macam macam hiburan terkini |
- Siti pasrah
- Sepahtu singkir Mamat
- 34 digantung kerja kerana solat
- Anjing lari melihat Julia Roberts
- Amy Search Imbau Kenangan Dengan Yamaguchi
- Yana Samsudin Alami Tekanan Paru-Paru Di Gunung Kinabalu
- Mizz Nina Jual Pakaian Melalui Dalam Talian
- Konsep Pop Rock Untuk Album Baru Mawi
Posted: 08 Oct 2011 10:08 PM PDT USAI dua minggu sejak dilancarkan, album bahasa Inggeris Datuk Siti Nurhaliza masih menanti rangsangan peminat. Buat yang menggemari, cinta dan setia kepada penyanyi nombor satu ini, mereka mencari dan mendapatkan album terbaru itu sebagai sebuah lagi bahan koleksi yang wajib dimiliki. All Your Love ialah sebuah refleksi eksistensi dendangannya, dititahkan oleh ratu nyanyian yang tidak pernah turun takhta. Tidak terkecuali yang memberi respons ikhlas terhadap reformasi bahasa yang dilakukan oleh seorang penyanyi tersohor negara. Suatu perubahan untuk Siti Nurhaliza yang sudah melalui perjalanan seni dengan pelbagai situasi dan penceritaan. SEAN KINGSTON Pemilihan pasangan duet lagu Remember You membuahkan satu kelainan untuk sejarah pasangan Siti Nurhaliza. Ada sebab tersendiri kenapa penyanyi kelahiran Miami, Florida yang terkenal dengan lagu Beautiful Girls itu menjadi pilihan. "Sean Kingston digilai ramai. Cara dia menyanyi dan melagukan rap ada stail. Malah vokal Sean memang kena dengan konsep lagu Remember You yang merupakan lagu paling sesuai untuk Siti berduet." KONSEP ALL YOUR LOVE Ulas Siti, khalayak perlu memahami konsep yang diketengahkan album ini. Jika ada yang tercari-cari sebuah lagu balada yang merentap tangkai jiwa, All Your Love bukanlah jawapannya. "Album ini lebih menonjolkan lagu-lagu rancak, santai dan memang konsep sebegini menjadi pilihan agar membuahkan kelainan. "Pemilihan hanya dua komposer iaitu Christian Alexander dan Bryan Bouro juga dipilih oleh pihak What's Up Entertainment untuk projek istimewa ini. Siti beri kebebasan kepada pihak What's Up untuk membentuk idea yang segar dan kreatif. All Your Love ialah sebuah langkah baru buat Siti dan memberi ruang buat peminat yang baru. "Juga satu jalan untuk keluar ke negara-negara luar. Dalam perancangan, album ini akan dibawa ke Australia dan negara-negara Eropah. Malah semua lagu Siti sudah masuk ke iTunes," ujarnya yang menganggap album ini adalah eksklusif dan mimpi jadi nyatanya. YAKIN BERBAHASA INGGERIS Stigma dan persoalan tentang keyakinan peminat terhadap keupayaan Siti berbahasa Inggeris bukanlah baru. Ketawanya berbunga tatkala ditanya, dia tahu ada kumpulan yang sengaja mencari salahnya bertutur dan menyanyi dalam bahasa antarabangsa itu. "Siti tahu ada yang mendengar untuk cari kesalahan Siti. Untuk semua itu, Siti bersiap sedia malah itu bukan perkara baru. Pasti ada kritikan dan Siti terbuka. Ini album pertama, Siti sudah lakukan yang terbaik dan boleh buat lebih baik untuk masa hadapan. Tentang sebutan yang betul, Siti tiada masalah kerana komposer banyak membantu. Mereka juga tidak ada masalah dengan bahasa Inggeris Siti," akuinya yang tidak ambil kisah dengan kata-kata luar tentang bahasanya. KONVOI MOTOSIKAL Aktiviti baru Siti Nurhaliza dan suami sudah diketahui khalayak. Pasangan manis ini gemar berkonvoi menaiki motor berkuasa tinggi. Menurut penyanyi Bukan Cinta Biasa ini, bermotosikal kini menjadi hobi yang digemarinya dan suami. "Kami lakukan dalam grup dan sering rancang untuk ke tempat-tempat yang menarik. Selalunya aktiviti ini dilakukan pada hujung minggu untuk satu jelajah yang memakan jarak yang dekat. Terbaru, kami baru selesai konvoi 1Malaysia dan Siti dapat melawat tempat-tempat yang menarik. Itu tempoh paling lama berkonvoi iaitu selama enam hari. Sebelum ini Siti juga berkonvoi di Cape Town. Seronok kerana dapat melihat pemandangan yang cantik dan cuaca yang segar di negara luar," katanya yang tidak berasa sakit-sakit badan menaiki motor. LAMAN SOSIAL TWITTER Bila Siti muncul dengan akaun CTNurhaliza11 di laman Twitter, para pencintanya teruja. Ini sebuah jambatan yang mendekatkan peminat kepada penyanyi kesayangan mereka itu. Buat Siti yang sudah memiliki 117,310 pengikut, hal itu sebuah alternatif pendekatan dengan peminatnya. "Bila Siti rajin, tidak banyak kerja, Siti akan cuba balas semua tweet peminat. Tapi bila sudah mula kerja, Siti fokus dan tidak sempat balas langsung. Bagi Siti, kepentingan Twitter adalah memudahkan akses peminat bertegur sapa dengan Siti. Banyak juga hal semasa yang Siti ketahui daripada laman tersebut. Siti sedar kadang kala peminat teruja untuk mengetahui aktiviti yang dilakukan artis kegemaran mereka. Melihat sisi lain karakter artis tersebut. Apa yang boleh Siti kongsi, Siti kongsi tetapi ada juga meletakkan batas privasi di situ," ujarnya. "Malah saya mendapat respons positif tentang album baru saya di laman sosial Twitter. Ramai memberi komentar dan mereka menggemari album terbaru saya," senyum pendendang single Falling In Love ini. PRODUK SIMPLYSITI Pengeluar rangkaian Simplysiti membuktikan perjalanan karier malah kesungguhannya bergelar usahanita. Terkini, sebanyak 200 item kosmetik dan penjagaan kulit telah dilancarkan. "Terbaru, Simplysiti melancarkan rangkaian Lovely dan Vogue yang memberikan pemakainya dua pilihan warna yang berbeza. Kami juga tampil dengan produk Clear Solution untuk kulit sensitif. Banyak kajian dilakukan untuk setiap produk. Contohnya kami menggunakan arang dalam produk Simplysiti untuk menyedut toksin," ujar Siti selaku taukeh yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini alat solek untuk pengguna Simplysiti. |
Posted: 08 Oct 2011 10:07 PM PDT SEMASA mula mencuri perhatian dalam episod mingguan pertandingan Raja Lawak musim ketiga, Sepah awal-awal lagi dilihat sebagai pelawak berkumpulan yang mampu mengikut jejak dan mencipta fenomena seperti yang pernah dicipta kumpulan Senario. Itu antara komen-komen positif yang pernah keluar daripada mulut pengkritik tetap ketika itu, Fauziah Nawi. Syaratnya, Sepah harus mengekalkan momentum dan ikatan tiga sekawan yang telah mereka jalin. Baru masuk tahun ketiga dan kini bergelar Maharaja Lawak pergolakan dalaman kumpulan yang dianggotai tiga anak kelahiran Johor itu kini menggelegak. Bagaikan melecur, ia membakar dan akhirnya memusnahkan kesatuan dan setiakawan Mohd. Nazri Zainal Abidin (Jep), 26, Shahmira Muhamad (Shuib), 27, dan Mohd. Noor Murad (Mamat), 26. Pembubaran Sepah secara tidak rasmi bermula pada Ogos lalu apabila setiap anggotanya boleh muncul solo sekiranya mendapat tawaran secara individu. Namun keretakan Sepah sampai ke tahap tidak dapat diselamatkan apabila Jep dan Shuib mengumumkan mereka hanya berdua. Mereka menjenamakan Sepah sebagai Sepahtu (sepatu). "Saya ingatkan ketika di atas pentas final Raja Lawak musim ketiga saya ingin umumkan kami mahu berpecah begitu juga halnya ketika program Maharaja Lawak, tetapi tidak adil untuk peminat yang mengundi kami, jadi saya diamkan sahaja masalah kami. "Kami sudah hilang sabar. Bukan sekali dua kali tetapi sudah tiga tahun saya beri peluang, ruang dan nasihat kepada Mamat untuk memberi komitmen pada kumpulan Sepah sehingga sampai satu tahap kami sudah tidak boleh buat apa-apa lagi. Jadi jalan penyelesaian terbaik adalah berpecah meskipun kami bertiga sedar ramai yang tidak mahu melihat kami berpecah," bongkar Jep tentang masalah yang dihadapi Sepah selama ini. Sayangkan reputasi dan mahu karier lawak tidak terus berkubur atau Sepah jadi bersepah-sepah, Jep dan Shuib mahu Sepah tanpa Mamat dikenali sebagai Sepahtu, lebih adil untuk Mamat walaupun mereka masih boleh bekerjasama dalam projek-projek terdekat, Superlawak FC dan Sepah The Movie. Mereka hanya boleh bekerjasama dalam televisyen atau filem tetapi untuk menerima masuk semula Mamat, jawapannya tidak. Jep dan Shuib sudah berpatah arang berkerat rotan dengan gelagat Mamat. SEPAHTU yang dianggotai Jep dan Shuib (kiri) akan meneruskan legasi kumpulan Sepah yang menjuarai program realiti Maharaja Lawak. "Saya sudah berkahwin dan tidak lama lagi akan menjadi ayah, tanggungjawab saya semakin besar. Saya tidak mahu kerana terlalu asyik menjaga hal orang, itu tidak adil (buat keluarga saya). Kalau saya tidak ada duit, saya minta orang, mana ada orang nak bagi duit. Sekarang kami hanya mahu fokus pada kerja sahaja. Terima Mamat kembali, rasanya tidaklah," ulas Shuib pula yang bakal menimang anak lelaki dalam masa terdekat. Pengumuman Jep dan Shuib itu dibuat selepas majlis pelancaran album sulung nyanyian mereka yang diterbitkan oleh MW Entertainment milik Mawi dan Sheikh Qalam Records. Pekung di dada sudah dibuka namun persoalannya, adakah benar Sepahtu itu benar-benar bebas daripada Sepah. Sebagai anggota yang disingkirkan, Mamat tetap berasakan dirinya sebagai teraniaya. "Saya rasa Sepah masih wujud. Shuib akan bersama-sama dengan saya apabila membuat persembahan dan aktiviti melibatkan Sepah. Jika mereka (Jep dan Shuib) mengatakan saya bermasalah, saya rasa semua orang ada masalah. Saya tak nak komen lanjut dan tak kisah dengan apa yang orang nak kata," kata Mamat yang turut terpalit kontroversi kisah cinta bersama Fida Gadis Melayu. Tambah Mamat, dia berasa amat terkilan dengan kenyataan yang keluar dari mulut sahabat-sahabatnya. Tutup Mamat, sekalipun mahu berjaya, janganlah kejayaan itu datangnya daripada penat jerih orang lain. |
34 digantung kerja kerana solat Posted: 08 Oct 2011 10:06 PM PDT SEATTLE, Amerika Syarikat (AS) – Seramai 34 pemandu syarikat sewa kenderaan tempatan Hertz digantung kerja kerana bersolat semasa waktu bertugas. Pihak pengurusan Hertz sebaliknya memberitahu, tindakan disiplin itu diambil kerana mereka menyalahgunakan waktu rehat. Disokong kesatuan sekerja, semua pemandu terbabit mengadakan protes di luar kaunter syarikat Hertz di Lapangan Terbang Seattle-Tacoma di sini bagi membantah tindakan majikan mereka. "Penggantungan ini merupakan pencabulan terhadap hak para pekerja terbabit sekali gus satu diskriminasi agama," kata setiausaha perbendaharaan sebuah kesatuan sekerja tempatan, Tracey A. Thompson. Menurutnya, penganut agama Islam dituntut melakukan solat sebanyak lima kali sehari. Namun, pihak pengurusan Hertz ketika mengulas isu penggantungan kerja itu memberitahu, mereka yang terlibat melanggar perjanjian hak pekerjaan saksama yang dipersetujui dua tahun lalu. "Isu ini tiada kaitan dengan agama. Beberapa pekerja Islam lain tidak digantung kerja kerana mereka mematuhi masa rehat 10 minit yang diberikan untuk bersolat. Mereka yang digantung kerja sebaliknya mengambil rehat lebih panjang," kata seorang jurucakap syarikat Hertz, Rich Broome. Menurutnya, kakitangan yang ingin melakukan solat perlu merekodkan waktu rehat mereka dengan menggunakan kad perakam waktu. Kenyataan tersebut bagaimanapun disangkal oleh seorang pemandu syarikat berkenaan, Zainab Aweis. Dalam wawancara bersama akhbar The Seattle Times Zainab memberitahu, beberapa pengurus syarikat Hertz memberitahunya bahawa beberapa kakitangan wanita yang ingin mengerjakan solat telah diarahkan supaya pulang. "Dia (pengurus berkenaan) berkata, jika anda mahu solat lebih baik anda pulang dan tidak bekerja di sini lagi. "Saya bertanya kepadanya, adakah ini peraturan baru syarikat, di seterusnya menjawab, ya," kata Zainab. – Agensi |
Anjing lari melihat Julia Roberts Posted: 08 Oct 2011 10:05 PM PDT LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) – Dia merupakan wanita idaman lelaki sejak 20 tahun dahulu, malah hingga sekarang, masih ramai lelaki yang mengimpikan untuk mendampingi aktres Julia Roberts, lapor sebuah akhbar kelmarin. Namun, lain pula ceritanya dengan seekor anjing bernama Optimus. Hanya kerana melihat kelibat Roberts, 43, dalam majalah sudah cukup untuk membuatkan anjing jantan itu lari seperti tidak cukup tanah. Aksi melucukan itu yang disiarkan di laman perkongsian video YouTube telah ditonton lebih 400,000 kali. Klip video tersebut menunjukkan seorang lelaki di sebuah kediaman memanggil Optimus dan menunjukkan gambar bintang filem Pretty Woman itu kepada anjingnya. Namun, sebaik sahaja melihat imej Roberts, telinga Optimus terus menegak. Ia kemudian berundur tetapi matanya tetap terpaku pada gambar aktres berkenaan. Apabila aksi serupa diulang, Optimus pantas melarikan diri ke bilik lain di kediaman itu. Dalam komennya, lelaki tersebut menyatakan dia sendiri tidak tahu mengapa Optimus begitu takut dengan aktres popular Hollywood itu. – Agensi |
Amy Search Imbau Kenangan Dengan Yamaguchi Posted: 08 Oct 2011 10:04 PM PDT PETALING JAYA: Vokalis Search, Suhaimi Abdul Rahman (Amy) menganggap Konsert Fenomena 30 Tahun Search pada hujung tahun ini bakal mengimbau kembali kenangannya dengan jurutera bunyi terkenal dari Singapura, Yamaguchi. Menurutnya, pertama kali dia menemui jurutera yang pernah terlibat dengan konsert-konsert bertaraf antarabangsa seperti konsert Black Eyed Peas itu adalah pada tahun 1988 di Bangkok. "Waktu itu, Search terlibat dengan persembahan di Bangkok dan Yama (Yamaguchi) turut sama-sama menyertai kami. "Mengenalinya, dia seorang yang banyak dan pakar mengubah bunyi-bunyi agar menjadi lebih menarik dan menjadi orang yang sangat penting dalam konsert kami nanti. Jadi, sudah pasti kami tidak sabar untuk bekerjasama dengannya nanti kerana dia mengetahui kelebihan kami masing-masing," kata Amy. Melihat kepada sambutan penonton yang melebihi 10,000 orang semasa menghadiri konsert Search sebelum ini, Pengarah Oracle Accord, Jerome Lee selaku penganjur menganggarkan seramai 30,000 penonton bakal membanjiri konsert di Kuala Lumpur manakala 10,000 penonton masing-masing di Johor Bahru dan Pulau Pinang. Konsert tersebut bakal berlangsung pada 19 November depan di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, Stadium Yunos, Larkin (3 Disember) dan Padang Astaka, Kuala Lumpur (17 Disember). "Kami akan memastikan konsert ini dipersembahkan dengan kualiti yang tinggi selama tujuh jam bermula pukul 5 petang. "Selain Search, konsert ini turut dimeriahkan oleh kemunculan band-band lain kerana Search hanya akan membuat persembahan selama dua jam. "Kami akan menyanyikan lagu-lagu terbaik yang belum pernah dinyanyikan dan lagu wajib yang tidak boleh ditinggalkan seperti Fantasia Bulan Madu," ujarnya. Tambahnya lagi: "Saya yakin untuk menjadikan konsert ini suatu yang menghiburkan dan berbaloi untuk ditonton sebagai tanda terima kasih kepada peminat." Tiket konsert ini telah mula dijual pada harga RM59 di Pulau Pinang dan Larkin manakala RM69 di Kuala Lumpur bermula 6 Oktober lalu di www.tickethotline.com.my. Pihak penganjur turut memberikan diskaun 15 peratus jika orang ramai membeli tiket bermula daripada 6 Oktober hingga 13 Oktober ini. Peminat-peminat Search juga boleh melayari laman web rasmi konsert ini diwww.facebook.com/SEARCH30. Bagi peminat bertuah yang klik 'like' pada laman sosial itu bakal berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa dua tiket konsert. |
Yana Samsudin Alami Tekanan Paru-Paru Di Gunung Kinabalu Posted: 08 Oct 2011 10:03 PM PDT KUALA LUMPUR: Pelakon Yana Samsudin memberitahu dia mengalami tekanan pada bahagian paru-parunya akibat kekurangan oksigen semasa mendaki Gunung Kinabalu, Sabah untuk penggambaran drama Hatiku Di Kinabalu. Katanya kejadian berkenaan berlaku mungkin disebabkan dia tidak membuat persediaan rapi untuk mendaki gunung tersebut. "Semasa memulakan penggambaran saya tidak sempat untuk membuat persiapan kerana terlalu sibuk dengan pelbagai aktiviti seni yang masih belum selesai. "Saya cuma sempat melakukan senaman ringan beberapa hari sebelum itu. Akibatnya saya mengalami kekejangan pada paru-paru kerana kekurangan oksigen semasa mendaki," ujarnya ketika ditemui mStar Online baru-baru ini. Bagaimanapun kata Yana, memikirkan krew penggambaran telah sedia menunggunya di puncak gunung dia menggagahkan diri untuk meneruskan perjalanan selepas diberi bantuan oksigen selepas keadaannya didapati selamat. Tidak serik dengan kejadian berlaku, Yana memberitahu dia berhasrat untuk mendaki Gunung Kinabalu sekali lagi jika berpeluang di masa hadapan. "Pada awalnya selepas apa yang terjadi saya serik untuk mendaki gunung lagi tetapi selepas berkongsi pengalaman bersama rakan-rakan, perasaan untuk mendaki lagi semakin menebal," ujarnya. Drama bertajuk "Hatiku Di Kinabalu" itu kata Yana menjalani penggambaran selama 10 hari turut dilakonkan oleh Zul Ariffin dan Irma Hasmie. |
Mizz Nina Jual Pakaian Melalui Dalam Talian Posted: 08 Oct 2011 10:02 PM PDT PETALING JAYA: Penyanyi popular Shazrina Azman (Mizz Nina), 31, bakal melancarkan perniagaan pakaian secara dalam talian secara kecil-kecilan yang dinamakan Mizz De Menor pada minggu depan. Menurut isteri kepada vokalis kumpulan Hujan, Noh, ini, perniagaan tersebut akan merealisasikan cita-citanya yang menggemari bidang fesyen selain mahu berkongsi minat itu dengan peminat. "Saya masih baru dengan perniagaan ini dan memikirkan untuk melakukan ia secara kecil-kecilan. "Nama De Menor dipilih kerana ia melambangkan cara seseorang itu menonjolkan imejnya sama ada dia seorang yang 'funky', seksi dan sukakan warna-warni," katanya kepada mStar Online. Perniagaan ini diuruskan di bawah syarikatnya, Mizz Nina Productions selain albumnya, What You Waiting For yang menjadi projek pertama syarikat tersebut. Dalam perkembangan lain, Nina dalam proses menyiapkan album keduanya untuk diterbitkan pada tahun depan. "Setakat ini saya sudah menyiapkan empat buat lagu dan akan merakamkan tiga hingga empat buah lagu lagi. "Saya juga sedang memikirkan artis tempatan yang akan berduet dalam lagu terbaru saya nanti," katanya yang sedang popular dengan lagu Take Over duetnya dengan penyanyi antarabangsa Flo Rida. |
Konsep Pop Rock Untuk Album Baru Mawi Posted: 08 Oct 2011 10:01 PM PDT KUALA LUMPUR: Penyanyi Asmawi Ani atau Mawi kini sedang sibuk mengumpul bahan untuk album terbarunya yang dijangka dapat disiapkan hujung tahun ini. Kata Mawi, dia memilih genre pop rock untuk album tersebut sebagai percubaan memenuhi permintaan pasaran pendengar. "Single terbaru saya mungkin akan keluar pada Disember ini. Memang untuk kali ini saya memilih untuk tampil dengan genre pop rock, namun begitu saya mengekalkan elemen Nusantara yang sememangnya sebati dengan jiwa saya. "Setakat ini ada tiga buah lagu termasuk daripada M.Nasir dan sebuah lagu daripada komposer baru," katanya. Ketika ditanya tentang populariti yang semakin merudum, kata Mawi dia kini memperlahankan sedikit aktiviti seni untuk memberi tumpuan yang lebih kepada isteri, Ekin yang kini sedang hamil empat bulan. "Saya menghabiskan masa mengumpul bahan untuk album dan memenuhi undangan-undangan nyanyian selain menguruskan syarikat produksi saya. "Sekarang belum ada apa-apa projek baru memandangkan saya perlu beri perhatian kepada isteri, Insya-Allah semua projek akan bermula tahun depan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Lebih 1 juta pageviews dari pembaca blog | tq To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |