Kosmo Online - Hiburan |
Ibadah haji di usia muda Ibadah haji di usia muda Posted: Ibadah haji di usia muda Ibadah haji di usia mudaDALAM Islam, ibadah haji adalah merupakan salah satu daripada lima Rukun Islam dan umat Islam yang berkemampuan diwajibkan untuk mengerjakan haji di Mekah sekali seumur hidup. Tidak dinafikan, setiap umat Islam sememangnya mempunyai hasrat untuk ke Mekah sama ada mengerjakan umrah atau ibadah haji. Boleh dikatakan ada sebilangan orang yang sudah acap kali menjejakkan kaki ke kota paling suci umat Islam itu. Misalnya, seperti pelakon Fahrin Ahmad yang sehingga kini sudah mengerjakan umrah sebanyak enam kali, manakala Liyana Jasmay pula sudah dua kali mengerjakan umrah dalam usianya yang masih lagi muda. Menariknya, jika kebanyakan pengantin yang baru melangsungkan perkahwinan akan memilih tempat-tempat menarik untuk lokasi bulan madu, tetapi Nabil dan isterinya pula mahu memilih Mekah sekali gus mahu mengerjakan umrah. Berkesempatan mengadakan satu sesi fotografi bersama ketiga-tiga artis berkenaan baru-baru ini, mereka mempunyai cerita tersendiri tentang 'destinasi percutian' pilihan mereka itu. Fahrin buang niat Bermula lima tahun lepas ketika usianya baru menjangkau 27 tahun, pelakon kacak Fahrin Ahmad, 32, sudah menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Bukan sekali tetapi sudah enam kali pelakon dan juga pengacara itu menunaikan umrah. Empat kali pergi sendiri manakala dua kalinya pula kerana terlibat dengan penggambaran drama, kini pelakon berketinggian 180 sentimeter itu memasang niat untuk sekali lagi ke Tanah Suci Mekah dan membawa bersama isterinya. "Sejak dulu lagi saya menyimpan niat untuk mengerjakan haji selepas berkahwin. Tetapi, sehingga kini saya belum berkahwin dan masih tidak mempunyai calon. Mengerjakan umrahpun sudah enam kali, jadi saya tidak mahu lagi ikut niat dan ingin mengerjakan haji pada tahun depan," katanya ketika ditemui selepas sesi fotografi membabitkan dirinya dengan pelakon Liyana Jasmay dan Nabil di Rumah Malaysia, Menara Kuala Lumpur. Fahrin tergerak hati mengerjakan umrah dan selepas ini haji dalam usia yang muda kerana merasakan dia tiada halangan dari segi wang ringgit, tenaga dan ingin menunaikan Rukun Islam keempat itu. "Orang banyak nak buat umrah tetapi faktor kewangan jadi penghalang. Jadi, kenapa saya yang ada kemampuan tidak boleh pergi. "Pertama kali saya menjejak kaki ke Mekah bersama seorang kawan. Selepas itu saya mengerjakan umrah seorang diri," katanya. Bercerita mengenai pengalamannya mengerjakan umrah, tiada kata yang dapat digambarkan oleh pelakon dari Johor Bahru itu apabila pertama kali melihat kaabah. Sungguh nikmat. Itu kata-kata yang dilontarkannya mengenai perasaan pertama kali menjejakkan kaki ke Mekah. Katanya, sekiranya seseorang itu pergi ke sana baru dia dapat merasai apa yang dirasakan olehnya. Selain nikmat yang dirasai ada juga perkara tidak molek yang disaksikan sendiri oleh Fahrin ketika berada di Mekah. "Di situ juga kita dapat lihat pelbagai karakter manusia. Daripada yang sebaik-baiknya sehinggalah seburuk-buruk manusia. "Paling teruk ada yang mengambil kesempatan meraba ketika melakukan tawaf," katanya. Tanpa prejudis, Fahrin memberitahu sebelum pergi melancong ke negara-negara luar kalau boleh seelok-eloknya menjejakkan kaki ke Mekah dulu."Selalu orang cakap belum bersedia. Sebenarnya semua ini bergantung kepada niat," katanya yang turut menasihatkan untuk membuat umrah ketika muda. Beralih mengenai raya hajinya, dia sekeluarga hanya beraya di Kuala Lumpur kerana masalah kesihatan tulang belakang yang dialami oleh ibunya sejak empat tahun lalu. Mengorbankan seekor lembu setiap kali raya korban, Fahrin juga pernah berpengalaman membantu sembelih kambing untuk raya korban. Bercerita tentang teman istimewa, Fahrin hanya tersenyum dan memberitahu masih tidak mempunyai teman istimewa. Mungkin sedikit serik bercinta dengan artis, pelakon bertubuh sasa itu tanpa selindung mengaku ingin mencari seseorang yang dapat menyenangkan hatinya. "Apabila usia sudah mencecah 32 tahun, saya sudah tidak fikir tentang memiliki seorang wanita sempurna. Orang biasa pun cukup janji hati senang," katanya lagi. Liyana suka Hijr Ismail Biarpun usianya baru sahaja mencecah 23 tahun, namun pelakon muda Liyana Jasmay adalah antara segelintir pelakon wanita tempatan yang sudah berpeluang untuk mengerjakan umrah.
Menurut aktres itu, kali pertama dia mengerjakan umrah adalah pada usia 17 tahun. Kemudian pada tahun ini dia sekali lagi telah menjejakan kaki ke kota suci Mekah. "Sewaktu mengerjakan umrah pada bulan Mac yang lalu, saya melihat sudah banyak perubahan yang berlaku terutamanya di kawasan Masjidil Haram berbanding ketika kali pertama saya pergi enam tahun yang lalu. "Kalau sebelum ini kawasan di sekeliling Masjidil Haram dipenuhi ramai peniaga, kini sudah banyak hotel yang didirikan. Malah, jarak dari hotel penginapan menuju ke Masjidil Haram pun sekadar lima minit sahaja kalau berjalan kaki," ujarnya. Tambah Liyana, berbanding kebanyakan jemaah lain yang mengambil kesempatan untuk melawat di beberapa tempat bersejarah di Mekah dan Madinah, dia dan ibunya pula lebih banyak meluangkan masa di masjid untuk menunaikan solat. Jelasnya, sewaktu kali pertama mengerjakan umrah dahulu dia sudah pun melawat ke beberapa tempat menarik seperti Gua Hira dan Bukit Uhud dan peluang kali kedua yang diperoleh itu digunakan sepenuhnya membuat amal ibadah. "Kalau ditanya tentang kenangan manis yang paling sukar untuk dilupakan sepanjang saya mengerjakan umrah, sudah tentunya kenangan dapat mengerjakan solat di Hijr Ismail. Lagipun apa yang saya diberitahu bahawa kalau bersolat di Hijr Ismail, ia seolah-olah menunaikan solat di dalam Kaabah kerana ianya adalah sebahagian daripada Kaabah," ujarnya. Memandangkan kini dia sudah mengerjakan umrah sebanyak dua kali, aktres muda berkenaan ternyata tidak dapat menyembunyikan isi hatinya yang mahu menjejakkan kaki ke Baitullah buat kali ketiga untuk mengerjakan fardu haji. Menurut Liyana, dia menyasarkan dapat mengerjakan rukun Islam yang kelima itu sebelum umurnya mencecah usia 30 tahun. Malah, dia juga sudah bercadang untuk mendaftarkan nama di Tabung Haji dalam tempoh terdekat ini. "Pada saya adalah lebih baik sekiranya dapat mengerjakan ibadah haji dalam usia yang muda memandangkan ia memerlukan tenaga yang cukup banyak. Cuma ada sebilangan orang yang berpandangan kalau ibadah ini dilakukan pada usia tua. "Saya anggap itu adalah pandangan yang kurang tepat kerana kalau merasakan diri sudah mampu untuk melakukannya, kita perlu melaksanakannya kerana ia merupakan salah satu Rukun Islam yang wajib kita patuhi," ujarnya. Nabil ingin anak di Mekah Masih bersikap gila-gila walaupun selepas berkahwin, Nabil atau nama sebenarnya Ahmad Nabil Ahmad, 28, ketika ditemui kelihatan begitu ceria dan bahagia selepas sebulan lebih berkahwin. Nabil turut meluahkan rasa sedikit kecewa kerana tidak dapat menunaikan umrah dalam masa terdekat. "Saya ada pergi beberapa agensi untuk melihat tarikh yang sesuai menunaikan umrah. Mereka beritahu masa yang sesuai adalah bulan Februari dan Jun. Jadi, saya pilih buat umrah pada bulan Jun sebab terlibat dengan pementasan teater Cuci Muzikal pada bulan Februari dan Mac tahun depan," katanya yang mendapat seru ketika mendengar dan melihat ceramah di laman sosial YouTube. Ingin mengerjakan umrah sejak dulu lagi bersama keluarganya, namun hasrat itu ditukar selepas menuruti pemintaan ibunya yang ingin pemenang Raja Lawak musim ketiga itu berkahwin dahulu dan membawa isterinya menunaikan umrah. Berdoa agar perkahwinannya bersama isteri Nazirah Ayub kekal sehingga akhir hayat, Nabil juga berharap mereka dikurniakan anak ketika berada di Mekah. Bercerita tentang sambutan Aidiladha tahun ini, pelawak dari Mambau Negeri Sembilan itu memberitahu merasa sedikit kehilangan selepas rakan konvoi motor Superbike, Syafiq, baharu kembali ke rahmatullah seminggu lalu. Apa yang lebih menyedihkan apabila kemalangan ngeri itu disaksikan sendiri oleh Nabil ketika mereka bersama-sama berkonvoi ke Kuala Kubu Baru, Selangor. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |