Harian Metro: Rap |
Teruja tampil dalam filem unik Posted: 08 Aug 2011 06:41 AM PDT BUKAN mudah menggenggam status aktres terbaik. Ini kerana, jika mahu menjadi benar-benar 'terbaik' perlulah berani berdepan tuntutan skrip yang berat serta mencabar kemampuan diri. Itulah dilakukan Sharifah Amani, 25, dan Carmen Soo, 33. Sebagai aktres berbakat besar, kedua-duanya nyata cukup berani menyahut cabaran yang diberikan dalam filem terbaru mereka, The Hunter sentuhan pengarah terkenal, Bjarne Wong. Ia memberikan pengalaman lakonan sebenar yang lebih hebat. Pernah menjalin kerjasama sebelum ini menerusi filem Possessed pada 2006 dan Sayang You Can Dance (2009), Sharifah Amani mengakui dia suka dengan hasil kerja dan kreativiti Bjarne yang disifatkan berkaliber dan tahu apa yang diinginkannya. Sharifah Amani yang ditemui pada majlis promosi awal The Hunter yang turut dihasilkan mengguna format 3D di Facekara, Viva Home, Cheras, baru-baru ini, berkata banyak pengalaman baru dan menarik diperolehnya ketika bekerja di bawah arahan Bjarne.
"Tak dinafikan, The Hunter adalah filem unik kerana kepelbagaian bahasa diketengahkan berikutan barisan pelakon yang membintangi terdiri dari pelbagai negara iaitu Malaysia, China, Taiwan, Singapura dan Korea Selatan. Malah, masing-masing pun saling tak faham bahasa dituturkan. "Namun, ia nyata bukan satu masalah kepada kami semua kerana atas dasar kasih sayang seperti satu keluarga itu, apa yang cuba diperkatakan sudah boleh difahami antara satu sama lain. Ia berlaku antara saya dan Lou Qi, pelakon dari China. "Pernah saya jatuh sakit ketika penggambaran yang dilakukan di Sarawak, Lou Qi suruh saya makan ubat, tapi dia cakap dalam bahasa Cina, mestilah tak faham. Tetapi, disebabkan hubungan baik kami biarpun saya bercakap dalam bahasa Malaysia, kami boleh saling memahami," katanya. Menurut Sharifah Amani dalam soal ini pemahaman bahasa itu mudah saja iaitu niat untuk faham apa yang cuba dikatakan. Sekalipun berlainan bahasa, tetap akan boleh memahaminya. "Selain itu, dalam pembikinan filem The Hunter ini juga saya buat pertama kalinya belajar teknik 3D. Tak dinafikan, menghasilkan filem format 3D ini peralatan digunakan berbeza. Ia perkara yang baru buat saya, tetapi sangat menyeronokkan. "Ini kerana, selain keserasian antara pelakon, saya juga menjalin hubungan baik dengan tenaga produksi terbabit. Mereka semua sangat baik kerana tidak lokek ilmu dan sentiasa sedia berkongsi pengetahuan serta pengalaman," katanya. Kata Sharifah Amani, sekalipun menghasilkan filem dalam format 3D menuntut lebih kesabaran, tetapi gambaran babak yang dirakam cukup menarik. Katanya, ia perkara yang menakjubkan dan pengalaman menonton nanti pastinya lebih hebat. Katanya lagi, cabaran lain yang dirasakan sangat mencabar sepanjang menjayakan penggambaran The Hunter ialah lokasi. Ini kerana, penggambaran bukan saja di buat di hutan, tetapi dia juga perlu masuk ke dalam kawasan berair yang dalam. Carmen puas hati lakukan aksi lasak sendiri MENJADI heroin dalam filem, pastinya bukan tanggungjawab yang ringan. Ini kerana hasil lakonan terbaik perlu ditonjolkan demi kepuasan diri dan menghargai kepercayaan diberikan pengarah. Justeru, Carmen nyata membuktikan keupayaannya. Kata Carmen, dia membawakan watak seorang pengarah rancangan dokumentari dalam filem thriller dan membabitkan babak pembunuhan dalam The Hunter. Katanya, watak dilakonkannya cukup lasak dan dia berpuas hati dapat melakukan semua aksi itu sendiri. "Saya akui, ia bukan mudah dilakukan kerana saya berdepan dengan banyak bahaya yang membawa risiko jika tidak berhati-hati. Namun, demi pengalaman dan kepuasan, saya seronok melakukannya walaupun badan sakit-sakit dan sangat penat. "Dalam filem The Hunter ini juga, ia benar-benar mencabar ketahanan fizikal saya apabila semua aksi berlawan, dilakukan sendiri. Malah, paling mencabar apabila badan saya dipasangkan wayar selama 10 jam. Ia nyata membuatkan badan saya sakit. "Sebaik habis penggambaran, ada kesan lebam di lengan dan badan saya. Mujur, doktor kata tiada apa-apa yang boleh membahayakan kesihatan dan saya hanya perlukan lebih rehat. Kemungkinan, dalam tempoh dua bulan baru semuanya akan pulih semula. "Apapun, seperti yang diperkatakan Sharifah Amani, saya juga mengakui berlakon filem The Hunter sangat menyeronokkan dan memberikan pengalaman berbeza. Banyak yang saya belajar dan yang pasti dalam filem ini saya suka dengan apa yang dilakukan," katanya. Dalam filem 3D The Hunter nanti, Carmen membuktikan dia adalah pelakon serba boleh dan tidak hanya bergantung kepada kejelitaan semata-mata. Carmen boleh diandaikan sebagai 'wanita besi' yang berani menghadapi cabaran sukar. Ditanya mengenai tawaran diberikan Bjarne kepadanya, Carmen atau nama sebenarnya, Carmen Soo Wai Mun berkata, dia sudah dilamar berlakon dalam filem The Hunter sejak dua tahun lalu. Justeru, katanya, persediaan untuk menjiwai watak sudah dilakukan lebih awal. "Saya sudah kenal lama dengan Bjarne. Ketika dia (Bjarne) membincangkan mengenai filem The Hunter kepada saya, ia dapat diterima dengan baik. Sebagai pelakon, apa yang penting, saya berasa seronok dan boleh bekerja dengan pengarah itu," katanya. Apapun, bakat lakonan Carmen nyata cukup menyerlah di negara jiran, Filipina. Ini kerana, drama bersiri Kahit Isang Saglit atau A Time For Us yang dilakonkannya bersama aktor kacak, Jericho Rosales berjaya menarik perhatian ramai. PROFIL SHARIFAH AMANI NAMA KOMERSIAL: Sharifah Amani DRAMA: Gol & Gincu The Series, Emil Emilda, Sindarela, Rona Roni Makaroni, Tiramisu dan telemovie, Antara Garisan serta Dalil Cinta TEATER: Hamlet FILEM: Selubung, Mimpi Moon, Sepet, Gol & Gincu, Gubra, Cinta, Puaka Tebing Biru, Mukhsin, 1957: Hati Malaya, Punggok Rindukan Bulan, Selamat Pagi Cinta, Cicakman 2 - Planet Hitam, Sayang You Can Dance, Muallaf, Merong Mahawangsa, Possessed (filem seram Kantonis) ANUGERAH: Anugerah Pelakon Harapan Wanita filem Sepet pada Festival Filem Malaysia ke-18 (FFM18) dan Pelakon Wanita Terbaik filem Gubra di Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19) PROFIL CARMEN SOO NAMA KOMERSIAL: Carmen Soo DRAMA: Ghost (8TV), Trio And A Bed (drama interaktif) Astro Wah Lai Toi, The Pupil (TV Singapura) TEATER: The Girl from Ipoh, Rose Rose I Love You |
‘80 peratus lawak lahir di pentas’ Posted: 08 Aug 2011 06:24 AM PDT KUMPULAN Jambu yang diterajui Yusri Edoo (Yus) dan Zamaratul Amri Zakaria (Taukeh) begitu sinonim dengan komedi apatah lagi sejak mencuit penonton melalui cabaran Maharaja Lawak. Walaupun gagal bergelar juara, persembahan mereka dilihat konsisten setiap minggu. Sejak itu, mereka sering mendapat tawaran berlakon dan beraksi dengan watak komedi. Malah Jambu diberi tanggungjawab berat apabila menjadi artis pembuka tirai program terbaru Astro Warna (Saluran 132), Lawak Minggu Ini. Tentunya ia bukan tugas mudah kerana sukar untuk memenuhi harapan tinggi peminat selepas fenomena program Maharaja Lawak.
Cabaran itu berjaya disambut Yus dan Taukeh apabila mampu menggeletek hati penonton dengan idea persembahan mereka tersendiri. Permulaannya agak perlahan mungkin disebabkan faktor mereka mencari stamina selepas berpuasa, menjadikan penonton yang hadir di Auditorium Sri Cempaka, Perbadanan Putrajaya pada Sabtu lalu, resah menanti jenaka yang menyengat. Bagaimanapun, menuju ke pertengahan dan seterusnya penamat program selama sejam itu, momentum persembahan Jambu yang dibantu Acong Sweetchild semakin memuncak dengan lawak yang menghiburkan, seterusnya berjaya menggeletek hati peminat dan menggamatkan auditorium yang dihadiri sekitar 400 orang.
Menerusi enam segmen iaitu tiga bebas, dua muzikal dan satu silent komedi, mereka perlu memikirkan idea sendiri untuk menghiburkan penonton dalam masa 15 minit setiap segmen. "Apabila mula nampak penonton yang hadir, kami rasa tanggungjawab berat untuk buat yang terbaik. Tapi kami tak rasa gemuruh kerana ini bukannya pertandingan tapi hanya program untuk menghiburkan penonton di auditorium dan studio. "Kami tiada skrip dan hanya gunakan idea spontan, tapi masih ikut panduan yang diberikan. Sebelum beraksi, kami berbincang secara ringkas dan boleh dikatakan 80 peratus jenaka yang ditampilkan lahir atas pentas," kata Tauke. Kata Yus, tekanan tidak dirasai berbanding bertanding dalam Maharaja Lawak kerana program ini bersifat santai. Mereka hanya memikirkan buat yang terbaik untuk peminat Jambu. "Kami hanya fikirkan karakter serta kostum dan yang penting tak nak lari daripada warna merah jambu. Tema bebas dan muzikal digunakan sebaik mungkin, tapi untuk 'silent' hanya ditampilkan 60 peratus. Cabaran yang paling besar ialah kami perlu menggunakan masa hanya tiga minit untuk tukar pakaian.
Jauh di sudut hati, Yus mengakui mereka turut menyimpan impian untuk diberikan watak serius untuk menjadi pelakon serba boleh. Kata Yus, dia tiada masalah melakukannya kerana bakatnya bermula dengan pentas teater. Apa pun katanya, dia lebih senang melakonkan watak komedi kerana lebih 'cool'. "Saya tengok skrip dan ikut seperti dikehendaki. Saya sudah buktikan menerusi teater Sri Mersing yang berlangsung di Johor Bahru pertengahan Julai lalu apabila melakonkan watak Awang Sulong (lakonan asal Mahmud June) yang jahat. "Saya memang tiada masalah berlakon watak serius, cuma persoalannya penonton dapat terima atau tidak lakonan saya? Namun, yang penting sebagai pelakon saya hanya nak berkarya," katanya yang menjadikan Tan Sri P Ramlee sebagai idola. Pendapat sama disuarakan Tauke yang bersedia menerima setiap watak diberikan.
"Apabila sudah ditawarkan begitu, takkan saya nak tolak. Seperti Yus, saya juga ingin mencuba pelbagai watak jika ditawarkan," katanya yang menjadikan Stephen Chow sebagai idola. Secara jujurnya Jambu menganggap karakter lucu mereka hanya di pentas dan bukannya di alam realiti. Mereka beranggapan berlawak ada hadnya kerana bimbang dibenci peminat. Bahkan mereka lebih senang menggelar peminat 'sahabat' kerana lebih menampakkan kemesraan yang terjalin. Mengenai pemilihan Acong sebagai 'tag team' Jambu, Yus berkata, dia dipilih kerana boleh 'masuk' dengan idea yang ditampilkan. Dengan hanya panduan diberikan, Acong boleh mengikut tema lawak mereka biarpun tanpa skrip. Begitu juga dengan Acong yang serasi bersama Jambu kerana sudah mengenali mereka agak lama. Dia sudah tahu rentak Yus dan Tauke sekali gus memudahkannya beraksi pada malam itu. "Kami sentiasa bersikap 'give and take' dalam persembahan. Tiada istilah berlawan kerana matlamat kami hanya untuk menghiburkan, bukannya 'membunuh' kawan-kawan," kata Acong. Dengan keserasian yang terbentuk, Jambu tidak menolak kemungkinan menyerapkan Acong sebagai anggotanya. Ini sudah dilakukan menerusi telemovie Jambu Hanyut lakonan mereka yang diarahkan Bade Azmi. "Selepas Maharaja Lawak, kami kerap diundang bersama dalam persembahan.
Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Warna, Nizam Sani berkata, Jambu dipilih sebagai pembuka pentas kerana mereka mahukan sesuatu yang gah dan yakin Jambu mampu melakukannya berdasarkan populariti semasa terutama menerusi Maharaja Lawak. Tambahan pula jadual mereka agak lapang dan strategi untuk menggandingkan yang baru dan lama menjadi. "Jambu hanya buat latihan sekali untuk kami lihat panduan yang diberikan.
"Program ini memang dihasilkan untuk artis komedi sebagai platform untuk mengembangkan idea lawak. Banyak lagi yang berada dalam perancangan kami. "Insya-Allah Oktober nanti kami akan mula bekerja untuk program Raja Lawak musim keenam," katanya. Kata Nizam, Lawak Minggu Ini akan berlangsung selama 12 episod apabila enam episod akan berlangsung secara 'live' manakala enam lagi secara rakaman di lokasi yang sama. Antara yang sudah dirakam ialah episod membabitkan Saiful Apek, Datuk Jamali Shadat, Sathiya, Kumpulan Balas dan Abon. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |