Adsense

Khamis, 13 Oktober 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Tunggu habis belajar

Posted: 12 Oct 2011 05:49 AM PDT

MESKIPUN bersandar pada filem Lagenda Budak Setan yang berjaya meraih beberapa pengiktirafan di majlis anugerah, namun ia bukan satu lesen bagi melonjakkan nama si pemilik wajah jelita, Nur Ashiqin Mohd Kamal.

Memegang watak Ayu dan bergandingan dengan Lisa Surihani, Farid Kamil serta Fazura Sharifuddin, pesona yang ada padanya bagai hanyut ditenggelami nama-nama besar yang lain.

Walau tampil dengan lakonan kemas dan ekspresi berbeza, nama Shikin Kamal masih janggal disebut dan wajahnya masih jauh tertinggal.

Bagaimanapun, jelasnya berkali-kali ketika bertemu minggu lalu, biar perlahan perjalanan ke puncak namun jika tiba nanti, ia kekal selama-lamanya.


"Tidak timbul rasa kecewa atau terkilan kerana masih tidak dikenali kerana ikhlas saya memandang peluang muncul melakonkan watak penting dalam filem Lagenda Budak Setan adalah satu laluan terbaik bagi memperkenalkan bakat dan wajah.


"Saya tidak terfikir untuk popular sebaliknya apa yang menjadi keutamaan adalah perhatian dari mata penonton bagi menyuntik terus semangat saya dalam gelanggang ini.

"Apa pun saya tetap berasakan saya bertuah kerana langkah pertama bersama nama besar dan naskhah yang hebat seperti itu," katanya yang bijak menyusun kata.

Tanpa publisiti meluas dan tidak pernah dipalit kontroversi, percaturan seni anak bongsu dari tujuh beradik ini dilihat berjalan dengan baik. Tawaran lakonan juga banyak diterima hingga ada yang terpaksa ditolak. Semua itu kerana komitmennya dengan pelajaran.

"Memang saya sedih dan kecewa kerana terpaksa menolak beberapa tawaran kerana saya masih terikat dengan pelajaran yang berbaki dua tahun lagi di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Saya tidak boleh abaikan pelajaran kerana itu adalah impian keluarga untuk melihat saya berjaya dan tidak hanya meletak fokus pada lapangan lakonan.

"Selain meletak fokus dan komitmen kepada pelajaran, itu juga adalah janji saya kepada keluarga yang akan tetap menghabiskan pelajaran walaupun ingin serius dalam lapangan lakonan.

"Saya akan hanya mengambil sebarang tawaran di hujung minggu ataupun ketika cuti semester mengikut kesesuaian watak dan plot cerita.

"Justeru, bayangkan apabila saya menerima beberapa tawaran ketika sedang sibuk dalam pengajian dan terpaksa menolak semuanya tanpa berfikir dua kali.

"Namun saya percaya rezeki itu adalah ketentuan yang ditulis. Jika benar laluan dan niat kita, ia akan datang kembali dengan nilai yang berganda asalkan sentiasa ikhlas dan jujur.

"Tapi kelakarnya, walaupun sibuk dan terikat dengan jadual pengajian, saya masih sempat menyiapkan beberapa projek filem termasuk Di Larang Masuk, Uncle Usin, Tanda Putera, Left Wings dan terbaru akan muncul awal tahun depan, Mantera.

"Insya-Allah sejurus tamat pengajian nanti, saya akan serius dengan lakonan bagi mengukuhkan lagi nama dan empayar sebelum benar-benar melakukan kerja aktuari yang saya pelajari," katanya.

Dalam pertemuan itu, Shikin bersemangat bercerita mengenai projek terbarunya, Mantera.

Baginya, ia percubaan terbarunya dan boleh dikatakan penentuan dalam kerjaya.
Dalam Mantera terbitan FlareStudio yang turut dijayakan Tomok dengan kos pembikinan melangkaui RM7 juta, Shikin diangkat menerajui watak utama sebagai Deena.

Jelas Shikin yang menyifatkan Mantera sebagai sebuah naskhah hebat yang menjadi kayu ukur dalam kerjaya lakonannya sendiri.

"Saya bersyukur kerana dipilih melakonkan watak utama dalam filem Mantera kerana ia bukan sebarangan karya sebaliknya punya kekuatan dan kelainan yang cukup hebat bagi gelanggang seni perfileman tempatan.

"Ia tidak sekadar mengangkat konsep robotik dan aksi antarabangsa sebagai tarikan utama, malah Mantera cukup kuat pada plot ceritanya serta pembangunan setiap watak.

"Watak Dina yang saya lakonkan kononnya seorang pelajar jurusan robotik yang akan membantu kekasihnya, Azman apabila tersepit dalam kemelut luar biasa hingga membuatkannya berubah menjadi robot.

"Cabaran dan kekuatan filem ini memang berbeza berbanding kebanyakan filem sebelum ini kerana keseluruhan jalan ceritanya punya jiwa antarabangsa dan hebat.

"Saya yakin filem ini akan memberikan sesuatu yang berbeza kepada kaki wayang tempatan dan mereka yang gemarkan karya Hollywood seperti Transformers dan Iron Man.

"Percayalah, Mantera dapat memberikan kepuasan dan keseronokan yang sama kerana sebagai pelakon sendiri, proses pembikinan dan profesionalisme produksi dalam membentuk perjalanan filem ini begitu teliti dan bersungguh.

"Mantera memang sebuah filem yang akan membawa saya ke tahap yang lebih baik selain menjadi penentu kepada kerjaya lakonan saya untuk beralih ke fasa yang tinggi bagi mengejar apa yang pernah saya impikan," katanya.

PROFIL

Nama penuh: Nur Ashiqin Mohd Kamal
Tarikh lahir: 25 November 1991
Umur: 20 tahun
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Keluarga: Anak bongsu dari tujuh beradik
Pendidikan: Sarjana Muda Sains Aktuari dari Universiti Teknologi Mara
Kerjaya: Pelakon
Filem: Lagenda Budak Setan, Di Larang Masuk, Uncle Usin, Tanda Putera, Left Wings dan Mantera

Sinopsis Mantera

MANTERA mengisahkan pergolakan dua kumpulan rahsia yang menguasai dunia dari sebalik takbir iaitu Alliance of Light dan Dark Legions.

Dark Legions melalui syarikat Weston Tech membangunkan senjata rahsia, Mantera iaitu singkatan 'Man Transformable Exo-Robotic Armor' yang juga sistem motosikal dan sarung tangan nano dan boleh berubah menjadi baju perisai robotik.

Bagaimanapun, ketua pereka Mantera iaitu Dr Natasha yang menyedari niat jahat ketuanya cuba untuk sabotaj dan memusnahkan sistem Mantera.

Dia menghilangkan diri dengan pelan skematik dan kertas kerja Mantera. Sisa dan cebisan Mantera secara tidak sengaja dihantar kepada pelajar IT di Malaysia, Azman lakonan Tomok.

Azman dengan bantuan rakannya, Kevin membina semula Mantera sehingga menjadi motosikal berkuasa besar. Tanpa mereka sedari, motosikal itu boleh bertukar menjadi baju amor robotik yang boleh memberikan kekuatan dan kepantasan 'superpower' kepada pemakainya.

Dalam masa yang sama, Azman yang sinonim dengan sikapnya yang pendiam dan tidak mempunyai ramai kawan di kolejnya bertemu pula dengan seorang gadis, Deena yang juga pelajar tahun akhir dalam jurusan robotik dan kebetulan menghadiri kelas Interaksi Komputer-Insan yang sama dengan Azman bagi melengkapkan jadual kursusnya.

Mereka berkenalan dan akhirnya mengundang rasa cinta yang pada asasnya mereka berkongsi minat yang sama dalam pemasangan peralatan robotik Mantera bagi membina motosikal.

Sementara itu, Weston Tech menjejaki Dr Natasha dan Azman bersama sistem Mantera yang kini menyertai Alliance of Light sehingga ke ibu pejabat rahsia Alliance of Light di Timur Tengah.

Pertempuran sengit antara Azman yang menjadi Mantera dengan robot pembinasa Weston Tech yang dipanggil Vega akhirnya tercetus.

Full content generated by Get Full RSS.

‘Tetap kawan dunia akhirat’

Posted: 12 Oct 2011 05:42 AM PDT

"WALAUPUN ada kenyataan mereka yang kurang menyenangkan, saya tidak pernah berkecil hati.

"Apa juga berlaku, mereka tetap sahabat saya. Saya masih ingat susah senang waktu kami bersama. Mereka kawan saya dunia dan akhirat," kata Mamat atau Mohd Noor Murad.

Mamat mengulas tindakan dua lagi rakannya, Mohd Nadzri Zainal Abidin (Jepp) dan Shahmira Muhamad (Shuib) yang enggan lagi bersamanya meneruskan Sepah.

Sebagai kumpulan baru Jepp dan Shuib hanya mahu dikenali sebagai Sepahtu.


Ironinya, masih ada satu projek filem berjudul Sepah The Movie yang membabitkan mereka bertiga.


Difahamkan, persetujuan itu dibuat sebelum Jepp dan Shuib mengambil keputusan untuk menubuhkan Sepahtu, baru-baru ini.

Sepahtu juga akan muncul dengan album sulung yang bakal dihasilkan di bawah syarikat Mawi World Sdn Bhd milik Mawi.

Ditemui pada majlis pelancaran filem Sepah The Movie di Bukit Kiara Equestrian & Country Resorts, baru-baru ini, Mamat berkata, walaupun dia sudah tidak lagi bersama Jepp dan Shuib, itu bukan satu masalah untuk mereka bekerjasama.

"Saya datang untuk memberikan komitmen bagi filem sulung lakonan kami bertiga. Saya tidak ada masalah untuk membezakan antara hal peribadi dan kerjaya," katanya.

Mamat berkata lagi, dia sendiri hanya tahu mengenai keputusan Jepp dan Shuib menubuhkan Sepahtu daripada rakan yang membaca akhbar.

Jejaka berasal dari Kulai, Johor ini turut menjelaskan dia tidak menganggap apa yang dilakukan Jepp dan Shuib sebagai tindakan menikam dari belakang, sebaliknya sudah suratan takdir.

"Saya dapat tahu mengenai perancangan Jepp dan Shuib itu menerusi kawan yang membaca akhbar dan Internet. Tidak mengapalah kalau itu keputusan mereka, saya akur. Sebagai kawan saya tetap mendoakan mereka berdua berjaya dengan segala yang diusahakan," kata Mamat.

Didesak mengenai kenyataan mengatakan kewujudan Sepahtu! adalah sebahagian daripada usaha Jepp dan Shuib untuk menyingkirkan dirinya yang dikatakan banyak masalah, Mamat berkata, kalau itu juga alasannya, dia tidak dapat berbuat apa-apa.

"Apa yang penting kami tidak bermusuh. Kalau masakan kami dapat berjumpa dan akan berlakon bersama-sama.

"Mungkin setakat itu saja 'jodoh kami' dalam Sepah. Sebelum ini pun kami sudah bersetuju kalau kalau ada tawaran datang secara individu, kami dibenarkan untuk bergerak sendiri. Jadi ia bukanlah satu masalah besar kepada kami," katanya.

Pada waktu sama Jepp dan Shuib menjelaskan nama Sepah memang asalnya idea Mamat ketika mereka mula-mula ditubuhkan.

Mungkinkah selepas ini Mamat akan mengambil anggota lain pula bagi menggantikan tempat dua rakannya itu?

"Setakat ini saya belum lagi memikirkan mengenai perkara itu. Lagipun bukan senang hendak cari orang sebagai pengganti. Ada kawan yang rapat dengan saya pun tidak berani untuk menyertai Sepah inikan pula orang luar yang belum tentu serasi dengan saya.

"Setakat ini biarlah saya membawa nama Sepah seorang diri. Saya sendiri tidak tahu dan dapat menjangka apa yang akan berlaku pada masa depan," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.