Adsense

Ahad, 6 November 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Erra, Umie menelan badai

Posted:

Erra, Umie menelan badai

Erra, Umie menelan badai

MESRA membahasakan 'mak cik' antara satu sama lain, setia kawan Erra dan Umie kini berkembang sayap perniagaan dengan terbentuknya Frensis sejak tahun lalu.


PERSAHABATAN menjadi benang emas yang menyatukan dua jiwa ini. Dua insan seni yang awalnya bermula dengan langkah dan laluan berbeza namun dipertemukan atas satu titik yang menyatukan. Erra Fazira dan Datin Paduka Umie Aida, dua jiwa yang menjadi sekutu pada nafas persahabatan. Mereka berada dalam uri seni yang sama, menjalin cinta yang senafas untuk bakat yang mengalir dalam pembuluh darah mereka.

Sesi tawa dan mengusik mesra menjadi tontonan manis menyaksikan jalinan mereka. Kadangkala Umie persis kakak yang menjaga Erra, sang adik yang manja. Ada waktu mereka berbahagi keseriusan untuk meneroka sebuah perjalanan yang mereka realisasikan bersama. Naskhah Badai Semalam dan syarikat Frensis adalah lanjutan kepada persahabatan yang mereka ciptakan.

Saling melengkapi

Persahabatan Umie dan Erra merupakan sintesis perasaan seperti gambaran penulis Perancis, Francois de La Rochefaucald yang mendakwa sahabat sejati ialah anugerah Tuhan terbesar.

Atas dasar nama sahabat, Erra dan Umie menubuhkan syarikat dengan nama Frensis. Syarikat itu ialah hasil idea dan kerjasama antara Erra, Umie dan Ziela Jalil. Frensis mempertaruhkan teater Badai Semalam yang bakal dipersembahkan di lantai berprestij Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai 11 hingga 20 November ini sebagai pencetus momentum. Bukan hanya pameran lakonan pementasan sebagai ujian tetapi yang lebih utama, hasil kerjasama itu mempamerkan profesionalisme terutamanya dalam hal teknikal dan produksi.

Erra sebagai tunjang utama Badai Semalam terheret dalam pementasan itu gara-gara sahabatnya, Umie Aida.

"Umie paksa saya untuk mengambil watak Mazni. Dia adalah punca dan tulang belakang untuk semua ini," akui Erra.

Umie mempunyai alasannya yang tersendiri.

"Saya mahu lihat Erra muncul berbeza. Untuk sebuah hasil yang lain daripada yang lain," balas Umie yang merasakan sosok Mazni sangat tepat dibawa Erra.

Dalam nada separuh pasrah, Erra mengakui Mazni kini semakin meresap dalam jiwanya.

"Saya akui watak Mazni itu berat dan memenatkan. Setiap kali datang latihan, pasti rasa berat. Hari cuti dan Ahad pun saya masih berfikir tentang Mazni. Masuk sahaja hari Isnin, sudah rasa tekanannya," kata Erra.

Tambah Erra: "Berlakon teater, filem atau drama punya perbezaan. Dalam teater, perlu jaga momentum, tidak boleh jatuh. Walaupun bercuti masih perlu beradaptasi dengan watak itu sendiri. Saya anggap ini seperti proses back to school. Banyak yang perlu saya pelajari. Kena kerja keras, malah lebih keras."

Landasan

Kepada Umie pula, sewaktu sahabatnya meneroka sebuah jurnal hidup Mazni, dia punya sisi berbeza untuk melihat perjalanan Badai Semalam lancar atas landasan yang dibina bersama. Bertindak melakonkan watak Puan Rohana, ibu kepada Karim lakonan aktor Aaron Aziz, dia juga punya tanggungjawab yang besar di balik bidai teater itu.

"Saya banyak turun padang untuk melihat bahagian produksi. Buat pemasaran dan lihat aspek teknikal. Ini platform untuk belajar dan menimba ilmu yang sebelum ini saya peroleh daripada Erma Fatima juga," tutur Umie yang menjalankan tugas-tugas produksi Frensis.

Dalam gelak tawa dan serius berbahagi cerita perihal kerjaya, terselit juga tentang sejarah bagaimana terbenihnya persahabatan yang sedang merendang itu. Kata Umie, Erra dahulu belajar satu sekolah dengannya di Sekolah Menengah Titiwangsa, Kuala Lumpur namun 'ego' sebagai senior membuatkan dia meninjau dari kejauhan.

Malah mereka pernah sama-sama menetap di Setapak Garden namun masih belum berjabat tangan atau bertegur sapa.

"Hanya selepas filem Mr. Cinderella, baru kami berkawan dan kemudian berlanjutan ke dalam filem Cuci. Kami berkawan dengan ikhlas. Bila ada rasa itu, timbul rasa sayang terhadap diri masing-masing. Sesiapa yang mengusik, salah seorang daripada kami akan melenting," ujar Umie membuka cerita.

"Paling terharu, sewaktu saya berdepan masalah dengan (bekas suami) Yusry dahulu. Umie sentiasa ada di sebelah saya. Dia berkorban masa mendengar luahan hati seorang kawan," luah Erra yang menganggap keserasian merupakan resipi utama mereka.

"Apa yang penting ialah sikap hormat-menghormati. Kami tidak usik atau tanya perkara yang tidak perlu," tambah Umie yang menganggap tiada masalah jika bersahabat baik sesama selebriti.

Sama tetapi tak serupa

Mereka mungkin tampak sama pada fizikal dan gelombang pemikiran. Lalu dikorek cerita persamaan dan perbezaan yang mendekatkan mereka.

"Kami jenis tidak suka mengumpat atau jaga tepi kain orang lain. Kami banyak bercerita tentang kami sahaja," ujar Umie.

Erra menjelaskan mereka sebenarnya amat berbeza dalam falsafah fesyen.

"Kami tidak serupa (dalam berfesyen). Umie ada sisi santai dia. Tapi wajib ada kasut tinggi. Santai dia bukan seperti santai dalam definisi saya," ujar Erra mengingatkan Umie yang gigih bersepatu tinggi walaupun hanya ke pasar.

"Kami hormati cita rasa masing-masing tetapi bila ada masanya untuk 'cuci' sebab tidak kena gaya, kami 'cuci' juga," tambah Umie ketawa bergaya.

Menambah ciri yang membezakan minat mereka, Umie melancarkan bicara: "Dalam bab filem pula, saya akan layan semua jenis filem. Tapi Erra kurang berkenan dengan filem hantu atau ngeri. Dia takut."

Umie menerangkan kecenderungannya lebih terarah kepada tawaran untuk melakonkan filem-filem dengan watak-watak beremosi.

"Saya suka bermain dengan emosi, lebih seronok dan baru rasa bekerja bila kena kerja lebih sikit," ujarnya yang pernah memenangi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Embun seketika dahulu.

Berlainan pula dengan ibu kepada si puteri comel bernama Tengku Aleesya, Erra lebih senang untuk tidak dibayangi emosi berat dalam tempoh yang panjang.

"Saya suka watak-watak yang ringan. Saya tak suka rasa serabut," ujar Erra, juga penjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Soal Hati dan Hingga Hujung Nyawa.

Terlanjur berkongsi cerita kehidupan dan karier, tahun ini juga pasangan sahabat popular ini akan bekerjasama dalam sebuah lagi projek. Mereka baru sahaja diumumkan sebagai juri tetap kepada program Pilih Kasih musim ketiga terbitan Suhan Movies. Pilih Kasih 3, akan disiarkan menerusi TV2 mulai 20 November ini.

"Memang banyak lagi agenda yang kami berdua rancangkan. Kita habiskan satu-persatu dahulu," kata Erra yang menyambut Hari Raya Aidiladha di Kuala Lumpur bersama keluarganya.

Komitmennya sebagai juri pertandingan Vokal Bukan Sekadar Rupa di TV3 menuntut Erra untuk tampil secara langsung di kaca televisyen pada malam ini. Ketika ini, Umie barangkali sedang seronok melayan tetamu atau berjumpa saudara-mara di daerah kelahiran suaminya, di Pulau Pinang.

Full content generated by Get Full RSS.

Jue Aziz belum berpunya

Posted:

Jue Aziz belum berpunya

Jue Aziz belum berpunya

KHABAR angin kononnya dia sudah bernikah dengan lelaki dari Kelantan memanaskan kembali nama Jue Aziz yang kini semakin dilupakan.

Bagaimanapun, Jue atau

nama sebenarnya Zuliana Aziz, 28, sudah membuat penafian berhemah.

Tidak melatah apatah lagi memulangkan paku buah keras, pelakon drama bersiri Lagenda Budak Setan itu masih mampu tertawa ria. Katanya, status solo masih kemas dalam lipatan dan status itu tidak mungkin terurai dalam tempoh terdekat memandangkan hatinya masih tidak terisi lelaki istimewa.

"Saya juga masih solo. Masih belum berkahwin. Cerita itu mungkin berpunca kerana saya kerap ke Terengganu tidak lama dahulu. Masyarakat sekitar yang tidak tahu perkara sebenar mudah untuk berfikir yang bukan-bukan," sekali lagi si rambut panjang mengurai itu menepis berita palsu tentang dirinya.

Tidak mengambil serius episod cerita rekaan berkenaan, aktres yang muncul dalam filem Hantu Bonceng itu juga baru mampu bernafas lega selepas drama bersiri terbaru lakonannya, Nilapura selesai menjalani penggambaran.

Dalam drama epik yang berlatarkan Kellie's Castle, Batu Gajah, Perak itu, Jue memegang watak Puteri Ratna Emas Lela yang merupakan puteri bongsu Raja Bumida Bimasakti yang berjiwa rakyat dan gemarkan kerja amal.

"Dalam drama itu, saya sedia mengorbankan cinta demi kasih sayang terhadap negara saya iaitu Bimasakti. Saya juga terpaksa berkahwin atas dasar diplomatik antara negara saya dan Nilapura," ulasnya mengenai watak utama yang dibawa dalam drama berlatarkan zaman dahulu kala itu.

Mula disiarkan pada Isnin lalu menerusi slot Aksi di TV3, Nilapura turut dibarisi pelakon hebat antaranya Ryzal Jaafar, Amar Asyraf, Memey Suhaiza, Ramli Hassan, Zarina Zainuddin, Rosnah Johari, Razib Salimin, Adam Shah, Hilal Azman dan Ramona Zam Zam.

Full content generated by Get Full RSS.

Perkahwinan jangka pendek

Posted:

Perkahwinan jangka pendek

Perkahwinan jangka pendek


MAHLIGAI bahagia Kim (kiri) dan Kris hanya bertahan selama 72 hari.


PEMINAT hiburan satu dunia jadi heboh apabila bintang televisyen yang terkenal dengan program realiti Keeping Up With The Kardashian's, Kim Kardashian telah memfailkan permohonan cerai dengan suaminya, bintang bola keranjang NBA, Kris Humphries ketika perkahwinan mereka baru sahaja berusia 72 hari.

Kim, 30, dan Kris, 26, melangsungkan perkahwinan mega mewah bernilai lebih RM30 juta di kediaman peribadi mereka di Montecito, California pada 20 Ogos lalu.

Pelbagai reaksi, pelik dan terkejut sama ada disampaikan dalam nada simpati atau lucu diluahkan untuk Kim. Sebagai akses paling cepat dan mudah, Twitter menjadi perantaraan kepada pengikutnya yang terdiri daripada peminat bahkan para selebriti terkenal dunia.

Berakhirnya hubungan singkat antara Kim dan Kris juga membuka banyak cerita dalaman pasangan berkenaan. Tidak kurang juga yang mempersendakan perkahwinan itu sebenarnya gimik murahan Kim untuk menjana jutaan dolar dalam bentuk tajaan serta penjualan hak eksklusif majlis perkahwinannya kepada penyiar.

Kim Kardashian

Pasangan: Kris Humphries

Bahagia: 72 hari

Pernah diundi sebagai Selebriti Paling Menjengkelkan di Hollywood oleh majalah Parade, Kim menjelaskan, keputusan bercerai itu dibuat kerana dia percayakan naluri kewanitaannya.

"Saya buat keputusan (bercerai) kerana percaya pada naluri wanita, saya ikut apa kata hati saya," ujar Kim tenang ketika ditemu bual sebuah rancangan bual bicara pagi Australia, Sunrise, beberapa hari lalu.

Kim memfailkan perceraian di sebuah mahkamah Los Angeles. Menjadikan perbezaan yang tidak dapat diselesaikan sebagai sebab perceraian, dokumen tersebut turut menunjukkan pasangan tersebut ada menandatangani satu perjanjian sebelum ini.

Turut dinyatakan dalam dokumen tersebut, harta individu (bukan sepencarian) pasangan merangkumi barangan dan pendapatan peribadi termasuklah barangan kemas milik mereka. Menyentuh bab barangan kemas, tentu sahaja salah satunya adalah cincin pertunangan Kim bertatahkan berlian lebih daripada 20 karat rekaan Lorraine Schwartz yang dibeli oleh Kris Humphries pada harga RM6.58 juta (AS$2 juta).

Sebenarnya, sebelum pengakuan Kim untuk bercerai tersebar ke serata dunia, gosip keretakan hubungan antara Kim dan Kris sudah dapat dihidu oleh media. Kim yang mempunyai rangkaian perniagaan dan rancangan realiti sendiri mula rasa tidak senang duduk apabila suaminya sudah tidak bekerja kerana ada sedikit masalah dengan NBA. Kim ada juga mula bosan dengan Kris yang langsung tidak berbuat apa-apa untuk menyara keluarga.

Masalah mereka berdua berpunca sehari sebelum hari lahir Kim pada 21 Oktober lepas. Buktinya, mereka kelihatan dingin ketika sama-sama menghadiri program televisyen Dancing With The Star untuk menyaksikan aksi adik Kim, Rob Kardashian yang merupakan peserta rancangan tersebut.

Berada dalam emosi yang sukar, bagaimanapun, tidak menghalang Kim dan Kris menghadiri parti. Kim masih dilihat menghadiri sebuah pesta Halloween dengan kostum super seksi manakala Kris juga melibatkan diri dalam satu pesta bertajuk Butterfly at Chateu Gardens yang berlangsung di atas bumbung Hotel Eiffel Tour, Paris, Perancis.

Dalam satu temu ramah, Kim menjadi sedikit berang apabila didakwa berkahwin atas tuntutan program televisyen. Dia turut menyangkal dakwaan itu dan bertegas perkahwinan mereka memang didasari oleh cinta.

"Saya seorang yang percayakan cinta dan fantasi yang mahu saya bina. Semua orang tahu bahawa saya seorang yang sangat obses dengan romantik dan mencintai sesuatu dengan seluruh jiwa. Saya juga ingin memiliki anak dan hidup yang sebenar. Itu yang membuat saya terlalu terburu-buru," ujar wanita cantik itu.

Mengenai jutaan dolar yang diperolehnya daripada pernikahan bersama Kris, Kim menyangkal gosip tersebut sekali gus menyatakan dia berhasrat untuk menderma semua hadiah pernikahannya itu kepada The Dream Foundation.

Bukan Kim dan Kris sahaja yang berdepan hubungan singkat, baik di Hollywood atau persada seni tanah air, tragedi perkahwinan singkat bukan perkara mustahil.

Britney Spears

Pasangan: Jason Alexander

Bahagia: 55 jam (2 hari)

Pernikahan tidak sah bintang pop, Britney Spears bersama kawan zaman kanak-kanaknya, Jason Alexander dikatakan menjadi titik hitam pertama yang menjatuhkan reputasi Britney. Kurang 55 jam setelah menikah di Little White Wedding Chapel di Las Vegas, pernikahan itu dibatalkan atas alasan gangguan fizikal yang dialami oleh Britney.

Carmen Electra

Pasangan: Dennis Rodman

Bahagia: Sembilan hari

Dennis Rodman dan Carmen Electra menikah di sebuah gereja kecil di Las Vegas pada November 1998. Sembilan hari kemudian, Rodman menfailkan pembatalan pernikahan mereka dengan alasan keputusan itu dibuat atas fikiran bawah sedar. Namun kedua-duanya bersatu lagi hingga akhirnya berpisah pada Mac 1999.

Drew Barrymore

Pasangan: Jeremy Thomas

Bahagia: 19 hari

Pada Mac 1994, Drew Barrymore yang ketika itu 19 tahun menikahi Jeremy Thomas, seorang pemilik bar, di Los Angeles. Pernikahan yang berlaku secara tiba-tiba itu mengejutkan ramai teman selebriti yang lain seperti Andie McDowell, Mary Stuart Masterson dan Madeleine Stowe yang tidak sempat untuk membelikan hadiah kepada mempelai. Pasangan ini berpisah 19 hari kemudian.

Mario Lopez

Pasangan: Ali Landry

Bahagia: Dua minggu

Bintang siri komedi Saved By the Bell, Mario Lopez dan Ali Landry menjalin cinta selama enam tahun sebelum menikah di Puerto Vallarta, Mexico pada April 2004. Kurang dua minggu selepas menikah, pasangan ini berpisah atas sebab kecurangan Mario.

Eddie Murphy

Pasangan: Tracey Edmunds

Bahagia: Dua minggu

Berkahwin pada 1 Januari 2008, pasangan selebriti Eddie Murphy dan Tracey Edmunds menyatukan cinta mereka di sebuah pulau yang dikenali sebagai Bora Bora yang terletak di French Polynesia. Namun, belum sempat pengesahan perkahwinan itu yang sepatutnya dilakukan di Amerika Syarikat, mereka bercerai selepas genap dua minggu berkahwin. Alasan Tracey, dia berasa diperbodohkan oleh Eddie yang memakinya di khalayak ramai ketika berada di pulau berkenaan.

Pamela Anderson

Pasangan: Kid Rock

Bahagia: Empat bulan

Pasangan ini melangsungkan majlis pernikahan pada 29 Julai 2006 St. Tropez. Mereka kemudian mengesahkan perkahwinan pada 3 Ogos di sebuah mahkamah di Beverly Hills sebelum satu lagi majlis resepsi penuh romantik diadakan pada 17 Ogos. Tiga bulan selepas berkahwin, Pamela dikatakan mengalami kemurungan kerana keguguran bayi ketika menyertai penggambaran filem Blonde and Blonder. Tiada alasan diberikan setelah masing-masing memutuskan untuk bercerai sekitar November 2006.

Jennifer Lopez

Pasangan: Cris Judd

Bahagia: Sembilan bulan

Jennifer Lopez dan pasangannya, Cris Judd menikah pada Oktober 2001. Mereka mula tertarik dan menjalin cinta setelah bertemu dalam penggambaran video klip Jennifer atau J-Lo, Love Don't Cost a Thing. Ketika itu, Judd bertindak sebagai pengarah video tersebut. Pernikahan J-Lo dan Judd berakhir pada Julai 2002 setelah J-Lo dikatakan beralih cinta kepada Ben Affleck.

Nicolas Cage

Pasangan: Lisa Marie Presley

Bahagia: Lima bulan

Aktor Nicolas Cage pertama kali bertemu puteri penyanyi legenda Elvis Presley itu pada tahun 2000. Hubungan asmara kedua-duanya ada pasang-surut sehinggalah berakhir dengan perkahwinan pada 10 Ogos 2002. Namun pada 20 November 2002, Cage memfailkan tuntutan perceraian. Proses perceraian pasangan ini berlangsung lebih lama daripada pernikahan mereka.

Renee Zellweger

Pasangan: Kenny Chesney

Bahagia: Empat bulan

Pasangan ini menikah pada tanggal 9 Mei 2005 setelah saling mengenali selama lima bulan. Pasangan ini bagaimanapun hanya mampu bertahan selama lima bulan ekoran hilang kepercayaan. Tuntutan perceraian dibuat oleh Renee setelah menyedari penipuan yang dilakukan oleh penyanyi berkenaan.

Charlie Sheen

Pasangan: Donna Peele

Bahagia: Setahun dua bulan

Aktor Charlie Sheen hanya mempertahankan hubungan bersama Donna Peele selama lebih setahun. Sebelum perceraian mereka diumumkan, banyak cerita hitam menutupi kredibiliti Charlie. Selain terlibat dengan dadah, sikap kaki perempuannya tidak dapat dikikis. Dia dikatakan mempunyai skandal dengan bintang porno Heidi Fleiss bahkan aktor filem Platoon itu pernah mengakui telah meniduri 5,000 wanita.

Full content generated by Get Full RSS.