Adsense

Rabu, 2 November 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Berlakon bukan untuk anugerah

Posted:

Berlakon bukan untuk anugerah

Berlakon bukan untuk anugerah

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


SHAHEIZY Sam antara ahli rombongan yang paling banyak membeli-belah sewaktu mengikuti lawatan Anugerah Skrin 2010 ke Los Angelas, baru-baru ini.


SESEKALI bicaranya disulami ketawa kecil saat diusik tentang status dan gelarannya sebagai bintang paling popular serta pelakon lelaki nombor satu negara yang digalas Shaheizy Sam kini.

Dengan penuh rendah diri, Shaheizy Sam atau lebih mesra disapa Sam ini menganggap semua yang dikecapinya lewat ini adalah rezeki daripada Allah SWT.

Sudah pasti kata Sam, ia juga adalah berkat kesabaran dan kerja keras selama hampir 15 tahun membina nama dalam persada seni tanah air.

"Bukan mudah sebenarnya untuk saya berada di tempat dan kedudukan seperti hari ini. Tetapi, saya sering ingatkan diri saya bahawa apa yang dimiliki ini bukanlah satu tiket untuk saya duduk dan menggoyangkan kaki.

"Jujurnya, saya sendiri juga tidak pernah menyangka untuk menikmati kemasyhuran dalam sekelip mata sebaik sahaja saya membuat kemunculan semula sekitar dua tahun lalu.

"Tiada lain yang mampu saya katakan hanyalah bersyukur dan berterima kasih dengan sokongan peminat yang tidak pernah henti menyokong saya," ujarnya penuh bersungguh ketika dihubungi Hits, baru-baru ini.

Barangkali ada yang menyangka Sam adalah pelakon baru yang semakin menempa nama sebagai seorang aktor popular.

Tetapi sebetulnya, anak kepada dramatis terkenal, Khaty Fauziah ini telah mencipta nama sekitar pertengahan tahun 90-an menerusi drama Pa'e yang pernah ditayangkan di TV3 pada usia 15 tahun.

Menerusi drama itu, nama Sam terus melonjak naik dan mampu berdiri setanding dengan kakaknya, Zizie Ezette yang merupakan salah seorang aktres wanita popular ketika itu.

Malah, sempat juga Sam dan Zizie membintangi sebuah filem, Sama Tak Serupa yang diarahkan oleh Allahyarham Datuk Yuzwan Wahid pada tahun 1995.

Mungkin juga ada yang tidak tahu, Sam juga sebenarnya pernah menceburi bidang nyanyian dan menubuhkan kumpulannya sendiri, MOB.

Selepas itu, Sam mendiamkan diri dan namanya hampir dilupakan sehinggalah dia muncul kembali dengan filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam pada tahun 2009.

Popular

Bermula detik itu, popularitinya dengan pantas mencanak naik sehinggalah dia terus berada di puncak kegemilangan hari ini dengan 12 buah filem yang sudah dilakonkannya sepanjang tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Lebih membanggakan lagi buat Sam apabila tiga daripadanya mencatatkan rekod baru dalam industri perfileman tanah air dengan kutipan pecah panggung luar biasa iaitu Ngangkung dengan kutipan RM8.18 juta, Kongsi (RM8.09 juta) dan Adnan Sempit (RM7.66 juta).

"Saya sendiri pun tidak pernah menyangka filem-filem tersebut dapat mencapai kutipan sebanyak itu. Saya juga harus akui menerusi filem-filem ini jugalah bakat lakonan saya diterima baik oleh peminat dan penonton filem tempatan.

"Sudah pasti, saya mahu mengekalkan momentum yang sama sampai bila-bila tetapi saya juga harus sedar bahawa dunia hiburan ini seperti roda yang berputar.

"Apa yang saya miliki ini juga adalah harga yang perlu dibayar kerana saya harus akui sepanjang tempoh dua tahun ini, saya telah bekerja tanpa henti," kata pemuda berusia 28 tahun ini tanpa selindung.

Dek kerana wajahnya acap kali 'dijual' oleh penerbit untuk menarik perhatian penonton ke pawagam, ada yang mula memberikan komen yang kurang enak tentang Sam.

Bukan yang berbaur negatif, sebaliknya ramai yang kini sudah melihat lakonan Sam sudah menjadi statik, stereotaip serta tidak ada pembaharuan dalam teknik lakonannya.

Saat diajukan soalan itu kepada Sam, sedikit pun dia tidak melenting malah dia cukup sedar dengan situasi itu.

Bimbang

Atas alasan itu jugalah kata Sam, dia telah mula bercuti sejak bulan Ramadan lalu sehinggalah ke penghujung bulan November ini bagi merehatkan minda dan tubuhnya.

Ujar Sam lagi, ada kalanya memang wajar untuknya mengambil cuti yang panjang kerana dapat menyegarkan dirinya dan menjadi seorang yang baru apabila kembali bekerja kelak.

"Saya memang cukup bimbang jika tidak dapat memberikan lakonan yang memberangsangkan dan meninggalkan kesan kepada penonton seandainya tiada pembaharuan yang dapat saya tampilkan.

"Dalam masa yang sama juga, saya harus menjadi realistik terhadap kerja saya di mana saya tidak boleh terlalu memilih atau menjadi seorang yang demanding dalam menerima tawaran bekerja.

"Nasib seorang pelakon di Malaysia ini bukan seperti Hollywood yang mana mereka boleh hidup mewah hanya dengan sebuah filem sahaja. Mahu atau tidak, saya perlu terus berlakon demi menyara kehidupan saya dan keluarga," katanya yang akan muncul dengan filem Aku Bukan Tomboy dan Songlap sebelum penghujung tahun ini.

Bukan itu sahaja, Sam juga meluahkan isi hatinya yang mahu membawakan watak-watak yang lebih mencabar dan sudah semestinya dia mahu berlakon dalam filem bergenre drama.

Tetapi, jelas Sam, selepas melihat trek rekodnya sepanjang membintangi 12 buah filem, peminat lebih menggemari Sam membawakan watak komedi.

Buktinya, filem-filem komedi lakonannya lebih menyerlah dan mencatatkan kutipan luar biasa berbanding dengan watak serius yang tidak begitu memberangsangkan dari segi kutipan seperti filem Sekali Lagi.

"Kerana itu jugalah, selepas ini filem terbitan saya bersama Zizie, kami juga akan mengekalkan formula yang sama dengan mempertaruhkan genre komedi aksi kerana itu yang dimahukan peminat.

"Saya masih belum memikirkan siapakah pengarah mahupun barisan pelakon yang akan membintangi filem ini bersama-sama saya. Buat masa ini, semuanya masih di peringkat pra-produksi dan insya- Allah, ia akan diumumkan apabila semuanya sudah bersedia," kata pemilik trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 menerusi filem Evolusi KL Drift 2 ini lagi.

Eksklusif

Melihatkan kekerapan wajahnya di layar lebar, ada juga yang mengatakan Sam telah meletakkan dirinya sebagai seorang yang cukup eksklusif dan tidak mahu berlakon dalam drama tempatan.

Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang tidak berasas itu, Sam menjelaskan masa merupakan kekangan terbesar untuknya membintangi drama tempatan.

"Saya tidak meletakkan diri saya sebagai eksklusif. Kalau ada masa terluang, memang saya akan dan mahu berlakon drama. Cuma, sekarang ini, saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk berlakon drama walaupun tawaran memang banyak," katanya yang pernah membintangi drama bersiri seperti Adnan Sempit The Series dan Asmara tahun lalu.

Full content generated by Get Full RSS.

Muslihat masa

Posted:

Muslihat masa

Muslihat masa

Oleh SYAZWAN ZAKARIAH
syazwan_zakariah@astro.com.my

TIDAK jauh dari zaman sekarang, jangka hayat manusia akan terhenti sehingga 25 tahun. Dipantau menerusi jam digital yang tertanam di lengan masing-masing, mereka berhak hidup lebih lama jika mampu membeli masa.

Pada zaman ini, masa ialah mata wang yang digunakan dalam sistem jual beli, mahupun ganjaran bagi sebarang pekerjaan. Golongan yang kaya mampu hidup lebih lama dengan paras rupa yang tidak dimakan usia, sementara yang miskin bergantung hidup dari hari ke sehari dan saat demi saat.

Seperti Will Salas, seorang pekerja kilang dari Dayton yang menjadi buruan polis atau pada era ini dipanggil penyimpan masa, kerana didakwa membunuh.

Salas dituduh merompak jangka hayat seorang hartawan, Harry Hamilton yang ditemui mati di bawah jambatan. Walaupun dia tidak bersalah kerana menerima hadiah daripada Hamilton, tiada siapa yang mahu percaya akibat birokrasi. Hamilton ialah jutawan manakala Salas golongan bawahan.

Bermulalah pelarian Salas yang ditemani Sylvia Weis, anak golongan berada yang dikenalinya semasa dia bermewah-mewah di kawasan elit New Greenwich.

Pada mulanya Weis adalah tebusan Salas, namun perhubungan mereka bertukar kepada misi yang sama, yakni memperjuangkan strata kehidupan yang lebih adil.

Jika anda merasakan premis In Time adalah asli seratus peratus, sila rujuk filem Logan's Run (1976), di mana manusia hanya dibenarkan hidup sehingga usia 30 tahun sebelum dijejaki untuk mati.

Manakala kisah pelarian yang tidak bersalah sudah banyak dipaparkan dalam genre sains fiksyen; antaranya Minority Report (2002) dan The Island (2005).

Di tangan Andrew Niccol, dunia In Time adalah futuristik, tetapi intipatinya mengingatkan kita kepada kisah klasik seperti Robin Hood - perompak yang membantu golongan susah; serta Bonnie and Clyde - sepasang penyamun dengan unsur romantisme.

Filem ini mengingatkan saya kepada filem lain arahan Niccol, Gattaca (1997), tentang bagaimana seseorang yang kuat secara genetik mampu ditewaskan oleh kebijaksanaan sains ciptaan manusia.

In Time berkongsi konsep serupa, di mana mereka yang dilahirkan miskin tidak selamanya tunduk di bawah kekuasaan golongan kaya.

Niccol yang turut bertindak selaku penulis skrip berjaya membuatkan penonton percaya dengan apa jua tipu muslihatnya.

Mungkin timbul sedikit persoalan di sana sini tentang mekanisme sebenar peralihan masa. Sebagai contoh, bagaimana jam digital boleh tertanam di lengan sejak lahir atau perkongsian usia yang boleh dilakukan hanya melalui sentuhan.

Namun, perincian-perincian kecil seperti itu mudah diabaikan penonton kerana isi ceritanya yang pintar secara makro. Dengan set, props, efek khas serta skrip yang baik, kita benar yakin akan kewujudan dunia pasca moden ciptaan Niccol.

Justin Timberlake membuktikan dia bukan sekadar daya penarik penonton muda untuk ke pawagam. Keupayaannya di dalam filem ini jauh lebih besar daripada pesonanya sebagai penyanyi pop dan bekas anggota kumpulan 'N Sync.

Dia tidak memiliki ciri-ciri wira seperti Daniel Craig sebagai James Bond, tetapi dia seperti Tom Hanks, orang biasa yang mempunyai aura semangat lelaki sejati.

Dia memberikan warna kepada peranan Salas dengan penuh stail, kelihatan di antara miskin dan kaya, serta selamat dan merbahaya pada masa yang sama.

Amanda Seyfried mengimbangi lakonan Timberlake dengan keserasian sebagai Weis. Karakter menarik itu melalui transisi daripada seorang gadis kaya yang lemah kepada penegak keadilan.

Sementara itu, Cilian Murphy sebagai polis penjaga masa dan Alex Pettyfer sebagai peragut yang dipanggil Minuteman, menjadi antara pelakon sokongan paling menyerlah.

In Time adalah sebuah filem yang menghiburkan. Ia membenarkan fikiran kita menepis segala logik menerusi pengembaraan Salas dan Weis, serta manusia-manusia yang berusia 25 tahun selamanya.

Mungkin filem ini tidak akan menjadi karya yang bakal dikenang sepanjang zaman, tetapi ia berbaloi dengan harga tiket yang dibayar. Inilah kelebihan Hollywood yang harus dipelajari pembikin filem kita untuk 'make believe' sesuatu alam atau dimensi yang sebenarnya dongeng semata-mata.

Full content generated by Get Full RSS.