Berita Harian: Hip |
FFM24: Lancar di sebalik kontroversi Posted: 17 Nov 2011 04:35 PM PST Hip Jangan sampai rosak majlisBELUM pun malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-24 (FFM24) di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC), berlangsung Ahad ini, fasa pertama penyampaian 10 kategori awal serentak perasmian acara tahunan yang diadakan di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur, malam kelmarin, sudah membibitkan kontroversi. Pemilihan Jurey Latiff Rosli yang juga Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) sebagai Pengarah Harapan menerusi filem Libas nyata menimbulkan kurang senang segelintir individu, hingga ada yang terang-terangan meninggalkan majlis yang sedang rancak berlangsung. Biar apa pun tanggapan, saringan pencalonan 32 kategori dipertandingkan dengan penyertaan 41 filem yang dianggap terbesar sepanjang penganjuran sedari awal dilaksanakan barisan juri daripada pelbagai latar belakang.Adat bertanding, pasti ada kalah dan menang. Justeru, sebarang kemusykilan mahu pun rasa tidak senang seharusnya jangan sampai merosakkan majlis apatah lagi di hadapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang hadir merasmikan acara. Kehadiran Timbalan Perdana Menteri ini juga menandakan sokongan padu kerajaan terhadap industri perfileman. Namun ternyata apa yang ditunjukkan oleh segelintir karyawan filem yang seperti kebudak-budakan apabila meninggalkan acara ini yang sedang berlangsung, bukan sahaja penghinaan kepada mereka yang sudah bersusah payah menganjurkannya, tetapi juga terhadap tetamu kenamaan iaitu pemimpin nombor dua negara. Sungguhpun tidak puas hati, usahlah sampai memalukan tetamu kenamaan, terutama pemimpin negara kita.
Panggung berwajah baru itu hampir lengang kerana deretan tempat duduk banyak kosong. Bahkan kehadiran penggiat seni, terutama pelakon sendiri tidak ramai. Jika ada pun, hanya individu yang biasa dilihat menyokong acara terbabit sejak awal seperti Datuk Yusof Haslam, Shaheizy Sam, Norman Abdul Halim serta beberapa nama lain. Perancangan menganjurkan FFM24 di dalam taman sememangnya unik namun faktor lokasi, pengangkutan serta kekurangan hebahan apabila penganjur lebih menumpukan perhatian terhadap promosi jelajah di beberapa bandar utama di seluruh negara. Begitupun, pujian wajar diberikan kepada jawatankuasa yang sedaya upaya menjadikan acara pembukaan itu lebih bermakna apabila menyelitkan persembahan lagu daripada filem, seperti yang disampaikan penyanyi Roy dan Nadia. Antaranya daripada filem Hujan Panas, Ali Setan dan SH3 The Movie. Cuma, acara penyampaian sijil penyertaan kepada 16 penerbit filem cereka, 25 penerbit filem pendek serta lapan penerbit filem animasi membuatkan acara meleret dan membosankan. Jika mahu memperkenalkan barisan filem serta produksi yang bertanding, cukup dengan paparan di skrin lebar di kiri kanan pentas kerana banyak lagi pengisian lain yang boleh diselitkan termasuk memberi peluang kepada 10 pemenang berucap sepatah dua kata. KRU, Nadiya menang lagi BAGAI dijangka, filem Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios yang mendapat pencalonan tertinggi dengan 12 kategori meraih tiga trofi pada malam Anugerah Gemilang Cipta menerusi Lagu Tema Asal, Kesan Visual dan Poster Terbaik. Edry Abdul Halim yang ditemani abangnya, Norman, berkata ia kemenangan sungguh manis apatah lagi pemilihan juri sejajar dengan pendapat umum yang sebelum ini menghargai karya mereka. "Syukur kami dapat mempertahankan kategori Lagu Tema Asal Terbaik yang dimenangi tahun lalu. Ini minggu bermakna buat KRU Studios kerana kami berjaya membawa pulang trofi dalam ketiga-tiga anugerah Anugerah Skrin ASK 2011), Anugerah Industri Muzik 18 dan FFM24. "Ia menjadi perangsang kepada seluruh keluarga KRU Studios untuk bekerja lebih keras pada masa akan datang," katanya yang sibuk dengan pembikinan filem baru, 29 Februari. Bintang filem Cun, Nadiya Nisaa pula meraih trofi Pelakon Harapan Wanita mengenepikan Shera Aiyob (Karak), Syamira Azmil (Karipap-Karipap Cinta), Shamimie Amalina (Klip 3GP) dan Sara Ali (Nur Kasih The Movie). Katanya, penghargaan serta pengiktirafan terhadap kemampuan lakonannya membakar semangat untuk lebih mendalami ilmu lakonan dan mencuba mempelbagaikan watak. "Sebelum ini saya sekadar menganggap bidang lakonan sebagai percubaan, tetapi lama-kelamaan rasa cinta terhadap bidang itu bercambah. Malah dua kemenangan yang diraih berturut-turut menjadikan saya lebih yakin untuk terus berani melangkah. "Memang sedikit tertekan kerana sudah pasti penonton menaruh keyakinan tinggi untuk produk akan datang. Cuma saya melihatnya dari sudut positif iaitu bekerja lebih keras," katanya. Pemenang lelaki bagi kategori sama diraih Taiyuddin Bakar daripada filem Hantu Bonceng, manakala bintang cilik, Mia Sara, 5 yang menonjolkan lakonan cemerlang sebagai anak kehilangan kasih bapa menerusi filem Sekali Lagi juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila dinobatkan sebagai Pelakon Kanak-kanak Terbaik. Senarai Penuh Pemenang Anugerah Gemilang Cipta: * Poster Terbaik: Hikayat Merong Mahawangsa
|
Posted: 17 Nov 2011 04:27 PM PST Hip SIAPA dia untuk menolak apabila syarikat produksi yang menerbitkan filem Libas, MDAG Marketing Sdn Bhd, mengajukan namanya untuk bersaing bagi kategori Pengarah Harapan di Festival Filem Malaysia (FFM) 24 berdasarkan hasil kerja julung kali di layar perak.Kapasiti sebagai Presiden Gabungan Gabungan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) merangkap Pengerusi Jawatan Kuasa Induk Festival Filem Malaysia (FFM) 24 tidak sesekali membolehkan Jurey Latiff Rosli masuk campur urusan penghakiman membabitkan juri profesional dari semua bidang. Justeru apabila namanya mara sebagai calon akhir, pengarah yang sebelum ini membawa pulang banyak trofi untuk drama dan telefilem di majlis anugerah yang lain hanya menyerahkan kepada yang berhak untuk membuat penilaian. Jika ada individu tidak puas hati bermakna mereka mempertikaikan kredibiliti barisan juri yang sudah mengangkat sumpah menjalankan tanggungjawab mereka secara telus."Filem Libas memang layak bertanding kerana memenuhi syarat termasuk menerima tarikh wajib tayang bertepatan dengan syarat. Saya juga bekerja dengan produksi itu, jadi apa hak saya menolak pencalonan ini malah walaupun sudah mengarahkan banyak drama, Libas adalah arahan pertama untuk layar lebar. "Sedikit pun saya serta jawatankuasa lain masuk campur dalam penjurian kerana kita sudah ada juri yang arif. Segala maklumat juga sulit. Bagi saya, mempertikaikan keputusan juri umpama penghinaan terhadap mereka. Walau apa pun saya reda, kita tidak mampu menutup mulut orang. "Saya mengambil tanggungjawab mengepalai penganjuran FFM 24 ini dengan ikhlas. Menyentuh pemilihan Panggung Anniversari sebagai lokasi majlis perasmian, katanya matlamat asal adalah untuk menarik seberapa ramai penonton dikalangan orang awam namun faktor cuaca mengakibatkan kehadiran mengecewakan termasuk dikalangan orang seni sendiri. Akuinya soal logistik antara punca tidak ramai muncul tetapi dia bukan menyalahkan orang awam sebaliknya agak terkilan apabila penggiat seni sendiri malas untuk memeriahkan majlis yang dianjurkan untuk menghargai golongan terbabit. "Saya puji Datuk Yusof Haslam serta beberapa wajah lain yang memberi sokongan padu. Datin Paduka Shuhaimi Baba juga hadir, begitu juga Shaheizy Sam dan Liyana Jasmay walaupun nama mereka tiada dalam senarai calon pada malam Anugerah Gemilang Cipta ini. "Kami harap lebih ramai memeriahkan acara malam kemuncak nanti. Kita sudah menyerahkan kad undangan, tetapi tidak boleh memaksa artis untuk hadir. Jika bukan penggiat industri sendiri bersungguh-sungguh, siapa lagi," katanya. CORAT-CORET 1. Tetamu terkejut dengan sikap Raja Azmi yang meninggalkan majlis selepas pengumuman pemenang Pengarah Harapan Terbaik sambil mengomel 'Kelakarlah penganjur FFM boleh menang'. 2. Persembahan Hip Hop dance yang diselitkan sedikit mengganggu tumpuan penonton yang disajikan konsep imbasan filem lama menerusi lagu yang boleh dianggap sudah cukup bagus. 3. Hanya Shaheizy Sam, Liyana Jasmay, Sheera Aiyob serta calon akhir yang kelihatan di kerusi artis selain wajah penerbit yang memberi sokongan padu sedari awal termasuk Datuk Yusof Haslam, Gayatri Su Lin Pillai, Norman dan Edry. 4. Selepas majlis berakhir, petugas penganjur juga terus menghilang hingga wakil media terpaksa menguruskan sendiri sesi soal jawab dan mencari pemenang. 5. Persembahan pentas agak berterabur dan tidak menggambarkan majlis berprestij gara-gara persembahan yang boleh dianggap tangkap muat. 6. Memalukan, apabila salah seorang wakil produksi naik ke pentas tidak memakai kasut ketika menerima sijil penghargaan. 7. Walau hujan pada petang sebelum acara berlangsung, cuaca malam lebih sempurna. 8. Kemunculan AR Badul sebagai penyampai trofi sedikit sebanyak menceriakan suasana dengan jenaka bersahajanya. 9. Khabarnya ada dikalangan artis, penerbit dan penggiat filem termasuk calon akhir yang tidak mendapat kad undangan. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |