Adsense

Jumaat, 2 September 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Perceraian ada hikmah

Posted:

Perceraian ada hikmah

Perceraian ada hikmah

Oleh KHADIJAH IBRAHIM
khadijah.ibrahim@utusan.com.my
Gambar AMIN FARIJ HASAN
Pakaian kanak-kanak Gingersnap


Abdul Warits (kiri), Abdul Wafri berebut untuk bersalam dengan Anne yang sedang memangku Nazhakah Afroza.


MESKIPUN Anne atau Nasriah Ngasri, 26, mempunyai sosok tubuh yang kecil namun secara zahir, dia merupakan seorang yang berjiwa besar dalam menempuh kehidupan ini.

Ketabahan dan kegigihan itu dapat dilihat dalam usahanya untuk membesarkan tiga orang cahaya mata, Abdul Warits Abdul Wafi, 5, Abdul Wafri, 3, dan Nazhakah Afroza, 10 bulan.

Kata Anne, sejak bercerai talak tiga dengan bekas suaminya, Abdul Wafi Hassan, 29, pada 25 Jun 2010, dia perlu menjadi ketua keluarga.

Anne yang menyambut raya kali kedua tanpa suami di sisi berkata, sejak bergelar ibu tunggal, dia lebih mengutamakan keperluan anak-anak berbanding kepentingan sendiri.

"Bagi Anne tidak ada bezanya beraya bersama suami atau tidak. Tahun ini tidaklah sedih seperti dulu, sebab ini tahun kedua Anne beraya tanpa suami.

"Ada seronoknya juga sebab ini kali pertama Anne, Warits dan Wafri beraya dengan Afroza. Sebab itulah, apa-apa hal pun Anne lebih utamakan anak-anak," katanya tersenyum.

Tambahnya, walaupun sudah bercerai namun hubungan bekas suami dengan anak-anak tidak pernah putus dan Wafi boleh bertemu dengan anak-anak pada bila-bila masa.

Lantaran persefahaman itulah, anak-anak tidak pernah merasai yang mereka kehilangan seorang ayah.

Menurut Anne, apa yang berlaku ke atasnya bukanlah musibah tetapi lebih kepada hikmah kerana ramai yang memberi sokongan kepadanya.

"Walaupun hidup sendirian, Anne tidak pernah rasa sunyi. Tengoklah (rujuk gelagat anak-anak), masa bila nak sedih-sedih. Kalau setengah jam mereka boleh duduk diam, itu sudah kira baik.

"Anak-anak adalah penyeri hidup Anne dan mereka adalah keutamaan dalam apa juga yang Anne lakukan," jelasnya yang beraya dengan kedua ibu bapanya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Katanya, selepas beraya di Kuala Lumpur, ahli keluarganya akan berangkat ke Johor untuk beraya dengan sanak saudara di sana.

Menurut Anne, setiap kali mengenangkan masa depan anak-anak itu yang membuatkan dia bersemangat untuk bekerja keras tanpa mengira waktu.

Dalam waktu yang sama kata Anne, rezeki berlakon datang tidak henti dan ada ketikanya dia tidak terdaya memenuhi tawaran tersebut.

Anne yang turut berlakon drama Hostel Ramadan yang disiarkan di TV AlHijrah sepanjang Ramadan lalu berkata, sejak menjadi ketua keluarga, banyak perkara yang tidak pernah dibuat sebelum ini dilakukan sendiri.

"Kalau dulu, Anne lebih memberi tumpuan pada keluarga kerana tahu mencari nafkah adalah tanggungjawab suami dan sebab itulah Anne tidak banyak berlakon.

"Sekarang ini perlu bekerja keras dan lakonan merupakan punca pendapatan Anne untuk membesarkan anak-anak. Alhamdulillah, sehingga kini rezeki Anne dalam bidang lakonan tidak pernah berhenti," katanya lega.

Belum fikir jodoh

Sebagai ibu tunggal yang menjadi perhatian ramai dek lakonan drama, Anne tidak dapat lari daripada diintai kaum Adam.

Biarpun ada yang cuba untuk mendekati hatinya, namun Anne tidak mudah jatuh cinta kerana matlamat utamanya ketika ini adalah anak-anak.

"Macam baru sangat nak cari pengganti. Biarlah Anne besarkan anak-anak dulu. Soal jodoh itu, biar ia datang sendiri. Nak beria sangat pun Anne sudah ada tanggungjawab, bukan boleh main terima sahaja.

"Bila sudah ada anak-anak, penerimaan Anne juga turut berbeza. Anne mesti fikir, mahukah lelaki itu menerima anak-anak seperti mana dia terima Anne. Apa pun setakat ini, Anne belum terlintas untuk kembali berumahtangga," katanya terus terang.

JYJ lambang anak muda cekal

Posted:

JYJ lambang anak muda cekal

JYJ lambang anak muda cekal


JEJAKA kacak yang berbakat.


JENTAYU, patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, patah siku bertongkat dagu, patah dagu bertongkat kuku – lirik lagu Sheila Majid dan Nora yang diambil daripada puisi Sasterawan Negara Allahyarham Usman Awang ini tiba-tiba terlintas di fikiran apabila memikirkan JYJ.

Bagi penulis, tiga jejaka ini ~ Jaejoong, Yoochun dan Junsu ~ ialah lambang anak muda yang cekal dan tidak pernah menyerah kalah.

Walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan kekangan dalam karier nyanyian sejak meninggalkan DBSK pada 2009 – termasuk 'dibatalkan' kemunculan di saat-saat akhir baik di televisyen mahupun pentas persembahan – mereka tidak pernah putus harapan!

Dan hasilnya, bakat mereka diiktiraf oleh pelbagai pihak dalam industri hiburan Korea Selatan.

Park Yoochun baru-baru ini terpilih sebagai Aktor Paling Popular Asia untuk Anugerah Drama Seoul 2011, menewaskan 115 calon lain dengan memperoleh 480,000 undian.

Dia yang membintangi drama KBS, Sungkyunkwan Scandal tahun lalu telah pun memenangi Anugerah Bintang Baru, Anugerah Netizen dan Anugerah Pasangan Terbaik.

Tahun ini, Yoochun muncul sebagai watak utama dalam drama MBC, Miss Ripley bergandingan dengan Lee Da Hae.

Kim Junsu pula menyerlah sebagai pelakon pentas menerusi teater muzikal hit seperti Mozart! dan Tears Of Heaven.

Sementara Kim Jaejoong yang serba berbakat bukan setakat berlakon dalam drama Jepun, Hard To Say I Love You bahkan mengarahkan sendiri Konsert Jelajah Dunia JYJ 2011 dari Asia hingga ke Amerika Utara.

Buat masa ini, kemunculannya dalam drama SBS yang sedang ditayangkan, Protect The Boss walaupun bukan sebagai hero, mendapat pujian ramai.

Kerja keras sebagai satu kumpulan yang bukan sekadar bersandarkan paras rupa cukup berbaloi apabila populariti JYJ kini berkembang sehingga ke Amerika Syarikat malah berpeluang bekerjasama dengan Kanye West dan Rodney Jerkins untuk album mereka.

Semangat juang inilah yang dikagumi peminat mereka dan mungkin patut dipelajari oleh artis Malaysia!