Adsense

Isnin, 31 Oktober 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tak pandai menyanyi, menari

Posted: 30 Oct 2011 06:47 AM PDT

NAMA Aaron Aziz, 35, menjadi sebutan dan bakatnya rebutan ramai penerbit dan pengarah filem tempatan. Mereka sanggup melaburkan ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan pelakon bertubuh sasa itu menjadi bintang dalam filem dihasilkan.

Pada mereka, sekiranya Aaron membintangi filem dihasilkan, ia pasti mendapat sambutan dan ramai akan menontonnya di pawagam. Dalam erti kata lain, bakat dan namanya cuba dieksploitasi.

Bagaimanapun, perkara yang diharapkan tidak berlaku sebaik filem ditayangkan di pawagam. Percaturan mereka salah dan filem itu mendapat kritikan daripada penonton. Aaron juga melalui situasi ini dan sebagai pelakon, sudah tentu namanya turut tercalar.

Katanya, kadang-kadang apa yang dirancang pihak produksi tidak menjadi seperti apa yang digambarkan dan kerjaya sebagai pelakon juga mempunyai risikonya.


"Ada antara tawaran diterima nampak menarik di atas kertas. Malah apabila perbincangan dilakukan, pihak produksi bersungguh-sungguh dan menjanjikan filem dihasilkan pasti mampu menarik perhatian penonton.


"Sebagai pelakon, sudah tentu skrip diberikan itu menjadi penentu sama ada ia menarik atau tidak. Ada filem yang saya buat sebelum ini skripnya memang bagus.
Sewaktu perbincangan dilakukan juga sangat meyakinkan tetapi apabila melihat hasilnya, ia sangat mengecewakan.

"Sebagai pelakon, saya tidak boleh lakukan apa-apa sekiranya filem itu tidak bagus. Sebagai pelakon, kalau saya memberikan lakonan mantap macam mana sekali pun, tetapi hasil teknikal atau jalan ceritanya tidak menjadi seperti di dalam skrip, ia di luar bidang kuasa saya," katanya.

Pelakon KL Gangster, Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Pisau Cukur, 2 Alam, Syyhh...Dia Datang, Evolusi KL Drift 2, Suaka dan Datin Ghairah ini tidak menafikan, dalam memberi kata putus terhadap tawaran itu, bayaran diterima turut menjadi faktor penentu.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada kerja yang harus dilakukan dan tidak sampai tahap sanggup untuk memusnahkan kerjaya sendiri semata-mata kerana mahu mengejar bayaran diberikan.

"Bayangkan kalau saya dibayar tinggi tetapi filem dihasilkan menerima kritikan hebat daripada penonton dan tiada siapa yang mahu menontonnya di pawagam.

"Sudahnya, apa akan jadi dengan kerjaya seni saya? Sudah tentu nama saya akan terus senyap dan lenyap. Sebagai pelakon, saya memikirkan perkara itu semua dan tidak mungkin saya mahu membiarkan ia terus berlaku," katanya.

Pentas teater juga melihat kehebatan Aaron hingga dilamar untuk membintangi Badai Semalam yang diadaptasi daripada novel popular karya Khadijah Hashim. Ia akan mula dipentaskan di Istana Budaya dari 11 hingga 20 November ini.

Ternyata dalam memberi kata putus terhadap lakonan, Aaron atau nama sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz, ada syarat dan pantang larangnya, hinggakan baru kini terbuka hati beraksi di pentas teater.

Bapa kepada dua cahayamata, Danish Anqi dan Dwi Ariana ini berkata, dia memberikan syarat bahawa pementasan itu bukanlah muzikal supaya tiada nyanyian dan tarian.

"Kalau ada dua perkara ini, saya akan tolak awal-awal kerana saya tidak mahu kelihatan bodoh di pentas nanti. Bukan tidak ada tawaran sebelum ini tetapi kebanyakannya berkonsepkan muzikal menyebabkan saya mengambil keputusan tidak menerimanya.

"Sebelum saya merosakkan hasil kerja orang, lebih baik saya tolak awal-awal tawaran diberikan. Kelemahan saya dua perkara ini iaitu menyanyi dan menari.
Memang orang kata sebagai pelakon perkara itu seharusnya diambil sebagai satu cabaran, tetapi saya kenal diri dan kemampuan saya. Memang saya tidak boleh menyanyi dan tidak pandai menari," katanya.

Aktor yang cukup popular menerusi watak Malek dalam filem KL Gangster arahan Syamsul Yusof ini berkata, sebelum ini Erma Fatima pernah melamarnya untuk membintangi Natrah tetapi kerana perlu menyanyi dan menari, dia terpaksa menolaknya.

"Saya juga menyaksikan Remy Ishak dalam drama teater muzikal itu. Dalam hati saya berkata, mujur saya tolak awal-awal. Jika tidak, pasti rosak keseluruhan produksi itu dengan gerak tari saya yang keras macam bangku dan suara pun entah ke laut.

"Pembabitan saya dalam teater ini bermula apabila pihak Istana Budaya merancang untuk mementaskan Salina. Bagaimanapun, kerana beberapa masalah, perkara itu terpaksa dibatalkan.

"Saya memang berminat untuk berlakon dalam Salina tetapi sayang ia terpaksa ditangguhkan. Kerana sudah bersetuju lebih awal, apabila datang tawaran untuk membintangi Badai Semalam, saya terima. Itupun dengan syarat tiada nyanyian dan tarian," katanya.

Aaron juga menafikan pementasan Badai Semalam ditunda dari April kepada November bukan kerana produksi menunggunya, sebaliknya berlaku masalah membabitkan pertukaran naskhah novel yang mahu diangkat ke pentas teater.

Aktor kelahiran Pasir Ris, Singapura pada 23 Februari 1976 itu pendukung watak utama sebagai Karim iaitu kekasih Mazni lakonan Erra Fazira.

Kata Aaron, antara sebab lain dia menerima tawaran beraksi di pentas teater kerana mahu mencabar kebolehan yang ada pada dirinya dalam bidang lakonan.

"Pentas teater sangat berbeza dan ia sesuatu yang asing bagi saya. Kalau dalam drama, lakonan banyak bermain dengan mata tetapi di pentas, sudah tentu perkara itu tidak nampak jelas. Aksi seorang pelakon itu lebih penting dan itu yang mahu saya pelajari lebih mendalam.

"Teater turut menuntut komitmen tinggi dan berterusan daripada seorang pelakon.
Saya harus memberikan fokus yang bukannya sedikit. Pada saya selain daripada aksi di atas pentas, untuk menjiwai watak romantis dan bertutur dalam bahasa berbunga juga menjadi antara cabaran yang harus saya hadapi.

"Selepas meneliti skrip yang sudah diolah sebanyak tiga kali, saya menyifatkan watak Karim sangat mencabar. Dalam usaha menghidupkan watak itu, saya cuba mencari keselesaan sendiri dan memahami susunan plot dalam skrip. Saya juga akan meneliti novel yang ditulis Khadijah Hashim ini bagi menjiwai watak Karim," katanya.

PROFIL:

Nama sebenar: Aaron Mustapha Aziz
Tarikh lahir: 23 Februari 1976
Tempat lahir: Pasir Ris, Singapura
Tinggi: 178 sentimeter
Berat: 78 kilogram
Kerjaya: Pelakon, model
Status: Berkahwin
Isteri: Diana Malik
Anak: Danish Anqi dan Dwi Ariana

Drama: Janji Diana, Sumayyah, Sadiq & Co, Cinta Gila, Cinta Lelong, rahsia Hati, Kasih Tercipta, Bulan Bertemu Matahari, Dilemma wanita, Cahaya Kasih, Malam 7 Likur, Hana Hani Strawberi, Oh Ibu, Emel Emilda, Cinta Q, Nora Elena dan Jiwa & Lara

Filem: KL Gangster, Evolusi KL Drift, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Pisau Cukur, 2 Alam, Syyhh...Dia Datang, Evolusi KL Drift 2, Suaka dan Datin Ghairah

Pencapaian: Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2010

Full content generated by Get Full RSS.

Jenama baru, drama baru

Posted: 30 Oct 2011 06:38 AM PDT

MEMPERTAHANKAN kedudukan sebagai media pilihan ramai, Media Prima TV Networks meneruskan kecemerlangannya dengan menyiarkan pelbagai rancangan menarik dalam dan luar negara membabitkan empat stesen televisyennya iaitu TV3, TV9, ntv7 dan 8TV pada tahun hadapan.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Amrin Awaluddin, keempat-empat stesen televisyen itu menguasai jumlah tontonan televisyen tempatan dengan 48 peratus pada suku tahun pertama 2011.

Bagi memastikan jumlah itu terus meningkat beberapa strategi terutama dari sudut konsep dan bahan yang mahu disiarkan sudah pun dirangka TV3, TV9, ntv7 dan 8TV sepanjang tahun depan.

Sewaktu majlis pratonton yang berlangsung di Pusat Persidangan Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini, membabitkan rancangan menarik bakal ditayangkan keempat-empat televisyen terbabit, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima, Ahmad Izham Omar berkata bagi memastikan jumlah tontonan terus dipertingkatkan, keempat-empat stesen televisyen di bawah Media Prima turut melaksanakan beberapa perubahan.


Turut hadir di majlis pratonton diadakan, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar; Pengurus Besar Kumpulan Penjenamaan TV9, Sherina Nordin; Pengurus Besar Kumpulan 8TV dan ntv7, Airin Zainul dan Pengurus Besar Kumpulan Alt Media Sdn Bhd, Lam Swee Kim.


Terang Izham, antara perubahan besar dilakukan adalah penjanaan semula rancangan kanak-kanak di keempat-empat stesen televisyen yang diletakkan di bawah satu jenama Bananana! sementara TV9 yang kini berada di tangga kedua stesen paling ramai ditonton, turut mewujudkan jenama baru iaitu 9x dalam usaha untuk mendekati penonton muda.

"Menerusi 9x ini sasaran penonton adalah sekitar 15 hingga 29 tahun. Untuk itu fokus rancangan tahun depan lebih banyak tertumpu kepada mereka. Antara yang akan disiarkan seperti Friday I'm In Love dalam slot Aurora, Gila Bola dikendalikan Seelan Paul dan Kieran dari Hot fm. Rancangan realiti Versus di mana ia diterbitkan dengan kerjasama Hot.fm dalam usaha mencari kumpulan muzik berbakat.

"Selain itu, TV9 akan menyiarkan drama sebanyak lapan episod, Pulau, Bulan, Bintang dan Kita dan drama mengisi slot Ratu, Cinta Jangan Pergi. Rancangan bercorak muzikal juga turut disiarkan dalam Sound Check yang pada saya sangat bagus dan tidak seharusnya dilepaskan untuk ditonton. Ada rancangan yang sedia ada diteruskan seperti Skrin di 9 dan Apa Saja FBI dan rancangan dari Hollywood iaitu Teen Wolf," katanya.

Melihat kepada perubahan itu pastinya ramai yang tertanya apa akan berlaku kepada beberapa program dalam jenama Raudhah yang memang menjadi tumpuan penonton di TV9. Apatah lagi sewaktu di awal beroperasi, stesen menggunakan label Dekat Di Hati itu sangat sinonim dengan rancangan yang boleh dijadikan pengisian rohani dan keagamaan seperti Semanis Kurma, Halaqah, Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah dan Safiyya.

Tambahan pula, selepas melihat daripada senarai rancangan baru yang bakal diterbitkan bimbang sekiranya rancangan bercorak kerohanian itu akan terpinggir. Apatah lagi sekarang ini rancangan dalam jenama Raudhah tidak disiarkan di TV9 dalam waktu perdana.

Menjelaskan mengenai perkara itu Sherina menjelaskan waktu siaran program Raudhah adalah bertepatan dengan kehendak penonton dan perkara itu boleh dilihat menerusi maklum balas yang diterima pihak produksi.

"Kami tidak akan meminggirkan setiap rancangan dalam Raudhah, malah tahun hadapan rancangan seperti Tanya Ustaz atau Ustazah akan ditambah waktunya pada sebelah pagi. Jika dulu ia bersiaran pada jam 7.30 pagi tetapi kami akan tambah jam 6 pagi agar waktu tayangan lebih panjang.

"Kami tidak letak rancangan di bawah jenama Raudhah pada waktu perdana kerana memang penonton hanya menonton rancangan terbabit di waktu awal pagi selepas Subuh hingga jam 9 pagi dan pada waktu malam," katanya.

Sherina turut menegaskan walaupun tumpuan TV9 kepada penonton muda, namun dalam waktu sama mereka juga mahu meneruskan konsep sebelum ini yang mana TV9 menjadi saluran kerohanian. Malah, pihaknya mengalu-alukan produksi agar menghasilkan drama yang temanya berkisar mengenai dunia remaja dan kerohanian.

Menarik apabila TV3 masih meneruskan slot Seram dengan menyiarkan Amukan Pocong pada tahun depan. Sebelum itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad membangkitkan isu bahawa filem dan stesen televisyen banyak menyiarkan filem seram dan hantu dikhuatiri boleh melemahkan pemikiran dan daya fikir masyarakat.

Sementara itu, dalam satu sidang media khas dilakukan penggiat filem menyalahkan bahawa isu itu timbul bertitik tolak daripada pihak media dan sudah tentu stesen televisyen popular dan punya jumlah penonton paling ramai turut menerima tempias kerana mewujudkan satu slot khas untuk drama bersiri genre seram.

Di majlis itu, Nurul Aini menjelaskan walaupun kebanyakan drama yang disiarkan itu menakutkan, namun pihaknya akan memastikan ia akan memberikan pengajaran dari sudut moral.

"Kalau ada yang menyatakan bahawa TV3 antara media yang menjadi punca kepada timbulnya isu terbabit rasanya ia tidak benar kerana kami hanya mempunyai satu slot saja. Setiap drama seram disiarkan itu kami pastikan penonton akan belajar sesuatu daripadanya. Lagipun sebelum ia ditayangkan kami akan menyiarkan klasifikasi drama terbabit bahawa bagi mereka berada di bawah umur, panduan daripada ibu bapa adalah penting," katanya.

Pada majlis itu, menarik majlis pengumuman dilakukan Izham ala rancangan bual bicara Nite Live dan turut membabitkan beberapa artis popular termasuk Hujan, Jaclyn Victor dan bintang khas TVB yang dibawa dari Hong Kong.

Full content generated by Get Full RSS.