Harian Metro: Rap |
Umie gementar selepas baca ramalan Posted: 06 Nov 2011 07:59 AM PST REKOD berjaya dicipta Datin Paduka Umi Kalsum Rahmad Ali atau Umie Aida apabila menjadi satu-satunya pelakon wanita yang pernah memenangi anugerah kategori Pelakon Wanita Terbaik Drama empat kali dalam sejarah Anugerah Skrin (ASK). Kemenangan Umie pada Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat lalu turut mengubati 'luka hati' kakaknya, Erma Fatima yang juga pengarah drama Air Mata Nur Salina yang tewas kepada Sabri Yunus, pengarah dan penulis skrip Drama Terbaik, Sanggul Beracun. Sewaktu diumumkan sebagai pemenang, kelihatan Umie sempat berpelukan dengan kakaknya sambil Erma menepuk manja belakang tubuhnya beberapa kali seakan-akan memberi isyarat bangga dan bersyukur dengan kemenangan adiknya itu. "Kemenangan ini satu tanggungjawab cukup besar bagi saya agar terus mempertingkatkan mutu lakonan pada masa akan datang. Saya tidak rasa selesa dengan kemenangan kali ini, sebaliknya perlu mempersembahkan lakonan yang orang boleh hargai," katanya sewaktu sidang media khas selepas menerima trofi kemenangan.
Turut sama dicalonkan pengacara ASK2011 malam itu, Rozita Che Wan (Masihkah Ada Sinar), Norlia Ghani (Janji Syurga) dan Amyza Adnan (Midah Kuih Bangkit). "Saya melihat pencalonan diterima saya dan Erra sebagai persaingan sihat tapi sepanjang sesi latihan Badai Semalam, tak dinafikan kami ada mengusik antara satu sama lain. Kemenangan akhirnya berpihak kepada saya dan ini satu rezeki. Terima kasih kepada juri yang menghargai saya," katanya. Gandingan Umie dalam Air Mata Nur Salina, aktor Remy Ishak turut membawa pulang trofi tapi bukan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama sebaliknya Remy menang trofi Pelakon Lelaki Terbaik untuk filem Cun!. Kategori Pelakon Lelaki Terbaik Drama dimenangi Eman Manan menerusi Janji Syurga. Eman bagaimanapun tidak hadir menerima trofi itu. Turut dicalonkan dalam kategori sama, Riz Ainuddin (Berkalung Noda), Faizal Hussein (Rendang Madu) dan Namron (Sanggul Beracun). Ternyata lakonan mantap dipersembahkan Remy dalam filem Cun! memberikannya kemenangan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik. Turut dicalonkan dalam kategori sama - Aaron Aziz (KL Gangster), Adi Putra (KL Gangster), Shaheizy Sam (Kongsi) dan Zul Handy Black (Mantra). Kata Remy, dia sangat terkesima apabila namanya diumumkan sebagai pemenang. Apatah lagi dia tidak meletakkan sebarang kemenangan dan datang untuk memeriahkan majlis. "Hendak diikutkan, pembabitan saya dalam dunia lakonan masih baru dan banyak lagi perkara yang ingin saya lakukan. Tidak sangka dalam tempoh singkat ini saya sudah mampu mencapai kejayaan ini. Apatah lagi ia anugerah yang dinilai juri. Saya benar-benar bersyukur," katanya yang datang bersama kekasihnya, Tiz Zaqyah. Remy turut meluahkan rasa gembiranya apabila filem Cun! turut menang besar apabila pengarahnya Osman Ali memenangi Pengarah Terbaik Filem dan Nadia Nisa menang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem. Bagi pemenang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem, Siti Sharizah atau Eja bersyukur apabila bakat dan kerja kerasnya menjayakan filem Janin membawa pulangan berbaloi. Dia yang mula mencipta nama menerusi rancangan Roda Impian itu berkata dia sangat jarang memperoleh peluang untuk berlakon filem. "Saya percaya kemenangan saya dalam filem ini turut disokong kekuatan pelakon lain yang rata-rata pengalaman luas. Apatah lagi tema yang ditampilkan iaitu kemasyarakatan dan kemanusiaan membuatkan ia mendapat perhatian juri. Ia mungkin tidak begitu komersial, namun kekuatan ceritanya dan kualiti lakonan menjadikan ia sebuah filem yang bagus," katanya. Turut dicalonkan bersama Eja, Tiz Zaqyah menerusi filem (Nur Kasih The Movie), Diana Amir (321 Cinta), Ziana Zain (Magika) dan Shikin Kamal (Dilarang Masuk). Nadia Nisa yang dicalonkan bersama dua lagi pelakon filem Cun! iaitu Ning Baizura dan Faizah Elai, menganggap kemenangannya itu sebagai rezeki anak sulungnya, Omar Saiful Razman baru berusia sebulan. Dia yang masih lagi berpantang hadir ke majlis itu selepas dipujuk Osman Ali. "Sebenarnya sewaktu dihubungi pihak penganjur saya sudah memberitahu tidak dapat hadir kerana masih berpantang tapi entah mengapa Osman beria-ia mahu saya hadir. Segala persiapan dibuat saat akhir dan rupa-rupanya saya dipilih juri memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem," katanya yang berlakon sebagai gadis kelainan upaya (OKU). "Selepas berlakon dalam Bara Jiwa juga arahan Osman Ali, saya sudah berhenti berlakon sekejap. Sepanjang mengandung dan berpantang di rumah saya lihat banyak karya terbaik keluar menerusi filem mahupun drama. Tidak sangka apa yang saya lakukan ini mendapat pengiktirafan. Anugerah ini turut menjadi pembakar semangat untuk terus aktif," katanya. Kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama dimenangi Elfira Loy menerusi drama Kum Kum manakala Pelakon Pembantu Terbaik Filem (Sidik Husin/ Karak). Mereka bagaimanapun tidak dapat hadir untuk menerima trofi. Kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Drama pula berpihak kepada Allahyarham Faizal Yusof menerusi Jangan Hantar Aku Ke Neraka. Malam kemuncak ASK2011 turut memperlihatkan penguasaan Sanggul Beracun yang disiarkan Astro apabila menyapu bersih beberapa kategori utama seperti Lakon TV Terbaik dan Pengarah Terbaik (Sabri Yunus), Videografi Terbaik dan Drama Terbaik. Sabri menjelaskan, dia tidak menjangka drama itu menang besar memandangkan sebelum ini ramai menjangkakan filem arahan Erma Fatima, Air Mata Nur Salina menjadi pilihan. "Sebelum ini saya pernah menulis dan mengarah, tetapi terhad kepada sitkom saja. Pada usia 50, baru saya melakukan tugas mengarah drama. Selepas ini saya tidak akan berhenti dan sekarang sedang menyiapkan skrip yang diangkat daripada novel hebat, Hari Hari Terakhir Seorang Seniman," katanya. Osman yang memenangi kategori Pengarah Terbaik menyifatkan kemenangannya sebagai pengubat luka apabila filem Cun! kurang berjaya mencatat kutipan 'box-office' apabila ditayangkan "Saya menghasilkan filem yang memaparkan soal kasih sayang. Kemenangan ini membuatkan saya mahu terus menghasilkan filem bertemakan sedemikian. Ia karya yang bukan wakili diri saya tapi untuk santapan masyarakat," katanya. Filem Terbaik dimenangi KRU Studios menerusi Magika. Selaku Presiden Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, berkata kemenangan filem mereka secara tidak langsung mengesahkan Magika filem yang ada keistimewaan tersendiri walaupun sebelum ini kejayaannya dipertikaikan pada Festival Filem Malaysia Ke-23 Keputusan penuh Anugerah Skrin 2011 (ASK 2011) Kategori Drama 1. Drama Terbaik - Sanggul Beracun (Sabri Yunus) Kategori Filem 1. Filem Terbaik - Magika (KRU Studios) Kategori Penerbitan Dalaman 1. Rancangan Dokumentari/ Majalah Terbaik - Suatu Ketika: Ep Yuen Yuet Leng Anugerah Khas 1. Anugerah Yasmin Ahmad - Syamsul Yusof |
Sejarah tersendiri Upin & Ipin Posted: 06 Nov 2011 07:49 AM PST TANPA mempertaruhkan barisan pelakon terkenal, pementasan muzikal teater Upin & Ipin bakal melakar sejarah tersendiri kerana menjadi teater pertama yang dipentaskan di negara ini sebanyak 30 persembahan tanpa henti dalam tempoh 22 hari. Siri Upin & Ipin The Musical yang membabitkan kos hampir RM3 juta juga berjaya menghimpunkan serta mencungkil bakat hampir 70 pelakon kanak-kanak dan remaja untuk diketengahkan, sekali gus menampilkan beberapa elemen baru dalam mencipta sejarah teater tempatan.
Penerbit Eksekutifnya, Siti Rohayah Attan berkata, sepanjang pengetahuannya, belum ada teater yang dipentaskan tanpa henti sebanyak 30 persembahan setakat ini. Kalau ada pun teater yang dipentaskan mungkin sebanyak 28 persembahan saja, tetapi mereka 'bercuti' pada Isnin atau Ahad. Katanya, perkara ini tidak pernah dilakukan kerana pihak produksi pasti bimbang pelakon akan keletihan atau mengalami masalah kesihatan sehingga boleh mengganggu kelancaran pementasan.
Ditanya kenapa berani mengetengahkan barisan pelakon baru termasuk pelajar Aswara, kata Siti Rohayah, buat masa ini, pihaknya percaya pementasan muzikal itu tidak memerlukan pelakon popular sebagai tarikan komersial kepada penonton. Ia kerana Upin & Ipin sendiri adalah produk Malaysia yang sudah berjaya mencetuskan fenomena luar biasa serta mempunyai pengikutnya sendiri termasuk di luar negara. "Jika ada keperluan dan permintaan daripada peminat sendiri, kami bersedia mempertimbangkan untuk menampilkan artis popular sebagai pelakon undangan dalam teater ini nanti," katanya. Kata Siti Rohayah, barisan pelakon muzikal Upin & Ipin sudah giat menjalani latihan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) sejak sebulan yang lalu. "Walaupun pementasan ini masih jauh lagi, kami melihat tempoh lima bulan lagi itu terlalu singkat bagi produksi Les Copaque Production Sdn. Bhd dan CTRA Production untuk merealisasikannya seperti direncanakan. "Menariknya, pemilihan dua kumpulan pelakon membabitkan kumpulan kanak-kanak berusia dari sembilan hingga 13 tahun. Manakala, kumpulan kedua adalah pelakon remaja yang membawakan watak kanak-kanak. Watak yang akan 'berganda' ialah Upin, Ipin, Jarjit, Mei Mei, Fizi, Ehsan, Mail, Susanti dan Ijat," katanya. Kata Siti Rohayah lagi, konsep 'under studies' yang diamalkan sesetengah produksi yang mengadakan persembahan panjang tidak sesuai diamalkan kerana ia akan mengecewakan pelakon yang tidak dapat beraksi sedangkan mereka menjalani latihan yang lama. "Sekalipun pihak kami melabur kos yang tinggi bagi menjayakan pementasan muzikal ini tapi kepuasan dan stamina pelakon menjadi keutamaan kepada produksi. "Pementasan ini mendapatkan khidmat Zaifri Husin sebagai Pengarah dan Penulis Skrip, Datuk Suhaimi Mohd Zain sebagai Pengarah Muzik serta A.Aris Kadir sebagai koreografer," katanya. Menyentuh jualan tiket setakat ini, kata Siti Rohayah, ia sudah mula mendapat sambutan dari peminat teater tempatan kerana ia dijual pada harga murah dan berpatutan. Bagaimanapun, seperti penerbit teater lain, Siti Rohayah mengakui jualan tiket saja tidak mampu membiayai kos keseluruhan pementasan berkenaan. "Sehubungan itu, pihak kami berharap ada syarikat korporat atau mereka yang berminat di luar sana untuk menaja atau membeli tiket secara pukal untuk tampil bersama-sama mencipta sejarah bagi produk kebanggaan Malaysia ini," katanya. Upin & Ipin The Musical menceritakan perjalanan Upin, Ipin dan kawan-kawan yang mahu menggembirakan Puteri Cinonit. Ini kerana Puteri Cinonit yang ketiadaan ibu bapa hidup dalam kemurungan dan cemburu dengan kegembiraan Upin & Ipin. Semasa perjalanan ke dunia lain, Upin & Ipin dibawa ke angkasa lepas, ke tengah lautan dan hutan belantara. Upin & Ipin The Musical bakal dipentaskan di IB, Kuala Lumpur bermula 14 April hingga 6 Mei tahun depan. Keterangan lanjut mengenai pementasan ini boleh layari www.ticket2u.biz atau facebook Upin & Ipin the Musical. Kepada peminat siri Upin & Ipin, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan pementasan muzikal ini nanti. Peminat juga boleh menjayakan showcase Upin & Ipin The Musical lebih awal apabila kumpulan ini mengadakan persembahan di Karnival Jejak Upin & Ipin di Muzium Negara mulai 25 November hingga 30 Disember ini. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |