Adsense

Sabtu, 10 September 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Cari penawar virus pembunuh

Posted: 09 Sep 2011 04:43 AM PDT

MEMANDANG wajahnya yang jelita itu, ternyata dia memiliki pesona aura yang hebat bagi seorang bintang filem.

Sering menjadi perhatian orang ramai tatkala muncul di khalayak umum, Marion Cotillard, 35, ternyata sangat bijak menyesuaikan diri dari sudut penggayaan. Pelakon dan penyanyi ini sedar lensa kamera pihak media sentiasa memburu sesuatu yang menarik.

Ketika ini juga, filem terbaru lakonan Marion arahan Steven Soderbergh sedang ditayangkan di seluruh dunia. Filem menarik itu - Contagion - menyaksikan Marion memegang peranan seorang doktor bernama Leonora Orantes yang berusaha mencari penawar untuk wabak penyakit yang pantas merebak.

Dalam satu kenyataan media antarabangsa, Marion yang pernah merangkul Oscar dan trofi Golden Globe Awards menjelaskan, watak terbaru yang dipegangnya itu bukanlah semudah yang dilihat.


Sebelum memulakan penggambaran lagi katanya, dia perlu terlebih dulu membaca buku mengenai perubatan dan menonton beberapa dokumentari yang berkaitan dengan wataknya demi menjiwai peranan itu.


"Mungkin penonton melihat watak saya nampak mudah, malah saya sendiri terfikir seperti itu pada mulanya. Namun apabila diberikan penerangan mendalam mengenai watak itu, barulah saya menggelabah kerana watak Dr Leonora itu sebenarnya sangat mencabar kredibiliti saya sebagai seorang pelakon.

"Saya mula pergi ke perpustakaan dan membaca buku berkaitan perubatan agar mendapatkan 'mood' terbaik bagi memainkan peranan itu.

"Bercakap mengenai Leonora pula, dia ditugaskan untuk mencari punca asal penyakit yang melanda Eropah. Leonora terpaksa turun padang mencari pesakit yang dijangkiti sejenis virus yang amat berbahaya itu. Dia kena menjejaki sama ada virus itu datang daripada sumber haiwan atau air.

"Ketika mencari punca penyakit itu serta penawarnya, dia terpaksa berdepan dengan saat mendebarkan kerana dengan hanya sekali sentuhan, seseorang itu sudah boleh dijangkiti virus itu," jelasnya.

Marion yang mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan sejak 1993 menyifatkan pengarah filem itu, Steven, sangat serius ketika bekerja tetapi dia sebenarnya cukup peramah apabila di luar set penggambaran.

Pelakon jelita itu akui rasa sangat bertuah kerana diberikan peluang hebat untuk bekerjasama dengan pengarah itu bersama pelakon kelas A di Hollywood.

Antara pelakon terkenal lain yang membintangi Contagion adalah Jude Law, Kate Winslet, Gwyneth Paltrow, Matt Damon dan Laurence Fishburne.

Katanya mereka semua insan seni yang baik dan dia tidak berdepan dengan sebarang masalah untuk berkerja dan mengeratkan hubungan persahabatan.

"Saya sangat teruja apabila mendapat tahu mereka semua turut membintangi Contagion, inilah peluang saya untuk berkongsi pengalaman dengan mereka.

"Walaupun saya sudah lama berkecimpung dalam dunia lakonan, saya akui masih banyak yang perlu dipelajari dan diasah demi menjadi pelakon yang lebih baik. Setiap mereka ada pengalaman berbeza, jadi elok sangatlah kami bertukar pandangan di lokasi," ujarnya.

Filem ini antara lain mengisahkan seorang ahli perniagaan (Gwyneth Paltrow) yang sering ke luar negara tiba-tiba dijangkiti sejenis virus dan dalam masa 24 jam, virus berbahaya itu mula merebak dengan pantas.

Ini membuatkan saintis dan pakar di seluruh dunia mula panik dan seterusnya mula bertindak mencari jalan penyelesaian.

Selain Contagion, anak kepada seorang pengarah terkenal, Jean-Claude Cotillard ini turut membintangi sekuel Batman terbaru, The Dark Knight Rises yang akan ditayangkan tahun depan. Marion kini sibuk menjalankan penggambaran filem itu yang dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Memegang watak sebagai Miranda Tate, Marion berkata, bekerja di bawah arahan Christopher Nolan adalah sesuatu yang sangat menggembirakan dirinya.

"Filem itu adalah projek yang sangat besar dan saya berpeluang bekerja dengan pasukan produksi yang hebat," katanya.

Tidak dapat dinafikan bakat Marion yang diasah sejak kecil lagi banyak membantunya untuk berjaya seperti hari ini.

Sememangnya darah seni yang mengalir dalam tubuhnya itu bukan asing kerana ibunya, Monique Theillaud seorang pelakon handalan di Perancis manakala ayahnya, Jean-Claude ialah pelakon, pengarah dan guru lakonan 'mime' yang terkenal di Perancis.

PROFIL

NAMA SEBENAR: Marion Cotillard
TARIKH LAHIR: 30 September 1975
TEMPAT LAHIR: Paris, Perancis
FILMOGRAFI: Contagion, TaxI, Big Fish, Innocence, A Very Long Engagement, The Last Flight, Nine, Inception, Midnight In Paris, Little White Lies, Public Enemies, La Vie en Rose, Fair Play, Love Is In The Air
PENCAPAIAN: Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Cesar, Pelakon Wanita Terbaik (Academy Awards), Pelakon Wanita Terbaik (Golden Globe Awards)

Permain emosi penonton

Posted: 09 Sep 2011 04:33 AM PDT

SYAITAN Nirrojim, judulnya saja sudah menggerunkan, bagaimana pula hasilnya nanti? Semua itu tergantung pada tafsiran penonton saat ia memasuki panggung kelak.

Apa yang pasti, filem terbitan Primeworks Studio ini menyaksikan percubaan berani A Faizul Rashid diberi kepercayaan menjadi pengarah filem. Karya sulung dengan pemilihan judul yang berat dan digarap dalam genre seram menuntut kemampuan pengarahan luar biasa daripada Faizul juga Pengarah Fakulti Filem Animasi & Teater, UiTM, Shah Alam.

Lazimnya, sebagai pengarah baru mereka cenderung bermula dengan penghasilan filem bercorak ringan misalnya memilih genre romantik komedi atau komedi sebagai pertaruhan atau landasan memperkukuhkan nama sebelum mencabar diri pada sesuatu tugas yang sulit.

"Saya bersetuju dengan pendapat anda. Tetapi apabila bercerita soal pembikinan filem yang menelan belanja besar, sudah pasti selera penonton perlu diutamakan.


"Dalam pada berkarya, sudah pasti pihak produksi juga mengharapkan keuntungan. Oleh itu, wajarlah naskhah yang dipilih memenuhi kehendak khalayak. Kita harus menjadi realistik bahawa penonton di negara ini lebih cenderung atau berminat menonton filem seram.


"Jujur, saya sendiri berasa gementar menggalas tugas ini, apatah lagi pertama kali mengarah filem dan sebelum ini terbabit dalam kerja balik tabir. Pun begitu, saya percaya dengan pengalaman yang ada, saya mampu melaksanakannya dengan baik," katanya ketika ditemui di lokasi filem itu, baru-baru ini.

Sebelum melangkah ke dunia pengarahan sebenar, Faizul pernah terbabit dalam kerja suntingan akhir untuk beberapa filem dan juga drama seperti Duyung, Skrip 707, Sifu & Tongga, 4 Madu, Otai dan Cinta Medik. Peluang itu memberikan pendedahan, sekali gus pengalaman yang akhirnya ditawarkan untuk mengarahkan filem ini.

Bercerita mengenai Syaitan Nirrojim, karya ini mengisahkan Kamil dan Soraya, pasangan yang dihimpit kesempitan hidup dan menjadikan amalan sesat syaitan sebagai pendamping untuk memperoleh kesenangan dan kemewahan.

Sebelum penggambaran dimulakan, Faizul mencernakan mindanya dengan menonton beberapa filem seram dari Amerika seperti Shutter, Mirror dan Final Destination.
"Saya mencari idea untuk mendapatkan sudut kamera terbaik. Selain itu, saya juga menggunakan kamera Canon SD12 yang biasa digunakan untuk menghasilkan iklan komersial untuk gambar yang lebih jelas.

"Tidak ketinggalan penggunaan teknik CGi untuk 40 peratus filem ini tetapi teknik ini digunakan bukan kerana saya sengaja mahu lakukannya. Sebaliknya, ia digunakan untuk mencantikkan gambar.

"Dalam menitikberatkan aspek teknikal, skrip cerita ini yang diselitkan hadis dan ayat al-Quran juga merujuk pada pakar agama agar tidak berlaku sebarang percanggahan," katanya.

Syaitan Nirrojim menjalani penggambaran sekitar Lembah Klang, Fraser Hill dan Kuala Kubu Bharu selama 14 hari dan ia menampilkan Fizz Fairuz, Nabila Huda, Wan Sharmila dan Azam Pitt sebagai bintang utama.

Mengerti bahawa genre seram dipelopori ramai pengarah sebelum ini, Faizul menggunakan formula yang sedikit berbeza serta bermain dengan emosi penonton.

"Kemunculan makhluk halus dalam cerita ini dikawal dan ia tidak diperlihatkan secara kerap. Kemunculannya juga pada situasi yang tidak disangka-sangka," katanya.