Adsense

Isnin, 31 Oktober 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Serik, takut

Posted: 30 Oct 2011 04:17 PM PDT

Hip

Sedia kembali ke lokasi

SEPATUTNYA nama Siti Elizad Mohd Sharifudin atau Ejad sudah sebaris dengan pelakon handalan atau bintang popular ketika ini kerana penampilannya dalam beberapa filem yang menyakinkan.

Bermula daripada filem Berlari Ke Langit diikuti dengan Gangster, Main-Main Cinta, Rock, Bilut, Lembing Awang Pulang Ke Dayang dan Cinta Yang Satu. Malangnya, nama Ejad kini bagaikan tenggelam timbul, malahan kadang-kadang seperti sudah tidak disedari kehadirannya dalam dunia lakonan. Tambahan pula ketika ini semakin ramai bakat baru yang datang silih berganti membuatkan ruang untuk Ejad mencari peluang dalam dunia semakin sempit.

Bagi pelakon berusia 27 tahun ini, masalah keluarga dan kesihatan dirinya membuatkan dia terpaksa memperlahankan kerjaya seninya.

Misalnya, baru-baru ini dia mengalami sakit perut keterlaluan hingga memaksa menjalani pemeriksaan disusuli pembedahan membuang ketumbuhan cyst yang dikesan serentak apendiks seminggu kemudian membuatkannya serik.

Walau peristiwa memasuki bilik pembedahan sudah sebulan berlalu, manakala lukanya juga beransur pulih, baginya pengalaman itu begitu menakutkan.
"Selama ini saya hanya menyangka perut saya berdepan masalah buncit. Saya mengawal pemakanan, berbengkung apabila keluar dan waktu malam pula melakukan regim menyapu losyen pembakar lemak.

"Cuma saya perasan sejak awal tahun masalah pada bahagian itu semakin kronik. Selepas melalui pemeriksaan, doktor mengesan kewujudan cyst yang menekan buah pinggang sekali gus mencetuskan rasa perit.

"Saya terlalu takut. Selepas dikeluarkan, doktor memaklumkan selama ini rupa-rupanya saya membawa cyst seberat empat kilogram," katanya yang kini tampak lebih langsing.

Mengakui bersyukur kerana kejadian itu secara tidak langsung mengingatkannya supaya sentiasa maklum perubahan diri, sebagai wanita tegasnya penjagaan kecantikan secara luaran saja tidak mencukupi sekiranya soal dalaman tidak diambil peduli.

"Sekarang saya tidak lagi memikirkan mahu sentiasa cantik dan langsing kerana ia akan pudar ditelan waktu namun kesihatan dalaman yang sentiasa dijaga mampu membuatkan kita cergas sepanjang masa," katanya.

Berbicara soal kerjaya, Ejad memaklumkan banyak produksi yang beranggapan dia masih mengambil cuti sakit sedangkan hakikatnya si pemilik mata bundar itu sudah sedia beraksi di hadapan kamera.

"Kesihatan semakin pulih. Luka pembedahan cepat sembuh dan kini saya tidak sabar kembali bekerja," ceritanya lagi.

Ada teman akrab baru

Sebelum mengambil cuti sakit, Ejad sempat menyelesaikan penggambaran telefilem Jamilah I Love You pada Julai lalu. Kini, selebriti yang mula bertapak di arena seni sejak enam tahun lalu itu semakin bersemangat untuk kembali bekerja, yang dikatakan didorong beberapa faktor terutama bosan dan sunyi.

Tanpa berselindung, aktres yang aktif di bidang peragaan itu turut mengakui barangkali kesunyian tanpa teman istimewa membuatkannya mahu melupakan lara dengan menyibukkan diri di set penggambaran daripada bersendirian di rumah.

Pemergian ibu tersayang, Nazariah Mohd Salleh, 62 pada April lalu juga menyebabkannya terasa kehilangan apatah lagi sebagai satu-satunya anak perempuan daripada lima bersaudara, Ejad sentiasa mendapat perhatian si ibu serta seisi keluarga.

"Saya kini kembali tinggal dengan ayah kerana lebih dekat dengan pusara ibu. Adik-beradik saya yang lain pula sudah berkeluarga tetapi syukur mereka tetap mengambil berat dan berharap saya bertemu jodoh dengan cepat," tambahnya tatkala menyentuh soal cinta.

Enggan mengenang kasih lalu yang tidak kesampaian, anak jati Kuala Lumpur itu menyerahkan soal jodoh di tangan Yang Maha Kuasa namun jika dimakbulkan biarlah lelaki yang bakal menghuni hatinya mampu menjadi teman suka duka sepanjang hayat dan menghormati orang tua.

Ketika ini ruang lingkup kehidupan solonya semakin terisi sejak kehadiran si kucing parsi bernama Snowball atau nama manjanya Tobel yang disifatkan sebagai teman akrabnya.

"Tobel milik adik ipar saya, tetapi selepas melahirkan anak sulungnya yang juga anak buah kesayangan saya kira-kira enam bulan lalu, dia menyerahkan kucing itu kepada saya. Sejak itu kami tidak pernah berenggang," katanya.

PROFIL

Nama penuh: Siti Elizad Mohd Sharifudin
Tarikh Lahir: 25 Mei 1984
Asal: Kuala Lumpur
Status: Bujang
Keluarga: Anak keempat daripada lima adik-beradik
Kerjaya: Pelakon, Pengacara, Model
Filem: Berlari Ke Langit, Gangster, Main-Main Cinta, Rock, Bilut, Lembing Awang Pulang Ke Dayang, Cinta Yang Satu

Full content generated by Get Full RSS.

Jamal mahu gempur

Posted: 30 Oct 2011 04:11 PM PDT

Hip

Jemput peminat saksikan persembahan di Atmosphere 360

RAJA pop, Jamal Abdillah, 53, sedia 'menggempur' peniaga yang menjual album cetak rompak Raja Pop 2 bersama-sama wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHP) dalam tempoh terdekat.

Wakilnya, Ali Razak Mestor, berkata isu penjualan cakera padat (CD) haram album baru penyanyi terbabit dikesan hanya selepas dua minggu ia berada di pasaran awal bulan ini mengundang rasa terkilan apatah lagi kos pembikinan album terbabit menggunakan tabungan sendiri. "Peminat menghubungi Jamal dan susulan daripada maklumat berkenaan, dia sendiri meninjau beberapa lokasi yang dikatakan menjadi sarang edaran terutama di sekitar Lembah Klang.

"Sudah pasti Jamal kecewa. Album yang belum dilancarkan itu dicetak rompak pada harga yang tidak munasabah malah pihak bertanggungjawab itu juga cukup licik apabila menampilkan gambar muka album sama seperti yang asli," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili penyanyi berkenaan dalam majlis sidang media persembahan Satu Malam Bersama Jamal Abdillah di Atmosphere 360 di Menara Kuala Lumpur.

Hadir sama Pengarah Urusan merangkap Pegawai Eksekutif Asian Kitchen (M) Sdn Bhd, Datuk Mohd Sabri Mohd Nadzir dan Pengarah Eksekutif Asian Kitchen (M) Sdn Bhd, Datuk Khairi Aseh.
Terdahulu Raja Pop 2 adalah kesinambungan album kompilasi Raja Pop yang dihasilkan pada 2003 dengan meraih jualan 150,000 unit dan Raja Pop 2 menampilkan rangkaian lagu era 50-an dan 60-an seperti S Effendy, Yopie Latul dan tidak terkecuali Rahim Maarof.

Antara dendangan yang dimuatkan adalah Jangan Kau Rayu, Bahagia Sementara, Lagu Rindu, Rayuan Maut, Perasaan, Tangisan Di Waktu Malam, Rundung Derita, Secupak Dua Cupak dan Manis.

Album yang menyaksikan Jamal selaku penerbit eksekutif itu juga menampilkan kolaborasi sulungnya bersama penyanyi hip hop terkenal, Malique berjudul Aku Maafkan Kamu yang berentak dance.

Sementara itu bagi persembahan yang bakal berlangsung pada 11 November ini, secara tidak langsung ia antara simbolik permulaan operasi restoran berputar di puncak menara yang kini di bawah kendalian Asian Kitchen dengan dekorasi serta nama baru, Atmosphere 360.

Bakal tampil bersama enam dendangan termasuk daripada kompilasi terbaru, Ali terlebih dulu menitipkan salam kemaafan berikutan ketiadaan penyanyi terbabit pada majlis itu dek faktor kesihatan.

Bagi Mohd Sabri, pemilihan penyanyi lagu Kekasih Awal dan Akhir itu sebagai pembuka tirai persembahan di Atmosphere 360 cukup tepat apabila beliau sentiasa dekat di hati peminat sekali pun sudah lebih tiga dekad bergelar penghibur.

Status Jamal yang berada pada kelas tersendiri juga antara faktor yang mendorong pengurusan Asian Kitchen memilihnya menyerikan malam penuh nostalgia sekali gus membawa pengunjung meneroka keistimewaan restoran berkenaan sambil menghayati dendangan.

"Hanya dalam tempoh enam minggu kerja pengubahsuaian keseluruhan dekorasi ruang dilaksanakan dan sudah pasti kita mahu pengunjung menikmati segala yang terbaik termasuk sajian serta panorama menarik dan pemilihan Jamal memang kena pada masanya," katanya.

Mengikut perancangan, acara dijangka bermula dengan majlis makan malam seawal jam 7.30 malam disusuli kemunculan penghibur berkenaan kira-kira sejam kemudian.

Sebanyak dua meja VIP yang memuatkan 10 orang untuk pada kadar RM15,000 manakala tempat duduk lain hanya dikenakan RM1,000 namun masih berpeluang mengikuti persembahan artis pujaan mereka secara ekslusif.

"Mungkin ada yang tertanya-tanya soal harga namun jika diperhalusi ia lebih kepada dekat dengan penghibur terbabit kerana anggaran pengunjung kira-kira 150 orang saja. Sudah pasti hanya yang istimewa berpeluang makam malam bersama Jamal Abdillah pada ketinggian 282 meter," ulasnya lagi. Keterangan lanjut atau tempahan tempat boleh diajukan ke 03-20202121.

Full content generated by Get Full RSS.