Berita Harian: Hip |
Posted: 25 Sep 2011 03:48 PM PDT Hip Norman sebak, Memey bersyukurBAGAI pesta malam minggu begitulah meriahnya majlis pernikahan pasangan sensasi, Norman Hakim dan Memey di kampung halaman pengantin perempuan di Felda Tenggaroh Selatan 1, Kota Tinggi, Johor apabila masyarakat kampung dan penduduk sekitar berpusu-pusu menuju ke rumah keluarganya. Anak muda kampung berduyun-duyun menunggang motosikal, manakala ibu bapa mengendong anak kecil mereka semata-mata mahu menyertai acara joget lambak dan karaoke yang diadakan pada sebelah malam selepas majlis berinai dan potong kek. Malah pasangan bahagia itu cukup sporting apabila mendendangkan lagu Jangan Pisahkan khusus buat tetamu, malah turut meluangkan masa bergambar dengan peminat. Pasangan merpati dua sejoli ini dirai cukup meriah keluarga Memey yang bertungkus lumus membuat perancangan sejak berbulan-bulan lalu bagi memastikan majlis pernikahan mereka menjadi yang terhebat di Felda itu. Status sebagai selebriti juga menyebabkan majlis ini diadakan penuh meriah.Kemeriahan majlis perkahwinan mereka mula dapat dirasakan menerusi deretan 'banner' yang tertera gambar pasangan sejoli ini tergantung di sepanjang panjang jalan sejauh 20 kilometer dari rumah Memey. Sebaik tiba di pekarangan rumah Memey pula, 14 buah khemah sudah menanti menyambut kehadiran tetamu. Majlis yang mengundang hampir 4,000 tetamu. Bapa Memey, Suhaimi Sarwani, 49, berkata mereka cuma mahu berkongsi kegembiraan menyambut menantu dengan penduduk kampung.
Kini Norman menerima amanah untuk menggalas tanggungjawab saya pula. Saya doakan semoga mereka bahagia ke akhir hayat," kata Suhaimi yang mengakui kelam kabut menguruskan majlis perkahwinan anak ketiganya itu. Sementara itu, hanya dengan sekali lafaz, kira-kira jam 5.10 petang, Norman Hakim atau nama sebenarnya Mohd Norhakim Zaidon, 35, dan Suhaiza Suhaimi, 23, sah bergelar pasangan suami isteri. Air mata tidak dapat Norman bendung sebaik selamat dinikahkan Imam 1 dan Penolong Pendaftar Nikah Daerah Kota Tinggi, Mohamad Zulkipli Tarmizi. Sebaik perkataan sah dilafazkan saksi, hujan yang sebelum ini renyai-renyai, tidak semena-mena menjadi lebat seakan-akan merestui perhubungan suci itu. Memey yang duduk di pelamin indah ditemani dua anak tirinya Mohamed Danish Hakim, 8, dan Marissa Dania Hakim, 6, turut tidak dapat menahan rasa sebak saat lelaki dicintai membaca lafaz taklik. Norman menyerahkan mas kahwin RM 22.50, wang hantaran RM24,000, lima dulang hantaran dan dibalas tujuh daripada pengantin perempuan. "Harapan saya tentulah mahu ikatan ini berkekalan, saya juga berharap dapat membina masjid yang terindah untuk kehidupan akan datang. Saya sebenarnya bimbang untuk menjadi nakhoda semula. Setiap manusia tidak sempurna, apabila saya kaji dan kenang semula ketidaksempurnaan saya, perkara itu membuatkan hati saya jadi sebak. "Perasaan saya begitu tenang, aman dan damai ketika hendak bernikah. Pernikahan adalah satu ibadah, oleh itu saya akan tunaikan ibadah ini dengan sebaiknya," kata Norman yang merancang ingin menunaikan umrah dan juga ke Paris sebagai destinasi bulan madu mereka. Bagaimanapun katanya, setakat ini mereka masih belum membuat keputusan bila akan berbulan madu memandangkan masing-masing masih lagi terikat dengan jadual kerja. Mengimbau pula detik perkenalan mereka, Memey mengakui terpesona dengan sikap penyayang, tanggungjawab serta kelembutan bapa kepada tiga cahaya mata itu melayan karenah manjanya. "Sikapnya yang bertanggungjawab serta penyayang. Begitu juga dengan ilmu agama yang dimilikinya. Saya mengaku seorang yang manja tetapi suami tahu bagaimana untuk melayan saya, walaupun untuk hal-hal kecil. "Semakin mengenali suami, saya rasakan diri semakin bertuah. Saya berharap ikatan ini berkekalan sehingga ke akhir hayat," kata Memey yang merancang mengadakan majlis pernikahan di kampung kerana mahu disaksikan anggota keluarga, sanak saudara dan jiran-jiran. Katanya, dia sering berada di Kuala Lumpur, justeru dia jarang dapat bersama keluarga di kampung. Biarpun ibunya mengatakan majlis di Kuala Lumpur sudah memadai, Memey tetap ingin hari bersejarahnya diraikan di kampung halamannya sendiri. "Sejak menjadi pelakon, saya jarang pulang ke kampung menghabiskan masa bersama keluarga. Disebabkan ini hari bahagia saya, saya mahu keluarga, saudara-mara, sahabat- handai dan penduduk kampung meraikannya bersama-sama saya," katanya. Terharu, terima kasih kepada Abby BIARPUN Abby Abadi tidak hadir pada majlis bersejarah itu, namun Norman tetap terharu dengan bekas isterinya, Abby Abadi malah berterima kasih kerana mengizinkan dua anak mereka menyaksikan hari sejarahnya. "Saya ingin berterima kasih kepada bekas isteri kerana mengizinkan anak mengikut saya. Sebenarnya saya sendiri tidak bercadang membawa mereka kerana saya bimbang tidak mampu melayan mereka kerana kesibukan. Bagaimanapun, sebelum saya bertolak ke sini, dia menghubungi saya meminta ambil anak kerana sudah menyiapkan pakaian mereka. "Pada Selasa lalu saya ke rumah bekas isteri untuk makan malam bersama anak.
"Saya dengan Abby memanglah sudah berpisah, tetapi kami tidak terpisah sebagai ibu dan bapa kepada anak kami," kata Norman. Bekas isteri doakan kebahagiaan "Alhamdulillah mereka sudah dapat apa yang dimahukan. Saya mendoakan semoga perkahwinan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat," kata Abby ketika dihubungi. Menurutnya, dia tidak berasa apa-apa melihat bekas suaminya akhirnya berkahwin dengan wanita pilihannya. Lagipun, dia sudah lama melupakan episod hitam yang melanda rumah tangga mereka tiga tahun lalu. "Saya lepaskan anak mengikut papa mereka kerana memikirkan masa depan mereka. Saya mahu bekas suami sama-sama jaga anak kami. Saya bimbang putus rezeki untuk anak. Jadi saya mahu bekas suami sama-sama menjaga anak. "Manalah tahu satu hari nanti saya tidak ada duit, bekas suami bolehlah sama-sama membantu menanggung anak," katanya. Sementara itu, anak sulung Norman, Danish yang turut hadir menyaksikan perkahwinan bapanya, berkata seronok dan sedih melihat bapa dinikahkan dengan Memey. Katanya, dia menangis kerana gembira bapanya berkahwin dengan wanita yang baik. "Danish nangis sebab semua orang menangis. Danish menangis sebab gembira dapat mak baru. Kalau boleh Danish nak dapat adik kecil cepat sebab sekarang ada dua adik saja," katanya senyum. |
Fragmen: Mantapkan perlindungan sedia ada Posted: 25 Sep 2011 03:44 PM PDT Hip PERLINDUNGAN Hak Cipta Karya Muzik Malaysia (MACP) Berhad adalah pertubuhan bukan berorientasi keuntungan sebaliknya berperanan melesenkan penggunaan karya muzik dan seterusnya mengutip royalti yang dibayar kepada penulis lagu, penerbit dan penulis seni kata apabila hasil karya mereka disiarkan atau dipersembahkan kepada umum.Pengguna hasil karya muzik ini ialah stesen radio, TV, semua premis hiburan, kompleks kerajaan, pusat membeli belah, perkhidmatan kandungan bergerak (mobile) seperti muat turun lagu, online dan banyak lagi. MACP Berhad diperbadankan sebagai sebuah syarikat sendirian berhad pada September 1989 dan hari ini mempunyai 2,500 ahli yang terdiri daripada penulis lagu, penerbit muzik yang mempunyai hak kawalan dan pemilikan ke atas lebih 50,000 karya muzik tempatan sahaja. MACP juga menjalin perjanjian kerjasama dengan badan perlindungan hak cipta karya muzik peringkat antarabangsa. Dalam hal ini, MACP mewakili lebih dua juta komposer, penulis lirik dan penerbit antarabangsa. Sebab itulah, MACP di Malaysia diberikan hak untuk mengawal lebih 12 juga hasil karya muzik dari seluruh dunia.Baru-baru ini, kita bertemu dan berbual dengan Pengerusi MACP, Habsah Hassan mengenai perlindungan hak cipta yang sudah lebih 20 tahun beroperasi di Malaysia. Operasinya bermula di sebuah rumah kedai di Hartamas, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Pusat Perniagaan Jalan Kuchai Lama. Pengerusi pertamanya ialah Datuk Freddie Fernandes. Dalam perbualan dengan Habsah atau mesra dengan panggilan Kak Cha, kita dimaklumkan ada ura-ura mengenai untuk menubuhkan sebuah lagi badan untuk mengutip royalti karyawan muzik. Kononnya, badan pemuzik sekarang tidak cekap, tidak telus dan banyak kelemahan. Pihak ini dikatakan sedang melobi kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk menubuhkan badan royalti baru dan memansuhkan badan royalti sedia ada.
Satu lagi badan pengutip royalti ialah PPM atau Public Perfomance Music Malaysia, iaitu badan yang mewakili syarikat pemegang hak cipta karya muzik.
Memahami isu royalti memang rumit. Peranan badan royalti, formula pengutipan royalti dan kaedah untuk mengagihkan hasil kutipan royalti, pelesenan karya cipta muzik selain cara penguatkuasaan, memang rumit untuk difahami. Oleh itu, MACP dan PRISM dari semasa ke semasa memperbaiki kaedah dan formula pengurusan, pengendalian dan pengagihan royalti. Bukan sahaja orang ramai, di kalangan pemuzik atau pengkarya muzik sendiri pun, ada yang kurang memahami peranan MACP dan PRISM sehingga wujud pertelingkahan dan salah faham di kalangan mereka. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri pernah mengadakan sesi pertemuan dengan pengarang hiburan daripada media arus perdana untuk mendapatkan pandangan dan maklumat mengenai perjalanan operasi dan kepentingan setiap badan perlindungan hak cipta karya muzik ini. Kita masih ingat, nada beliau seolah-olah mempertikaikan ketelusan MACP, PRISM atau PPM mengenai sistem pengagihan royalti ini. Tapi ada ketikanya Ismail sendiri masih keliru dan kurang faham dengan setiap peranan badan pengutip royalti ini. Kita sendiri sudah menjelaskan bahawa setiap badan pengutip royalti mempunyai matlamat yang tersendiri. Bagaimana mereka mengagihkan hasil kutipan royalti adalah berdasarkan format yang diguna pakai oleh badan pengutip royalti antarabangsa. Pendek kata, memanglah tidak ada satu formula yang standard. Hasil daripada pertemuan itu, Ismail memberi bayangan kemungkinan untuk menubuhkan satu lagi badan royalti yang kononnya akan dikawal sepenuhnya oleh kerajaan iaitu kementeriannya sendiri. Perkara itulah yang diceritakan semula oleh Kak Cha dalam pertemuan baru-baru ini. Bagi pihak MACP, Kak Chah berasa kecewa kalau KPDNKK bersetuju dan membenarkan penubuhan sebuah lagi badan pengutip royalti. Sememangnya, bagi kita sendiri tertanya-tanya apa perlunya kerajaan menubuhkan badan pengutip royalti yang baru. Sekiranya KPDNKK berasakan MACP, PRISM dan PPM ada kelemahan, adalah menjadi tanggungjawab kementerian ini untuk membantu memperbaiki serta memantapkan operasi ketiga-tiga badan pengutip royalti ini. Memansuhkan badan pengutip royalti muzik yang ada dan menggantikan dengan yang baru, tidak menyelesaikan masalah. Menubuhkan badan royalti yang baru bermakna, segala-galanya kena bermula dari awal sedangkan apa yang sekarang sebenarnya sudah mantap. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |