macam macam hiburan terkini |
- Seksi Wan Sharmila
- Pelumba basikal lasak dirempuh antelop
- Raja Naga kahwini orang biasa
- PC tewas kepada IPad dan telefon pintar
- Awie Minta Tidak Dilabel Gengster Melayu
Posted: 13 Oct 2011 08:40 PM PDT Wan Sharmila mohon maaf isu gaun singkat ketika pertunjukan fesyen PADA hujung talian, terselit sedikit nada ragu malah sempat Wan Sharmila bertanya mengenai topik yang bakal diajukan sebelum bibirnya melontarkan kata persetujuan untuk menjayakan sesi fotografi bersama B*POP. Hadir tepat pada waktu dijanjikan, masih terkesan sisa kebimbangan pada raut wajahnya. Berkali-kali dia menagih kepastian, memohon diberi teguran jika gaya diberikan melampaui batas. Wan Sharmila begitu berhati-hati pada sesi fotografi kali ini, tidak seperti selalu di mana dia ceria dan mudah memberikan gaya yang dituntut jurugambar. Semua itu impak daripada penampilannya pada acara Music, Art, Style International Festival (MASiF) 2011, baru-baru ini. Gara-gara gaun pendek yang mendedahkan bahagian belakang badannya, Wan Sharmila dikritik hebat terutama menerusi laman sesawang yang mengecamnya dengan pelbagai tuduhan. Akur keterlanjuran yang berlaku tidak boleh ditarik semula, anak kelahiran Johor Bahru berusia 30 tahun ini selesa mengalah tanpa berbahas panjang untuk membela diri. Enggan isu yang hangat menjadi mainan di laman maya itu terus diperbesarkan, Wan Sharmila menyusun sepuluh jari memohon maaf jika ada pihak yang tersinggung atas sikap tidak sensitifnya itu. Wan Sharmila juga tidak mahu meletakkan kekhilafan itu di bahu sesiapa, biarpun jauh di sudut hati, dia terguris dipalit pelbagai kecaman menyakitkan. Sesekali bibirnya meluahkan perkataan kesal, terutama apabila statusnya sebagai seorang janda dijadikan alibi oleh segelintir pihak untuk 'menghalalkan' penampilan seksinya itu. "Itu hanya pandangan segelintir pihak dan saya tidak menyalahkan mereka jika masih belum mengenali siapa Wan Sharmila yang sebenar," luahnya perlahan. Tidak memohon simpati atau berharap masyarakat akan segera menyebelahinya, Wan Sharmila cuma mendambakan peminat industri hiburan bersikap adil dan tidak pantas menilai seseorang berdasarkan penampilan luaran. Wan Sharmila juga menyeru masyarakat supaya mengambil sedikit masa untuk mengenali dan mengkaji peribadinya sebelum menjatuhkan hukuman kepadanya. "Salah saya juga kerana mengambil ringan semua perkara. Saya jenis menyarung apa saja pakaian yang saya rasa selesa. Begitu juga apabila diusulkan untuk menggayakan rekaan itu. Saya menerimanya tanpa banyak soal jawab. "Langsung tidak terlintas di fikiran gaun itu boleh mencetuskan kontroversi dan membangkitkan kemarahan sesetengah pihak. Percayalah bukan niat saya untuk merosakkan nama baik penggiat seni, sebaliknya saya cuma melunaskan apa yang saya fikirkan betul untuk diri saya," katanya. Menerima teguran itu sebagai pembuka mata supaya dia lebih peka dalam penampilan, Wan Sharmila berkata, apa yang dilihat peminat itulah dirinya yang sebenar. Dia tidak perlu hipokrit semata-mata untuk menjaga hati orang lain, sedangkan dalam dirinya bergolak pelbagai rasa kerana terpaksa tunduk kepada kemahuan masyarakat. "Maaf jika saya tidak mampu menjadi seperti yang dimahukan peminat. Usah terlalu memaksa saya untuk berubah kerana saya cuma menjadi diri sendiri. Saya sedar sebagai artis banyak hati yang perlu dijaga. Tetapi saya juga ingin mencari keselesaan dalam diri, jadi saya berharap niat saya ini tidak disalahertikan. "Janganlah kerana berstatus janda, ada yang menganggap saya mendapat lesen untuk bergaya seksi. Saya tetap sama seperti dulu, cuma mungkin apabila dikenali sedikit orang mula menilai penampilan saya," katanya. Dilihat sebagai seorang artis yang menjauhi publisiti, Wan Sharmila yang baru muncul dalam filem Raya Tak Jadi berkata, hal itu tidak pernah berlaku. Akur publisiti penting untuk membantu memacu kerjayanya, Wan Sharmila berkata, dia memahami tuntutan media yang mencari isu sensasi dan panas sebagai pelaris penerbitan. "Mungkin saya tidak memenuhi kriteria yang dicari. Saya juga tidak seperti segelintir artis lain yang dikurniakan paras yang cantik, barangkali kerana itu saya jarang mendapat tempat di media cetak. Bukan tidak terasa tetapi kesibukan dengan penggambaran membuatkan saya jarang memikirkan soal itu. Saya tidak mahu cuma gah di sana sini tetapi langsung tidak memberi sumbangan kepada industri. "Biarlah saya cari kepuasan dengan bekerja kerana percaya dari situ, lambat laun orang akan mencari dan ingin lebih mengenali siapa saya sebagai seorang pelakon," katanya. Hati belum terbuka SUDAH dua tahun, Wan Sharmila melayari hidup sendirian selepas bahtera perkahwinan yang dibinanya bersama penerbit, Fazli Bahrom menemui noktah. Luka yang dulunya berdarah sudah lama terubat namun entah mengapa, hingga saat ini Wan Sharmila masih betah hidup sendirian tanpa ditemani lelaki sebagai kekasih. Bukan tidak pernah memikirkan soal pengganti tetapi kata Wan Sharmila, hatinya belum terbuka untuk menerima lelaki sebagai pengganti kasih yang hilang. "Bohong jika saya tidak rasa sunyi atau langsung tidak memikirkan soal jodoh. Saya bukan muda lagi, sudah 30 tahun. Selepas berdepan kegagalan, saya mengakui agak selektif mencari pengganti kerana enggan terluka lagi. Memang rumah tangga itu satu perjudian namun saya harus mencari yang terbaik dalam hidup. "Setakat ini saya belum menemui jejaka yang membuat hati saya bersedia menerima cinta baru. Biarlah dulu, lagi pun saya baru dua tahun sendiri dan saya selesa begini," katanya. Wan Sharmila akui, dia percaya kepada jodoh yang ditakdirkan Allah tetapi enggan terlalu mengejar kerana waktu untuk dirinya mengecap bahagian akan tiba juga nanti. |
Pelumba basikal lasak dirempuh antelop Posted: 13 Oct 2011 08:38 PM PDT JOHANNESBURG, Afrika Selatan - Satu kemalangan melibatkan seorang pelumba basikal lasak dengan seekor antelop sudah cukup untuk mencetuskan sensasi di Internet. Seorang penganjur perlumbaan, Max Cluer kelmarin berkata, Evan van der Spuy, 16, dirempuh mamalia tersebut ketika menyertai satu perlumbaan hujung minggu di sebuah taman hidupan liar di sini. Antelop yang melanggar pelumba remaja itu adalah dari jenis hartebeest dengan berat lebih 200 kilogram. Seorang pelumba lain yang merakam insiden tersebut kemudian menghantar klip video berkenaan ke laman perkongsian video YouTube bersama kata tanda bermaksud "Dahsyatnya!". Ia ditonton lebih 5 juta kali setakat Rabu lepas. Menurut Cluer, Van der Spuy tidak cedera teruk, manakala antelop tersebut kembali bersama kawanannya selepas kemalangan itu berlaku. Van der Spuy pula memberitahu akhbar tempatan bahawa dia tidak ingat apa-apa tentang peristiwa itu, tetapi topi keledarnya yang pecah menjadi bukti pertembungan liar tersebut. - AP |
Posted: 13 Oct 2011 08:38 PM PDT PUNAKHA, Bhutan - Pemerintah Bhutan, Raja Jigme Khesar Namgyal Wangchuck berkahwin dengan pengantin perempuan daripada golongan rakyat biasa dalam istiadat purba mengikut agama Buddha yang diadakan di sebuah kuil bersejarah di Bhutan. Memakai gelaran Raja Naga Kelima, Raja Jigme Wangchuck turun dari takhta emas di hadapan patung Buddha besar semalam, sebelum meletakkan mahkota di atas kepala pengantin perempuan, Jetsun Pema. Kemudian, Raja Jigme, 31, kembali ke takhtanya. Sementara Pema duduk di sisinya sebagai permaisuri baharu Bhutan. Pema yang baru berusia 21 tahun dan masih belajar merupakan anak perempuan seorang juruterbang komersial. Upacara perkahwinan diraja itu disiarkan secara langsung di Bhutan, sebuah negara yang memiliki cuma 700,000 penduduk. Beribu-ribu orang yang memakai pakaian tradisi negara di Banjaran Himalaya itu berkumpul di luar kuil berkenaan untuk memeriahkan lagi istiadat perkahwinan diraja tersebut. - AP |
PC tewas kepada IPad dan telefon pintar Posted: 13 Oct 2011 08:37 PM PDT SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Firma perunding Gartner kelmarin melaporkan jualan komputer peribadi (PC) di seluruh dunia merosot pada suku tahun kewangan yang berakhir baru-baru ini kerana pengguna lebih gemar membeli komputer meja dan telefon pintar. Di AS, bilangan PC yang dieksport dalam suku kewangan ketiga tahun ini terus menurun. "Pasaran PC pengguna terus lemah," kata penganalisis kanan Gartner, Mikako Kitagawa. "Ia susulan gajet bukan PC termasuk tablet media seperti iPad dan telefon pintar yang semakin popular dan menjadi pilihan terkini pengguna," tambahnya. Menurut Kitagawa lagi, Hewlett Packard (HP) kekal pengeluar komputer terbesar dunia, tetapi Lenovo yang berpangkalan di China semakin kukuh apabila jualan PC syarikat itu melonjak 25 peratus sekali gus merampas tempat kedua daripada Dell sepanjang tahun ini. Laporan Gartner turut meramalkan tablet media dan telefon pintar akan terus memberi kesan kepada jualan PC terutama di AS. - AFP |
Awie Minta Tidak Dilabel Gengster Melayu Posted: 13 Oct 2011 08:36 PM PDT KUALA LUMPUR: Pelakon dan vokalis kumpulan Wings, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman enggan dilabel sebagai seorang gengster Melayu hanya kerana imejnya. Awie berkata, baginya gelaran itu tidak layak untuk dia kerana perwatakannya jauh berbeza di mana dia merupakan seorang yang suka melawak dan penyayang. "Mungkin dari segi luaran saya nampak garang tapi sebenarnya saya seorang yang sangat penyayang tau," selorohnya ketika ditemui pada sidang akhbar penganjuran pertandingan nyanyian iaitu Barisan Nasional (BN) 1 Youth Music di pejabat Pemuda UMNO, Menara Datuk Onn, di sini, Khamis. Bagaimanapun kata bintang filem Hantu Kak Limah Balik Rumah itu, gelaran tersebut diperkatakan mungkin kerana dia seorang yang lantang dalam mempertahankan haknya dalam apa jua perkara. "Bagi mereka yang rapat dengan saya mereka akan tahu, saya seorang yang lantang bersuara dalam apa sahaja situasi bagi mempertahankan sesuatu hak. "Paling tidak pun, saya seorang yang sangat tegas mengenai isu pembelaan artis. Mungkin dari situ orang nampak saya seorang yang kasar," katanya. Sementara itu, pada sidang akhbar tersebut, Awie bersama rakan-rakan artis lain yang antaranya seperti Zed Zaidi, Adam (AF), Ezany Nizarif dan Rashdan Baba akan bekerjasama dengan Pemuda UMNO menganjurkan pertandingan BN 1 Youth Music. Pertandingan yang dibuka kepada semua golongan itu akan bermula di sekitar pertengahan bulan November dan tarikhnya akan diumumkan tidak lama lagi. Menurut Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin, para peserta perlu melalui uji bakat dengan merakamkan video nyanyian masing-masing dan kemudian ia perlu dihantar ke laman web rasmi pertandingan berkenaan. "Peserta-peserta yang dipilih akan melalui proses saringan pula sebelum ke peringkat seterusnya iaitu pertandingan separuh akhir dan akhir yang diadakan secara langsung pula. "Saya harap, menerusi pertandingan ini, lebih ramai lagi remaja berbakat tampil menunjukkan skil nyanyian masing-masing lebih-lebih lagi apabila mereka hanya perlu merakamkan video nyanyian sahaja tanpa perlu rasa takut untuk berhadapan dengan juri," katanya. Tambah Khairi, BN 1 Youth Music juga tiada kaitan dengan unsur-unsur politik, malah ia diadakan agar dapat mengumpulkan anak-anak remaja melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah. Antara selebriti yang akan bekerjasama dalam pertandingan ini ialah Awie, selaku ketua juri, Zed Zaidi, Adam AF, Ezany Nizariff, Rashdan Baba, Hairy (Kool) dan Alfa (Nico). |
You are subscribed to email updates from Lebih 1 juta pageviews dari pembaca blog | tq To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |