Adsense

Isnin, 26 September 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Rentap projek baru Diana

Posted: 25 Sep 2011 06:26 AM PDT

INGATKAN panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Hidup satu perjudian begitu juga dengan perkahwinan. Jika jodoh panjang, kebahagiaan menjadi milik kita hingga ke akhir hayat tetapi jika ditentukan sebaliknya, terima saja dugaan itu dengan hati penuh reda.

Itulah kata-kata yang dipegang penerbit muda dan pelakon, Nordiana Johor Zainal Abidin atau Diana Johor, 28, selepas rumah tangga yang dibina bersama jejaka pilihan hati, Ramelle Ashram Ramli hampir setahun setengah lalu, runtuh.

Diana yang ditemui di majlis rumah terbuka Media Prima, Jumaat lalu, enggan mengulas mengenai apa yang berlaku antaranya dan bekas suami. Baginya, semua sudah ditentukan.

"Tidak dinafikan sudah tentu ada sebab mengapa perceraian itu berlaku, tetapi ia tidak manis untuk dikongsi bersama umum. Apatah lagi ia boleh mengaibkan.

Saya pula baru saja pulang daripada menunaikan umrah. Alhamdulillah, selepas pulang hati saya bertambah tenang.

"Saya juga bersyukur perpisahan berlaku awal. Jika ia berlaku ketika kami memiliki cahaya mata, ia mungkin akan menimbulkan lagi masalah untuk meneruskan hidup.

"Sepanjang berkahwin, kami belum dikurniakan cahaya mata sehinggalah berpisah. Memang sedih, tetapi waktu sama ia mungkin baik untuk kami agar masing-masing boleh meneruskan hidup.

"Saya sudah menerima kenyataan apa yang berlaku dan reda dengan ketentuan Allah. Saya sedar hidup perlu diteruskan dan itulah yang saya lakukan kini," katanya seraya menutup cerita dan enggan lagi mengungkit kisah lalu.

Diana yang dikenali melalui iklan minyak masak Alif, kembali bersemangat berbicara mengenai projek terbaru membabitkan drama yang dihasilkan syarikat produksinya, Unique Twins Sdn Bhd yang ditubuhkan bersama saudara kembarnya, Norlina Johor Zainal Abidin atau Lina juga pelakon dan penulis skrip.

Kata pemegang ijazah ekonomi dan kewangan dari Universiti Curtin, Perth, Australia ini, selepas menerbitkan beberapa telefilem seperti Hani Coklat Strawberi, Puteri Kayangan dan Tanah Keramat, kini sibuk dengan kerja-kerja produksi untuk drama terbaru, Rentap.

Drama itu dihasilkan untuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan ini kali pertama produksinya terbitkan drama untuk stesen kerajaan itu menyebabkan Diana lebih berhati-hati untuk memastikan hasilnya benar-benar bagus apatah ia bertemakan epik dan sudah tentu belanjanya agak besar.

"Pada saya, biarlah berbelanja lebih sedikit agar kualitinya bagus. Lagipun saya mahu memastikan apa saja cerita dihasilkan Unique Twins harus berbeza seperti apa yang pernah saya lakukan sewaktu menghasilkan Puteri Kayangan. Ia menampilkan 20 peratus kesan khas.

"Hendak diikutkan, memang saya tidak berpuas hati dengan Puteri Kayangan kerana drama itu dihasilkan dalam waktu yang singkat. Begitupun, saya gembira apabila ia mendapat jumlah tontonan tinggi. Tidak sangka ramai yang suka akan perubahan yang dilakukan Unique Twins dalam drama dihasilkan," katanya.

Mungkin status dirinya sebagai menantu bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Diraja Ramli Ngah Talib banyak membantu perjalanan syarikatnya hingga agak mudah untuknya menjual produk kepada stesen televisyen tetapi Diana menafikan semua itu.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya timbul kerana Unique Twins sudah ditubuhkan sebelum dia bergelar isteri Ramelle Ashram. Malah dirinya sudah lama bertapak dalam dunia lakonan seawal usia 14 tahun dan banyak menimba pengalaman dalam bidang itu.

"Saya mula berlakon sejak usia 14 tahun tetapi dunia lakonan saya tinggalkan buat sementara selepas mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Australia.
Selepas kembali, saya berlakon semula dan waktu sama bergabung dengan Lina menubuhkan produksi sendiri.

"Sebelum berkahwin juga, saya sudah menerbitkan beberapa drama yang sudah pun ditayangkan sebelum itu. Jadi dakwaan yang mengatakan saya menggunakan nama keluarga bekas suami hingga memperoleh peluang untuk mendapatkan projek Unique Twins sama sekali tidak benar.

"Tambahan pula bekas suami tidak mempunyai pengetahuan mahupun pengalaman dalam bidang penerbitan drama mahupun filem. Dia tidak pernah mencampuri urusan perniagaan saya dan menguruskan Unique Twins," katanya.

Dalam menghasilkan karya terbaik, Diana banyak bergabung dengan Lina dan paling ketara drama Puteri Kayangan yang pernah disiarkan menerusi slot cerekarama di TV3 dan menjadi bukti bahawa gabungan mereka berdua boleh menghasilkan karya menarik.

"Saya serasi bekerja dengan Lina. Memanglah kata orang bekerja dengan adik beradik agak payah sebab mudah berkecil hati apabila ada beberapa perkara yang tidak memuaskan hati akan diluahkan. Pada saya mahupun Lina, apa yang kami lakukan adalah untuk kebaikan Unique Twins.

"Ada kala memang kami bertelagah membabitkan idea mahupun pelaksanaan sesebuah drama yang mahu dihasilkan. Bagaimanapun, saya tahu pertembungan idea itulah nanti akan memberikan hasil yang bagus," katanya.

PROFIL:

Nama Penuh: Nordiana Johor Zainal Abidin
Panggilan: Diana Johor
Asal: Johor Bahru, Johor
Umur: 28 tahun
Kerjaya: Pengarah Hotel Pelangi, Johor, penerbit, pelakon dan model iklan komersial
Keluarga: Anak kedua daripada tiga beradik

Drama: Antaranya Mas Maria, Sembilu, Astana Idaman, Hana Hani Cokelat Strawberi dan Tanah Keramat

Teater: Muzikal Tun Mahathir
Pendidikan: Ijazah Ekonomi dan Kewangan dari Universiti Curtin, Perth, Australia
Iklan TV: Banyak, antaranya minyak masak Aliff

15 pemenang ke LA

Posted: 25 Sep 2011 06:11 AM PDT

[unable to retrieve full-text content]TEPAT jam 3.15 petang ini, seramai 25 orang terdiri daripada 15 pemenang Anugerah Skrin 2010 (ASK2010), empat wartawan media cetak dan wakil daripada Media Prima Berhad diketuai Pengurus Perhubungan Awam dan Acara TV3, Muhamad Aziz, akan berangkat ke Los Angeles sempena program ‘Anugerah Skrin Study Trip’.