Utusan Online - Hiburan |
Posted: Era baru hidup LeonardoOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SATU ketika dulu, pernah pemerhati dunia hiburan Hollywood meramalkan jangka hayat populariti jejaka kacak pujaan wanita ini tidak akan kekal lama. Semuanya kerana penangan filem blockbuster arahan James Cameron, Titanic yang telah meledakkan populariti Leonardo DiCaprio sehingga menjadikan dirinya sebagai King of the World (ungkapan popular yang diucapkannya dalam filem tersebut). Pada usia yang cukup muda iaitu 23 tahun ketika itu, Leonardo atau lebih selesa disapa dengan panggilan Leo telah mengecapi kemasyhuran yang cukup jarang dikecapi oleh aktor seusianya. Siapa yang dapat lupa watak Jack Dawson yang dibawakannya dalam filem itu sehingga membuatkan ramai wanita di seluruh dunia mengagumi serta mengagungkan Leo. Bagi anak jati Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS) ini, dia cukup sedar populariti Titanic telah mengubah hidupnya secara total. Walaupun sebelum itu dia sudah pun membintangi beberapa buah filem yang tidak kurang hebatnya, impak yang terhasil tidak sehebat Titanic. "Pada ketika itu, saya rasa saya memang memiliki segala-galanya. Sehinggakan saya sendiri tidak menjangka Titanic akan menjadi sehebat itu. "Percaya atau tidak, sewaktu mula-mula membaca skripnya ketika itu bersama James Cameron, saya kurang yakin dengan filem itu sendiri. "Apatah lagi, saya juga sedar bahawa saya bukan pilihan utama ketika itu untuk membawakan tersebut. Namun, James menyakinkan saya bahawa watak itu memang untuk dicipta untuk saya. "Titanic bukan sahaja mengubah hidup saya sebagai seorang aktor tetapi juga individu terutama dari segi pemikiran saya dalam usaha untuk memanjangkan hayat karier saya sendiri," kata Leo dalam satu temu ramah bersama majalah Rolling Stone tidak lama dulu. Kata-kata Leo itu merujuk kepada tawaran filem yang diterimanya selepas Titanic di mana kebanyakannya naskhah blockbuster. Ini termasuklah dua francais filem terlaris dunia iaitu Spider-Man dan Star Wars yang ditolak Leo dengan justifikasi sendiri. "Saya seorang yang cukup gemarkan filem-filem bercorak sains fiksyen. Saya sedar di mana kemampuan saya kerana untuk menghayati watak bagi filem-filem sains fiksyen ini ia bukanlah sesuatu yang mudah. "Sebab itu saya katakan, selepas Titanic ia membuatkan saya lebih matang dalam membuat keputusan untuk memilih filem-filem yang mampu memberikan saya kepuasan maksimum. "Saya tidak akan sama sekali berkompromi dalam soal kerjaya dan atas alasan itu, saya memang menjadi selektif terhadap tawaran filem yang datang kepada saya selepas Titanic. "Buat apa kalau berada di lokasi penggambaran sehingga menyusahkan orang lain hanya kerana mahu memuaskan hati sesetengah pihak. Walhal jiwa kita sendiri tidak tenang kerana melakukan perkara yang kita kurang minat," ulas Leo sewaktu memperkatakan tentang pasca populariti Titanic. Skeptikal Barangkali luahan Leo itu ada kaitannya dengan beberapa buah filem seperti The Man In The Iron Mask dan Celebrity (1998) serta The Beach (2000) yang gagal mencatatkan kutipan tiket yang memberangsangkan selain kritikan pedas terhadap filem-filem tersebut. Lalu, Leo mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia lakonan dan kehilangannya selama dua tahun ketika itu telah mengundang pelbagai tanggapan skeptikal masyarakat serta pihak media. Tetapi baginya, dia mahu menjana kembali tenaganya agar dia dapat mencari ruang dan hala tuju baru dalam karier seninya dengan membintangi filem-filem yang mampu memberikannya kepuasan. Ternyata tahun 2002 telah mengubah hidup Leo sekali gus membuka lembaran baru apabila dia diberi peluang membintangi filem Catch Me If You Can arahan pengarah tersohor, Steven Spielberg. Bergandingan bersama pemenang Oscar sebanyak dua kali, Tom Hanks dalam filem tersebut, Catch Me If You Can telah membuktikan kredibiliti Leo sebagai sebagai seorang aktor. Tidak lagi bersandarkan kepada wajah kacak semata-mata sebaliknya Leo membuktikan dia benar-benar serius mahu menjadi seorang aktor versatil. Kejayaan filem itu juga telah membuatkan Leo semakin dipandang tinggi oleh pengarah serta penerbit di Hollywood semakin mempercayai bakat lakonannya. Seiring dengan usianya juga, Leo tidak mahu lagi terikat dan terkongkong dalam filem-filem yang ringan. Sebaliknya dia mahu mencabar dirinya sendiri dengan membintangi filem yang memiliki naskhah yang dapat mencungkil bakatnya dengan lebih dalam lagi. Ternama Deretan filem yang dibintangi Leo selepas Catch Me If You Can membuktikan dia berpeluang berlakon dengan pengarah filem ternama. Sehinggakan Leo sudah dianggap sebagai anak emas terbaru pengarah handalan Hollywood, Martin Scorsese kerana kekerapannya membintangi filem-filem arahan Martin. Antaranya termasuklah Gangs of New York, The Aviator, The Departed dan Shutter Island yang semuanya mendapat pujian serta cemerlang sebagai filem-filem pecah panggung. "Dia (Leo) memang seorang aktor yang hebat. Dia tidak perlu bercakap tetapi ekspresi wajahnya sudah cukup untuk menceritakan kepelbagaian emosi yang sedang dihadapinya pada saat itu," komen Martin sewaktu memperkatakan tentang lakonan Leo dalam filem The Departed. Kejayaan pasca Titanic untuk Leo juga telah membolehkan pemilik nama penuh Leonardo Wilhelm DiCaprio ini dicalonkan untuk Oscar bagi Pelakon Lelaki Terbaik sebanyak dua kali (The Aviator dan Blood Diamond). Pada usianya sekarang, karisma dan kewibawaannya sebagai seorang aktor semakin hari semakin menyerlah sehingga pengarah filem, Inception iaitu Christopher Nolan menyifatkan Leo tidak ubah seperti seniman Al Pacino dan Jack Nicholson. "Saya puas dan gembira dengan perjalanan seni saya setakat ini apabila dapat berlakon dengan pengarah hebat dan naskhah yang cukup luar biasa bagi saya. "Saya mahu terus mencari peluang seperti ini biarpun pada satu ketika nanti nama saya tidak lagi dijulang peminat. Biarlah mereka mengingati saya kerana hasil kerja saya yang dapat membuatkan saya terus hidup dalam diri mereka. "Tiada apa yang saya kesalkan dalam hidup ini kerana semuanya sudah saya lalui dan rasai. Apabila melihat ramai pelakon remaja yang meniti laluan populariti zaman ini, saya bersyukur kerana saya tidak perlu melalui apa yang mereka lalui. "Saya fikir dengan teknologi moden hari ini ia membuatkan kehidupan saya lebih terkongkong dan membataskan setiap gerak-geri saya. "Kini, saya sudah tidak kisah lagi kerana populariti bukan lagi agenda utama dalam hidup saya," jelas Leo dengan maksud yang mendalam. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: David jadikan Amy teladanOleh ABD. AZIZ ITAR PEMENANG tempat kedua American Idol tahun 2008, David Archuleta mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia sepanjang dia bertanding dalam pertandingan nyanyian tersebut. Popularitinya tidak terhenti setakat itu sahaja, tetapi dia terus meraih ramai peminat selepas kemunculan album pertamanya yang berjudul David Archuleta tiga tahun lalu. Justeru, penyanyi yang berasal dari Utah, Amerika Syarikat itu tidak mensia-siakan populariti yang dimilikinya termasuklah dengan menyeru agar para peminatnya menjauhi gejala dadah. Menurut David, dia bukan sahaja tidak terbabit dalam penagihan dadah, malah turut menjadikan kisah penyanyi yang pernah terbabit dalam gejala itu sebagai teladan dalam kehidupannya. "Kisah kematian penyanyi British, Amy Winehouse yang mati kerana ketagihan dadah baru-baru ini patut menjadi iktibar buat penyanyi seperti saya dan juga para peminat saya. "Saya bukan sahaja tidak terlibat dalam penagihan dadah tetapi saya juga mahu menggalakkan anda agar menjauhkan diri daripada dadah. Apa juga jenis ketagihan dadah tidak baik untuk kesihatan kita semua. "Anda boleh memotivasikan diri sendiri agar tidak terjebak kepada gejala itu," katanya pada sidang akhbar sempena konsertnya, Live In Malaysia 2011 di Kuala Lumpur baru-baru ini. Jelas David, Amy Winehouse yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu di kediamannya di utara London merupakan seorang penyanyi berbakat tetapi ia berakhir dengan tragedi kerana dadah. Sempena kunjungannya itu, syarikat rakaman Sony Music Entertainment Malaysia yang mengedarkan albumnya di sini telah menyerahkan anugerah platinum kepadanya. Pengarah Urusan syarikat tersebut, Adrian Lim menyerahkan anugerah platinum kepada David atas jualan album The Other Side of Down yang dijual lebih 19,000 unit di negara ini. Kunjungan dan konsert terbarunya ke Malaysia itu dianjurkan selepas dia mengadakan persembahan di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada tahun 2009 yang ditonton hampir 5,000 peminat. Sewaktu konsert terbarunya di Stadium Negara, Kuala Lumpur itu baru-baru ini, ternyata penyanyi yang menjadi kegilaan remaja ini terus berjaya menarik perhatian golongan terbabit. Hampir 5,000 peminat sekali lagi memenuhi ruang Stadium Merdeka baru-baru ini bagi menyaksikan kemunculan terbarunya itu. Menurut penyanyi berusia 20 tahun ini, album itu istimewa kerana ia diterbitkan khusus untuk para peminatnya di Asia sempena siri konsert bergerak yang diadakannya di rantau ini. "Album itu menampilkan empat buah lagu terbaru saya berjudul Love Don't Hate, Everything & More, Notice Me dan Wait yang dimuatkan dalam album The Asian Tour Edition ini," katanya lagi. Dia mengotakan janjinya apabila menyanyikan lagu-lagu barunya seperti Love Don't Hate pada konsert itu yang diadakan sehari selepas sidang akhbar tersebut berlangsung. Sewaktu konsert yang bermula pukul 8.45 malam dan berakhir 10.05 malam itu, David menyanyikan 17 buah lagu secara langsung tanpa henti bersama empat pemuzik dari Amerika Syarikat. Meskipun konsert itu berjalan dengan lancar, tetapi ia seolah-olah merupakan kitaran semula konsert-konsertnya sebelum ini tanpa banyak gimik dan kelainan untuk para peminatnya. David sekadar menyanyi seperti biasa dengan menunjukkan bakatnya bermain keyboards sambil menyanyikan lagu seperti My Kind of Perfect yang mendapat pekikan daripada para peminatnya. Selain menyanyikan lagu-lagu popularnya seperti Elevator, Crush dan A Little Too Not Over You, penyanyi yang mesra dengan panggilan Archie ini turut menyanyikan lagu penyanyi lain. Pada konsert yang mengenakan tiket berharga RM300, RM230 dan RM190 itu, David menyanyikan semula lagu Everybody Wants To Rule The World dalam gaya tersendirinya. Lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan New Wave, Tears For Fears pada tahun 1980-an itu turut menarik perhatian penonton yang kebanyakannya berusia bawah 25 tahun. Dua lagi lagu penyanyi lain yang dinyanyikan semula oleh David pada malam itu berjudul A Thousand Miles (Vanessa Carlton) dan Stand By Me (Ben E King) dan Heaven (Bryan Adams). David mengakhiri konsertnya selama hampir 90 minit pada malam itu menerusi lagu berjudul Crush yang dipetik daripada album sulungnya yang diterbitkan pada tahun 2008. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |