Adsense

Ahad, 11 September 2011

Kosmo Online - Hiburan

Kosmo Online - Hiburan


'Dunia Kecil' Liyana Fizi

Posted:

'Dunia Kecil' Liyana Fizi

'Dunia Kecil' Liyana Fizi

SOFIATUL SHIMA WAN CHIK

LIYANA FIZI, si pendendang suara seperti buluh perindu ditiup angin tatkala dinihari ini sedang bercerita. Isi ceritanya disatukan dan dalam 10 wadah yang bertali dalam balutan penuh rasa harmoni, sebuah album layaknya.

Si manis ini sudah lama berdampingan dengan para pemuzik ibu kota. Vokalnya terlebih dulu sudah menjelajah telinga ke telinga. Kali ini dia tampil solo setelah puas menjadi vokalis dan pemanis grup Estrella. Tetapi tidak sendirian di atas pentas, dia ditemani teman sejiwa bermuzik di barisan sessionist. Cuma kariernya di garis status solo.

Vokalis sekali gus gadis pemetik instrumen berdawai ini makin menjadi pemandangan yang indah dilihat dan dikecapi. Namun Liyana bukanlah gadis tipikal yang ada dalam pemikiran anda. Dia bukan sekadar wajah manis di atas panggung atau acara.

Ujarnya, seorang temannya pernah berkata, 'dunia Liyana kecil tapi impiannya besar.' Tetapi dengan buah tangan perdananya ini dia mahu berskala besar. Memberi dan menerima dengan imbuhan pada kadar yang lebih terbuka. Kita berbicara dan berkenalan dengan si manis yang diberi jolokan song bird dan penerokaan dunianya.


LIYANA bakal bersatu dengan pemuzik Izaad, Pito, Ruviyamin dan kemunculan khas personel grup 4Peniti dari Bandung iaitu Rudy Zulkarnaen, Ammy C Kurniawan dan Ari Renaldi pada malam 11 September ini.


Pembacaan di sebalik

Satu hal yang tidak dapat disangkal apabila melihat wanita muda berusia 27 tahun ini adalah kemanisan yang diberikan baik daripada segi fizikal mahu pun material yang sedang dijuangnya.

Album Between The Lines adalah taruhan kemanisan yang dibawanya. Bukan sekadar memuji namun setelah beberapa kali mentelaah produk perjuangannya ini, terasa damai yang cuba dibawanya. Setiap lagu punya penceritaan yang tersendiri, gaya dan sentuhan seorang Liyana Fizi.

Cerita-cerita pelbagai genre itu dibalut dengan susunan muzik dan lapisan instrumen yang kaya. Bukan sekadar bunyi asas dram, gitar dan bass. Lebih enak album ini diberi tambahan indah celo dan biola alunan Ammy C. Kurniawan. Instrumen yang dekat dengan kata damai.

Harmoni yang dibawa oleh empunya diri kelahiran Kuala Lumpur ini juga suntikan kembara yang dijalaninya. Dia berkelana di Bandung, Indonesia selama dua minggu untuk mendalami muzik. Mencari sesuatu di luar kotak, adalah tidak salah menimba dan sesekali mengerling warna hijau rumput di luar. Semuanya atas dasar kecintaan terhadap suatu yang dinamakan muzik.

"Material untuk album Between The Lines ini dikumpul selama dua tahun dan proses rakamannya dalam masa dua minggu. Kalau ditanya tentang durasi dua tahun, ini kerana kekangan masa dan kewangan. Semuanya dijalankan secara bebas," ujar bekas vokalis grup Estrella ini.

"Proses kreatifnya bermula dengan mendapatkan melodi dan kemudian menulis lirik, bab lirik itu juga mengambil masa. Ada yang lama dan ada yang sehari dua prosesnya," ujar Liyana yang kerap mendapat ilham menulis lirik dalam kereta.

Tambah Liyana Fizi yang seakan sudah punya stail rambut 'fringe' ini, momen menulis lagu biasanya memerlukan dirinya sepi daripada dunia luar. Mahu sendiri dan mengelamun sambil memetik gitar, ilham ketika itu datang sendiri dan itu momen yang dinanti-nanti.


LIYANA bakal berlagu di Bentley Music, Mutiara Damansara untuk persembahan solonya.


Tidak hairan apabila membaca satu persatu, lirik ini tidak ketara jauh untuk disentuh ke dalam setiap pendengar. Ada cerita normal yang disuarakan di sebalik vokal dan gaya bercerita Liyana.

"Saya cuba meletakkan faktor empati dalam menulis lirik. Bukan sekadar sebuah pengalaman personal. Harapan hati saya untuk menyatukan pecinta muzik melalui album ini. Sewaktu proses rakaman, saya sedar bahawa apa sebenarnya yang saya mahukan adalah para pendengar dapat mencari sesuatu yang dekat dengan hari mereka," luahnya yang turut mengkhususkan sebuah lagu buat arwah neneknya.

Sentuh perihal tajuk 'Between The Lines' yang dijadikan tema album perdana solonya, Liyana tersenyum menyambung penceritaan tersurat dan tersirat seperti judul albumnya.

"Seperti definisi album itu sendiri, banyak yang tersirat dalam album ini. Kita tidak boleh menghakimi sesuatu dengan hanya melihat. Banyak yang saya utarakan dalam album ini contohnya lagu Light Writing bercerita tentang kekecewaan manakala Kaku berkisar perihal perkauman. Banyak benda nyata yang berlaku di sebalik sesebuah kejadian, bukan?" tanya manja menyedarkan bahawa realiti ini bergulir serentak dengan hikmah yang berlaku disebaliknya. Ada terselit faktor implisit dalam setiap kejadian.

Mahu terus meneroka

Si pemetik gitar ini mengaku tidak tahu skil yang dinamakan strum untuk gitar sebaliknya dia lebih selesa hanya memetik.

Atas bantuan Izaad Amir (penerbit album, pemain gitar), Pito (bass) dan Ruvi (dram, vibrafon dan perkusi), mereka berjalan membawa penerokaan muzik.

"Lagu Killing Me ditulis sewaktu saya di Britain. Decisions, Decisions pula hasil nukilan di Bandung," ujarnya berbicara tersurat tentang jelajah muziknya.

Menghirup udara Bandung sambil menyiapkan album ini, ada jelajah jiwa dalam dirinya yang mengalun lembut antara sedar dan tidak. Dia melihat dunia baru, lebih besar. Dulu dunianya pernah diwartakan cuma kecil berbanding cita-citanya.

"Saya melihat pemuzik di sana bermain dengan penuh jiwa. Dedikasi mereka berlainan terhadap muzik. Feel mereka mendalam. Saya melihat dunia yang besar," ujarnya dalam nafas lain bukan menidakkan dunia pemuzik tempatan cuma mencari satu sisi yang perlu dipelajari oleh dirinya.


MENDENGAR suaranya kadang kala terbayang merdu burung bersiul.


"Budaya atau scene muzik juga berbeza-beza. Itu yang mahu saya belajar dan terokai. Lihat dan dalami," petah Liyana yang menjalani proses rakaman di Aru Studio, Bandung, Indonesia. Malah dirinya sempat membuat persembahan di daerah tersebut dan sambutan yang diterima sangat menyejukkan hati.

Untuk kembara yang terdekat, ada dua perjalanan yang bakal diterokai. Dua udara dan suasana yang mahu ditatap dengan mata dan dialami dengan jiwa.

Bakal membawakan album Between The Lines dengan taruhan single perdana Light Writing dan single kedua berjudul Jatuh, muzik ini bakal menerawang udara Jepun pada November ini. Terdekat jua, halwa telinga ini akan sampai ke pendegaran pecinta baru dan lama Liyana di Singapura.

"Indonesia juga harapnya dapat sampai," celahnya penuh doa.

Paling dekat, Liyana bakal membawa geseran merdu suaranya di Bentley Music, Mutiara Damansara pada tarikh 11 Disember ini. Tanda waktu anda sekitar 8 malam kerana jelajah muzik Liyana bakal bermula malam itu di lokasi anjuran Bentley tersebut.

Langgam melodinya bakal berkumandang. Bersatu dengan pemuzik yang sejiwa dengannya, Liyana membuka kepada satu dunia. Dunia yang lebih besar buat dirinya dan buat diri pecintanya.

Buku baharu Faezah

Posted:

Buku baharu Faezah

Buku baharu Faezah


PENGANTIN baharu, Heykal dan Faezah percaya bahawa jodoh mereka adalah ketentuan Ilahi.


BENARLAH, jodoh itu antara rahsia Allah Yang Maha Esa. Kejian dan cacian bahkan bermacam kata nista dilemparkan kepadanya, namun atas kekuatan pertemuan yang telah tersurat, pelakon popular, Faezah Elai, 29, akhirnya sah bergelar isteri kepada pengarah drama, Heykal Hanafiah, 38.

Hanya sekali lafaz dan mas kahwin sebanyak RM1,001, majlis akad nikah yang disaksikan kira-kira 300 jemputan itu menjadi detik paling berharga buat Faezah sebagai wanita.

Pasangan itu memilih untuk merahsiakan jumlah hantaran yang diterima. Buku lama juga ditutup kerana di hadapan sudah terbentang fasa baru yang harus diinjak penuh kerelaan.

Faezah sedar, kehidupan mereka akan terus diperhatikan kerana lelaki yang dinikahi itu pernah berkahwin dan bercerai sebelum ini.

"Niat kami baik. Semoga perkahwinan ini menjadi yang terbaik buat kami," kata Faezah dengan wajah berseri-seri bersalut gaun perkahwinan bernilai kira-kira RM9,000 rekaan pereka fesyen popular, Hatta Dolmat.

Sesuatu yang jelas, Faezah, nekad mahukan sebuah kehidupan berkeluarga, menjadi isteri mithali dan hidup bahagia.

"Bila sudah bergelar isteri, mungkin satu hari nanti saya akan tampil dengan imej bertudung, tapi bukan sekarang. Soal hubungan dengan anak-anak Heykal hasil perkahwinan pertamanya, saya tiada masalah dan sedia berbaik-baik dengan mereka," katanya.

Selepas ini, majlis resepsi sebelah pihak lelaki akan diadakan pada 3 Disember di Sungai Ara, Pulau Pinang. Sementara itu pada 4 Disember pula kedua-dua mempelai akan mengadakan majlis resepsi bertemakan persandingan tepi pantai di sebuah hotel di Pulau Pinang.


HANYA dengan sekali lafaz, Heykal dan Faezah sah disatukan sebagai suami isteri.


Sensasi Bintang: Segalanya berjalan mengikut perancangan malah semua kontroversi selama ini juga sudah berakhir, apa yang boleh kalian luahkan?

HEYKAL (H): Ya, perkahwinan kami sudah tersurat dan sebagai hamba-Nya, kita harus akur dengan kuasa jodoh. Ada orang bercinta dan mengharapkan perkahwinan tetapi jika tiada jodoh tetap tak jadi kahwin. Saya tidak mahu mengeluarkan kenyataan yang mengaibkan sesiapa. Apa yang boleh saya katakan, kami sangat bersyukur. Jika selama ini saya ambil sikap berdiam diri dalam banyak hal, selepas ini, rasanya saya perlu masuk campur jika ada pihak yang masih mahu menjatuhkan isteri saya.

FAEZAH (F): Saya harap segala cerita lama sudah boleh boleh ditutup dan tak perlu lagi dibangkit-bangkitkan. Kami sudahpun berkahwin.

Kenapa jumlah hantaran masih dirahsiakan?

F: Kami ada alasan peribadi, bagaimanapun jumlah itu akan diumumkan juga menjelang majlis resepsi pada bulan Disember nanti.

Memandangkan Heykal adalah pengarah drama, adakah Faezah akan menjadi pelakon tetap anda selepas ini?

H: Jangan cepat buat andaian, semua itu bergantung kepada watak.

Mungkin boleh kongsikan sedikit detik indah bagaimana hubungan ini bermula?

F: Saya masih ingat lagi, kami mula rapat semasa penggambaran drama bersiri Asmara 2. Heykal lamar dan pertama kali meluahkan ungkapan 'I love you' kepada saya semasa kami dalam perjalanan pulang selepas keluar menonton wayang.

Kenapa Heykal menjadi lelaki pilihan awak untuk dijadikan calon suami?

F: Saya fikir kami ada ikatan yang cukup serasi, selain ambil berat dan romantik orangnya, kami berasal dari negeri yang sama, budaya, percakapan dan berkongsi makanan kegemaran yang sama. Saya senang dan selesa dengannya.

Heykal pula, kenapa memutuskan untuk berkahwin dengan Faezah?

H: Dia mudah rapat dengan ahli keluarga dan adik beradik saya padahal kami baru kenal. Itu yang buat saya berkenan dengan sikapnya.

Ito dan 18 harmonika

Posted:

Ito dan 18 harmonika

Ito dan 18 harmonika


ITO Blues Gang, yang tiada galang-gantinya.


BUKAN mudah untuk melihat sebuah kolaborasi legenda seperti ini dalam jangka waktu yang singkat. Kumpulan Sweet Charity dan Blues Gang yang mengecap populariti pada awal 1980-an kini beradu tenaga dan irama di pentas serta lokasi yang sama.

Tarikh 1 Oktober bakal melakar sejarah apabila dua raksasa ini kembali bersatu. Bawah payung nama Konsert 2 Raksasa, dua grup legenda itu bakal menggegarkan Stadium Merdeka bermula pukul 8.30 malam.

"Tahun 1980-an dahulu, kami mendapat sambutan sekitar 20,000 penonton," luah Ito mengenang kembali momen konsert bersama dahulu.

Tidak tersasar pada jumlah yang sama, Netzah Production selaku penganjur turut menebak sekitar 25,000 penonton akan memenuhi stadium menyaksikan konsert yang julung kali diadakan itu.

"Kami 'menjual' nilai sentimental melalui konsert ini. Bak kata orang putih 'seeing is believing'. Saya rasa terharu dan gembira dengan adanya konsert ini. Harapan besar agar para peminat datang menonton," ujar Ito yang memegang pepatah 'too young to die, too old to rock n roll'.

Jarang-jarang sekali dapat melihat Blues Gang yang dianggotai oleh Ito, Shaik Abdul Karim Shaik Ahmad, Hafizi, Jim Madasamy, Abdul Ghani Talip dan Julian Mokhtar. Anggota yang menginjak usia purata 50 tahun itu akan beraksi kembali di pentas berskala besar.

Gabungan dengan tentera Sweet Charity yang membariskan Ramli Sarip, Rosli Mohalim, Ahmad Jaafar Jawahir dan Rahman Sarbani pasti mencipta ledakan berapi.


BLUES GANG yang masih utuh bersama barisan anggota asal, (dari kiri) Julian Mokhtar, Hafizi, Karim, Jim Madasamy dan Abdul Ghani Talip.


"Blues Gang tetap Blues Gang. Sudah 30 tahun kami berada dalam industri muzik dan inilah peluang yang kami nanti-nantikan," ujar Ito mengungkap momen yang ditunggu-tunggu baik mereka mahu pun pencinta mereka.

Menyentuh perihal blues yang dibawakan oleh grup yang ditubuhkan sejak akhir tahun 1970-an ini, kata Ito, genre ini memang sukar dibawakan oleh grup baharu.

"Paling hampir pun ialah grup Slank dari Indonesia. Grup-grup lain lebih kepada rock n roll. Kalau sebut kenapa grup baru tidak dapat menyentuh blues, mungkin kerana mereka malas menjelajah," ujar Ito yang memiliki 18 buah harmonika.

Ujar Ito, mereka bakal mendendangkan lagu-lagu hits yang dipilih daripada himpunan lebih 200 koleksi sedia ada.

Jika masih belum memiliki akses untuk ke konsert itu, tiket boleh dibeli di kedai muzik Rock Corner, Victoria Music dan kaunter-kaunter terpilih Konsortium Transnasional Bhd. dengan harga RM73.

Pada sebelah petang, akan diadakan persembahan Monster of Metal yang membariskan grup Sofea, Sil Khannaz, Brain Dead, Humiliation, Nuclers Strikes dan AlFarabi Band.