Adsense

Khamis, 15 September 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Temui pengganti

Posted: 14 Sep 2011 04:18 PM PDT

Hip

J.Lo keluar bersama Bradley Cooper selepas berpisah dengan suami, Julai lalu

NAMPAKNYA artis sensasi Jennifer Lopez enggan berduka lara dan bersedih mengenangkan perpisahannya bersama Marc Anthony, apabila dia dilaporkan keluar bersama seorang lagi bintang popular masa kini, Bradley Cooper.

Menurut laman gosip TMZ, juri American Idol dan bintang filem Hangover itu keluar makan malam di sebuah restoran mewah, Per Se, di New York (NY), pada malam Sabtu lalu. Lopez dan penyanyi Salsa paling hebat di dunia kelahiran NY, Anthony, mengumumkan keputusan mereka untuk berpisah pada 15 Julai lalu selepas tujuh tahun berkongsi hidup sebagai pasangan suami isteri.

"Kami memutuskan untuk menamatkan perkahwinan kami. Ia sebuah keputusan yang sememangnya sangat sukar," kata pasangan itu dalam sebuah kenyataan, yang tidak menyatakan alasan sebenar berlakunya perpisahan pada waktu itu.

Pada Ogos lalu, mula timbul khabar angin mengaitkan Anthony bersama Jada Pinkett-Smith, yang berlakon bersamanya dalam drama perubatan Hawthorne. Bagaimanapun penyanyi berusia 42 tahun itu menafikan dakwaan wujudnya hubungan istimewa antara mereka berdua.

Cooper, yang berpisah dengan aktres Renee Zellwegger pada Mac tahun ini, pula pernah dikaitkan dengan beberapa pelakon wanita lain seperti Olivia Wilde dan Charlize Theron. Maklumlah, sebagai aktor yang mempunyai segala-galanya - kemasyhuran dan rupa yang tampan - siapa yang tidak sudi mendampingi bintang The A-Team ini.
Makan malam yang dihadiri Lopez dan Cooper pada hujung minggu lalu itu pada dasarnya dikatakan berlangsung atas alasan kerja. Kedua-dua bintang besar berkenaan bertemu untuk melihat sama ada wujud keserasian antara mereka, apabila ditawarkan berlakon dalam projek filem komedi cinta.

Bagaimanapun menurut sumber yang boleh dipercayai, memang ketara adanya perasaan saling suka-menyukai antara kedua-dua pelakon tersohor ini.

Sumber itu juga menambah, ia jelas sekali menunjukkan contoh terbaik bagaimana Lopez bijak memastikan dirinya sentiasa berada dalam perhatian media. Malah dia sebenarnya tidak perlu risaukan langsung mengenai perkara itu.

Namun begitu, masih terlalu awal untuk peminat membuat spekulasi berhubung perkara itu kerana pertemuan berkenaan boleh membawa apa saja makna kepada dua bintang terbabit.

Bagi Cooper sendiri, menurut sumber rapat dengan pelakon ini, pada hakikatnya dia gemar mendapat liputan media walaupun mengaku tidak suka kehidupan peribadinya dicerobohi.

"Dia memang pandai dalam permainan ini," kata sumber rapat dengannya itu.
Difahamkan, Lopez dan Cooper sudah pun membuat perancangan untuk bertemu lagi secepat mungkin. Pastinya, langkah mereka berdua akan lebih diperhatikan banyak pihak dalam masa sehari dua ini.

Duet bersama Enrique Iglesias

SELEPAS mencipta kejayaan hebat dari segi populariti hasil kerjasama bersama Pitbull menerusi lagu On The Floor yang dimuatkan dalam album terbaru, Love?, Lopez dilaporkan berduet pula bersama seorang lagi bintang Latin dari Sepanyol, Enrique Iglesias.

Kedua-dua penyanyi terbabit bekerjasama dengan produser DJ Frank E, yang sebelum ini membantu menerbitkan lagu Tonight (I'm Lovin' You) untuk artis lelaki berusia 36 tahun itu.

Ia dimuatkan dalam album bungkusan semula Igesias, Euphoria, yang bakal dipasarkan November ini.

DJ berkenaan mengumumkan perkara itu di laman Twitter rasminya beberapa hari lalu. Katanya: "Lagu baru Enrique dan J.Lo akan datang tidak lama lagi!!"
Apabila peminat kedua-dua bintang itu bertanya, Frank berkata, lagu duet berjudul Mouth2Mouth terbabit ialah karya ciptaan baru dan ia pasti mendapat sambutan hebat di kalangan pendengar.

Selain Iglesias, Frank E turut bekerjasama dengan beberapa nama besar lain termasuk Madonna, Pitbull, Justin Bieber, Chris Brown dan Kanye West.
Lopez pula ketika ini bersiap sedia untuk melancarkan single terbaru berjudul Papi, petikan album terkininya itu, selepas kejayaan On The Floor dan I'm Into You.

Dapat RM60 juta sebagai juri Idol?

SEMENTARA itu, pada pertengahan Ogos lalu, wakil televisyen Fox mengumumkan, Lopez kembali menduduki kerusi juri bagi musim ke-11 rancangan American Idol, bersama-sama Randy Jackson dan vokalis Aerosmith, Steven Tyler.

Dikhabarkan bintang jelita berusia 42 tahun itu menerima bayaran kira-kira RM60 juta untuk kembali bersama program realiti nyanyian paling popular di dunia itu. Jika benar jumlah yang dikhabarkan itu, maka ia bermakna pelakon Out of Sight terbabit menerima kira-kira RM24 juta lebih banyak daripada gaji yang dipungut olehnya pada musim terdahulu.

Program realiti terbabit dijadualkan tayangan musim barunya bermula 22 Januari tahun depan.

Pencipta rancangan pertandingan berkenaan, Simon Fuller, dalam kenyataannya berkata, kepulangan Lopez dan Tyler ke dalam American Idol, bersama-sama Jackson mencerminkan betapa musim lalu mencatat kejayaan begitu hebat, yang membuatkan semua orang berasa seronok.

Idol membuat perubahan pada barisan jurinya pada tahun lalu dan hasilnya, ia mendapat sokongan peminat baru. Lopez bagaimanapun sebelum ini dilaporkan belum pasti mengenai kedudukannya dalam rancangan berkenaan biarpun ia mencatat kejayaan cukup baik pada musim ke-10.

Musim lalu juga sebenarnya banyak membantu menaikkan kembali nama Lopez dalam industri seni, apabila dirinya mula menjunam dari segi populariti sejak melahirkan anak kembar, Max and Emme, pada 2008. Tahun ini, Lopez bukan hanya meledak bersama On The Floor yang ditonton kira-kira 375 juta kali di YouTube, malah dia turut diumumkan sebagai wanita tercantik di dunia oleh majalah People.


Filem kita kosong, sekadar hiburan

Posted: 14 Sep 2011 04:07 PM PDT

Hip

Kamal (tengah) dan Indera (dua dari
kanan) menyampaikan sijil penyertaan
kepada peserta.

Kamal (tengah) dan Indera (dua dari kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta.

Tiada pengisian, kurang kualiti apabila produser fielm melihat keuntungan jadi keutamaan

MEMILIKI barisan pelakon hebat belum cukup kuat untuk meletakkan sesebuah filem itu terbaik tanpa skrip yang kuat dengan pengisian dan mampu menambat hati penonton.

Itulah pandangan daripada pengarah dan penulis skrip, Kamal Ishak yang menganggap lambakan filem tempatan kini juga masih belum menemui sebuah karya yang bukan saja terbaik dari segi jalan ceritanya tetapi juga dari segi mencerminkan wajah filem tempatan. "Kebanyakan filem sekarang tidak ada pengisian cuma untuk menghiburkan penonton dan meraih keuntungan. Kalau kita tengok filem dulu bukan saja penuh pengisian tetapi juga mempunyai jalan cerita yang menarik serta mencerminkan wajah kita," jelasnya.

Bukan salah penulis skrip sebaliknya kehendak penerbit filem yang perlu dituruti. Mengakui banyak jalan cerita yang kabur dan tergantung kerana tidak mengetahui format sesebuah skrip menyebabkan karya yang dihasilkan menjadi kurang berkesan atau tiada pengisian.

"Paling asas sekali skrip mesti ada struktur dan asas three act play iaitu pembukaan, pertengahan dan pengakhiran cerita tetapi bila skrip itu diubah menyebabkan jalan cerita asalnya sudah lari dari landasannya.

"Ramai penerbit tidak tahu skrip sebenarnya, jadi ikut kesesuaian mereka saja, janji filem itu dapat untung. Penerbit kena memahami kenapa babak ini perlu ada dan itu tidak perlu," katanya.
Ditemui selepas memberikan tunjuk ajar asas mengenai penulisan skrip kepada tiga peserta dalam program khas kendaliannya, Kamal berkata, sesebuah cerita perlu dekat dengan rakyat dan mempunyai imej yang banyak diketengahkan oleh filem asing seperti Indonesia. Bersamanya ialah pengarah fotografi, Indera Che Muda.

"Kita lihat filem Indonesia, banyak mengenengahkan budaya mereka itu yang dikatakan imej tetapi filem kita tak ada, kerana banyak menyuntik budaya luar ke dalam filem tempatan.

"Lihat saja filem Home Alone, dari segi gambaran jalan cerita itu kita sudah faham itu filem berkisar tentang perayaan Krismas tetapi di mana filem yang menggambarkan perayaan Aidilfitri? Kecuali ada lagu raya dan kuih raya saja," tegasnya lagi.

Kamal turut menyelar sikap penonton yang malas berfikir dan hanya mahukan hiburan semata-mata menyebabkan filem tempatan sudah lari dari landasan budayanya tersendiri.

"Kalau dulu P Ramlee buat filem bukan saja ada pengisian dan jenaka tetapi membuat kita terfikir kenapa sesuatu babak itu diwujudkan tetapi kini kita buat filem tak nak bagi penonton berfikir kerana menganggap penonton akan bosan.

"Tetapi kenapa filem barat yang penuh dengan aksi dan jalan cerita yang memerlukan penonton berfikir dapat diterima? Filem kita kosong hanya ada pelakon yang hebat dan hiburan semata-mata," jelasnya.

Mengenai program yang dinamakan Tiusyen Skrip, Kamal berkata, walaupun hanya tiga hari, namun tiga peserta yang mengikuti kelasnya itu dapat mendekati dan memahami dengan lebih dalam lagi asas dan format penulisan skrip dengan betul.

"Saya buka kelas macam ini sudah lebih tujuh tahun. Vanida Imran, Erra Fazira dan Sofea Jane antara yang pernah mengikuti kelas saya sebelum ini," jelasnya.

Bagi penulis cerpen, Mohd Fazil Ismail, pembabitannya selama 10 tahun dalam bidang penulisan cerpen belum cukup kuat untuk melayakkan dirinya dalam penulisan skrip.

"Saya minat tulis skrip sebab cerpen orang tak suka baca sangat. Jadi kesempatan yang diberi Kamal memberi untuk mempelajari asas dan teknik penulisan skrip dengan betul," katanya.

Guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang, Hafizah Mohamed pula menjelaskan minatnya terhadap penulisan skrip sudah terbuku sejak menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) lagi.

Malah, skrip pertamanya, Mengapun Sirna diterbitkan pada tahun 1995 membuatkan hatinya ingin terus berkarya dalam bidang penulisan.

"Selepas telefilem itu diterbitkan saya sudah tidak aktif dalam penulisan skrip sebab menumpukan kepada keluarga dan mengajar. Bidang penulisan skrip tidak susah kalau ada minat dan dengan cara ini menguji ketajaman minda kita," jelasnya.