Harian Metro: Rap |
Pencalonan bayar segala penat lelah Posted: 01 Nov 2011 07:14 AM PDT LIMA belas tahun lalu, dua pesona jelita ini pernah disatukan dalam drama bersiri yang mencetus fenomena, Salam Taj Mahal, dengan kelainan pada plot penceritaan diterjemah. Meskipun masih baru ketika itu dan tidak mempunyai profil sehebat hari ini, dua pelakon ini, Umie Aida dan Eja, mampu mengheret emosi penonton hingga kenal akan bakat yang diperjudikan. Merentasi sedekad perjalanan seni, masing-masing mencatur langkah sendiri, mengukuhkan empayar seni dan membina nama hingga berjaya meletakkan bakat yang ada sebaris dengan populariti yang dicurahkan. Tanpa kontroversi yang terpalit, Umie dan Eja masing-masing berjaya bertahan hingga ke hari ini. Tidak sesekali hanyut dibuai glamor, kedua-dua figura ini mengecapi kebahagiaan dengan suami dan anak selain terus meletak fokus pada keluarga tersayang.
"Bayangkan Salam Taj Mahal menemukan kami berdua dan selama sebulan penggambaran di India. Ketika itu, kami sebilik dan berkongsi pelbagai cerita bersama. "Sekarang, masing-masing sudah berkeluarga dan ada kerjaya sendiri. Meninjau perwatakan dan personaliti dua bintang popular ini, mereka memang mempunyai banyak persamaan. Kebetulan pula kedua-duanya berkongsi tarikh lahir yang sama, cuma Umie muda setahun daripada Eja. Kali terakhir mereka dipertemukan menerusi drama rantaian Rindu Semakin Jauh lima tahun lalu. Kini mereka dipertemukan sekali lagi dalam satu sesi fotografi eksklusif bagi mendengar cerita dan kisah mereka apabila kedua-duanya tersenarai sebagai calon akhir dalam Anugerah Skrin 2011 (ASK2011) yang akan berlangsung Jumaat ini. Umie atau nama sebenar, Umi Khalsum Rahmad Ali, 38, berentap bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik (Drama) menerusi karya kakaknya sendiri, Erma Fatima iaitu Air Mata Nur Salina manakala Eja yang popular menerusi drama bersiri Ahmad Durrah dan Mantera Anjasmoro bertanding untuk kategori filem melalui Janin. Bersandar pada bakat lakonan yang tersendiri dan dibantu dengan penceritaan mampu menterjemah kesungguhan mereka membina perwatakan diberi, baik Umie mahupun Eja kedua-duanya menyifatkan pencalonan awal meletak nama mereka hingga ke gelanggang ASK tahun ini sudah cukup membayar penat lelah. Menang atau kalah bukan lagi menjadi taruhan ketika melangkah pada malam penentu itu nanti. Umie yang sebelum ini pernah menggenggam trofi ASK sebanyak tiga kali iaitu Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi Embun dan Pelakon Wanita Terbaik Drama (Ayuni dan Surat Terakhir), mengakui ASK pentas terbaik bagi mengukur kemampuan diri sebagai pelakon selain meletak penghargaan yang indah buat barisan anak seni. "Berita saya tersenarai hingga ke peringkat akhir menerusi drama Air Mata Nur Salina adalah satu penghargaan buat saya dan karya sentuhan Erma. "Bohong jika saya katakan tidak mahu memang kerana setiap pelakon yang dicalonkan pasti menyimpan hasrat untuk menggenggam trofi kemenangan. Namun, ia bukanlah komponen penting buat saya. Saya hanya ingin memastikan drama itu berjaya dipandang pihak lain kerana jujurnya ia sebuah cerita yang kuat. "Watak Salina yang saya pegang bukan sembarangan karakter, namun Alhamdulillah saya mampu melakukan apa yang diinginkan pengarah. Reaksi positif daripada penonton juga begitu baik membuat saya gembira dan bersyukur. "Namun, saya sendiri gementar apabila melihat drama lain yang turut diletak ke pentas akhir kerana lakonan setiap pelakon utamanya begitu kuat dan hebat. "Jika ada rezeki dan ketentuan sudah tersurat buat saya, pastinya ia adalah satu pembakar semangat untuk terus menghasilkan sesuatu yang lebih baik," katanya. Umie dikatakan bakal bersaing dengan teman baiknya, Erra Fazira menerusi drama Sanggul Beracun yang disiarkan melalui Astro Citra, pelakon veteran, Norlia Ghani menerusi drama Janji Syurga, Rozita Che Wan (Masihkah Ada Sinar) dan Amyza Adnan (Midah Kuih Bangkit). Bagi Eja pula, sejak berkecimpung dalam dunia seni selama 15 tahun, inilah kali pertama namanya membolosi pencalonan akhir ASK. Eja mengakui cukup terharu dan menganggap ia satu penghargaan terindah buatnya. "Memang sudah lama saya membina nama sebagai pelakon dengan puluhan drama dan filem, namun rezeki itu belum menyebelahi saya. Bagaimanapun, tidak sekelumit saya berkecil hati atau putus semangat kerana pada saya, apa yang penting adalah keikhlasan, disiplin dan kesungguhan untuk melakonkan setiap tanggungjawab yang diberi. "Janin sebuah filem hebat sentuhan penulis skrip hebat yang turut menerbitkannya, Wan Hasliza, namun ia tidak punya publisiti yang besar. "Lebih membanggakan, Janin adalah karya yang mampu memimpin saya ke fasa yang lebih baik sebagai pelakon kerana watak dan jalan ceritanya. "Saya bersyukur apabila ada pihak memandang kesungguhan menghidupkan watak utama filem itu selain menjanjikan sesuatu yang berbeza dalam lakonan. "Saya tidak mahu membebankan fikiran dengan mencongak soal menang atau kalah sebaliknya hanya ingin hadir malam Jumaat ini bagi mengiktiraf karya bermutu yang dihasilkan anak tempatan," jelasnya. Eja dan Umie mengakui, fokus utama mereka kini bukan lagi dunia lakonan sebaliknya tanggungjawab terhadap keluarga paling diutamakan. Eja kini lebih cenderung membesarkan anak kesayangannya, Nur Eishal Mohd Silahuddin, 2, manakala Umie memberi perhatian kepada rumah tangga yang dibina bersama Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan pada 14 Mac tahun lalu selain tanggungjawab kepada anak, Mohd Daniel Firdaus dan Mohd Dzulhilmy. "Saya bersyukur dan bertuah kerana suami memahami dan tidak pernah menghalang cuma tugas saya perlu pandai memilih tawaran yang tiba," kata Eja. PROFIL UMIE AIDA: Nama sebenar: Umi Khalsum Rahmad Ali Anak: Mohd Dzulhelmy, 16, dan Mohd Daniel Firdaus, 17 Drama: Abadi Sebuah Cinta, Spa Qistina, Kek Lapis Kak Ida, Seruling Kasih, Rumah Di Tengah Sawah, Intan Mahsuri, Tarantula I & II, Cinta SMS, Nur Fitri, Kesetiaan, Feloni Aka Ecstasy, Takdir Sedang Berbisik, Serpihan Laungan Takbir, Bukan Bidadari, Korban Kasih Marlisa, Masyitah, Airmata Nur Salina, Karma Salina dan banyak lagi Penerbit: Diva Popular Pencapaian: Pelakon Wanita Terbaik di FFM ke-16 menerusi filem Embun, Pelakon TV Wanita Popular Menang di ABP 1999, Pelakon Wanita Drama Terbaik di Anugerah Skrin menerusi drama Surah Terakhir pada 1999, Pelakon Wanita Drama Terbaik di Anugerah Skrin menerusi drama Ayuni pada 2001 dan Pelakon Wanita Filem Terbaik PROFIL EJA: Nama penuh: Siti Shahrizah bt Saifuddin Drama: Ejen 88 & 44, Rahsia Demi Rahsia, Teduh Kabus, Salam Taj Mahal, Kiranya Ku Tahu, Takhta Hati, Tiga Dara, Rindu Semakin Jauh, Kalau Itu Takdirnya, Masih Ada Cinta, Wajah Kekasih, Cinta Semerbak Kayu Manis, Mya Zara, Seputih Qaseh Ramadan, Sadiq & Co, Dimata Mu Aku Dijiwa Mu Dia, Pembunuh Upahan, Igawan, Sangga Saadah, Talkin Terakhir, Wadi Unung, Demi Tuhan Kuizinkan, Satu Permintaan, Cinta Dari Kaabah, Tasbih Cinta, Dia Bukan Maryam, Ahmad Durrah dan Mantera Anjasmoro Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: 01 Nov 2011 07:03 AM PDT SUDAH menceburi industri hiburan selama 11 tahun, pasti segelintir masyarakat tidak menyangka penyanyi yang memperjuangkan genre reggae ini, Sasi The Don, mendapat peluang untuk berkolaborasi dengan penyanyi reggae dari luar negara. Tidak semua artis tempatan mendapat peluang seperti ini hingga Sasi tidak mampu untuk menolaknya. Katanya, tidak sangka dia mendapat peluang bekerjasama dengan nama besar dalam genre reggae iaitu Maxi Priest yang menjadi idolanya kerana genre reggae yang dibawanya digabungkan dengan pop agar dapat diterima masyarakat.
Menceritakan detik pertemuannya dengan Maxi, Sasi yang diundang Umno Malaysia untuk mengadakan persembahan sempena sambutan kemerdekaan di London berkata, segalanya bermula apabila berkongsi berita pemergiannya ke London melalui laman sosial facebook. "Saya tidak sangka seorang peminat British-India mengundang saya mengadakan 'show' dan terus bersetuju dengan cadangannya itu. Saya memang tidak pernah bayangkan mempunyai peminat di luar negara.
Mengambil masa seminggu untuk merakamkan lagu duetnya dengan Maxi, Island Queen, Sasi mengakui ia sangat mencabar kredibilitinya sebagai penyanyi reggae. Katanya, sebelum berangkat ke London, Sasi membuang jauh-jauh perasaan takut berhadapan dengan Maxi dan berharap segalanya berjalan lancar kerana ia membabitkan kos yang besar. "Terlebih dulu saya menyiapkan lagu kolaborasi dengan Maxi, tetapi apabila tiba di London, hari pertama kami masuk studio rakaman Maxi tidak menyukai konsep lagu itu dan saya tidak mempunyai perancangan kedua. "Saya hanya ada masa seminggu untuk merakamkan lagu itu dan sangat kesuntukan masa kerana terpaksa bermula dari awal. Hanya tajuk lagu saja yang kekal. "Saya akui, itu adalah saat paling memberikan tekanan dalam hidup, tetapi sangat bernasib baik kerana studio yang kami gunakan milik penulis lagu untuk Black Eye Peas, Tippalrie. Dia membantu saya dan Maxi untuk mengubah lirik lagu itu," katanya. Mengenai perkembangan lain, Sasi melancarkan album terbarunya pada Julai lalu. Ia memuatkan 14 lagu termasuk satu lagu instrumental. Mempertaruhkan lagu Inggeris dan Tamil, album kedua ini lebih menumpukan pasaran luar negara. Tambahan pula Universal Music India bercadang memasarkan album itu di India dan Sri Lanka. Walaupun menyesal tidak merakamkan lagu dalam bahasa Melayu untuk album ini, Sasi tetap melihat perkara itu dari sudut positif. Selain berkolaborasi dengan Maxi, Sasi juga berpeluang bekerjasama dengan Anita Sarawak menerusi lagu One Love dan Jaclyn Victor (Devathai). Idea bergabung dengan artis lain itu timbul selepas kejayaan duetnya dengan Amy Search menerusi lagu Satu Impian. Katanya, Anita turut nasihatkan dirinya supaya memikirkan pasaran luar negara dan sebab itulah memilih menghasilkan lagu Inggeris. "Kata Anita, Industri hiburan tanah air sangat kecil dan untuk berjaya, seseorang artis perlu mengembangkan kerjayanya sehingga ke peringkat antarabangsa. "Bukan mudah untuk berkolaborasi dengan artis lain kerana kerjasama itu perlu memberikan impak kepada pendengar. Saya bangga berpeluang bekerjasama dengan Anita. Malah penantian saya selama empat tahun berakhir apabila berpeluang menyanyi bersama Jaclyn. "Sebagai kelainan, kami menyanyikan lagu Tamil dan ia mendapat komen positif peminat. Lagu Devathai yang bermaksud Malaikat, mungkin akan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu," katanya. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |