Adsense

Selasa, 1 November 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Lakonan karier sepenuh masa

Posted: 31 Oct 2011 06:41 AM PDT

TIGA tahun bergelar pelakon, nama Mon Ryanti barangkali masih 'kabur' dalam kalangan penonton tanah air. Malah, mungkin ramai yang tertanya-tanya siapakah gerangan si jelita ini dan apakah produk filem dan drama pernah dibintanginya?

Meraih peluang secara kebetulan pada 2009 apabila bahagian kakinya terpilih untuk menjadi poster filem Remp-It V3 Samseng Jalanan arahan Farid Kamil, anak jati Johor ini berkata dia tidak pernah pun berangan untuk membina karier dalam bidang seni.

Mon Ryanti atau nama sebenarnya, Mon Ryanti Muhammad Sahudina Lee, 23, berkata tuah kaki itu yang membuka jalannya. Walaupun, poster dihasilkan tidak lulus kerana hanya menampilkan paras punggungnya hingga kaki, peluang tetap ada.

"Saya kemudian dilamar pemilik MIG Productions Sdn Bhd, David Teo untuk menjadi pelakon. Ketika itu, perasaan saya berbelah bagi untuk menerima atau menolaknya kerana sedar diri tiada bakat dan tahu memang tak boleh berlakon langsung.


"Sifat malu yang tebal untuk beraksi di hadapan kamera adalah faktor utama.

Saya juga tak yakin boleh berlakon memandangkan tiada asas dalam lakonan. Ini kerana saya tidak pernah mendapat pendedahan dengan mengikuti bengkel atau kursus.

"Jadi, macam mana saya hendak berlakon dan pasti akan menyusahkan pihak produksi nanti. Apapun, David meyakinkan saya supaya mencuba dulu. Justeru, saya bulatkan tekad berlakon sekadar mencari duit poket," katanya.

Menurut Mon Ryanti, ketika itu pun dia masih melanjutkan pengajian dalam bidang akaun dan kewangan. Jadi, enggan terlalu bergantung kepada kewangan keluarga, dia gigih berusaha mencari sumber pendapatan dengan terbabit sebagai model peragaan.

Memulakan langkah dalam lakonan dengan drama E-Toyol.com dan Julia Juli pada 2009, rezeki Mon Ryanti semakin murah pada 2010 dengan pelbagai drama terbitan MIG Productions dibintanginya seperti Epilog Syurga Cinta, Jalan Pinang Sebatang dan Cinta Tikar Sejadah.

Selain itu, dia juga berlakon dalam drama Takut Bini Sayang Suami, Adnan Sempi-It The Series, Duda & Dara serta Diva-Diva Pencen. Tidak terhenti setakat itu, Mon Ryanti turut memperoleh peluang beraksi di layar perak menerusi filem Mantra.

Apapun, lembaran 2011 nyata lebih luas untuknya apabila MIG Productions memberi kepercayaan lebih besar dengan melakonkan watak utama dalam filem seperti Nongkrong, Hantu Dalam Botol Kicap dan Keramat. Dia juga muncul dalam filem Super Duper Lover.

Tidak sekadar filem, Mon Ryanti juga terbabit menjayakan drama dan telefilem seperti Saya Tahu Apa Awak Buat Raya Lalu dan Klik. Katanya, dengan rezeki yang tak putus diterima, kini lakonan menjadi karier sepenuh masa walaupun saingan sengit.

"Kemunculan artis baru sekarang terlalu ramai dan di bawah naungan pengurusan MIG Productions saja kini ada 60 orang. Bagaimanapun, saya tidak gusar menghadapinya kerana yakin dengan bakat yang dimiliki pasti ruang rezeki tak ke mana.

"Apa yang penting bagi saya, lakonan ditonjolkan perlulah berkesan dan terbaik. Oleh itu, untuk memperolehnya saya sanggup mengulang beberapa kali sehingga mendapat apa yang diinginkan pengarah. Sebagai pelakon baru, saya masih belajar," katanya.

Menurut Mon Ryanti, bukan mudah meraih kejayaan. Oleh itu, dia tidak malu mengulang babak dilakonkan beberapa kali demi kepuasan diri. Ujarnya, memandangkan lakonan adalah sumber pendapatannya, dia perlu melakukan sebaik mungkin.

Mon enggan dikait kontroversi

MEMILIKI pakej lengkap dengan wajah cantik dan tubuh seksi, apakah Mon Ryanti tidak bimbang dirinya akan dikaitkan dengan kontroversi?

Katanya, tak dinafikan ada juga kerisauan itu. Namun, dia sedar kontroversi adalah lumrah kehidupan artis.

"Dalam soal imej, saya berpakaian mengikut keselesaan. Justeru, saya harap tiada pihak cuba menyalah tafsir atau menjadikannya ruang untuk saya terbabit dengan kontroversi. Jujurnya, saya akui tidak mahu terjebak dengan sebarang kontroversi.

"Saya mahu diri ini dinilai dengan bakat lakonan ditonjolkan dan bukan menerusi perkara bukan-bukan termasuk imej. Apapun, jika terjebak juga dengan kontroversi, saya lebih selesa berbincang dengan pihak pengurusan, MIG Productions.

"Menerusi perbincangan, mungkin akan memperoleh jalan penyelesaian terbaik.
Bagaimanapun, saya sangat berharap penonton dapat menerima dengan menilai hasil lakonan dijayakan. Saya mahu dikenali dengan bakat diri," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga, Mon Ryanti berkata dia gembira mendapat sokongan daripada ibu bapanya. Jelas anak kedua daripada tiga beradik itu, dia takkan mensia-siakan kepercayaan keluarga dengan mempamerkan lakonan terbaik.

Full content generated by Get Full RSS.

41 filem rebut anugerah

Posted: 31 Oct 2011 06:32 AM PDT

DEBARAN menantikan acara Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) semakin memuncak apabila ia dijangka berlangsung pada 18 hingga 20 November ini.

Lebih sekadar platform artis melaram dan meraih glamor terima anugerah, acara tahunan ini sepatutnya diberi tumpuan lebih serius dalam mengangkat martabat industri perfileman tanah air.

Menerusi acara ini, penggiat seni termasuk masyarakat dapat melihat sejauh mana pencapaian filem tempatan sama ada ia boleh dibanggakan atau sebaliknya.

Untuk FFM24, kemeriahan awal dapat dirasakan apabila 41 filem bertanding termasuk lapan filem bukan bahasa Malaysia turut mencuba nasib. Mengikut jumlah ini, ia menunjukkan penyertaan filem bertanding semakin meluas dan mendapat perhatian ramai pihak produksi.


Pengerusi Promosi & Publisiti FFM24, Ahmad Ibrahim atau Mat London berkata, sepatutnya acara ini mendapat perhatian lebih banyak filem tempatan untuk bertanding dan ini secara tidak langsung mewujudkan suasana meriah yang diharapkan penganjur.


"Kami sendiri meletakkan matlamat untuk mencapai 50 filem masuk acara ini pada tahun depan. Walaupun kuantiti banyak, tetapi saya percaya masih ada filem yang mempunyai kualiti.

"Semua filem yang bertanding kali ini sudah ditayangkan. Buat masa ini persiapan rancak dijalankan dan sudah mencecah hingga 70 peratus," katanya ketika ditemui pada acara Jelajah FFM24 di Johor Bharu, baru-baru ini.

Mat London berkata, mengenai perubahan tarikh malam kemuncak yang sepatutnya dijadualkan pada 19 November tidak memberi masalah pada penganjur, Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Dalam pada itu, ketiadaan Presiden Gafim, Jurey Latif Mohd Rosli turun padang pada acara Jelajah FFM24 di Johor Bharu menimbulkan tanda tanya mengenai pendirian badan persatuan itu terhadap acara anjuran sendiri.

Mat London menjelaskan, acara Jelajah FFM24 adalah inisiatif Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) dalam menyemarakkan FFM24. Kerajaan memberikan peruntukan RM1 juta untuk penganjuran FFM24.

Walaupun tiada peruntukan diberikan Gafim pada acara sampingan ini, FDAM tetap mencari jalan menerusi kerjasama dengan kerajaan negeri dan beberapa penaja untuk meneruskannya. Johor Bharu menjadi lokasi terakhir acara Jelajah FFM24 selepas Ipoh dan Pulau Pinang.

"Saya tidak kecewa dengan Gafim berhubung perkara ini kerana FDAM diberi kebebasan dalam menjalankan acara ini. Sepanjang 23 tahun FFM dianjurkan, ini kali pertama acara jelajah diadakan.

"Acara jelajah seperti ini bukan saja membawa artis bertemu peminat lebih dekat, tetapi turut mempromosikan filem yang bertanding. Menerusi tiga lokasi yang dijalankan, sambutan yang diterima cukup meriah.

"Di sebalik acara ini, saya berharap setiap kali penganjuran ia memberi pengajaran pada penganjur memperbaiki pada masa akan datang.

"Menariknya, lokasi Iskandar Malaysia (Koridor Pembangunan Johor) sudah menyatakan minat untuk bekerjasama menganjurkan festival ini pada 2013.

"Saya sendiri berpandangan sepatutnya acara ini diperbesarkan dengan menjemput ramai penggiat seni dan artis dari rantau Asia hadir.

"Pertemuan bersama karyawan tempatan ini bukan saja suatu yang meriah dan dinamik, tetapi ia juga memberi pendedahan pada orang luar menilai acara ini suatu yang hebat dan dapat dibanggakan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.