Adsense

Khamis, 13 Oktober 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Jiwa sekeras keluli

Posted: 12 Oct 2011 03:07 PM PDT

Hip

Real Steel bukan sekadar aksi robot

MEMANG nampak pelik tapi menarik dan lucu menonton filem Real Steel apabila dua gergasi keluli dengan tubuh sasa mengikut badan manusia, bergasak dalam gelanggang tinju.

Tidak ada titisan darah terkeluar tetapi kedengaran bunyi berdenting apabila dua logam keluli berlaga yang kadang-kadang terasa ngilu pula apabila mendengarnya. Ironinya, pada masa depan, dalam dunia perfileman, manusia sudah tidak diperlukan jadi pemain wataknya. Mungkin, robot akan mengambil alih untuk menjadi pelakon.

Mungkin ada yang beranggapan, robot tidak ada perasaan untuk menghayati rasa cinta, kecewa dan gembira. Robot selalunya dikaitkan dengan keganasan dan kekejaman. Tapi jangan lupa, filem seperti Bicentennial Man, I-Robot dan Artificial Intelligent (A.I) adalah anatra filem yang menggambarkan robot mempunyai perasaan terhadap manusia.

Begitu dengan filem Tamil, Endhiran (The Robot) lakonan B Rajnikant sebagai robot yang diberikan 'hati dan perasaan' sehingga jatuh cinta dengan teman wanita si penciptanya sendiri iaitu Aishawarya Rai.

Dalam Real Steel, memaparkan mengenai keberanian dengan palitan nilai kasih sayang adalah perisai bagi mengalahkan segala-galanya sehingga besi yang keras dapat dilembutkan.
Begitulah yang di imaginasi lalu diadaptasikan dalam buah tangan terbaru Shawn Levy yang sebelum ini mengarahkan filem Night At The Museum dan Date Night.

Ketika mendengar dan menonton sedikit thriller dari filem ini, pastinya dibayangi filem robotik seperti Transformers atau Iron Man, namun ada perbezaan dalam penyampaian filem ini yang ditangani pengarah dengan garapan yang cukup ringkas dan kemas.

Nyata picisan karya anak kelahiran Montreal, Quebec ini tidak hanya berpaksikan aksi robotik dalam dunia filem ciptaannya semata-mata tetapi lebih menyingkap kepada nilai kasih sayang dan kemanusiaan sebagai inti pati yang menggerakkan naratif cerita.

Bijaknya pengarah ini apabila menggunakan subjek perhubungan yang mana akhirnya seorang anak berusia 11 tahun disatukan dengan ayah yang selama ini berhati batu dan mementingkan diri dalam dunia yang asing iaitu tinju robotik.

Lakonan Hugh Jackman sebagai peninju dan keserasiannya bersama pelakon kanak-kanak, Dakota Goyo yang bijak bermain dengan emosi melalui renungan matanya membawa penonton menghayati nilai sebenar kasih sayang yang diperlukan seorang anak yang membesar dan perlu melalui fasa kehidupan.

Memilih Jackman membawakan watak seorang bapa adalah pilihan yang dikira tepat kerana walaupun Jackman diacuankan oleh Shawn Levy sebagai bapa yang mementingkan diri, kasar dan mementingkan wang ringgit, tetapi istimewanya watak itu tidak langsung menimbulkan kebencian di hati penonton sepanjang penceritaan itu menemui penonton.

Ini kerana Jackman yang memegang watak Charlie Kenton disifatkan peribadinya dalam filem itu sebagai lelaki kasar dan keras kepala akhirnya layu dan tersungkur dalam pelukan serta kemahuan anak lelaki tunggalnya itu sehingga mengetepikan pendiriannya yang tidak mahu terbabit lagi dalam dunia tinju selepas robot mula menguasai sukan tinju pada zaman itu.

Reka bentuk set yang diilhamkan Tom Meyer mencapai tahap serta imaginasi sebuah rekaan set lakon yang berkesan dalam mengukuhkan lagi jalan cerita aksi robotik seperti itu. Tom Meyer bijak dalam memilih dan meletakkan robot ciptaannya ke dalam layar Real Steel kerana setiap rekaan ada karisma yang cukup kena dengan watak yang dicipta pengarah.

Genre aksi drama yang diserapkan yang ditulis oleh Dan Gilroy serta Jeremy Leven diadaptasi daripada cerita pendek Steel cetusan Richard Matheson itu dilihat memberi satu warna dalam pengolahan filem robotik yang mungkin dibayangkan sebagai filem ganas, aksi, pembunuhan tetapi ia sebenarnya membawa manusia dalam menilai sifat kemanusiaan yang hilang dan perlu dicari.

Apa yang agak dikesalkan pengakhiran yang ringkas dan kurang dramatik walaupun frasa ayah yang keluar dari mulut Max meruntun perasaan. Ini kerana penonton pastinya mahu melihat sesuatu yang lebih tragis berlaku dalam penyatuan dua beranak itu.

Istimewanya, pengarah juga tidak lupa memasukkan elemen humor dalam filem ini apabila memberi wajah kepada robot bernama Max sebagai yang mampu memberi tindak balas kepada perlakuan pemiliknya. Filem ini bermain dengan pelbagai rasa seperti aksi debaran, marah, kesakitan, pengorbanan, kasih sayang dan kelakar yang tidak menjemukan penonton.

Ringkasan Real Steel

Filem ini mengisahkan perhubungan antara dua beranak iaitu ayah dan anak lelaki yang terpisah sejak anak kecil. Max yang kematian ibu, dibenarkan berjumpa dalam satu masa yang cukup singkat bersama ayahnya yang pernah menjadi peninju ternama dan dalam masa sama taksub dengan dunia tinju robot sehingga mencinta robot sendiri.

Minat yang mendalam itu tidak pernah memberikan hasil apabila robot ciptaannya yang ditugaskan memenangi pertandingan tinju tidak memulangkan hasil sehinggalah pada satu malam, ketika mahu mencuri bahagian robot yang pernah kalah di ruang tinju di sebuah lokasi terpencil, Max menemui robot, bernama Atom yang hampir tertanam di dalam tanah.

Max tidak menghiraukan larangan ayahnya membawa pulang robot dari generasi lama itu yang mempunyai kepandaian mengimbas perlakuan pemiliknya. Selepas diperbaiki, robot Atom masih berfungsi tetapi kehebatan diperkecil-kecilkan Charlie yang menganggap robot Atom sekadar robot yang digunakan untuk eksperimen semata-mata.

GENRE: Drama dan Aksi
TARIKH TAYANGAN: 13 Oktober
PELAKON: Hugh Jackman, Dakota Goyo, Anthony Mackie?, Evangeline Lilly?, Kevin Durand, Hope Davis, James Rebhorn? and Olga Fonda
PENGARAH: Shawn Levy.

Full content generated by Get Full RSS.

Tahniah Datuk Andre Goh

Posted: 12 Oct 2011 03:00 PM PDT

Hip

Andre Goh ketika menerima penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh.

Andre Goh ketika menerima penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh.

Dikurniakan pingat DMSM di atas dedikasinya terhadap lagu Melayu Asli

PENYANYI veteran, Andre Goh melahirkan perasaan terharu dan teruja menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk sempena hari jadi rasmi Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob ke-73 pada 8 Oktober lalu.

Pemilik nama Goh Eng Boon yang kini berusia 65 itu juga, mengakui tidak menyangka sama sekali akan diberi pengiktirafan tinggi seperti itu oleh kerajaan Melaka selepas kira-kira 39 tahun terbabit dalam industri hiburan di negara ini.

Saya yang berketurunan Baba Melaka menjadikan semua adat dan budaya orang Melayu sebagai amalan dalam keluarga, sebab itu sejak kecil lagi saya sudah bergaul dan terikut dengan budaya Melayu. - Andre Goh, Penyanyi

Terkenal sebagai penyanyi lagu-lagu Melayu Asli sejak sekian lama dan pernah menjadi finalis Bakat TV Kedua 1972, beliau mendedikasikan penganugerahan itu kepada rakan-rakan yang sealiran memperjuangan genre itu, sama ada masih hidup atau sudah meninggal.

"Saya memang terperanjat apabila diberitahu mengenai pengiktirafan yang diberikan ini melalui panggilan telefon empat hari sebelum majlis diadakan. Memang sukar mengungkapkan perasaan gembira...terima kasih tidak terhingga kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka dan kerajaan Melaka.

"Penganugerahan ini sudah tentu amat bermakna sekali dan saya ingin mendedikasinya kepada rakan-rakan seperjuangan yang turut memartabatkan lagu Melayu asli sama ada yang sudah tiada, masih hidup dan akan datang," katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan itu di Seri Negeri, Ayer Keroh, baru-baru ini.

Goh adalah antara 1,068 individu yang menerima darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran kerajaan Melaka meliputi anggota kabinet, artis dan pengamal media termasuk 118 membawa gelaran Datuk sempena hari jadi rasmi Yang Dipertua Negeri Melaka itu, bagi tahun ini.
Hadir sama menyaksikan penganugerahan itu ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan isteri, Datin Wira Asmah Abd Rahman serta Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad.

Pada awal zaman pembabitannya dalam bidang seni, Goh boleh dianggap pencetus kepada kebangkitan penyanyi bukan Melayu yang berjaya menempa nama dalam kebanjiran artis Melayu tanah air pada masa itu sehingga orang mengenali Andre Goh dengan lagu berirama Melayu asli.

Mengungkap sejarah hidupnya, Goh memberitahu, ibunya, Wee Teck Neo berasal dari Melaka Pindah, Melaka manakala ayahnya, Goh Tiam Leong pula dari Kampung Pantai Belimbing Dalam, Durian Tunggal.

Selepas seminggu kelahirannya, keluarganya berpindah ke Kampung Sialang, Tangkak, Johor. Disitu beliau menjadi satu-satunya keluarga Cina menetap di tengah perkampungan Melayu, sekali gus menjadikan mereka terikut dengan budaya orang Melayu.

Justeru, latar kehidupannya itu menjadikan beliau begitu fasih berbahasa Melayu dan apa yang menarik, bukan saja dirinya yang boleh menyanyikan lagu Melayu dengan baik, malah bapanya turut mahir mendendangkan lagu dondang sayang.

"Ibu saya pula sungguh mahir berpantun walaupun dia tidak pernah bersekolah. Rumah saya juga sering menjadi tempat perhimpunan orang kampung untuk belajar menyanyi lagu langgam, dondang sayang atau asli.

"Saya yang berketurunan Baba Melaka menjadikan semua adat dan budaya orang Melayu sebagai amalan dalam keluarga, sebab itu sejak kecil lagi saya sudah bergaul dan terikut dengan budaya Melayu," katanya.

Ketika ini, selepas 39 tahun dalam industri hiburan, Goh masih ktif dalam memenuhi undangan nyanyian di seluruh negara dan baru sahaja selesai membuat persembahan sempena Pesta Layang-layang Antarabangsa di Bintulu, Sarawak pada 24 September lalu serta Konsert Gemilang 50 Tahun Orkestra Radio Televisyen Malaysia yang rakamannya bakal disiarkan pada 1 November nanti.

Sebelum ini, beliau pernah merakamkan album (bentuk EP) pertama pada 1973 berjudul Halimun Malam, disusuli album lain termasuk Harapan Kecewa, Samudera Sunyi, Fatwa Pujangga, Impian dan Nostalgia Aidil Fitri Bersama Artis Lagenda (1998).

Selain menyanyi, beliau turut berbakat dalam bidang lakonan drama antaranya Sayang Mas Merah, Kadir & Kim, Di Hujung Pelangi, selain lakonan filem Dayang Suhana serta sitkom Keluarga Nyonya dan Mama Mahu Khawin Lagi arahan Mat Sentul.

Antara anugerah lain yang pernah diterima beliau ialah Bintang Ahli Mangku Negara pada 1982 dan Darjah Seri Melaka pada 2008.

Full content generated by Get Full RSS.