Adsense

Selasa, 1 November 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tumpang populariti Alyah

Posted: 31 Oct 2011 05:16 PM PDT

Hip

Tiga dara bergabung hasilkan kumpulan Chocolate

MUNGKIN ada kelainan yang mahu dicipta oleh kumpulan yang menggunakan nama Chocolate untuk memikat hati orang ramai, sama seperti yang kini dilalui penyanyi popular, Alyah menerusi lagu-lagu dendangan yang cukup merdu.

Malah semangat yang ditonjolkan melalui sikap tiga gadis yang bernaung di bawah Like Music Entertainment milik Norhasliah Abu Hasan atau Alyah begitu terasa sekali. Mereka sepakat mahu bekerja keras dan memberikan terbaik kepada industri seni. Chocolate yang berdiri daripada Eeza Zainal,18, Nadia Parmila, 24, dan Mell Hilton,23 mempunyai gaya vokal dan perwatakan berbeza dalam mencipta satu fenomena baru kepada industri apabila mereka juga mampu menyanyi secara solo dengan baik.

Ketika ditemui pada penggambaran video muzik Alyah dan Chocolate berjudul Boomerang baru-baru ini, ketiga-tiganya yang masih belajar itu tekad mahu mencontohi perjalanan seni Alyah yang dianggap seperti kakak sendiri.

"Kami disatukan dalam kumpulan Chocolate menerusi uji bakat yang dijalankan Like Music Entertainment.
Sebelum ini kami tidak kenal antara satu sama lain. Saya dari Tawau manakala Mell dan Eeza masing-masing dari Kota Kinabalu serta Klang.
"Kumpulan ini ditubuhkan pada awal April lalu," kata Pamela yang melihat kehadiran mereka dalam kumpulan remaja itu sebagai saling melengkapi kekurangan yang sedia ada.

Pamela dan Eeza menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), manakala Mell pula di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

"Eeza dalam jurusan seni muzik manakala Mell pula di Universiti Malaysia Sabah (UMS). Komitmen kami bukan sekadar dalam bidang nyanyian tetapi juga perlu fokus kepada pelajaran dan semua ini kami anggap sebagai satu cabaran.

"Seperti Eeza, suaranya unik kerana serak basah, Mell pula mempunyai kelebihan dalam membawakan lagu bernada perlahan manakala saya sendiri mampu membawakan lagu bernada tinggi," kata Pamela yang menuntut dalam jurusan khidmat pelanggan.

Berbicara soal keserasian pula, mereka mengakui ia tidak mudah dibentuk tetapi apabila menjadikan Alyah sebagai contoh, ketiga-tiganya bersetuju untuk mempunyai matlamat sama iaitu berjaya dalam bidang muzik.

"Bukan mudah untuk mencapai kata sepakat tetapi selalunya keputusan yang dibuat adalah atas dasar kebaikan kepada kumpulan dan bukan bersifat peribadi. Kami tidak pernah bergaduh dan sudah mula memahami sikap masing-masing.

"Kami tiada masalah dan mahu fokus kepada kerjaya kami dan paling penting tidak ada sifat mementingkan diri sendiri," katanya sambil memberitahu mereka berkongsi apa saja termasuk pakaian supaya ketiga mereka mampu tampil cantik serta bergaya.

Lagu Boomerang jadi taruhan

TUAH Chocolate mungkin terletak kepada pembimbingnya, Alyah yang terkenal dengan lagu Kisah Hati. Mereka mengakui hakikat itu.

Jadi, ketiga-tiga tidak tidak mahu melepaskan peluang yang ada di depan mata begitu saja.

"Kami tidak menafikan populariti Alyah sebagai tuah yang hadir sekelip mata. Peluang yang diperoleh ini memberikan pengalaman baru kepada kami. Apa yang berada di fikiran kini adalah supaya album ini mendapat tempat di hati peminat," katanya bersungguh-sungguh.

Sementara itu, Alyah sebagai pemilik LME, berkata selepas sebelas tahun meredah gelombang penuh dugaan dalam bidang seni suara, dia berasakan tiba masanya untuk berkongsi pengalaman dengan bakat baru pula.
Katanya, kelahiran Boomerang sebagai taruhan single pertama syarikatnya itu diharapkan mampu memberikan kelainan kepada industri seni.

"Boomerang adalah lagu dan video klip yang bergenrekan Retro Pop yang mengembalikan era 70an serta 80an yang dilatari warna-warni disko kasut roda. Saya turut membuat penampilan khas dalam lagu ini dan saya mahu berkongsi apa saja bersama anak didik saya ini.

"Lagipun kami mahu sentiasa cuba menampilkan sesuatu yang segar kepada setiap hasil seni Like Music dan klip video ini dilihat mampu mengembalikan era permainan kasut roda yang popular yang disesuaikan dengan gaya fesyen kontemporari," katanya sambil memberitahu lagu itu adalah gubahan Audi Mok dan Omar K dan dicipta Ad Samad.

Katanya, LME adalah sebuah syarikat kerdil tetapi dirinya bersyukur apabila mempunyai tenaga kerja dan rakan-rakan yang menyokong syarikatnya dengan sepenuh hati.

"Daripada segi pengurusan sehinggalah hasil seni kreatif, saya bangga kerana sentiasa dibantu dengan idea serta kerjasama yang baik.

"Saya memberikan nama Chocolate kepada mereka kerana melihat coklat sebagai kegemaran remaja dan disukai semua, jadi ia adalah simbolik kepada kumpulan ini. Pemilihan mereka juga adalah apabila saya melihat ketiga mereka sama seperti sikap saya iaitu mahu bekerja keras," katanya yang memberitahu kesemua mereka dilihat sebagai cerminan dirinya sendiri.

Alyah bakal muncul dengan single terbaru berjudul Lena Sahara hasil tulisan Yassin dalam masa terdekat ini.

"Fokus sekarang adalah memulihkan kesihatan kerana baru menjalani pembedahan apendiks. Itu paling penting. Bukan mudah untuk saya mencapai sehingga tahap ini dan saya akan memberikan persembahan yang terbaik," katanya yang memberitahu lagu itu sudah ditonton oleh lebih sejuta peminat di YouTube.

Full content generated by Get Full RSS.

Lemas dibelit ular putih

Posted: 31 Oct 2011 05:10 PM PDT

Hip

Aksi bertenaga Whitesnake beri kepuasan maksimum kepada peminat rock klasik

TERNYATA, Whitesnake masih mampu mencuri tumpuan peminat dan menariknya himpunan peminatnya, tidak tertakluk kepada mereka yang sezaman dengan era rock pppular ini tetapi juga mampu menggamit kehadiran anak muda dan belia yang dilahirkan selepas kemunculan kumpulan ini.

Hampir 5,000 peminatnya berpeluh-peluh dalam kehangatan mengikut setiap rentak lagu yang dimainkan oleh kumpulan ular putih ini menerusi Konsert Whitesnake - Live in Malaysia di Stadium Bukit Jalil, Ahad lalu. Walaupun tidak dinafikan kelewatan sedikit pada jadual konsert hingga kedengaran suara teriakan hingar bingar peminat yang mahu kumpulan itu muncul memeriahkan suasana malam di stadium tertutup itu pada awalnya, tetapi sebaik konsert ditamatkan, seribu satu kepuasan terpancar pada wajah peminat tatkala selepas dihiburkan dengan lebih 10 himpunan lagu lama dan baru kumpulan itu.

Tiada lagi kemarahan atau rasa tidak puas hati setelah kelewatan kira-kira 20 minit itu dibayar dengan harga sebuah himpunan lagu yang disampaikan oleh penyanyi vokal kumpulan itu bersama kumpulannya dengan cukup lantang dan lemaknya.

Whitesnake tidak hanya menumpukan dalam memberikan persembahan kepada vokal semata-mata kerana setiap bakat seni yang ada dalam kumpulan yang hebat itu ditonjolkan kepada peminatnya secara eksklusif.

Teriakan peminat kedengaran sehingga membingitkan telinga sebaik bekas kumpulan Deep Purple yang juga vokalis kumpulan, David Coverdale memperkenalkan Doug Aldrich dan Reb Beach kepada peminat.
Kerakusan mereka menunjukkan kehandalan memetik gitar selama 15 minit cukup mengujakan sehingga stadium mula sepi sebentar sebelum tepukan paling gemuruh dilayarkan kepada mereka.

Tiada kata dapat diungkapkan betapa hebatnya kebolehan pemetik gitar kumpulan itu yang sudah memberikan nilai tambah kepada peminat yang mengeluarkan belanja membeli tiket persembahan pada malam itu.

Tidak berakhir dengan perkenalan kepada dua aset kebal yang menyinari Whitesnake, David selaku ketua memperkenalkan pula Tichy Brian, pemain dram kumpulan yang aksinya cukup mengujakan mata memandang dan telinga yang mendengar kerana tidak cukup menghentakkan dram dengan menggunakan kayu dan lahirlah dentuman dan nada bunyi padu.

Bunyi paluan dram yang menggunakan lebih daripada dua kayu itu turut mempersonakan dan Tichy Brian dilihat cukup bertenaga dalam membuai perasaan taksub peminatnya.

Begitu juga dengan permainan keyboard oleh Brian Ruedy dan kehalusan Michael Devin menggemakan alatan bass tidak dapat dinafikan sudah membawa penonton ke dalam dunia fantasi rock yang tidak berpenghujung.

Himpunan lagu daripada kumpulan rock itu tidak menghampakan. Lagu seperti Best Years, Give Me All Your Love, Love Ain't No Stranger, Is This Love, Steal Your Heart Away, Forevermore, Can You Hear The Wind Blow, Love Will Set You Free, The Deeper The Love, Fool For Your Loving, Here I Go Again dan Still Of The Night mengikat hati peminat bahawa memilih kumpulan itu sebagai idola tidak ada silapnya lagi.

David turut menyanyikan lagu dari kumpulan Deep Purple, Soldier Of Fortune membuatkan peminatnya seperti hilang arah dan teriakan tanda keriangan itu ditamatkan dengan tepukan gemuruh.

Sepanjang persembahan itu juga, David tidak hanya menumpukan kepada nyanyiannya semata-mata kerana apa yang diperhatikan, pada usia veterannya itu dia turut menunjukkan kasih sayang kepada peminatnya dengan sesekali dilihat menunjukkan isyarat melalui tangan kepada peminat yang dibalas dengan teriakan keseronokan daripada penghuni sementara stadium itu.

Pengharapan peminat yang hadir pada malam itu tidak membungkam langsung wajah kecewa kerana rata-rata yang pulang membawa 'trofi kenangan indah' yang cukup berbaloi.

Penampilan penyanyi rock tersohor negara, Ella dalam menyampaikan lagu juga sedikit sebanyak memanaskan suasana dan kegelisahan penonton menantikan kemunculan kumpulan Whitesnake yang julung kalinya berada di Malaysia dalam melengkapkan lawatan promosi album studio ke 11 kumpulan itu di seluruh dunia.

Bukan hendak memperkecilkan penampilan Ella, tetapi kemunculannya tidak lebih sebagai pelengkap dan sekadar memenuhi syarat untuk mana-mana penyanyi luar membuat persembahan di negara ini. Akhirnya, kemunculan Ella hanya dianggap 'kecil' saja di sisi Whitesnake.

Full content generated by Get Full RSS.