Adsense

Khamis, 27 Oktober 2011

Himpunan Kisah Sensasi

Himpunan Kisah Sensasi


Nasi Lemak 2.0 Berjaya Kutip RM7 Juta

Posted: 26 Oct 2011 02:27 PM PDT

Nasi Lemak 2.0 berjaya mengutip sebanyak RM7 juta sepanjang ditayangkan sejak 8 September lalu.

KUALA LUMPUR: Filem kontroversi, Nasi Lemak 2.0 berjaya meraih kutipan sebanyak RM7 juta sepanjang ia ditayangkan di pawagam sejak 8 September bulan lalu.

Pengarah dan pelakon filem tersebut, Namawee berkata, pihaknya tidak menjangkakan angka itu tetapi bersyukur dengan sokongan daripada penonton.

"Pada dasarnya saya memang menaruh harapan tinggi pada filem ini namun tidak menyangka sambutannya akan menjadi begitu baik sekali di kalangan penonton di Malaysia," ujarnya pada majlis meraikan kejayaan filem itu di sini, Isnin.

Katanya, walaupun mendapat pelbagai kritikan negatif daripada pelbagai pihak, namun dengan sokongan dan maklum balas positif daripada penonton cukup baik.

Tambahnya, filem terbitan dengan kerjasama UB Prodigee Entertainment dan Prodigee Media itu telah ditayangkan di 71 buah pawagam di seluruh negara dan berada di tempat ketiga teratas selama tiga minggu berturut-turut.

Sementara itu, penerbit filem berkenaan, Fred Chong memberitahu, Nasi Lemak 2.0 juga telah menjadi filem tempatan berbahasa Cina dengan rekod kutipan wayang tertinggi.

"Ia bukan sahaja mendapat kutipan sebanyak RM7 juta malah menduduki tempat kelapan secara keseluruhan sebagai filem dengan kutipan pawagam tempatan tertinggi dalam sejarah.

"Saya berasa gembira kerana ia bukan sahaja ditonton oleh masyarakat Cina, bahkan kaum-kaum lain di negara ini turut keluar memberi sokongan," ujarnya.

Dalam pada itu, Fred berkata, pihaknya gembira apabila Nasi Lemak 2.0 telah dipilih sebagai filem tayangan rasmi untuk pesta filem termasyhur, Taipei Golden Horse Film Festival 2011 dan menurutnya ia sesuatu jarang berlaku bagi sesebuah filem dari Malaysia.

"Saya terkejut apabila diberitahu mengenai perkara tersebut kerana Nasi Lemak 2.0 bercirikan aspek tempatan dan tidak menyangka orang dari luar negara dapat memahami gaya dan jalan ceritanya," katanya.

Ujarnya lagi, filem itu akan ditayangkan di Singapura dan Taiwan pada Disember depan.

Ditanya mengenai projek terbaru selepas kejayaan Nasi Lemak 2.0, Fred memberitahu, pihaknya sedang meneliti beberapa skrip yang telah disiapkan oleh Namawee untuk dijadikan sebuah filem.

Malah katanya, dia akan meneruskan usaha untuk menampilkan barisan pelakon berbilang kaum untuk mencerminkan cerita 1Malaysia melalui jalan cerita menarik.

///mstar ///

Full content generated by Get Full RSS.