Harian Metro: Rap |
Posted: 18 Sep 2011 12:39 PM PDT PADA awal pembabitan Amyza Aznan atau Amyza, 37, dalam dunia hiburan tempatan, wajahnya sering dikaitkan dengan Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff atau Jee Latiff, 40. Kata peminat mereka macam kembar seiras. Malah ada juga yang bertanya adakah dia adik kepada penyanyi popular itu. Perkara itu turut disedari Amyza selepas ramai memperkatakannya. Waktu itu Amyza sering menidakkan apa yang diperkatakan kerana malu. Katanya lagi, siapalah dia hendak dibandingkan dengan Jee yang punya nama besar dalam industri muzik tempatan. Waktu sama, kata Amyza yang ditemui pada satu majlis sambutan Aidilfitri, baru-baru ini, dia memang meminati Fauziah sejak kecil dan seingatnya sejak tingkatan satu. "Dulu masa zaman budak-budak, apabila orang kata muka saya mirip Jee, saya selalu belek wajah di hadapan cermin. Waktu sama hati turut bertanya, benarkah wajah saya sama dengannya dan dari sudut mana?
"Peluang itu saya peroleh selepas enam tahun bergelar pelakon. Mungkin kerana sudah ramai orang menyebut wajah kami serupa menyebabkan editorial majalah itu mendapat idea untuk menemukan kami," kata Amyza. Selepas itu, dia tidak berkesempatan bertemu dengan Jee lagi sehinggalah apabila mereka bertemu sekali lagi pada majlis sambutan Aidilfitri terbabit. Kebetulan Jee dijemput untuk menyanyi. Lalu peluang itu digunakan Rap untuk merakamkan gambar mereka berdua buat pembaca setia dan peminat bagi melihat sendiri dari sudut mana wajah dua artis terkenal ini dikatakan sama. Menyambung perbualan membabitkan minat Amyza terhadap Jee, kata pelakon drama bersiri Trilogi Cinta itu, dia turut menjadikan kejayaan diraih penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu sebagai sumber inspirasi. "Pembabitannya dalam dunia nyanyian benar-benar memberi impak berbanding artis sekarang dan rata-rata mereka mempunyai ramai pengikut setia. Malah kerana kejayaan diraih Jee juga menyebabkan saya menyimpan impian menjadi penyanyi. "Daripada tak ada suara sehinggalah sekarang saya boleh menyanyi dengan baik. Jee juga menjadi pembakar semangat untuk saya mengasah bakat dalam bidang nyanyian," ujarnya. Pada waktu sama, Amyza berkata, dia menyimpan impian untuk menyanyi bersama Jee walaupun sekali tidak kira dalam rakaman lagu mahupun persembahan pentas. Mengikuti perkembangan idolanya itu yang kini turut berlakon drama, dia juga berharap selepas ini akan terbuka peluang untuk mereka beraksi sama. Pertama kali mendengar kenyataan mengatakan wajahnya sama dengan Amyza membuatkan Jee tertanya-tanya. Bagaimanapun, apabila pertama kali melihat wajah pelakon itu, penyanyi berasal dari Klang, Selangor itu mengakui tersenyum. "Apabila melihat wajahnya buat pertama kali saya faham mengapa ada yang mengatakan wajah kami mirip. Mungkin bentuk rupa ada sikit iaitu bujur sirih dan waktu sama saya kelihatan lebih cengkung sedikit. Ada satu klip video pernah saya hasilkan waktu isu saya sangat kurus. Apabila melihatnya kembali memang saya dan Amyza nampak seiras," katanya. Menyentuh mengenai kerjaya lakonan Amyza, Jee akui ibu anak dua itu sangat berbakat dan menggemari aksinya. Dia juga menyifatkan Amyza seorang pelakon serba boleh dan lakonannya bersahaja. Menyentuh mengenai impian Amyza yang memujanya dan berhasrat untuk berduet bersama, kata Jee, dia terharu dan sangat berterima kasih. Sekiranya ia terlaksana, Jee menganggap ia sebagai satu penghormatan. Menyentuh mengenai kerjaya lakonan dan hasrat Amyza untuk digandingkan bersama, kata Jee merendah diri, dia menyifatkan sebagai pendatang baru dalam dunia lakonan, masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari. "Saya berterima kasih kepada Suhan Movies & Trading juga Rosyam Nor kerana memberi kepercayaan dan peluang untuk menimba pengalaman dan belajar selok-belok dunia lakonan. Bagaimanapun, bagus sekiranya kami dapat ditemukan di layar. Tapi segan sebabnya saya ini baru hendak belajar. Sekiranya peluang datang saya menerimanya dengan tangan terbuka," katanya yang kini sering mengikuti konvoi motosikal besar. Menyentuh mengenai kerjaya, kata Jee, dia masih menerima tawaran untuk mengadakan persembahan cuma buat masa sekarang dia belum terfikir untuk menghasilkan album kerana mahu berehat buat sementara. PROFIL Nama Penuh: Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff PROFIL Nama: Amyza binti Aznan |
Depan Mata: Usah tunggu waktu musibah saja Posted: 18 Sep 2011 07:14 AM PDT TAHNIAH buat karyawan seni tanah air yang turut menjayakan projek terbaru daripada Pete Teo iaitu Undilah yang dilancarkan sehari sebelum kita meraikan sambutan Hari Malaysia, 16 September lalu. Apa yang menarik, lagu Undilah menampilkan empat bahasa utama rakyat Malaysia manakala video klip arahan Benji Lim diadakan di sekitar Kuala Lumpur.
Ia menampilkan wajah lebih 40 rakyat Malaysia pelbagai lapangan dari tokoh politik, perniagaan, pendidikan, sukan hinggalah selebriti. Mereka ini bukan saja dari pelbagai kaum malah berbeza pegangan politik tetapi demi Undilah, semua bersatu hati menjayakannya sesuai dengan semangat 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Mungkin ada yang melihatnya dari sudut tertentu tetapi yang lebih penting, semangat bersatu mereka ini dari Tengku Razaleigh Hamzah (Kuli), Afdlin, hinggalah wajah-wajah popular seperti Datuk Lee Chong Wei, Nurul Izzah, Datuk Yasmin Yusoff, Wardina Safiyya, Jehan Miskin, Bront Palarae, Amani, Daphne Iking dan Aizat.
Tahniah juga buat semua karyawan seni dan orang ramai yang sudi meluangkan masa menjayakan Karnival Amal Syawal NSTP 2011 yang berlangsung kelmarin dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam. Projek anjuran Kelab Kebajikan Sukan & Rekreasi The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) ini bertujuan mengumpul dana bagi membantu Amir Shah Osman, 55, suami wartawan hiburan Harian Metro, Ramlah Zainal yang memerlukan kos rawatan pemindahan hati di India. Hampir 50 artis menyatakan kesudian hadir untuk menjayakan acara yang dihoskan dengan percuma oleh Didie Alias dan Along Raja Lawak ini dan ada yang sedia menjual barangan peribadi untuk dikongsi bersama peminat. Antaranya, produser Raja Azmi Raja Sulaiman yang gigih melelong banyak sekali baju-baju mahalnya dalam harga yang sangat murah. Artis yang muncul dalam acara lelong termasuklah Fasha Sandha, Shaheizy Sam, Sheila Lama dan jaguh badminton negara, Jalani Sidek dan Roslin Hashim. Tidak ketinggalan turun padang Farahdhiya, Datuk Ramli MS, Ako Mustapha, Sharifah Zarina, AG Hot FM, Yana Samsudin, Alyah, Erma Fatima, Datin Ziela Jalil, Lisa Surihani, Diddy Hirdy, Daus, Bill Bora, Calvin Thoo dan ramai lagi. Bagi pengunjung yang ingin mengalas perut, mereka membeli sambil menderma di meja Kuzie Katering milik Raja Rosley Raja Mazlan atau Pak Engku, penyampai Suria FM, Linda Onn (nasi ayam dari My Mom's Chicken Rice), Deja Moss (kek lapis Sarawak) dan Diddy AF (kuih Akok). Penyanyi Ana Raffali pula menjual biskut raya, Atilia datang menghiburkan tetamu dan Fara Fauzana muncul bergambar bersama peminat dengan bayaran RM1. Hasil daripada jualan, lelong dan sumbangan peribadi daripada orang ramai dan juga pelbagai syarikat produksi drama dan filem, majlis kelmarin berjaya mengumpul hampir RM50,000. Alhamdulillah. Memang hujung minggu semalam, semua orang masih sibuk dengan acara ziarah Aidilfitri namun masih ramai yang sudi datang. Acara ini hanya dirancang dalam waktu yang sangat singkat tetapi kerjasama rakan wartawan dari Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times (NST) dan anggota kelab kebajikan terbabit dengan sokongan bos-bos di atas, berjaya menjadikan ia acara yang menyentuh perasaan. Pak Engku misalnya, saya hanya maklumkan pada Selasa lalu tetapi dia terus menyatakan persetujuan menghulurkan sumbangan peribadi. Tidak cukup dengan itu, Pak Ungku membawa hidangan Kuzie Katering dengan empat set makanan untuk dijual iaitu nasi putih, nasi tomato bersama lauk pauk hinggalah pulut kuning, rendang, pulut durian dan kuih lopes. Semoga usaha sebegini dapat diteruskan untuk membantu orang lain pula yang memerlukan pada masa-masa akan datang. Kata tetamu yang datang, waktu ini waktu Ramlah dan kita tidak tahu bagaimana nasib kita pula pada masa akan datang. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semoga apa yang ada di depan mata ini akan menjadi iktibar untuk kita sama-sama berkongsi hikmahnya. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |