Adsense

Jumaat, 2 September 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Harap Zahida segera temu jodoh

Posted: 01 Sep 2011 07:25 AM PDT

HAKIKATNYA, tidak mudah untuk pertemukan tiga bintang popular ini. Meskipun mereka teman rapat yang sering kali meluangkan masa bersama, ia tidak semudah mengaturkan sesi fotografi seperti dulu. Ini kerana masing-masing terikat dengan komitmen dan tanggungjawab sendiri, malah lebih sukar sejak dua daripada mereka sudah bergelar ibu.

Baik Erra Fazira yang kini sibuk menguruskan puteri kesayangannya, Aleesya, ibu kepada dua hero yang kian membesar, Datin Paduka Umie Aida mahupun Zahida Rafik yang tidak lekang mengukir senyuman, masing-masing percaya pada paksi persahabatan atas landasan keikhlasan.

Lantas, undangan ke sesi rakaman program Astana bersama Anita Sarawak yang kebetulan singgah di kediaman Umie, tidak harus dilepaskan.

Rungut Zahida, dia satu-satunya bunga yang masih belum disunting. Apabila Umie dan Erra sudah berkeluarga, ia sedikit sebanyak memberikan tekanan kepadanya.


Tambahnya lagi, Erra dan Umie yang sudah dikenali lebih 10 tahun lalu begitu bertuah kepada memiliki suami yang begitu memahami dan membenarkan mereka bertiga untuk sesekali meluangkan masa melepak bersama.


"Memang awalnya saya sedih juga terutama melihat sahabat baik menjadi isteri orang. Kemudian mulalah terfikir yang saya akan kehilangan mereka tapi selepas beberapa ketika, itu semua adalah andaian semata-mata kerana persahabatan kami masih seperti dulu. Jika ada kelapangan, kami memang akan berjumpa duduk bersembang dan minum kopi bersama.

"Setiap hari kami akan berhubung dengan menghantarkan mesej SMS bertanya khabar. Saya sendiri akan cuba mencari masa untuk datang melawat mereka di rumah lebih-lebih lagi Umie memang rajin untuk masak dan jemput kami semua datang ke rumahnya. Lantas hubungan kami masih sama yang mana Erra dan Umie adalah tempat saya bertanya pendapat atau mengadu apa juga masalah.

"Insya-Allah kalau ada rezeki, kami akan mengadakan rumah terbuka seperti biasa," katanya.

Usik Erra pula yang kini sibuk membuat persiapan untuk pementasan teater Badai Semalam selepas raya ini, baik Umie mahupun dirinya, mereka memang tidak sabar-sabar menunggu hari bahagia Zahida.

"Saya dan Umie adalah orang yang paling gembira kalau betul Zahida bertemu jodoh. Kami berdua akan paling sibuk menguruskan segala persiapan dan memastikan perkahwinannya itu sebuah majlis yang istimewa," katanya yang menyifatkan Zahida seorang teman baik dan jujur.

Bercerita soal sambutan Aidilfitri, ketiga-tiga bintang jelita ini punya kisah berbeza.

Umie umpamanya yang kali kedua meraikan Syawal bersama suami, ahli perniagaan Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan serta anak, Mohd Dzulhelmy dan Mohd Daniel Firdaus, menyifatkan kedatangan Aidilfitri sebagai peluang terbaik buat mereka sekeluarga mengejar ganjaran yang dijanjikan.

"Memang saya begitu seronok setiap kali datangnya Ramadan kerana kami sekeluarga boleh makan bersama dan kemudian berjemaah tarawih bersama. Cuma tahun ini suami saya mencuri peluang untuk menunaikan umrah selama seminggu dan saya pula terikat dengan jadual penggambaran filem Rentas.

"Persiapan beraya tiada bezanya. Anak-anak sudah besar dan persediaan raya mereka lakukan sendiri. Maklumlah anak bujang, saya hanya memberi duit dan mereka akan membeli sendiri.

"Sambutan Aidilfitri tahun ini seperti biasa kerana kami bergilir-gilir beraya bersama keluarga. Oleh kerana tahun lalu kami sekeluarga sudah menyambut hari raya pertama di rumah keluarga saya di Kuala Lumpur, lantas tahun ini kami meraikan Syawal di rumah mentua pula.

"Kalau diberi kelapangan dan rezeki atau tidak sibuk dengan jadual lakonan, saya akan mengadakan rumah terbuka macam tahun lalu di rumah kami," kata Umie
yang menggemari juadah laksa di pagi raya.

Erra yang menyambut Syawal di kampung sebelah suaminya di Pulau Mutiara dan Terengganu pula meletak sepenuh fokus kepada puteri kesayangannya yang kini semakin membesar.

"Alhamdulillah puasa kali ini saya dapat juga meluangkan masa bersama suami dan anak walaupun masih sibuk dengan jadual penggambaran. Sekarang saya sudah tahun keempat dengan Astro dan masih banyak lagi baki komitmen dengan mereka. Kemudian selepas raya nanti saya terus ke pentas Badai Semalam di Istana Budaya sebelum mula membaca skrip bagi filem terbaru pula.

"Seperti selalu saya kongsi bersama peminat, hidup saya lebih tertumpu kepada anak selepas berkahwin. Keseronokan raya itu adalah buat Aleesya dan saya mahu memberi dia segala-galanya," kata Erra.

Lain pula Zahida kerana sambutan Aidilfitri adalah peluang buatnya berkumpul dengan sanak-saudara yang lama tidak ketemu.

"Tahun ini kami sekeluarga beraya di rumah keluarga saya di Ampang kerana tiada siapa lagi yang tinggal di kampung. Kebiasaannya kami pulang ke Teluk Intan melawat nenek tapi nenek sendiri sudah pindah di Subang kerana sunyi selepas arwah datuk meninggal.

"Bagaimanapun, ibu saya adalah sulung kepada 13 adik-beradik. Jadi memang kali ini semua adik-beradiknya bertumpu menyambut raya pertama di rumah kami. Lagipun memang sudah menjadi tradisi yang mana kami akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya pertama," ujarnya dengan gembira.

PROFIL

Nama penuh: Umi Khalsum Rahmad Ali
Tarikh lahir: 18 Januari 1973
Usia: 38 tahun
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Keluarga: Anak ketiga dari enam adik-beradik
Suami: Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan
Anak: Mohd Dzulhelmy, 16, dan Mohd Daniel Firdaus, 17
Filem: Azazil, Ombak Rindu, Hikayat Merong Mahawangsa, Dukun, Apa Kata Hati, Cuci, Kala Malam Bulan Mengambang, Puaka Tebing Biru, Salah Bapak, Diva Popular, Buli Balik, Qaisy Dan Laila, Gangster, Cinta Luar Biasa, Bintang Hati, Mr. Cinderella 2, Mr. Cinderella, Embun, Leftenan Adnan, Senario Lagi, Jimi Asmara, Femina, Memori
Drama: Apa Sebenarnya, Istana Kristal, Romeo & Juliet, Salam Taj Mahal, Melarik Mimpi, Haryati, Dalam Hati Ada Cinta, Rindu Semakin Jauh, Akademi, Aku, Dia & Cape Town, Pesona Bintang, Kerana Cintaku Saerah, Vice Versa, Kekasihku Seru, Abadi Sebuah Cinta, Spa Qistina, Kek Lapis Kak Ida, Seruling Kasih, Rumah Di Tengah Sawah, Intan Mahsuri, Tarantula I & II, Cinta SMS, Nur Fitri, Kesetiaan, Feloni Aka Ecstasy, Takdir Sedang Berbisik, Serpihan Laungan Takbir, Bukan Bidadari, Korban Kasih Marlisa, Masyitah, Airmata Nur Salina, Karma Salina
Penerbit: Diva Popular
Teater: Sampai Bila, Peran, Lantai T. Pinkie, Anak Tanjong, Mencari Salina, Mencari Juita, Penyerahan Puteri, Pelayaran Nur Atma, Dejavu Seorang Perempuan, Suara Palestine, Natrah, Natrah 2 dan Badai Semalam
Album: Romeo & Juliet dan Gema Kasih
Pencapaian: Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16 menerusi filem Embun, Pelakon TV Wanita Popular Menang di Anugerah Bintang Popular 1999, Pelakon Wanita Drama Terbaik di Anugerah Skrin menerusi drama Surah Terakhir pada 1999, Pelakon Wanita Drama Terbaik di Anugerah Skrin menerusi drama Ayuni pada 2001 dan Pelakon Wanita Filem Terbaik di Anugerah Skrin pada 2003 menerusi filem Embun.

PROFIL

Nama penuh: Zahida Mohd Rafik
Tarikh lahir: 10 April 1975
Usia: 36 tahun
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Keluarga: Bongsu dari lima beradik
Filem: Hingga Hujung Nyawa, Kuliah Cinta, Black Maria, Mami Jarum Junior, Mami Jarum, Anak Mami The Movie dan Senario The Movie
Drama: Tongkat Tok Ali, Bunga Kasturi, Di Sebalik Awan, Ejen 55, Sitkom 2+1

PROFIL

Nama penuh: Fazira Wan Chek
Tarikh lahir: 9 Februari 1974
Usia: 37 tahun
Tempat lahir: Sungai Choh, Rawang, Selangor
Suami: Engku Emran Engku Zainal Abidin
Anak: Engku Aleesya Engku Emran
Kerjaya: Penyanyi, pelakon, model
Album: Erra Fazira (1994), Aku dan Dia (1995), 2.5 Sayang (1996), Kini (1999), Sampai Bertemu (2002), Kini Kembali (2003) dan Ya Atau Tidak (2006)
Filem: Sembilu dan Sembilu 2, Maria Mariana, Tragedi Oktober, Gemilang, Maria Mariana 2, Pasrah, Soal Hati, Gerak Khas The Movie, Putih, Mr Cinderella, Soalnya Siapa, Gila Gila Pengantin, Janji Diana, Cinta Kolestrol, Mr Cinderella 2, MX3, Kuliah Cinta, Hingga Hujung Nyawa, Tujuh Perhentian, I Know What You Did Last Raya, Potret Mistik, Sembilu, Lady Boss, Gila Gila Pengantin Popular, KL Menjerit 1, Castello, Pesona Non Grata, Qabil Qusyry Qabil Igam, Cuci, Anak, Los Dan Faun, Sifu Dan Tongga, Andartu Terlampau - 21 Hari Mencari Suami, Darah Daging, Hidden
Drama: Siapa Mau Potong Baju?, Joe & Faridah, Bonanza, Cinta Lelong, Mertua VS Menantu, Kasih Tercipta, Mertua VS Menantu 2, 30 Hari Mengenal Cinta, Selamat Tinggal Alexandria, Sanggul Beracun dan Pontianak Kampung Batu
Teater: Muzikal Tun Mahathir
Pengacara: Tiger Futbol Starz, Dunia Wanita dan Fesyen Tempo
Program: Gugu Gaga Erra
Pencapaian: Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) pada 2001 menerusi filem Soal Hati dan 2005 menerusi filem Hingga Hujung Nyawa, 1995 Sembilu 2 Aktres Pilihan di Anugerah Skrin 1995 menerusi filem Sembilu 2 dan tahun 2001 menerusi filem Soal Hati dan memegang tujuh trofi di Anugerah Bintang Popular Berita Harian menerusi kategori Pelakon Filem Wanita Popular.

Penghargaan: Astro

Beban lakon Tanda Putera

Posted: 01 Sep 2011 07:07 AM PDT

MELAKONKAN watak seorang tokoh negarawan bukannya mudah. Beban untuk menghidupkan watak sebegitu sangat besar. Itulah yang dirasai dua pelakon berpengalaman Rusdi Ramli dan Zizan Nin yang membintangi filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba atau Shumi.

Ia mengangkat kisah persahabatan antara Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan masing-masing bagi mentadbir negara berikutan tragedi hitam 13 Mei 1969.

Ditemui pada majlis pelancaran Tanda Putera terbitan Pesona Pictures Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDEC), Rusdi dan Zizan tidak menafikan gusar apatah lagi ia membabitkan kisah hidup ayah kepada Perdana Menteri ketika ini, Datuk Seri Najib Razak.

Kata Rusdi, sebelum penggambaran dilakukan, dia dan pelakon lain diberi latihan terlebih dulu selama lima hingga enam bulan. Dalam tempoh itu dia turut diberikan bahan rujukan seperti sedutan berita, buku mahupun kenyataan dari ahli keluarga terdekat.


"Bagaimanapun, memang agak susah kerana kita cuba menghidupkan watak tokoh yang sudah tiada, jadi banyak perkara yang perlu difahami agar apa yang diketengahkan tidak salah. Berlakon menjadi orang lain dan bukan diri sendiri cabarannya memang besar," katanya.


Selain itu jelas Rusdi, sebelum penggambaran bermula dia turut gusar apabila perlu bergandingan dengan Zizan dan Faezah Elai yang memegang watak sebagai Tun Rahah.

"Saya tidak pernah bekerja dengan mereka berdua dan pertama kali digandingkan dalam Tanda Putera. Bagaimanapun, mujur kami diberikan latihan panjang membuatkan keserasian itu ada," katanya.

Selain itu, bekerja dengan Shumi juga satu cabaran buat Rusdi kerana pengarah filem 1957: Hati Malaysia cukup teliti terutama dari sudut penghayatan watak.

"Walaupun kita sudah menjalani latihan yang agak panjang, setiap kali ada babak penting kami harus menjalani latihan sekali lagi. Dia mahu memastikan apa yang diperlukan dalam babak terbabit dapat dilaksanakan dengan sempurna.

"Saya pernah berasa kecut perut apabila satu babak besar hendak dijalani. Tahu sajalah, kalau tak puas hati, Shumi akan ulang babak terbabit berkali-kali. Sampai dua hari saya tidak senang duduk mengenangkan nasib babak besar itu.

"Bagaimanapun, apabila masuk lokasi dan penggambaran dijalankan, saya terkejut apabila Shumi terus berkata 'cut!'. Ia hanya dilakukan sekali saja. Saya macam tidak percaya dan tertanya dalam hati adakah saya benar-benar bagus?" katanya.

Sementara itu bagi Zizan, apa yang membuatkan filem Tanda Putera ini cukup mencabar adalah ia berdasarkan kisah benar dan bukan cerita rekaan. Dari sudut lain, ini pertama kali dia bekerja dengan Shumi.

"Bagaimanapun, saya seronok bekerja dengan produksi Pesona Pictures. Mereka sangat profesional dan cara kerja tersusun membuatkan pelakon tidak rasa tertekan langsung walaupun filem ini berat.

"Selain itu kesungguhan mereka dengan mempersiapkan pelakon dengan sesi latihan panjang dan dipantau tenaga pengajar berpengalaman, membuatkan semua kebimbangan saya hilang," katanya.

Lebih membuatkan Zizan bertuah kerana dapat berlakon di samping pelakon yang hebat seperti Rusdi. Katanya, walaupun pelakon itu pernah memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 menerusi filem Waris Jari Hantu, dia merendah diri.

Dalam menghayati watak sebagai Tun Dr Ismail kata Zizan, dia banyak membuat rujukan. Selain daripada bahan bacaan, dia juga mendapat tips daripada waris beliau serta melayari Internet bagi mendapatkan lebih maklumat.