Adsense

Sabtu, 10 September 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Resepi 2 'diva'

Posted:

Resepi 2 'diva'

Resepi 2 'diva'

Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my
Foto SHAHRIL AZMAN ZAIN


BAIK Ziana mahupun Erra percaya dengan kepercayaan yang diberi sang suami, mereka mampu terus mencipta kejayaan dalam mengejar kerjaya.


PERTEMUAN yang diatur disambut dengan mesra oleh mereka, apatah lagi ini merupakan kali pertama Pancaindera cuba menggandingkan pelakon yang pernah mencipta fenomena menerusi filem Maria Mariana dan Sembilu ini.

Dulu kedua-dua diambang populariti. Melalui filem dan nyanyian di awal kerjaya yang membawa Erra Fazira dan Ziana Zain ke puncak kemasyhuran sampai hari ini. Impak yang ditinggalkan oleh mereka bukan kepalang. Sementelah ramai yang cukup teruja mendengar tarikan suara Ziana yang cukup bertenaga itu.

Erra pula lebih menyerlah dalam bidang lakonan. Pernah satu ketika digelar primadona filem Melayu, kini isteri kepada Engku Emran Engku Zainal Abidin itu lebih selesa di kaca televisyen. Kontraknya sebagai wajah eksklusif Astro juga sudah disambung dua tahun lagi.

Dalam kalut orang bercakap tentang bakat baru, hebatnya dua diva ini kekal di persada. Baik Ziana mahupun Erra masih di singgahsana popular, malah menjadi permintaan banyak pihak untuk melariskan produk mereka termasuklah pada Ramadan dan Syawal mulia kali ini.

Bagi mereka soal populariti bukan menjadi keutamaan. Apa yang paling penting adalah memuaskan hati semua pihak yang cukup mengharapkan 'kerja' mereka.

Tidak sekadar mencari populariti, Ziana mahupun Erra sedar kerlipan populariti itu akan datang dengan sendiri. Semuanya terletak atas keiklasan hati mereka saat kali pertama melangkah sebagai anak seni dulu.

Masih segar dalam ingatan mereka bagaimana hayunan langkah pertama dulu. Tidak seperti hari ini dengan lambakan program-program realiti yang cukup untuk mempopularkan mereka sekelip mata.

Nah, lihat sahaja apa yang mereka ada hari ini. Masih mampu kekal bertahan sebagai dua diva popular biarpun ramai pelapis-pelapis baru yang naik daun. Itu bukan masalah bagi kedua-dua ibu popular ini memandangkan hadir mereka bukan untuk bersaing dengan sesiapa.

Lantas apa yang ada cukup disyukuri. Nikmat popuriti dan kebahagiaan tak berpenghujung cukup untuk membuat mereka rasa bahagia. Tambahan pula masih ramai yang mahukan mereka di pentas populariti, itu menambah bunga di hati mereka.

Tidak ada 'sihir' yang digunakan oleh Ziana mahupun Erra, nasihat mereka pada orang baru agar menjaga diri supaya tidak hanyut dek arus populariti.

Mungkin ada benar kata-kata yang dilemparkan oleh dua diva yang cukup tersohor ini, salah langkah memakan diri sendiri.

Lebaran terindah

Bercerita lanjut dengan ibu kepada Engku Aleesya ini, Erra tidak menafikan bahawa Ramadan yang lalu merupakan saat yang cukup indah buatnya kerana tidak terikat dengan banyak penggambaran drama seperti tahun terdahulu.

"Saya bersyukur sangat kerana masih diberi kesempatan untuk meraikan Syawal dengan orang yang saya sayangi. Memang ini acara yang kita nantikan selepas sebulan berpuasa.

"Paling tidak pun saya patut bersyukur kerana segala yang dirancang berjalan lancar. Dulu saya merancang nak beraya di Pulau Pinang tahun ni. Tak kisahlah beraya di mana sekalipun yang penting kami sekeluarga gembira.

"Tiap kali tiba raya memang sayalah orang yang tak menang tangan. Ada sahaja kerja nak buat dekat rumah sampaikan saya jadi sibuk macam orang bekerja pula.

"Sesibuk mana sekalipun saya tetap akan memastikan juadah raya seperti ketupat dan rendang wajib ada atas meja. Itu memang tradisi orang dulu dan kita hanya warisi," tutur Erra lagi.

Jadi Mazni

Kalau ada yang mengikuti perkembangan Erra, pasti tahu penglibatan wanita itu dalam teater Badai Semalam yang akan dipentaskan di Istana Budaya tidak lama lagi. Bakal memegang watak Mazni dalam naskhah tersebut, Erra cukup yakin dapat memberikan yang terbaik memandangkan dia cukup berminat dengan teater berkenaan.

"Saya sanggup tolak kerja lain kerana watak Mazni. Saya anggap pengorbanan ini sebagai sesuatu yang baik untuk portfolio seni saya.

"Bila lihat sahaja tawaran dan skrip diberikan saya tahu saya tidak boleh menolak semua ini. Kalau menolak naskhah ini sama seperti saya menolak tuah.

"Lagi satu saya cukup gembira kerana dapat berlakon dalam teater yang rata-ratanya terdiri daripada kawan baik saya. Ini memang saya idamkan sejak dulu dan hanya kini baru peluang itu muncul," kata Erra yang akan berlepas ke Milan, Italy pada hari raya kelima yang lalu.

Pergi atas dasar kerja, Pancaindera dikhabarkan Erra pergi untuk mengikuti satu pertunjukan fesyen di sana.

Kari ayam pencen Ziana

"Saya pula dah buat persiapan raya pada selepas seminggu kita berpuasa. Anak saya ada empat, bukan senang nak urus saat-saat akhir ni. Setidak-tidaknya semua dah beres sebelum kepala saya sakit," kata Ziana tertawa.

Peluang berjumpa dengan penyanyi pujaan Malaysia ini memang istimewa. Jalinan ikatan yang dibina selama ini bagaikan tidak bertepi apabila dia masih seperti dahulu. Jauh sekali sikap bongkak dan bangga diri, Ziana masih kekal begitu sama seperti di awal kemunculannya.

Tahun ini penyanyi Madah Berhelah menyambut kedatangan Syawal dengan keluarga di Shah Alam, Selangor. Pada sebelah tengahari pula mereka satu keluarga besar akan pulang ke kampung halaman di Melaka.

Tradisi begini sudah menjadi kebiasaan buat Ziana sekeluarga. Baginya hari raya bukan sekadar hari untuk meraikan kemenangan umat Islam setelah sebulan berpuasa tetapi lebih kepada mengeratkan silaturahim sesama keluarga dan sahabat handai.

"Kalau sebut pasal raya ni memang saya tak boleh lupa pada juadah kuah kacang dan nasi impit. Memang itu menu wajib saya tiap kali sambut raya. Paling istimewa gulai kari ayam pencen yang memang akan dibuat tiap-tiap tahun.

"Semua stok raya saya beli awal. Kira macam orang pertama yang terpacak di pasar nak beli ayam, daging dan macam-macam lagilah.

"Sehari sebelum raya, saya dan adik beradik yang lain akan bergotong-royong masak kari ayam pencen ni. Masa tu memang meriah rumah sebab semua berkumpul sebagai sebuah keluarga yang besar," katanya mengimbau cerita lebaran yang hampir dua minggu berlalu.

Tidak hanya mementingkan persiapan diri semata-mata, tumpuan sangat terarah kepada empat cahaya mata yang sedang membesar. Segala-galanya ditunaikan demi anak-anak yang cukup teruja meraikan hari raya ini.

Masih aktif

SATU masa lalu nama Ziana Zain memang benar-benar berada di puncak kemasyhuran. Banyak tawaran yang datang silih berganti sehingga menyebabkan dia sendiri sudah tiada masa.

Namun sejak berkeluarga ini, semuanya semakin berkurangan. Berkurang tak bermakna tak laku tetapi ada perkara yang membataskan Ziana daripada terus aktif seperti dahulu kala.

Kalau ada yang perasan, sejak melahirkan sepasang anak kembar, kerjaya seni Ziana dilihat semakin perlahan jika mahu dibandingkan dengan rakan-rakan yang lain.

Tidak menafikan keluarga perlu diutamakan, isteri kepada Armin Zaharin itu meletakkan keluarga dan anak-anak di tempat tertinggi dan kerja pula di tempat kedua.

"Anak-anak saya bukan seorang, tapi empat. Jadi banyak perkara yang saya kena buat termasuklah hantar dan ambil mereka dari sekolah. Kalau setakat nak rakam single tu memang tak ada masalah. Tapi kalau nak berlakon macam dulu tu memang tidaklah atas kekangan masa.

"Ada juga orang tawarkan berlakon filem dan juga drama tapi semuanya saya tolak mentah-mentah. Kalau ikut hati memang nak sangat tapi saya anggap tak ada rezeki," tambah Ziana.

Selain sedang giat mempromosikan lagu Pawana, Ziana juga sudahpun selesai merakamkan lagu baru bersama Sohaimi Mior Hassan yang berjudul Misteri Cinta.

Anak KD iras Raul

Posted:

Anak KD iras Raul

Anak KD iras Raul


KD berbahagia dengan kehadiran anak baru pada usia 36 tahun.


Bayi kontroversi akhirnya muncul juga ke dunia, beberapa hari selepas umat Islam menyambut 1 Syawal.

Joyah nak ucapkan tahniahlah kepada penyanyi Krisdayanti atas

kelahiran puteri sulungnya bersama suami baru, Raul Lemos.

Lahir di Rumah Sakit Mitra Kemayoran, Jakarta pada Isnin lalu dengan berat 2.92 kilogram, bayi comel itu diberi nama Ariannha Amora Lemos. Sewaktu bersalin, Raul setia di sisi isterinya yang melalui kaedah pembedahan.

"Ariannha itu adalah bagaikan intan, Amora pula maksudnya cinta. Jadi, intan penuh cinta. Ariannha diambil dari bahasa Latin sementara Amora dari Portugis. Kami harapkan bantuan doa dari sahabat dan rakan semua, agar putri kami menjadi anak yang berbakti dan soleh," ujar Raul.

Sementara itu, kakak KD pula memberitahu Ariannha lebih mirip Raul.

"Anak perempuan lebih mirip ayahnya, laki-laki mirip ibunya. Lucu sekali lihat bibirnya yang seksi. Lucu lihat anak buah saya. Aurel dan Azriel (anak KD dengan Anang) juga senang," ujar Yuni.

KD melahirkan melalui operasi caesar, dan keseluruhan biaya persalinannya disebut-sebut sekitar mencecah RM35,000. Sah-sah bernikah dengan jutawan, mestilah layanan pun kelas bintang juga sewaktu bersalin.

Joyah harap dengan kehadiran bayi ini, rumah tangga KD dan Raul akan bertambah bahagia. Maklum sajalah, KD sanggup meninggalkan suaminya yang dulu, Anang semata-mata kerana Raul. Jadi, sudah tentu dia akan berusaha segigih mungkin membahagiakan dirinya dan Raul apatah lagi dengan kelahiran bayi pertama hasil perkongsian hidup mereka.