Berita Harian: Hip |
Posted: 21 Sep 2011 05:47 PM PDT Hip Bukan karya ciplakMELIHAT kepada judulnya iaitu Bini-Biniku Gangster, ada yang membuat andaian filem ketiga arahan Ismail Bob Hasim ini mempunyai persamaan dengan filem Korea arahan Cho Ji-gyu, My Wife Is A Gangster pada tahun 2001. Tertanya-tanya juga apakah penulis skrip asal filem ini yang juga pelakon utamanya iaitu Yana Samsuddin menciplak filem yang dibintangi Park Sang-myeon, Ahn Jae-mo dan Kim In-kwon. Kalau benar dia menciplak, apa tujuannya dia berbuat begitu. Adakah pemenang anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 ini sudah ketandusan idea sehingga sanggup melakukan sesuatu yang tidak seharusnya dilakukan seorang anak seni sepertinya.Diajukan pertanyaan ini ketika pratonton Bini Biniku Gangster di Cathay Cineleisure, The Curve, Yana menafikan skrip filem itu karya ciplak. "Saya mula menulis skrip filem ini sekitar 2007 dan ia diangkat dari sebuah kisah benar membabitkan seorang isteri yang mengizinkan suaminya berkahwin seorang lagi. Pada masa itu, saya terfikir apa yang akan terjadi apabila seorang isteri memberi keizinan untuk suaminya bernikah lagi. "Selain itu, saya juga ingin menunjukkan kepada penonton apa yang isteri lakukan, apabila suami pergi kerja. Bagaimanapun, selepas bertemu dengan Fadzil Bahri yang juga penulis bersama skrip ini, barulah skrip ini dirombak dan diselitkan babak aksi di dalamnya.
Tambahnya, sebagai pencinta filem aksi, adalah menjadi hasratnya untuk menghasilkan filem seperti itu. "Mungkin ini adalah permulaan bagi saya untuk mengarahkan filem berbentuk aksi kerana itulah impian saya sejak dulu lagi," jelasnya lagi. Selain menjadi penulis skrip, filem itu juga menyaksikan buat julung kalinya Yana melakonkan watak utama. Sebelum ini, di dalam sejarah pembabitannya dalam dunia, kebanyakan wataknya hanya tertumpu kepada pelakon pembantu saja. "Sejujurnya, sewaktu menulis skrip filem itu, saya mengimpikan watak Reanna. Bagaimanapun, selepas melihat skrip filem itu, pengarah meminta saya membawakan watak Manja. "Terus terang, apabila ditawarkan watak utama, saya menjadi takut. Bimbang tidak dapat merealisasikan watak Manja seperti yang diharapkan," katanya yang turut tersenarai di dalam Skim 10 Pengarah Muda MIG. Sebagai Manja, Yana perlu melakukan banyak babak pergaduhan membabitkan fizikal. Dan diakui, selepas menonton filem itu, dia adalah pelakon yang cukup hebat melakonkan watak aksi. "Untuk babak pertarungan ini, ada yang saya lakukan sendiri dan ada juga yang membabitkan pelakon lagak ngeri.Saya memang tiada kemahiran langsung dalam seni mempertahankan diri ini.Apa yang saya lakukan adalah mengikut apa saja arahan yang diminta pengarah khususnya dalam babak itu. "Mujurlah pengalaman berlakon babak aksi dalam filem Kongsi sebelum ini turut membantu saya untuk menghidupkan babak pertarungan ini," katanya. Intan cedera ketika bertarung TURUT memegang watak sebagai Ketua Gangster bernama Reanna adalah Intan Ladyana. Dalam filem ini juga, buat pertama kalinya Intan melakonkan babak aksi yang sedikit ganas, berbeza dengan penampilan sehariannya yang penuh kelembutan itu. Kata Intan, untuk melakonkan babak itu, selain menonton filem yang mempunyai genre aksi, memiliki kemahiran seni mempertahankan diri juga banyak membantunya. "Saya banyak juga membuat rujukan dengan menonton filem aksi membabitkan wanita seperti Tomb Rider dan Resident Evil. Selain itu kebolehan dalam seni mempertahankan diri Muay Thai dan Kickboxing juga banyak membantu saya untuk menghidupkan babak pertarungan itu," katanya yang mula mempelajari Muay Thai ketika usianya 18 tahun. Pun begitu, walaupun ada asas seni mempertahankan diri, namun kecederaan masih menimpa teman wanita kepada pelakon Kamal Adli ini. "Biasalah, ada juga lebam dan calar sana sini, tapi saya okey saja," tuturnya. Sementara itu, ketika mengulas pembikinan filem aksi komedi ini, Bob berkata memandangkan watak gangster dalam filem ini adalah wanita, maka dia perlu lebih berhati-hati. "Saya akui sedikit mencabar kerana dalam filem ini pelakon wanitanya banyak melakonkan babak pertarungan. Bagaimanapun, saya cuba sedaya upaya untuk meminimumkan corak pertarungan supaya tidak ada sesiapa yang tercedera. Ditanya apakah akan ada kontroversi yang akan timbul apabila sekali lagi babak samseng, kongsi gelap dipaparkan, Bob berkata perkara itu tak akan timbul memandangkan ia adalah sebuah filem komedi. "Kami membuat perubahan dari segi nama watak seperti Kak Yong dan beberapa perkara lain. Filem ini adalah bergenre aksi komedi dan bukanlah sebuah kisah gangster yang serius.Jadi saya yakin penonton boleh terima," katanya. Turut membintangi filem ini ialah Shaheizy Sam, Zalif Sidek, Zul Suphia'an, Boy Iman, Aman Shah, Hamid Gurkha dan Delimawati.Ia bakal menemui penonton di pawagam mulai hari ini. |
LPF, FINAS perlukan Panel Syariah Posted: 21 Sep 2011 05:38 PM PDT Hip Pemuda PAS bidas karyawan filem tempatan persendakan agama IslamSUNGGUH menyedihkan! Sangat dikesali dengan kelemahan ketara yang berlaku dalam Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) di bawah Kementerian Dalam Negeri [KDN] dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional [FINAS] di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sehingga membenarkan filem yang berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan untuk tontonan umum. Filem terbaru yang mengandungi unsur menghina Islam adalah Hantu Bonceng yang diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nazri dengan lakonan oleh Mohd Razizan Abd Razak atau Zizan RL. Antara babak yang dilakonkan secara jelas menghina Rasulullah SAW apabila Zizan menyebut "Asyhadu anna Muhammadar Syaitan" yang membawa maksud "Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan".Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan menegaskan kalimah syahadah bukan perkataan yang boleh menjadi bahan jenaka atau dipersenda sedemikian rupa justeru ia membawa kesan yang boleh menggugurkan syahadah walaupun sekadar lakonan. Tambahan pula filem yang menjadi tontonan umum ini akan mencetus kekeliruan dan gambaran yang salah masyarakat terhadap Islam. Lebih berisiko apabila kelak ia turut merosakkan aqidah masyarakat awam. "Dewan Pemuda PAS mempersoalkan, sekiranya benar wujud panel penapisan di dalam LPF mengenai filem yang bakal ditayangkan untuk tontonan umum, mengapa masih wujud babak yang menimbulkan kontroversi ini? Apa yang ditapis selama ini? Penapis apa yang mereka pakai sehingga masih banyak adegan yang menyakitkan mata dan mengganggu sensitiviti masyarakat, lolos menjadi paparan umum melalui filem yang telah diluluskan. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seperti tiada kuasa dan tiada apa yang boleh dilakukan malah untuk menerima memorandum pun tidak berkeupayaan apabila tercetus isu penghinaan terhadap Islam dan syariatnya oleh Mak Cik Hajjah Sitt Al Wuzara," katanya dalam satu kenyataan yang dikirimkan menerusi emel kepada Hip. Lambakan filem tahyul dan karut menerusi tontonan umum di kaca televisyen sama ada menerusi saluran RTM ataupun TV swasta seperti Astro bermaharajalela tanpa sebarang tindakan berkesan oleh pihak berkuasa agama. Dewan Pemuda PAS sangat khuatir sekiranya tidak ada satu garis panduan yang berlandaskan Syariat Islam menjadi rujukan kepada LPF dan FINAS, filem yang lebih 'luar biasa' akan dihasilkan dan mungkin diluluskan kerana keuntungan yang bakal diperolehi oleh pihak tertentu tanpa menimbang tara impak yang akan berlaku. Justeru, FINAS mahupun LPF diminta untuk mewujudkan panel syariah yang mempunyai kuasa sebagai lembaga penapisan yang tertinggi terutama dalam menapis cerita atau filem yang mempunyai kaitan dengan agama Islam. "Kepada mereka yang terbabit secara langsung di dalam industri ini seperti penerbit, pelakon dan penyiar diminta untuk merujuk kepada alim ulama seperti mufti atau pihak berkuasa Agama seperti JAKIM terlebih dahulu sebelum menerbitkan sesebuah filem. Jangan apabila sudah wujudnya kontroversi baru mencari ulama untuk melepaskan diri. "Kami juga menyeru kepada artis untuk meneliti dan membuat kajian terlebih dahulu mengenai skrip yang bakal dilakonkan oleh mereka. Sekiranya skrip tersebut mengandungi unsur yang dirasakan bertentangan dengan fitrah dan juga berpotensi untuk mencemarkan kemuliaan Islam maka bertanyalah kepada ulama. "Perkara ini juga mesti dilakukan oleh penerbit, pengarah mahupun pelakon agar tidak mewujudkan suasana kontroversi seperti ini. Semoga industri filem negara terus maju dan berkembang ke serata dunia dengan membawa imej negara yang baik dan gemilang tanpa perlu mencetus elemen lucah, persendaan terhadap agama, tahyul dan perlecehan akhlak semata - mata untuk dijadikan tangkal pelaris filem sahaja," tegas Nasrudin lagi. Ahmad Idham pertahan Hantu Bonceng PENERBIT dan pengarah, Ahmad Idham mempertikaikan kenyataan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan yang mendakwa filem Hantu Bonceng mempersendakan dan menghina Nabi Muhamad S.A.W dengan dialog dari pelakon utamanya, Zizan yang membawa maksud 'Aku Naik Saksi bahawa Muhamad itu Syaitan'. Bahkan dia turut mendakwa kenyataan itu sebagai propaganda politik, sekali gus menjadi sebab untuk menghentam kerajaan. "Kenyataan itu disebarkan menerusi blog dan saya tidak tahu akan kesahihan kenyataan itu, sama ada benar atau tidak, atau ada orang lain sengaja untuk memperbesarkan isu itu dan mengaibkan saya secara terbuka. "Saya berkata begitu kerana yakin orang yang berkredibiliti tinggi seperti dia (Nasrudin) itu tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat. Takkan dia tokoh pemimpin yang kita cari, menghukum orang tanpa dibicarakan dan mengaibkan orang secara terbuka. Mungkin ada pihak ketiga sengaja yang ingin menjatuhkan saya dan dia juga. "Jika ia benar sekalipun, kenapa dia sendiri tidak tampil dan bawa berbincang secara profesional, mengeluarkan kenyataan berserta kepala surat yang tertera logo parti dan ditandatangani sendiri Mursyidulnya dan menegur adegan yang diperkatakan menghina Rasulullah sehingga menaikkan amarah seluruh umat Islam," katanya yang ditemui pada majlis penyerahan surat tawaran pengajian Doktor Falsafah dalam bidang industri perfileman bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini. Menurut Idham yang agak emosional dengan kritikan itu, dia boleh memberikan reaksi dan menjawab berhubung isu itu, namun mengajak mereka untuk menonton keseluruhan cerita, mengkaji dan memahami industri perfileman dengan lebih dekat sebelum bertindak tanpa sebab. "Negara kita ada undang-undang dan filem ini mendapat penapisan sehingga dua kali daripada LPF, saya tidak kata ia sebagai terlepas pandang dan sekiranya benar ia menyalahi, saya sedia memohon maaf. "Saya punya anggapan mereka yang bercakap ini adalah dari kalangan yang tidak menonton filem, mereka hanya melihat petikan dari satu babak saja dan tidak menonton keseluruhan filem itu. "Di dalam filem biasanya kita memaparkan sesuatu yang salah dan akan dibetulkan di akhirnya, itulah cerita. Tidak ada filem yang mengajar penonton membuat perkara yang negatif. Jika benar dari minggu pertama filem ini keluar isu ini sudah timbul dan mungkin sudah selesai hari ini. Kenapa hari ini selepas filem sudah tidak ditayangkan, baru isu ini timbul," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Hip To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |