Adsense

Khamis, 15 September 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Shila kekok jumpa Sharnaaz

Posted: 14 Sep 2011 06:36 AM PDT

SUATU masa dulu dia dikenali sebagai Shila Tekno. Ketika itu dia masih kecil dan sentiasa ditemani ayahnya, penyanyi dan pelakon N D Lala. Meniti usia remaja dan semakin matang, Shila Tekno hanya tinggal sejarah dan kini semua peminat mengenalinya sebagai Shila Amzah.

Apa yang membanggakan, sejak menyertai pertandingan One In A Million 2, Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Amzah, dilihat semakin hebat dan vokalnya kian mendapat pujian.

Malah, ada berpendapat dia tergolong dalam kelompok artis muda Malaysia yang mempunyai vokal terbaik dan ia terbukti dalam lagu Memori Tercipta dan kini lagu berkumpulan, Beribu Sesalan bersama Jaclyn Victor dan Ning Baizura.

Terbaru pula, Shila mempertaruhkan single mutakhirnya, Patah Seribu. Ironinya, walaupun judul Patah Seribu sekali dengar seperti judul sebuah lagu Irama Malaysia, ia sebenarnya lagu pop kontemporari yang ada elemen 'country & western'.


Menariknya, lagu itu ciptaan Shila sendiri dengan susunan muzik oleh penggubah handalan, Aubery Suwito.


Keputusan yang penting juga dibuat Shila apabila dia tidak lagi diuruskan syarikat Monkey Bone Records dan The 8 Unit selepas memilih menamatkan kontrak dengan mereka. Shila memilih bernaung di bawah syarikat milik keluarganya sendiri, Urustabil Sdn Bhd kerana lebih selesa.

"Retak Seribu menjadi lagu pertama untuk album penuh saya kelak yang bakal diterbitkan sendiri oleh Urustabil. Lagu ini sebenarnya sudah dihasilkan sejak tiga tahun lalu tapi saya kurang berani untuk memasarkannya. Saya menunggu dulu sedangkan apabila diperdengarkan kepada kawan-kawan artis seperti Aizat dan Ana Raffali, mereka suruh saya pasarkan single ini.

"Apabila keluar dari Monkey Bone, barulah saya buat keputusan untuk keluarkan lagu ini. Punca utama kalau lagu ini gagal diterima, saya tak dipersalahkan mana-mana pihak kerana semuanya saya buat sendiri. Saya gembira dibantu Aubrey Suwito dari sudut susunan muzik," katanya yang pernah muncul dengan album Bebaskanlah pada 2009.

"Saya sepatutnya menghasilkan tiga album dengan Monkey Bone tapi apakan daya hanya sempat tampil dengan satu album saja. Bagaimanapun, saya tak kecewa dan tak bergaduh dengan mereka. Apa yang berlaku adalah satu pengalaman terbaik. Banyak ilmu yang saya timba dengan Monkey Bone yang tidak boleh diperoleh di mana-mana.

"Album penuh terbaru saya akan menemui peminat sekitar Februari atau Mei tahun depan. Setakat ini, saya sudah simpan 30 koleksi lagu yang semuanya ciptaan saya sendiri. Kalau boleh saya nak cuba terbitkan semua lagu ciptaan saya sendiri kerana ia lebih puas.

"Kalau Aizat dan Yuna boleh buat sendiri, kenapa saya tidak boleh mengikut jejak positif mereka. Yang penting saya disokong penggubah muzik yang berpengalaman seperti Aubrey Suwito. Saya selesa bekerja dengan Aubrey," katanya lagi.

Shila berkata, dia tidak menyanyikan lagu balada sebelum ini kerana mahu orang melihat perubahannya dari zaman kanak-kanak, remaja dan dewasa. Merasakan detik itu cukup sesuai kini, baru dia tampil dengan lagu balada yang 'mencengkam' seperti gabungan '3 Suara' yang menggandingkannya dengan Ning dan Jaclyn.

"Pada usia sekarang, saya rasa sudah boleh tampilkan lagu cinta. saya kena kaji konsep lagu saya ikut kesesuaian umur saya.

"Saya gembira kerana ramai peminat sukakan lagu Beribu Sesalan. Ia sangat istimewa kerana jarang kita melihat gabungan tiga penyanyi dalam sebuah album. Lagu ini juga mula mendapat sambutan hangat di Singapura. Saya bangga dapat bergabung suara dengan Kak Ning dan Jac.

"Sebagai kelainan, saya juga buat versi solo dan muat naik lagu itu dalam YouTube. Ternyata, ia sangat memberangsangkan kerana setakat ini sudah ditonton 40,000 orang," katanya.

Kegilaan terbaru Shila ketika ini adalah merakam nyanyiannya secara suka-suka dan dimuat naik dalam Internet terutama YouTube untuk hiburan peminat. Hobi ini katanya berputik sejak lima bulan lalu. Boleh dikatakan setiap masa dia akan berada di laman twitter untuk berinteraksi dengan peminatnya. Memang begitulah cara dan 'trend' terkini bagi ramai artis lain di seluruh dunia.

Sementara itu, Shila juga baru selesai menjalani penggambaran muzik video lagu Patah Seribu yang diarahkan Michael Ang. Muzik video ini menggandingkannya dengan pelakon meningkat naik, Sharnaaz Ahmad. Banyak pengalaman menarik dilaluinya ketika terbabit dengan penggambaran yang memakan masa selama 18 jam ini.

"Jalan cerita muzik video ini menggambarkan mengenai pasangan bercinta. Terus terang saya memang kekok kerana tidak pernah berlakon sebelum ini. Saya pun baru pertama kali jumpa Sharnaaz, tapi mujurlah dia suka usik saya. Jadi, tidaklah rasa janggal apabila sudah lama di lokasi.

"Biarpun terpaksa mengambil masa selama hampir 18 jam, saya percaya dengan kemampuan Michael untuk buat yang terbaik. Saya suka berlakon tapi keutamaan kini adalah pada nyanyian. Harap-harap peminat suka dengan muzik video Patah Seribu," ujarnya.

Berkongsi cerita mengenai buah hati pula, Shila menjelaskan dia masih selesa bersendirian tanpa cinta. Baginya sukar untuk mencari lelaki yang memahami kariernya disamping mempunyai ciri-ciri lain antaranya menghormati kedua orang tuanya.

"Selepas 11 tahun dalam seni, saya ada sasaran sendiri dan rasa belum puas dengan apa yang baru saya peroleh.

Selain itu saya juga ada tanggungjawab untuk jaga hati keluarga saya dan peminat. Kalau ada kekasih mungkin saya terpaksa lebih menjaga hatinya dan lama-lama kelamaan keluarga dan peminat terabai.

"Jadi biarlah dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini, saya akan gunakan masa itu untuk fokus kepada karier sebelum membuat keputusan untuk berpasangan secara serius. Saya sebenarnya tidak suka bercinta lama-lama.

"Bukanlah bermakna saya cuba jual mahal tapi inilah situasi sebenar diri saya. Buat masa ini hidup saya tak sunyi kerana setiap hari akan berinteraksi dengan peminat. Selain mereka, saya juga ada kawan-kawan dan paling utama keluarga yang sering menyokong dan bersama setiap masa serta dalam apa juga keadaan," katanya yang turut bergelar duta Safi Balqis Perfect 10.

PROFIL

NAMA PENUH: Nur Shahila Amir Amzah
NAMA KOMERSIAL: Shila Amzah
TARIKH LAHIR: 13 Ogos 1990
USIA: 21 Tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KERJAYA: Penyanyi, duta produk
PENCAPAIAN: Naib Juara One In A Million 2 (OAIM2)
ALBUM: Sha-hila (EMI 2005), OST 5 Jingga (EMI 2008), Bebaskanlah (Monkey Bone, 2009), 3 Suara (bersama Ning Baizura & Jaclyn Victor - 2011)
SINGLE TERBARU: Patah Seribu (label Urustabil)
TALENTS: Coca-Cola, Walls Cornetto, Colgate, duta Tinge & Safi Balqis Perfect 10

Tiada lagi tawa Nur Aisyah

Posted: 14 Sep 2011 06:20 AM PDT

HANYA air mata menjadi teman hidup penyanyi dan pelakon Safura Yaacob bersama suami–nya, Sahronizam Noor, ketika ini dalam menerima ketentuan Ilahi apabila anak mereka, Nur Aisyah Mariam, 3, kembali ke rahmatullah, Isnin lalu.

Hakikat ini kerana Aisyah, anak ketiga Safura yang juga zuriat sulung perkahwinannya dengan Sahronizam, seorang anak yang sangat comel dan manja dengan mereka sekeluarga.

"Saya dengan penuh reda menerima semua ini sebagai takdir buat kami sekeluarga. Kami sudah berusaha dan bertawakal dengan sebaik mungkin. Cabaran kami sekarang adalah meneruskan hidup dan menerima hakikat Nur Aisyah sudah tiada lagi di dunia ini," kata Safura dalam deraian air mata ketika ditemui wakil Rap di Taman Seri Bayu, Ampang, Selangor, kelmarin.

"Kehilangan arwah berlaku dalam sekelip mata ketika kita masih meraikan Syawal. Ia sa–ngat dirasakan kakaknya Nurul Natasha, 16, dan abangnya,Muhammad Danial, 11. Arwah sentiasa menghiburkan kami dengan telatah dan sikapnya yang cerdik.


"Suami saya juga selalu memandikan dan menyediakan makanan untuk Nur Aisyah kerana dia suka sangat makan dan kami terhibur dengan keletahnya kalau meminta makanan kegemarannya.


"Peti sejuk kami sentiasa ada makanan kegemarannya seperti buah epal, spaghetti dan coklat. Dia akan meminta makanan ini kalau bermain komputer riba berwarna putih miliknya sebelum masuk tidur," kata Safura, 38.

Nur Aisyah, anak ketiga daripada empat beradik, meninggal dunia akibat masalah pernafasan dan kehilangan air dalam badan berikutan demam dialami sejak minggu lalu.

Dia menghembuskan nafas terakhir tidak sampai sehari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang Puteri, Ampang, pada Isnin lalu.

Jumaat sebelumnya, dia dibawa membuat pemeriksaan di Hospital Ampang tetapi dibenarkan pulang selepas pemeriksaan dibuat doktor.

Kata Safura lagi, Nur Aisyah dulu sangat meminati program realiti Akademi Fantasia (AF).

"Sekalipun usia baru tiga tahun, dia sangat bijak bermain komputer dan mempunyai video khusus ditonton terutama Erul AF9 yang sangat diminatinya.

"Dia kerap menonton nya–nyian serta persembahan Erul AF9 dalam YouTube. Selain itu, dia juga hafal keseluruhan lirik lagu Sedalam Mana Cintamu nyanyian saya.

"Aisyah sangat suka lagu Mama dan ayat itu masih terngiang-ngiang di telinga
saya hinggalah sekarang," katanya.

Safura akui, dia rasa terkilan kerana tidak dapat menyampaikan hajat menyuapkan biskut 'cream crackers' kegemaran anaknya itu kerana meninggal sewaktu dirawat di ICU.

"Sewaktu Aisyah dimasukkan ke ICU, pagi Isnin lalu, saya pula ke Kelana Jaya untuk menghadiri satu mesyuarat pada sebelah petang.

"Sebaik saja saya sampai semula ke hospital jam 9 malam, saya diberitahu doktor mereka sudah mencuba sedaya upaya.

"Doktor sudah cuba membuat yang terbaik dan meminta saya banyak bersabar kerana Allah s.w.t lebih menyayangi anak kami itu. Apapun, Sahronizam sempat membelikan Milo yang diminta arwah beberapa jam sebelum dia dipindahkan daripada wad biasa ke ICU," katanya.

Mengimbas lagi tragedi yang berlaku, Safura berkata: "Kami membawa Nur Aisyah membuat pemeriksaan di Hospital Ampang, pada Jumaat lalu selepas didapati degupan jantung laju, susah bernafas dengan bibir pecah dan pucat seperti kurang air dalam badan.

"Doktor membenarkan Nur Aisyah dibawa pulang sebelum kami membawa pemeriksaan kedua di Hospital Ampang Puteri. Tidak sampai sehari ditahan, dia meninggal dunia sewaktu dalam wad ICU. Arwah sebelum ini pernah mendapat rawatan sesak nafas dan masalah kahak dalam paru-parunya," jelasnya.

Safura yang kini mengandung lima bulan juga bercadang membatalkan rakaman program Serasi Bersama untuk tayangan siaran Astro 104 tidak lama lagi.

"Kami sekeluarga sudah selesai penggambaran sesi santai dan makan-makan bersama program itu tapi saya bercadang tidak mahu meneruskan lagi baki penggambaran terakhir membabitkan permainan sekeluarga.

"Buat masa ini, saya mahu berehat dan mencari ketenangan dulu dengan ketiadaan Nur Aisyah," katanya.

Jenazah Nur Aisyah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Al-Ridwan, Hulu Klang kira-kira jam 11 pagi, Selasa lalu.

Antara rakan artis yang sempat mengunjungi keluarga Safura termasuk Syed Sobrie dan isteri, Azie, Deja Moss, Zarina Zainuddin, Sheila Rusly, Nur Fazura serta wakil Persatuan Karyawan.