Adsense

Jumaat, 9 September 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Pilih bekas rakan sekolej

Posted: 08 Sep 2011 04:18 PM PDT

Hip

Bukan harta yang dipandang

RAMAI sudah maklum, Putri Mardiana secara rasmi berpisah dengan bekas suami pada akhir Ogos 2009 dan daripada perkahwinan berkenaan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata. Namun, status janda yang disandangnya mungkin bertukar tidak lama lagi apabila pelakon berbakat ini disatukan dengan kekasih hati, Mohd Hasnul Amril.

Pelakon Santau berusia 30 tahun ini juga tidak menyembunyikan buah hatinya apabila si jejaka yang seusia dengannya menemani wanita ramah terbabit tatkala dia muncul pada sebuah majlis bersama anak-anak yatim di ibu kota, bulan lalu. Begitupun mungkin belum masanya dia merakamkan gambar bersama teman istimewanya itu, sehinggalah kedua-duanya sah diijabkabulkan.

Sebaliknya, wanita yang lebih selesa membahasakan dirinya Nana ini memberitahu, sejak beberapa bulan lalu dia sudah berubah fikiran. Bukan berubah fikiran soal pasangan, namun katanya, dia pernah mengeluarkan kenyataan ingin bertunang sebelum berkahwin, namun kini dia berasakan lebih elok jika dia terus saja melangsungkan pernikahan. "Dulu saya sering menjawab mahu bertunang dulu sebelum diijab kabul, tetapi kini saya mahu terus berkahwin. Maklumlah bertunang itu lebih banyak dugaannya.
"Lagipun saya sudah kenal hati budi kekasih dan anak-anak juga sudah memanggilnya papa," katanya sambil memberitahu, mereka akan disatukan sebagai suami isteri pada tahun depan.

Ceria bercerita kisah ikatan kasih antara mereka, Nana memberitahu, semuanya bermula apabila Hasnul yang juga rakan kolejnya itu menyapa dirinya di sebuah pusat beli belah terkemuka di Kuala Lumpur.

"Dia menegur saya di KLCC dan saya tidak sangka dia masih mengingati wajah saya. Bayangkan, sudah sepuluh tahun saya tidak bertemu dengannya dan pertemuan di KLCC itu membuahkan rasa antara kami, lalu satu keputusan tekad diambil untuk terus mengikat kasih," katanya yang menyifatkan kekasih hatinya itu sebagai lelaki yang baik dan menerima dirinya seadanya.
Kata pelakon itu lagi, sewaktu di kolej, masing-masing sudah mempunyai teman istimewa dan perhubungan mereka ketika itu hanyalah sebagai rakan.

"Selepas pertemuan itu pada Jun lalu, dia ada bertanya pada saya sama ada sudah ada pengganti. Apabila saya memaklumkan status saya, dia terus melamar saya sebagai kekasihnya," kata Nana sambil menjeling manja ke arah lelaki yang sentiasa menyokong kerjayanya sebagai pelakon.

Bercerita lanjut soal hati, dia jujur memberitahu, apa yang diimpikan daripada seorang lelaki bukanlah kekayaan, tetapi kejujuran serta keikhlasan.

"Kisah perceraian saya kisah yang tidak boleh diundur lagi dan saya perlu terus mara ke hadapan. Saya tidak pandang lelaki kaya, sebaliknya pada hati serta kasih sayang yang boleh diberikan kepada saya. Saya syukur kerana keluarga kekasih juga menerima saya seadanya," katanya yang menjadi kegagalan rumah tangga sebagai pengajaran berguna dalam hidupnya.

Dalam gembira yang bakal menggamit wanita ramah ini, ada sendu yang mengiringi diri ibu kepada Alia Wirdani, 8; Amir Firman, 6; dan Airell Zuhair, 5, ini.

"Selagi anak-anak bahagia, saya tidak ada masalah untuk memberikan ruang untuk mereka tinggal bersama bekas keluarga mentua di Bentong. Saya tidak mahu bergaduh dengan sesiapa dan sejak berpisah, anak-anak sudah biasa tinggal dengan mereka," katanya yang memberitahu, sejak berpisah, dia akan mengambil anak-anak setiap kali Syawal menjelang.

Katanya, hati ibu mana yang tidak sebak jika anak-anak tiada bersama, namun dia gagahi juga perasaan itu bagi memberikan yang terbaik kepada semua pihak.

"Selalunya saya pulang ke Perak pada Syawal pertama dan hari kedua pula saya akan kembali ke Pahang untuk mengambil anak-anak pulang ke kampung saya pula," katanya yang kelihatan sebak ketika menceritakan kisah anak-anak tersayang.

Watak pelacur cabar kemampuan

PUTRI MARDIANA mempunyai kelebihan tersendiri apabila terjun ke dunia lakonan. Dia pernah memenangi pingat emas dalam kategori lakonan di Kejohanan Dunia Seni Persembahan (WCOPA) di Hollywood, California, Amerika Syarikat. Paling tidak, kejayaan itu membuktikan dirinya memiliki bakat yang diiktiraf apabila memilih seni sebagai periuk nasi.

Biarpun melangkah ke gelanggang lakonan agak lewat berbanding pelakon wanita lain, namun dia terus melangkah dan bersyukur tawaran filem masih kekal menjadi miliknya. Kisah keruntuhan rumah tangganya juga diletakkan ke tepi, supaya tidak mengganggu gugat impian dan harapan bergelar anak seni berjaya.

"Saya baru saja selesai menjalani penggambaran filem Sumpahan Kum Kum arahan Ismail Bob Hashim dan filem terakhir saya bersama MIG, Tujuh Petala Cinta yang diarahkan Azhari Zain," katanya yang bernaung di bawah syarikat pengurusan ternama itu selama tiga tahun, sebelum memilih untuk beralih angin.

Katanya, rezekinya juga tidak putus-putus apabila dia juga ditawarkan berlakon dalam drama untuk Tv AlHijrah berjudul Siti Mariam yang menjalani penggambaran pada Ramadan lalu.

"Dalam Siti Mariam, saya membawa watak Siti Aishah, iaitu anak Siti Mariam. Dalam drama ini, saya juga membawakan watak wanita bertudung," katanya.

Ketika ditanya, tidakkah dia gentar akan menjadi seperti pelakon Stanza Cinta, Fathia, mahupun Tiz Zaqiyah yang membawakan watak bertudung dalam drama Nur Kasih, sehingga mengelirukan peminat terhadap penampilan sebenar mereka di luar lokasi, wanita ini dengan jujur menjawab, bidang lakonan adalah tempat baginya mencari rezeki dan tidak semua permintaan peminat dapat ditunaikan.

"Saya harus jujur mengatakan rezeki saya adalah dalam bidang lakonan dan tidak semua watak memerlukan saya bertudung, dan saya harus melakukannya kerana saya cari makan dengan cara itu," katanya yang tidak menafikan akan memakai tudung apabila terbuka hatinya kelak.

Katanya lagi, tidak salah peminat mahu mencorakkan artis pujaan mereka ke arah kebaikan, namun peminat perlu faham lubuk rezeki pelakon adalah tawaran yang diterima mereka dan sentiasa perlu bersedia membawa watak yang diminta pengarah ataupun produser.

Nana turut memberitahu, dia juga membintangi telefilem yang akan disiarkan Astro Ria arahan Amor Rizan.

"Judul telefilem ini ialah Pernikahan Sundal Bolong, di mana saya membawa watak pelacur dan di pertengahan cerita, saya akan mati dibunuh pengamal ilmu hitam.

"Membawa watak pelacur begitu mencabar, tetapi pengalaman melakonkan watak lebih kurang sama sama dalam Tujuh Petala Cinta memberi bonus kepada saya untuk mendalami watak seperti ini," katanya yang tidak pernah lupa membuat rujukan di internet bagi menjayakan watak yang diamanahkan ke bahunya.

Ujarnya, memainkan watak pelacur memerlukannya menjiwai perwatakan seorang pekerja seks daripada aspek lontaran dialog serta bahasa tubuh, dan bagi menghasilkan watak yang begitu asli, kajian berkenaan watak jenis itu perlu dilakukan dengan baik.

"Saya akan berasa puas hati apabila watak yang dibawa menjadi dan diingati peminat. Watak seorang pelacur amat berat dibawa tetapi saya perlu mendalaminya sepenuh hati," katanya.


43 filem sah bertanding

Posted: 08 Sep 2011 04:16 PM PDT

Hip

Penganjur FFM24 hanya mula lantik barisan juri bulan depan

SENARAI filem yang bertanding di Festival Filem Malaysia (FFM 24) bertambah menjadi 43 apabila MIG Production Sdn Bhd menghantar Jangan Pandang Belakang Congkak sebelum tarikh penyertaan ditutup, baru-baru ini.

Jumlah filem itu memperlihatkan pertambahan cukup memberangsangkan, sekali gus menunjukkan perkembangan positif industri perfileman sejak kebelakangan ini, berbanding tahun lalu hanya 29 filem saja yang bertanding.

Festival yang mengiktiraf penggiat filem tanah air itu dijadual berlangsung pada 19 November di Putrajaya. Bagi menyemarakkan kehadiran festival itu, Gabungan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM) mengatur pelbagai program bagi memeriahkan acara tahunan itu. Biarpun setiap tahun menjanjikan kegahan pada penganjuran festival itu, setiap tahun itu juga FFM tidak ketinggalan dilempar pelbagai tohmahan sebaik melabuhkan tirainya.

FFM sering dicop sebagai acara yang membosankan, manakala perkara paling menjadi perdebatan hebat sehingga berminggu-minggu tentulah kepada keputusannya pemenangnya yang sering kali menimbulkan pertikaian.

Tahun ini, proses penjurian dijadual berlangsung sebulan dari tarikh penganjuran festival. Oleh kerana jumlah filem yang bertanding tahun ini hampir sekali ganda daripada tahun lalu, penganjur mengandaikan prosesnya akan memakan masa lebih lama.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penyertaan dan Penjurian, Nancie Foo, setakat ini FFM masih belum menyenarai pendek juri yang bakal dipertandingkan itu. Malahan Jumlah juri juga masih belum diputuskan tetapi mengikut perancangan antara lima hingga tujuh juri dipilih untuk menilai filem yang bertanding tahun ini.

Juri yang dipilih bukan saja terdiri daripada ahli akademik, tetapi dari pelbagai latar belakang iaitu pembikin filem, pelakon, pengarah serta pakar dari bahagian teknikal bagi memastikan penjurian telus dan adil.

"Setakat ini kami sedang merancang jadual penjurian. Jangkaannya pada Oktober nanti proses penjurian bermula. Disebabkan banyak filem bertanding, proses penjurian dilakukan lebih awal. Nama juri sudah ada tetapi belum disenarai pendek lagi.

"Kami memilih juri berdasarkan latar belakang serta profil mereka. Saya berharap keputusan FFM kali ini tidak lagi dipertikaikan seperti yang berlaku pada penganjuran yang lepas. Apa saja keputusan pada malam itu seharusnya dihormati kerana juri yang dipilih bukan saja memiliki ilmu sebaliknya mereka sememangnya mempunyai kredibiliti yang tinggi.

"Lagipun keputusan yang dibuat berdasarkan garis panduan FFM. Keputusan pemenang sangat telus yang melalui pelbagai proses penapisan dan perbincangan. Ada sebab mengapa juri membuat sesebuah keputusan, itu bermakna individu atau filem itu sememangnya layak. Janganlah apabila ramalan tidak kena, orang mula mempertikaikan keputusan FFM," pinta Nancie sewaktu dihubungi Hip .

Tambahan RM400,000 diperlukan

AHLI Jawatankuasa FFM 24 masih mencari wang tunai RM400,000 bagi menampung acara berkenaan.

Pengarah FFM24 yang juga Presiden GAFIM, Jurey Latiff Rosli berkata, peruntukan yang diberikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebanyak RM1 juta tidak cukup untuk menjadikan festival berlangsung dalam suasana gilang gemilang.

Ini kerana mereka hanya menerima RM650,000 tunai, manakala baki dari jumlah itu disimpan oleh FINAS untuk trofi serta hadiah wang tunai.

"Kami memerlukan RM2 juta untuk memastikan FFM kali ini sempurna serta berjalan lancar. Setakat ini kebanyakan penajaan yang diterima berbentuk barangan bukannya wang tunai.

"Kami berterima kasih kerana Astro sudi menaja keseluruhan majlis perdana itu sebanyak RM650,000 meliputi dewan, artis, persembahan dan siaran yang disiarkan secara langsung. Manakala Sinar FM menaja RM80,000 dalam bentuk airtime yang mana siaran langsung festival itu dapat didengar melalui stesen radio berkenaan.

"Dengan bajet yang kecil, kami hanya dapat menganjurkan majlis itu mengikut kemampuan saja. Tetapi jika ada bajet lebih, kita yakin dapat menganjurkan majlis dengan lebih hebat," katanya yang amat berharap ada pihak yang sudi menaja dalam bentuk wang tunai.