia pasti berbangga. Nalurinya tentang keupayaan Spielberg ternyata tepat apabila pengarah tersohor itu mampu membawa dunia ciptaannya ke layar perak dengan penuh stail. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |