Adsense

Khamis, 15 September 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


Potensi jenama Pop Shuvit

Posted:

Potensi jenama Pop Shuvit

Potensi jenama Pop Shuvit

POP SHUVIT kini sedang giat mempromosikan album terkini mereka Cherry Blossom Love Affair.


BAND Pop Shuvit bukan lagi band picisan, jenama Pop Shuvit sudah bertebaran di serantau Asia. Buktinya, mereka pernah berdiri sepentas bersama beberapa band antarabangsa seperti 30 Seconds to Mars, My Chemical Romance, The All American Rejects, Neon Trees, Incubus dan banyak lagi.

Tidak hanya itu, genre muzik hip hop rock bawaan mereka juga semakin dekat dengan hati peminat di Jepun, Filipina, Singapura, Thailnd dan Brunei apabila album terbaharu mereka Cherry Blossom Love Affair mula berada di pasaran tempatan sejak 20 Julai lalu turut diedarkan di negara tersebut.

Meskipun begitu, terdapat impian yang masih belum tertunai selepas 11 tahun penubuhan Pop Shuvit iaitu mereka mahu muzik mereka diterima di Eropah dan juga Amerika.

Oleh itu, tahun depan Pop Shuvit yang dianggotai oleh lima orang ahli itu akan terbang ke Amerika untuk menyertai festival muzik terbesar Amerika iaitu Festival Muzik SXSW yang akan berlangsung pada bulan Mac di Austin, Texas, Amerika.

"Mungkin peminat di Malaysia dan sekitar Asia sudah menerima lagu-lagu Pop Shuvit tetapi sepanjang 11 tahun kami tidak pernah sampai ke Eropah atau Amerika.

"Jadi kami ada perancangan mahu ke sana dan tahun depan memang akan ke Amerika. Sebenarnya, tahun lepas kami sudah dijemput tetapi album baharu masih dalam proses, jadi lebih baik kami tunggu sehingga album siap sepenuhnya," kata vokalisnya, Moots.

Selain Moots, Pop Shuvit yang turut dianggotai oleh Rudy Malik (Rudy/drum), Nazrin Datuk Nasir (AJ/gitar bass), Jedidiah Wong (JD/gitar) dan Syazleey Zalsyam Zakaria (DJ Uno/Turntable), mempunyai sebuah lagi impian besar yang menjadi idaman mereka iaitu memenangi anugerah Grammy.

"Kalau boleh kami ingin memenangi anugerah Grammy, itulah impian terbesar kami semua. Tetapi kami semua sedar, bukan mudah untuk mencapai impian itu, jadi kami harus berusaha lagi supaya muzik dari Malaysia akan diterima dengan lebih meluas.


POP SHUVIT banyak berkolaborasi dalam album terbaharu mereka, termasuk dengan penyanyi Man Bai yang dianggap sebagai penyanyi legenda.


"Walaupun sukar tetapi kami semua tidak pernah berputus asa. Dulu masa mula-mula kami keluar, ramai juga yang kutuk dan tidak mahu dengar muzik kami tetapi berkat kesabaran, muzik kami semakin diterima," ujar Rudy sambil dipersetujui oleh ahli yang lain.

Cherry Blossom Love Affair

Bercerita lanjut mengenai album terbaharu berjudul Cherry Blossom Love Affair, selepas hampir lima tahun menyepi tanpa sebarang album, DJ Uno menjelaskan mereka tidak kisah mengambil masa yang lama untuk menghasilkan sebuah album asalkan hasilnya memuaskan hati.

Hasilnya terdapat album baharu mereka merupakan album dwi bahasa kerana memuatkan enam buah lagu Bahasa Melayu dan enam buah lagu Bahasa Inggeris.

"Memang hanya ada 12 lagu dalam album ini, tetapi kami perlu memerah idea untuk menggubah lebih daripada jumlah itu sebagai persediaan jika ada di antara lagu tersebut tidak mencapai piawaian yang dikehendaki.

"Jadi, walaupun kami hilang sebentar daripada dunia seni tempatan sebenarnya kami bukanlah berehat atau bercuti kerana kebanyakan masa dihabiskan semata-mata demi album," jelas JD mengenai album keenam Pop Shuvit itu lagi.

Menariknya dalam album itu turut dimuat beberapa buah lagu kolaborasi seperti Getting Away With a Murder dan Aci Aci Buka Pintu bersama Dina Nazir, Story Of A Lonely Girl bersama Dandee dan Big Bear, Hold On dan Marabahaya bersama Projek E.A.R serta Seperti Syurgamu bersama Man Bai.

"Idea untuk berkolaborasi itu timbul secara tidak sengaja dan hasilnya lagu-lagu itu memang sesuai untuk dinyanyikan bersama penyanyi-penyanyi yang kami pilih.

"Lagu Seperti Syurgamu, memang kami sengaja pilih Man Bai kerana dia memang terkenal dan vokalnya sesuai dengan lagu. Kemudian memang kami semua membesar dengan lagu-lagu nyanyiannya. Kiranya, satu penghormatan buat kami dapat berduet dengan seorang penyanyi yang boleh dianggap legenda sepertinya," tutur DJ Uno lagi.

Album mereka tidak hanya dipasarkan di Malaysia, sebaliknya ia turut dipasarkan secara serentak di Filipina, Singapura, Thailand dan Brunei.

Bagaimanapun, versi album baharu itu sedikit berbeza kerana ia memuatkan 10 buah lagu kesemuanya dalam Bahasa Inggeris.

"Kulit album semuanya sama, kecuali, lagu dalam album itu semuanya dalam Bahasa Inggeris. Selepas kami membuat persembahan di MTV World Stage 2011 tempoh hari, terdapat permintaan mengenai album baharu kami di Indonesia.


DARI KIRI: DJ Uno, JD, Rudy, AJ dan Moots bakal membawa nama Pop Shuvit ke Amerika Syarikat dan bertekad untuk memenangi Grammy Awards.


"Terdapat label di sana berminat untuk memasarkan album baharu kami di sana, jika semuanya berjalan lancar, peminat di Indonesia juga dapat menikmati album Cherry Blossom Love Affair," ucap Moots.

Moots berkahwin di Bali

Vokalis Pop Shuvit Moots atau nama sebenarnya Muralidharan Marimuthu bakal menamatkan zaman bujangnya pada bulan Oktober depan dengan tunangnya, Vanessa Chong yang merupakan seorang pengacara dan juga kakak kepada penyanyi Vince.

Mengakui teruja dengan gelaran suami yang bakal disandangnya, jelas Moots yang berusia 34 tahun itu kini mereka sibuk dengan persiapan akhir perkahwinan di samping jadual kerja yang padat.

"Nasib baik kami ada masa hampir setahun untuk membuat persediaan perkahwinan. Saya melamarnya tahun lalu di Maldives ketika bercuti bersama kakaknya Pamela, tetapi majlis pertunangan kami berlangsung pada awal Januari tahun ini.

"Setakat ini persiapan perkahwinan sudah hampir siap sepenuhnya, lagipun kami hanya tinggal sebulan sahaja lagi sebelum majlis berlangsung. Memang terlalu sibuk, pakaian kahwin pun belum cuba lagi," ujar Moots.

Apabila disoal lanjut mengenai Vanessa, Moots hanya tersenyum dan berkata mereka sudah kenal antara satu sama lain hampir empat tahun sebelum bercinta selama setahun dan kemudian bertunang.

"Dia seorang yang sangat rapat dengan saya, dia bukan sahaja kekasih tetapi juga teman rapat yang boleh berkongsi apa sahaja bersama. Itu membuatkan saya selesa bersamanya.

"Dia juga rapat dengan keluarga saya, itu yang paling penting dan saya juga diterima baik oleh keluarganya," tutur Moots lagi.

Majlis perkahwinan mereka bakal berlangsung di dua lokasi iaitu pada 9 Oktober di Kuala Lumpur sebelum terbang ke Bali untuk majlis resepsi di Bali.

"Kami memilih Bali kerana dalam banyak destinasi percutian, kami berdua sukakan Bali," luah Moots.

Gandingan serasi Apek, Johan

Posted:

Gandingan serasi Apek, Johan

Gandingan serasi Apek, Johan

Oleh RONI HIDAYAT RIDWAN


RAYA TAK JADI mempertaruhkan gabungan Apek dan Johan menerusi watak adik-beradik.


BOLEH dikatakan filem-filem yang bertemakan sambutan sesuatu perayaan yang penting di negara ini dilihat agak jarang dihasilkan oleh penerbit-penerbit filem tempatan.

Oleh yang demikian, sebuah filem bertemakan Hari Raya Aidilfitri yang berjudul Raya Tak Jadi telah dihasilkan melalui kerjasama Grand Brilliance dan Line Clear Production.

Merupakan filem bercorak komedi, apa yang membuatkan filem berkenaan bertambah menarik apabila ia menggandingkan dua orang pelawak yang cukup popular iaitu Saiful Apek dan Johan Raja Lawak.

Pada majlis pratonton yang telah diadakan baru-baru ini, Apek yang ditemui berkata dia tertarik untuk berlakon dalam filem berkenaan disebarkan elemen komedi serta kekuatan pada jalan ceritanya.

Menurut pelawak itu lagi, jika watak komedi yang sering ditampilkan menerusi beberapa buah filemnya sebelum ini menjurus kepada lawak slapstik, untuk filem ini dia membawakan watak komedi yang lebih tenang.

"Dalam filem ini saya membawakan watak seorang abang yang mempunyai adik lelaki yang mempunyai penyakit pelupa yang dilakonkan Johan. Walaupun masih membawakan watak komedi, tetapi ia lebih kepada komedi yang beremosi.

"Apa yang boleh saya katakan penonton juga tidak boleh mengharapkan terlalu banyak elemen komedi yang saya tampilkan. Sebaliknya penonton akan lebih terhibur dengan komedi yang ditonjolkan oleh Johan," ujarnya.

Raya Tak Jadi berkisar tentang Shuib (Apek) mempunyai seorang adik yang pelupa iaitu Bob (Johan). Kekecohan telah berlaku apabila Shuib dan Bob menemui Haji Ehsan (Datuk Jalaluddin Hassan) yang disangka telah mati di dalam teksi Shuib.

Mereka berdua melakukan pelbagai cara untuk meninggalkan mayat tersebut namun gagal dan membuat keputusan untuk mengebumikan mayat itu. Namun, mayat yang disangka telah mati itu hidup semula dan ini telah memeranjatkan semua orang.

Selain Saiful Apek, Johan dan Datuk Jalaluddin Hassan, antara pelakon-pelakon lain yang turut membintangi filem tersebut adalah Wan Sharmila, Noreen Nor, Fieka, Ben Tan, Iedil Putra dan Khairi Azlee.

Ditanya mengenai gandingan sulungnya bersama Johan dalam filem itu, Apek menjelaskan tidak sukar untuk mereka berdua bekerjasama buat kali pertama dan menyifatkan ia adalah satu gandingan yang mantap.

"Keserasian yang ditampilkan kami berdua memang cukup baik dan saya sangat berpuas hati. Malah, kebanyakan babak yang ditampilkan adalah secara spontan dan pengarah juga turut memberi kelonggaran supaya tidak terlalu terikat dengan skrip," ujarnya.

Sementara itu, Johan yang ditemui pada majlis yang sama menyatakan dia tidak rasa terlalu kekok untuk bergandingan dengan pelawak yang lebih berpengalaman seperti Apek.

Menurutnya, sebagai pelawak yang masih baru dia sememangnya sangat menghormati Apek dan mendapat banyak tunjuk ajar daripada pelawak tersebut. Malah, dia menganggap Apek sebagai seorang pelawak yang merendah diri dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu.

"Apa yang membuat saya lebih terharu apabila Apek ada memberitahu yang saya adalah merupakan pelawak kegemarannya. Sedangkan suatu ketika dahulu saya begitu meminatinya memandangkan dia adalah antara pelawak hebat tanah air.

"Untuk filem ini kami berdua sering membuat perbincangan bersama untuk setiap babak yang membabitkan kami bersama. Walaupun saya masih lagi baru, tetapi Apek tidak keberatan untuk menerima beberapa idea yang saya kemukakan," jelasnya.

Filem yang mula ditayangkan pada 15 September ini serta menelan belanja sekitar RM1.5 juta telah menjalani penggambaran di sekitar Kuala Selangor, Shah Alam dan Kuala Lumpur selama 27 hari.

Terkilan

Walaupun Raya Tak Jadi dihasilkan dengan bertemakan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, namun filem berkenaan hanya dapat ditayangkan di pawagam selepas dua minggu umat Islam menyambutnya.

Mengenai perkara berkenaan, pengarah Prof. A. Razak Mohaideen tidak dapat menyembunyikan rasa terkilannya apabila sasaran untuk menayangkannya pada hari raya pertama tidak menjadi kenyataan.

"Filem ini telahpun siap dihasilkan sejak setahun yang lalu lagi. Mungkin disebabkan terlambat untuk dihantar ke Lembaga Penapisan Filem menyebabkan kami harus memberi laluan kepada filem yang dihantar lebih awal.

"Malah, pihak kami juga telah membuat rayuan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), tetapi rayuan kami tetap ditolak dan kami harus akur kepada keputusan yang dibuat," ujarnya yang kali terakhir mengarahkan filem 4 Madu pada tahun lalu.

Meskipun merasa sedikit terkilan, Razak berharap penonton akan tetap pergi menonton filemnya itu memandangkan ketika ini suasana kemeriahan hari raya masih lagi dirasai.

Bagaimanapun, pengarah berkenaan tetap menegaskan pihak-pihak yang berkenaan supaya lebih memberi keutamaan kepada filem-filem bertemakan perayaan untuk ditayangkan pada waktu sambutan sesuatu perayaan selepas ini.