Adsense

Rabu, 2 November 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Nostalgia budak bogel

Posted: 01 Nov 2011 04:24 PM PDT

Hip

Daripada kartun komik kepada animasi

TIGA budak bertelanjang bulat dikenali dengan nama Dan, Din dan Don yang suatu ketika cukup terkenal dalam majalah kartun Gila Gila, kini diberi 'nyawa' oleh pengkarya atau pencipta karektor ini, Saadon Ishak.

Ketiga-tiga karektor ini yang hanya boleh diikuti menerusi lembaran demi lembaran daripada setiap edisi majalah berkenaan, suatu hari nanti boleh ditonton dalam bentuk animasi yang lebih cantik dengan latar belakang kampung yang dilakar dengan gambar penuh berwarna warni dan kelihatan hampir realistik. Lima episod cerita budak telanjang bulat ini sudah disiapkan oleh penerbitnya, Don Studio Sdn Bhd. Namun apabila dipindahkan dalam bentuk animasi, ada beberapa perubahan untuk disesuaikan dengan kehendak semasa dan pasaran.

Saadon yang juga Pengarah Urusan Don Studio agak terkejut apabila pegawai pemasaran daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) memaklumkan wartawan Hip Berita Harian berminat untuk mendapatkan cerita lebih lanjut mengenai animasi terbitannya.

Katanya, Dan, Den dan Don adalah cerita mengenai tiga sahabat di sebuah kampung pedalaman pada era tahun 60-an.

Dunia hiburan bagi ketiga-tiga budak ini adalah berdasarkan apa yang mereka lihat dalam realiti kehidupan sehari-hari masyarakat kampung pada waktu itu seperti percaya kepada benda ghaib, mitos, amalan tradisi, pekerjaan orang kampung dan sebagainya.
"Tapi paling jelas, untuk siri animasi semua karakternya tidaklah boleh berbogel. Dari segi aspek budaya, ia tentu tidak manis. Jadi, saya mengubahnya dengan ketiga-tiga karektor itu berseluar, malahan kadang-kadang berpakaian lengkap.

"Nama Din juga ditukar menjadi Den sebab Din sudah ada dalam karektor animasi Jepun. Jadi, animasi ini dikenali sebagai DanDenDon. Bagaimanapun, secara keseluruhan watak dan gelagat serta cerita DanDenDon tidak banyak berubah," kata Saidon, selaku penerbit animasi terbabit.

Seperti mana siri animasi Lat - Kampung Boy karya Datuk Lat, siri DanDenDon juga turut menggunakan latar belakang kampung halaman pengkaryanya.

"DanDenDon ini merakamkan nostalgia saya ketika zaman budak-budak. Latar belakangnya ialah suasana kampung saya di Lenggong, Perak. Suasana dan pemandangan yang dipaparkan dalam siri ini memang kampung saya.

"Begitu juga dengan apa yang dimainkan oleh Dan, Den dan Don ialah kelaziman yang dilakukan oleh budak kampung, seperti menangkap dan bermain ikan laga. Setiap sudut rumah juga saya gambarkan dalam keadaan hampir realistik.

"Dalam siri DanDenDon ini, apa yang saya cuba kekalkan ialah mengenai budaya dan nilai tradisi yang dipegang orang kampung. Ia satu imbauan bukan saja kepada saya tetapi juga mereka yang berasal dari kampung selain golongan yang pernah mengikuti komik DanDinDon dulu," jelasnya.

Penerbitan bermula tahun 2007

MENURUT Saadon, inisiatif menerbitkan siri animasi DanDenDon bermula pada 2007 dan ketika itu, usaha pertama dilakukan ialah mendaftarkan hak cipta karyanya terlebih dulu.

Apabila usaha berkaitan dengan IP ini diperoleh secara sah, barulah kerja penerbitan animasi DanDenDon dimulakan sekitar 2008.

"Saya perlu mendaftarkan DanDenDon sebagai harta intelek atau IP milik saya. Ini karya dan hak saya. Biarpun agak mahal, tetapi saya perlu lakukan untuk melindungi masa depan IP karya milik saya.

"Saya tidak mahu macam P Ramlee, selepas puas berkarya akhirnya IP atau hak cipta karyanya menjadi milik orang lain. Saya daftarkan hak cipta setiap karya saya dalam semua aspek," katanya.

Sebagai pemegang IP, Saadon berkata, selepas ini selain menerbitkan animasi, dia bebas untuk menghasilkan barang dagangan (merchandise) DanDenDon.

"Sebagai permulaan saya bercadang untuk menerbitkan buku DanDenDon. Saya rancang buku ini boleh dipasarkan tahun depan. Ia sebagai kesinambungan daripada animasi DanDenDon," jelasnya lagi.

Menurutnya, setakat ini Don Studio belum mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana stesen TV tempatan kerana tumpuan utama ialah memasarkan karyanya ini ke luar negara.

Selain mencari pasaran antarabangsa, Don Studio juga turut mencari peluang untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana syarikat produksi animasi luar negara bagi menghasilkan siri DanDenDon dalam episod lebih panjang.

Sehubungan itu, Don Studio tidak ketinggalan untuk menyertai misi mencari peluang pasaran industri kreatif di luar negara seperti mengikuti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di TIFFCOM2011 di Tokyo, Jepun baru-baru ini.

"Sekurang-kurangnya dengan menyertai misi FINAS ini, ia memberi pengalaman dan pengetahuan berguna. Dari sinilah saya dapat mengenali dan seterusnya menjalin kerjasama dengan syarikat produksi antarabangsa yang menyertai pasaran antarabangsa.

"Saya tidaklah begitu mengharap siri DanDenDon ini dibeli, walaupun sekiranya ia berlaku, memang satu kebaikan kepada Don Studio. Tapi lebih daripada itu adalah untuk mencari rakan kongsi yang dapat menjadi penerbit bersama siri ini.

"Saya tahu bukan senang nak cari rakan kongsi, tetapi menerusi misi FINAS, saya boleh belajar formula sesuai untuk mengenali rakan kongsi dalam penerbitan dan pengedaran. Saya akur kadang-kadang kita kena belajar dari kesusahan terlebih dulu sebelum segala-galanya menjadi mudah," katanya ketika ditemubual di Roppongi Hill Tower Tokyo, tempat berlangsungnya TIFFCOM2011.

Don Studio ialah antara sembilan syarikat penerbitan yang menyertai misi FINAS ke TIFFCOM2011 yang berlangsung pada 24 Oktober hingga 26 Oktober lalu.

Selain DanDenDon, Don Studio juga turut menerbitkan dua lagi siri animasi berjudul APAK dan PST.

Siri APAK mengisahkan karakter utamanya iaitu seekor ayam jantan dan watak haiwan lain yang menjadi humanoid (seperti manusia). Ceritanya berkisar mengenai kehidupan sehari-hari menggambarkan pelbagai ragam manusia daripada etnik berbeza dalam sebuah masyarakat pelbagai kaum.

MDeC, MOSTI banyak bantu

SAADON mengakui kejayaan DanDenDon ialah hasil sokongan kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC) yang memberi geran untuk menerbitkan siri animasi itu.

"Antara individu yang banyak membantu ialah Kamil Othman (Naib Presiden MDeC). Beliau yang menyedari potensi DanDenDon untuk diterbitkan dalam bentuk animasi. Siri ini diterbitkan sendiri oleh Don Studio.

"Memang sepanjang pembikinan siri ini, kami tidak menghebahkan kepada mana-mana pihak. Saya belum bersedia untuk mempromosikannya sehinggalah saya ditemui anda (penulis) di Tokyo hari ini.

"Sebelum datang ke Tokyo, saya sudah membawa DanDenDon ke pasaran MITCOM2011 di Cannes, Perancis dan juga Singapura," katanya.

Menurut Saadon lagi, pihaknya turut mendapat kerjasama daripada Tourism Malaysia yang berminat menggunakan siri animasi DaDenDon sebagai sebahagian bahan untuk mempromosikan Malaysia di Asia Barat.

"Malahan negara Arab juga menyatakan minat untuk mengedarkan siri animasi DanDenDon selepas melihat keindahan pelbagai tempat di Malaysia," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Jawablah!: Elak jaja kisah peribadi

Posted: 01 Nov 2011 04:22 PM PDT

Hip

Najwa Latif

Najwa Latif

Pengurus Najwa mohon maaf jika ada pihak tersinggung

PENGURUS penyanyi yang terkenal dengan lagu Cinta Muka Buku, Najwa Latif, mengamuk dan mengugut mahu menyaman wartawan. Itulah cerita hangat yang menjadi topik perbualan pihak media sepanjang minggu lalu. Khabarnya, kontroversi itu berlaku ketika penyanyi berusia 16 tahun itu diundang untuk menjayakan sebuah majlis mempromosikan filem baru.

Meskipun bukan penyanyi ini yang bertindak sedemikian, namun sebagai artis, itulah hakikat yang terpaksa dilalui oleh penyanyi remaja ini. Sedikit sebanyak tempias akan terkena padanya juga. Menurut saksi kejadian, pengurus Najwa, Azahari Jaafar dikatakan memarahi seorang wartawan daripada sebuah stesen televisyen hanya kerana dia bertanyakan soalan berbentuk peribadi kepada penyanyi di bawah jagaannya itu.

Kebetulan sebelum itu, sebuah akhbar tabloid ada menyiarkan cerita kononnya Najwa meminggirkan bapanya sendiri. Soalan berkenaan pula ditanya kepada penyanyi remaja ini kerana wartawan terbabit mahu mendapatkan penjelasan Najwa sendiri berhubung kesahihan berita disiarkan itu.

Berang dengan tindakan wartawan berkenaan, Azahari didakwa marah-marah sambil menuding jari ke arah wartawan terbabit. Lebih mengejutkan apabila lelaki itu juga mengugut mahu menyaman wartawan yang menyiarkan cerita itu.

Hip mendapatkan penjelasan daripada Najwa dan Azahari berhubung kontroversi itu.
HIP: Najwa ada di tempat kejadian sewaktu kontroversi itu berlaku?

Najwa tiada di lokasi kejadian ketika kontroversi itu berlaku. Najwa dapat tahu mengenai cerita ini selepas dimaklumkan sendiri oleh kakak dan juga Azahari.

HIP: Najwa tentu sedar kontroversi seperti ini sedikit sebanyak akan menjejaskan reputasi Najwa sendiri?

Itu memang Najwa tahu. Malah Najwa memang sudah bersedia untuk berdepan dengan segala dugaan dan cabaran apabila mengambil keputusan menjadi anak seni. Cuma dalam hal ini, Najwa harus berpegang kepada prinsip dan juga pesanan keluarga, supaya tidak bercerita mengenai hal keluarga kepada orang luar. Biarlah peminat mengenali diri Najwa menerusi bakat Najwa saja.

HIP: Tetapi sebagai artis, mahu atau tidak, peminat tetap mahu tahu sisi peribadi Najwa.

Itu betul, cuma ia bukan untuk Najwa. Najwa harus menjaga hati keluarga yang tak suka Najwa bercerita kisah peribadi untuk tatapan umum.

HIP: Namun benarkah cerita yang mendakwa Najwa meminggirkan bapa sendiri, seperti yang disiarkan dalam akhbar berkenaan?

Najwa akui ibu dan bapa Najwa memang sudah bercerai. Najwa pernah berjumpa dengannya (bapa). Hanya itu saja yang Najwa boleh ceritakan.

Berikut adalah kenyataan daripada pengurus Najwa, Azahari Jaafar.

HIP: Kenapa perlu memarahi wartawan sehingga sampai tahap mahu saman-menyaman?

Apa yang berlaku pada hari itu adalah salah faham sebenarnya. Saya tidak marah wartawan berkenaan. Saya hanya meminta dia tidak bertanya soalan yang mengaitkan hal ehwal keluarga Najwa. Tapi mungkin cara saya pada waktu itu membuatkan ada pihak yang tersinggung. Mengenai mengugut mahu menyaman wartawan, perkara itu tidak benar sama sekali. Bagi saya, menyaman bukanlah satu tindakan yang mampu menyelesaikan masalah. Lagipun, apa yang sudah berlaku, tak mungkin boleh ditarik kembali. Apapun, dengan rendah hati, saya meminta maaf jika ada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kejadian tempoh hari.

HIP: Sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang ini, Azahari tentu faham tugas wartawan. Adalah perkara biasa jika artis ditanyakan soal peribadi. Mengapa perlu dihalang?

Bukan saya yang menghalang, tetapi keluarga Najwa sendiri. Apabila artikel pertama yang membabitkan hal peribadi itu keluar, saya yang terpaksa menjawab dengan keluarganya. Tak mahulah perkara yang mengaibkan seperti ini dijaja. Memang sukar untuk berdepan dengan saat seperti ini, banyak hati yang perlu saya jaga. Sejujurnya, saya sedih dengan apa yang berlaku. Tapi saya sedar, setiap manusia ada kelemahannya. Saya nak ucapkan terima kasih kepada wartawan yang banyak membantu Najwa selama ini. Saya harap perkara seperti ini tidak menjejaskan hubungan Najwa dengan wartawan.

Full content generated by Get Full RSS.