Adsense

Sabtu, 17 September 2011

Harian Metro: Rap

Harian Metro: Rap


Rezeki dirikan masjid

Posted: 16 Sep 2011 05:19 AM PDT

MENELITI jauh ke dalam mata dua bintang muda popular ini, terserlah seribu kebahagiaan bersulamkan perasaan gusar. Mana tidaknya, baik Zahiril Adzim mahupun tunangnya Sheera Ayob, masing-masing menghitung detik menjelang majlis perkahwinan mereka.

Meskipun pertemuan bersama mereka beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu penuh dengan gelak tawa dan usik-mengusik antara satu sama lain, dapat dirasakan mereka gementar menempuh alam rumah tangga.

Ikhlas kata Zahiril yang mesra disapa Bob, inilah detik yang sekian lama dinanti bagi menamatkan zaman bujangnya.

"Sudah lama saya bersedia untuk berkahwin dan membina keluarga sendiri kerana asasnya mudah, saya sudah berkemampuan mengikut tuntutan agama. Saya tidak mahu melengahkan lagi perkara yang baik.


"Bagi saya, Sheera ada semua ciri yang saya cari daripada seorang wanita. Sheera melengkapi hidup saya dan tidak pernah sesaat pun saya bosan apabila bersamanya.


"Kami saling mencintai dan mahu percintaan ini berterusan ke jenjang pelamin. Kami mahu menempuh kehidupan baru dengan sebaik mungkin," katanya.

Pada sesi fotografi itu, mereka kelihatan mesra dan Sheera mahupun Zahiril nampak sungguh ceria.

Sesi fotografi itu mungkin juga yang terakhir bagi sambutan Aidilfitri sebelum masing-masing menamatkan zaman solo. Sepadan mengenakan rona coklat lembut, Zahiril dan Sheera tidak lupa bercerita mengenai masa depan yang bakal ditempuh apabila tinggal sebumbung kelak.

Memilih tanggal 20 November ini untuk majlis akad nikah bertempat di kediaman Sheera di Ipoh, Perak, mereka akan bersanding dengan busana indah warna putih dan hijau rekaan Hatta Dolmat.

Majlis bersanding sebelah lelaki pula akan diadakan pada 27 November di Shah Alam dengan tema rona perak.

Menyifatkan Zahiril seorang yang begitu memahami, Sheera yang sebelum ini dikenali menerusi program Kapsul My TV3 dan Wanita Hari Ini (WHI) mengharapkan impian bersuamikan Zahiril akan menjadi kenyataan.

"Saya sangat seronok dan bersyukur apabila akhirnya apa yang pernah kami impikan akan terlaksana walaupun darah terasa gemuruh. Zahiril memang lelaki yang paling sesuai buat saya dan saya yakin dia akan membahagiakan saya.

"Aidilfitri kali ini terasa berbeza kerana kalau perancangan menjadi, inilah mungkin hari raya terakhir saya beraya sebagai orang bujang. Lantas saya beraya sakan dengan kawan dan sepupu saya.

"Malah, selepas ini saya tidak boleh lagi memikirkan soal diri saya saja sebaliknya tanggungjawab kepada Zahiril perlu saya utamakan. Harap-harap selepas ini kalau balik kampung ke Ipoh, saya sudah ada pemandu," katanya berseloroh.

Mahu meletakkan sepenuh fokus kepada keluarga dan menyempurnakan apa yang perlu diutamakan sebagai pemimpin keluarga, Zahiril yang bakal muncul dengan dua filem hebat, Bunohan dan Klip 3GP, masih memberi sepenuh kebebasan kepada Sheera untuk membina namanya sebagai personaliti TV.

"Saya tidak mahu menyekat atau menghalang Sheera untuk terus berlakon dan menjadi pengacara TV kerana itu kerjaya dia sejak awal perkenalan kami, malah kami berdua juga sudah berbincang dan meletakkan persefahaman untuk saling menyokong kerjaya masing-masing.

"Saya sendiri faham akan situasi anak seni kerana kebetulan kami berdua dalam bidang yang sama. Jika diberi rezeki, mana tahu kami merancang menubuhkan produksi sendiri pula selepas ini," katanya.

Sibuk membina nama dan empayar kerjaya lakonan masing-masing, jelas Zahiril, dia dan Sheera akan dipertemukan dalam filem arahan Azrul Hisham berjudul Ada Sesuatu yang Tinggal.

"Siapa sangka kami berdua akan dipertemukan dalam sebuah filem bergenre seram. Watak saya sebagai Arshad dan Sheera pula memegang watak Zakiah. Selain kami berdua, Sara Ali juga akan terbabit sama dan saya sendiri tidak sabar ke lokasi penggambarannya. Setakat ini, saya sudah membaca skrip dan pembangunan wataknya, namun semuanya akan saya kongsi bersama peminat sebaik ada pengesahan nanti.

"Alhamdulillah rezeki dalam lakonan melimpah-ruah. Betul kata orang, jika kita merancang mendirikan sesuatu yang baik seperti berkahwin, rezeki itu akan datang berganda. Saya sendiri bersyukur dengan apa yang diberikan kepada saya memandangkan profil lakonan yang masih baru dalam industri," katanya.

PROFIL

NAMA PENUH: Mohd Zahiril Adzim Mohd Mokhtar
TARIKH LAHIR: 23 Januari 1984
USIA: 27 tahun
TEMPAT LAHIR: Taiping, Perak
KERJAYA: Pelakon, penggiat teater
KELUARGA: Anak ketiga daripada lima beradik
DRAMA: 100 Hari Jadi, Seandainya Aku Siti, Abam, Belum Khatam Dah Khatan, Kami: The Series, Merah Putih, Ghost, Lembing & Layang, Progresif, Juvana, Khurafat The Series
FILEM: Kami The Movie, Gadoh, Karaoke, Senjakala, Tolong Awek Aku Pontianak, Klip 3GP, Bunohan, Ada Sesuatu Yang Tinggal
PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-22

PROFIL

NAMA PENUH: Nur Syahirah Aiyob
TARIKH LAHIR: 21 Disember 1986
USIA: 25 tahun
TEMPAT LAHIR: Ipoh, Perak
KERJAYA: Pengacara, pembantu penerbit, pelakon
KELUARGA: Anak sulung daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Diploma Pengajian Media, Institut Media Integratif Malaysia (MIIM), Kuala Lumpur
PROGRAM: Kapsul My TV3, Wanita Hari Ini (WHI)
DRAMA: Elegi Sepi
FILEM: Sesuatu Yang Tertinggal, Karak dan Ada Sesuatu Yang Tinggal
IKLAN: Double Mint dan Walls

Pakaian Zahiril Adzim: Morning Rocket (Hubungi Jay di talian 013-9988556 atau layari www.morningrocket.com)
Mekap: Epie Temerloh menggunakan MAC (013-3445429 atau emel ke epie.temerloh@yahoo.com)

Solehah tiada penyingkiran

Posted: 16 Sep 2011 05:10 AM PDT

SELAMA tiga bulan pencarian dilakukan, TV Alhijrah (TVAH) akhirnya menemui 10 wanita berkelayakan untuk menyertai program Solehah. Merangkumi pelbagai bidang, wanita terpilih itu diyakini memiliki kredibiliti sebagai seorang pendakwah.

Apapun, lebih 600 peserta mencuba nasib hadir ke sesi uji bakat Solehah yang diadakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kedah, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah. Ia nyata sambutan baik diterima untuk program realiti baru yang diperkenalkan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Solehah adalah program realiti TV berhasrat melahirkan barisan Muslimah yang mempunyai ciri dan sifat seorang solehah dan mampu menjadi ikon kepada wanita lain.

"Atas sebab itu, uji bakat penyertaan diadakan terbuka kepada wanita dengan pelbagai latar belakang pendidikan. Bahkan kebanyakan mereka graduan dari institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan luar negara dalam pelbagai jurusan.


"Justeru, melihatkan pada peserta terpilih ini, mereka di kalangan terbaik, mampu dan berupaya menyampaikan dakwah secara lisan atau tulisan serta pastinya mempunyai daya ketahanan fizikal dan mental yang kuat," katanya.


Menyentuh soal kelainan program Solehah itu, Jamil Khir berkata, tiada peserta akan disingkirkan sepanjang program terbabit berlangsung. Katanya, semua peserta itu kekal bersaing sehingga minggu terakhir dan barulah pemenang dipilih.

"Saya tidak mahu sesiapa tersingkir daripada persaingan kerana banyak perkara harus dipelajari sebelum mampu menjadi pendakwah wanita berjaya. Oleh itu, biarlah penilaian untuk mereka dibuat setiap minggu dan bagi yang lemah akan terus dibantu.

"Dalam soal ini, peserta yang lemah tidak semestinya tidak bagus. Ini kerana, dalam pertandingan sudah pasti ada pasang surutnya prestasi peserta. Barangkali, peserta yang dilihat lemah minggu lalu, mungkin bangkit bersaing pada minggu seterusnya.

"Jadi, tidak perlulah sesiapa disingkirkan dan biar mereka meneruskan pengajian sehingga program berakhir. Bagaimanapun, mereka akan dinilai dari pelbagai sudut termasuk ujian di dalam dan di luar kelas," katanya.

Berbicara mengenai hadiah, Jamil Khir memaklumkan, buat masa ini biarlah ia menjadi rahsia. Bahkan, beliau juga enggan memaklumkan berapa anggaran jumlah hadiah kemenangan akan diperoleh juara Solehah kelak.

Ujarnya, soal hadiah biarlah dirahsiakan dan menjadi kejutan buat peserta. Biarlah program Solehah itu dilaksanakan lebih dulu dan mencapai sasaran matlamat. Menurut Jamil Khir, beliau mahu peserta memberi tumpuan kepada pembelajaran.

"Solehah akan menemui penonton di TVAH (Saluran 114 Astro) bermula 23 September ini sebanyak 13 episod. Ia akan disiarkan secara langsung pada setiap Jumaat dari Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur.

"Seramai empat tenaga pengajar akan membimbing peserta iaitu Pensyarah di Jabatan Dakwah dan Pengurusan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Ustazah Norsalehah Mohd Saleh; Pensyarah Pengajian Islam Universiti Teknologi Kuala Lumpur, Ustazah Norhafizah Musa; Pensyarah di Jabatan Al-Quran & Sunnah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Ustazah Suriani Sudi serta Pengarah Pemasaran & Korporat Sri Munawwarah Design, Haslina Mohd Ali," katanya.

Tidak ketinggalan, barisan juri yang akan menilai pencapaian peningkatan peserta setiap minggu pula terdiri daripada tiga tokoh akademik terkenal iaitu Pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail; Pensyarah di Fakulti Pendidikan Psikologi & Kaunseling UM, Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor serta Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Isfadiah Mohd Dasuki.

Peserta Solehah yang bersaing adalah Amie Sofia Ahmad, 25 dari Kedah; Wan Suhaili Wan Mohd Yusof , 24, (Terengganu); Mariyam Sa'ari, 24, (Terengganu); Sarah Azizul, 25, (Selangor); Renny Johnnuin, 21, (Sabah); Tuan Nor Shazni Tuan Muda, 23, (Terengganu); Siti Adibah Zelkefly, 21, (Sarawak); Nurul Eswani Syafazlin Abdul Halim, 24, (Kedah); Wan Nor Mazuani Wan Mokhtar, 22, (Pahang) dan Rosmarieza Rafiee, 25, (Melaka).

Turut diperkenalkan dua pengacara Solehah iaitu Irma Hasmie Ibrahim dan Nurul Iman Dzulkefly. Selain Jamil Khir, hadir sama pada sidang media Solehah ialahPengerusi TVAH, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Ketua Pegawai Eksekutif TVAH, Bukhari Che Muda.