Adsense

Jumaat, 23 September 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Ratu Sensasi?

Posted: 22 Sep 2011 04:16 PM PDT

Hip

Bukan kerana bunuh diri...

IBARAT seorang pesalah yang menanti saat dibicarakan, begitulah juga situasi penyanyi dan pelakon, Marsha Milan Londoh di saat berdepan dengan sekumpulan media yang ingin mendengar sendiri dari mulutnya perihal insiden yang menggemparkan dunia hiburan kira-kira dua minggu lalu.

Sebelum kisah telan pil, penyanyi dan pelakon ini muncul dengan cerita sensasi mengaku kononnya sudah berkahwin lengkap dengan gambar dirinya dengan pakaian pengantin, sedangkan rupa-rupanya itu hanyalah antara adegan dalam klip video untuk lagu terbarunya. Dimasukkan ke hospital selepas dikatakan menelan pil berlebihan akibat tertekan kerana perselisihan faham dengan teman lelaki membuatkan bintang program realiti Akademi Fantasia musim ketiga ini diheret dalam satu lagi lembah kontroversi dan terus menjadi buruan media yang mahukan kenyataan rasmi darinya.

Namun usaha untuk mendapatkan kenyataan dari si empunya diri tidak berhasil apabila telefon genggamannya gagal ditembusi. Malah khidmat pesanan ringkas (SMS) yang ditinggalkan juga tidak berbalas.

Khabarnya, walaupun sudah stabil namun Marsha dinasihatkan doktor supaya berehat serta tidak diganggu sesiapa.

Seperti yang pernah dijanjikannya sebelum ini, Rabu yang lalu, Marsha mengumpulkan kekuatan untuk menjelaskan situasi sebenar yang terjadi pada tanggal 7 September lepas.
Pada sidang media itu, dengan ditemani bekas pengurusnya, Syada Rosli penyanyi berkenaan berkali-kali menegaskan bahawa insiden dimasukkan ke hospital itu tidak ada kena mengena dengan dakwaan menelan 30 biji pil ataupun sebagai satu cubaan membunuh diri.

Sebaliknya, tegas Marsha, dia memang tidak sihat kerana penyakit sinobronchitis yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu selain mempunyai tekanan darah rendah.

"Malam sebelum kejadian itu berlaku, badan saya memang rasa lain macam. Tak sihat dan rasa lemah. Selepas ambil ubat preskripsi doktor dan ubat tekanan darah rendah, saya terus masuk tidur.
Keesokkan harinya, sebelum keluar, saya sekali lagi makan ubat. Bagaimanapun, ketika memandu, saya terlanggar pembahagi jalan.

"Bila saya pulang ke rumah, sewaktu turun tangga, saya terjatuh dan pengsan. Selepas itu saya tak sedar apa-apa. Apa yang saya tahu, saya di bawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas dimaklumkan oleh pihak pengurusan di kediaman saya," kata Marsha ketika ditemui pada majlis Hari Raya Alibi Music di Mutiara Damansara kelmarin.

Tambah Marsha, mana mungkin dia akan membuat perkara bodoh seperti itu kerana dia masih mempunyai pegangan agama yang kuat dan fikirannya masih waras dalam menilai baik buruk sesuatu perbuatan.

Sebelum ini terdengar desas desus yang mengatakan, Marsha bertindak menelan pil berlebihan kerana tertekan disebabkan pertengkaran dengan teman lelakinya yang hanya dikenali dengan nama Mr Z.

Bagaimanapun, ketika mengulas perkara itu, Marsha mengakui hubungannya dengan lelaki itu sudah berakhir beberapa minggu lalu.

"Saya pernah melalui episod percintaan yang lebih teruk sebelum ini. Jadi takkanlah bila putus cinta, saya mahu bertindak bunuh diri pula. Pegangan agama saya masih kukuh dan saya tidak akan buat benda yang bukan-bukan semata-mata kerana cinta.

"Terus terang, hubungan kami sentiasa pasang surut. Gaduh adalah perkara biasa bagi kami. Sekejap putus sekejap baik. Tapi kali ini kami memang putus betul-betul," tegasnya.

Bukan saja dikatakan bergaduh dengan teman lelaki, Marsha juga dikatakan menghadiri sebuah parti pada malam kejadian dan didakwa bertengkar dengan salah seorang tetamu.

Dan insiden itu dikatakan turut menjadi penyebab Marsha menelan pil berlebihan.

"Saya mengaku yang saya ada menghadiri parti berkenaan tetapi bukan pada malam sebelum kejadian.
Acara itu berlangsung dua malam sebelumnya dan saya menafikan berlakunya pergaduhan sewaktu berada di majlis itu," kata Marsha yang sesekali menoleh ke arah Syada ketika menjawab soalan.

Belum terfikir soal kahwin

BELUMPUN reda cerita hangat Marsha putus cinta dengan Mr Z dimaklumkan kepada media, Marsha dikatakan sedang menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka yang sudah lama dikenalinya. Dan jejaka itu juga khabarnya turut hadir pada majlis rumah terbuka itu untuk menemani dirinya.

Ketika ditanyakan kesahihan perkara itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Yang Terbaik itu mengakui dia dan lelaki itu memang berkawan rapat.

"Saya sudah lama mengenalinya dan buat masa ini kami selesa berkawan saja," kata Marsha yang kelihatan malu-malu sewaktu menjawab pertanyaan itu.

Melihat sejarah percintaan penyanyi ini, tidak dapat dinafikan Marsha kelihatan lebih selesa memilih jejaka Melayu sebagai teman lelaki. Sebagai seorang yang ada pegangan agama, tidakkah perkara itu nanti bakal menimbulkan konflik seandainya Marsha mahu menamatkan zaman solonya dengan teman lelakinya itu?

Pendek kata, adakah keluarga Marsha merestui perhubungan membabitkan perbezaan agama itu.

"Biarpun sedang bercinta namun saya tidak pernah membangkitkan persoalan itu kepada keluarga. Lagipun saya sendiri belum memikirkan soalan perkahwinan kerana perkara itu masih jauh lagi," katanya yang bakal muncul dengan lagu terbaru berjudul Tak Perlu Selamanya yang turut dimuatkan dalam album runut bunyi filem Mantera lakonan Tomok.


Norman, Memey bimbang

Posted: 22 Sep 2011 04:13 PM PDT

Hip

Norman dan Memey

Norman dan Memey

Risau nilai tajaan tinggi perkahwinan mereka timbulkan tanggapan tidak menyenangkan

KEHEBATAN majlis perkahwinan pasangan sensasi Norman Hakim dan Memey Suhaiza yang digembar-gemburkan bernilai RM12 juta mencetuskan pelbagai reaksi.

Ada yang tidak ambil pusing dan tidak kurang juga mungkin sudah lupa tetapi mungkin ada yang jelak kerana pasangan itu pernah dikaitkan dengan isu dakwaan khalwat. Ada yang mempersoalkan apa sumbangan pasangan ini pada industri sehingga mereka perlu diraikan sedemikian rupa? Lagipun Norman bukan lagi bujang, sebaliknya duda kepada tiga cahaya mata. Adakah mereka sengaja mengadakan majlis besar-besarkan semata-mata untuk meraikan kemenangan kes khalwat mereka?

Ternyata di sebalik nilai tajaan perkahwinan yang mahal dan mewah itu, memang ada terdetik perasaan bimbang di hati Norman dan Memey kerana ia seolah-olah mereka mahu menunjuk-nunjuk pula.

"Tidak terlintas sama sekali di fikiran mengadakan majlis ini untuk meraikan kemenangan kes khalwat. Memang kami sudah lama merancang berkahwin. Ketika membuat persiapan, tawaran ini datang secara tiba-tiba. Kami sendiri bimbang mendengar perancangan majlis ini yang begitu hebat, malah kami turut meluahkan kebimbangan kepada penganjur, takut dilabel sebagai melampau.

"Tetapi mereka memberikan keyakinan dengan mengatakan ini tuah kami. Percayalah tidak sekelumit pun timbul perasaan ingin bermegah-megah. Kami hanya mahu mengadakan majlis kahwin yang sederhana untuk diraikan bersama keluarga yang sentiasa bersama dalam susah dan senang," kata Memey menyelar dakwaan mengatakan majlis meriah itu diadakan bagi meraikan kemenangan kes mereka.
Bakal suami Memey, Norman yang duduk di sebelahnya segak dengan sut hitam rekaan Lords Tailor berkata, hebahan ke atas perkahwinan mereka adalah di luar daripada perancangan. Seandainya pilihan ini tidak tiba, majlis perkahwinan mereka pasti disambut sederhana.

"Perancangan pokok, kami sekadar ingin bernikah saja, bagaimanapun apabila pengumuman dibuat majlis kami mendapat perhatian. Kami tidak mampu menolak kerana Memey mempunyai hubungan baik dengan Rafflesia The Pearl Centre. Kami juga anggap usaha sama ini sebagai peluang untuk menganjakkan jenama kami," jelas Norman.

Ditanya tidakkah dia seakan-akan bersikap berat sebelah kerana perkahwinan pertamanya dulu berlangsung secara sembunyi-sembunyi, tetapi kali ini bakal diraikan dengan penuh gilang gemilang.

"Janganlah dibanding-bandingkan antara perkahwinan pertama dan kedua saya. Perkahwinan pertama dulu mungkin saya tiada pengalaman dan mungkin ia dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

"Ini adalah perkahwinan kedua, jadi saya sudah ada pengalaman berdasarkan perkahwinan yang lalu," kata Norman.

Norman akan dinikahkan dengan Memey di rumah keluarga bakal isterinya di Felda Tenggaroh Selatan, Kota Tinggi, Johor, esok (Sabtu).

Bagaimanapun, majlis persandingan mereka pada 28 Septeber di Kuala Lumpur nanti, mendapat publisiti meluas apabila mendapat tajaan bernilai jutaan ringgit.

Ini termasuk dua gaun pengantin bernilai hampir RM1 juta yang bakal digayakan Memey rekaan pereka terkemuka, Vera Wang.

Menurut Memey, dia berasa beruntung kerana dapat menyarungkan rekaan seorang pereka terkemuka. Katanya, dia sendiri terkejut apabila diberitahu salah satu gaun yang akan dipakai pada majlis resepsi itu adalah rekaan Vera Wang.

"Saya memang tidak tahu langsung mengenai perkara itu. Saya berasa diri saya amat bertuah dan bersyukur di atas pengiktirafan setinggi ini," katanya.

INFO

  • Memey akan diiringi oleh empat pengapit wanita yang bakal mengenakan gaun pendek berwarna ungu.
  • Empat pengapit wanita itu ialah Miera Liyana, Nur Fathia, Julia Ziegler dan Eina.
  • Norman pula akan diiringi oleh Fahrin Ahmad dan Afiq Muiz. Manakala dua pengapit lelaki masih belum diketahui.