Adsense

Selasa, 9 Ogos 2011

Berita Harian: Hip

Berita Harian: Hip


Tidak tamak

Posted: 08 Aug 2011 06:43 PM PDT

Hip

NAMANYA sudah tentu antara yang paling dikenali dalam dunia lakonan. Pelbagai judul drama dan filem sudah dijayakannya, sejak dia membintangi drama Salina kira-kira sembilan tahun lalu. Wajahnya juga tidak asing sebagai pengacara TV, bermula dengan program XY sehinggalah ke Sehati Berdansa dan Imam Muda.

Namun sejak kebelakangan ini, wajah tampan jejaka berusia 32 tahun bagai kurang menyerlah di kaca TV, tidak seperti mana beberapa tahun lalu. Lalu ada peminat yang membuat andaian sendiri, apakah sememangnya Fahrin sudah bersedia untuk memperlahankan rentak, ataupun dia bersikap terlalu memilih?

Pertemuan dengannya ketika pelakon sasa ini menjayakan sesi fotografi khas sempena Ramadan di Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur baru-baru, memberikan ruang untuk penulis bertanya sendiri perihal terbabit kepada empunya diri. Fahrin pula, dengan senang hati berkongsi penjelasan berhubung perkara itu, pada masa sama menafikan bahawa dirinya kurang aktif. "Sememangnya ramai yang sudah bertanya kepada saya, kenapa wajah saya jarang muncul di TV. Ingin saya nyatakan di sini, saya masih bergerak cergas dalam dunia lakonan. Untuk makluman semua peminat juga, saya masih banyak menerima tawaran berlakon dan sibuk menjayakannya, cuma mungkin peminat tidak nampak apa yang saya buat.

"Lagi satu, saya jenis manusia yang suka memberikan tumpuan kepada satu kerja pada satu-satu masa. Saya bukan individu yang gemar menjayakan banyak tawaran dalam satu masa tertentu, kerana tidak mahu jadual saya menjadi kelam kabut. Tahun ini umpamanya, saya hanya menerima dan menumpukan pada dua tawaran lakonan drama bersiri iaitu Dia Bukan Maryam dan Suria Di Cordoba.

"Dari hujung tahun lalu hingga pertengahan tahun ini, saya sibuk dengan penggambaran dua drama itu, di mana Dia Bukan Maryam sudah pun habis tayangannya manakala Suria Di Cordoba pula sedang hangat ditayangkan.

Penggambaran dua drama ini mengambil masa yang panjang, dan saya tidak mahu mengganggu kelancaran penggambaran berkenaan. Sebab itu saya tidak menerima tawaran sampingan yang lain.
"Sebenarnya saya masih boleh dilihat di kaca TV, dan saya sentiasa sibuk dengan kerjaya saya sebagai pelakon dan pengacara," katanya yang segak mengenakan busana tradisional Melayu rekaan Salikin Sidek.

Pesan pelakon yang turut membintangi beberapa filem seperti Puaka Tebing Biru dan 2 Hati 1 Jiwa ini, peminat yang merinduinya bolehlah menyaksikan lakonannya dalam telefilem Cinta Kaabah pada 21 Ogos ini di saluran Astro Prima, serta drama siri 26 episod, Suria di Cordoba, yang disiarkan setiap di saluran sama sejak 7 Jun lalu.

Tunai umrah kali kelima

SEMENTARA itu, sempena kedatangan Ramadan, seperti kebanyakan artis lain, Fahrin juga tidak lepas daripada mengambil kesempatan untuk berehat sementara daripada aktiviti seni dan menumpukan perhatian menunaikan ibadat pada bulan penuh keberkatan ini.

Lebih menarik, seperti tahun-tahun lalu, sudah menjadi kebiasaan jejaka kelahiran Johor Bahru ini untuk berkunjung ke Tanah Suci Makkah bagi menunaikan ibadat umrah.

"Ramadan tahun ini, saya tidak mempunyai rancangan tertentu, lalu mengambil keputusan untuk berehat. Selain itu, saya cuma memenuhi jemputan majlis berbuka puasa serta sesi fotografi, seperti yang dijayakan pada hari ini. Bagaimanapun saya banyak juga menjayakan penggambaran program Aidilfitri dan Ramadan, termasuk BazarRamadhan@TV3.

"Selain itu, saya akan berangkat secara berseorangan mengerjakan umrah pada akhir Ramadan nanti. Ini adalah kali kelima saya menunaikan ibadat umrah, dan sememangnya saya amat seronok berpeluang menghayati Ramadan di sana. Di Makkah, suasana puasanya berbeza, tambah lagi pada akhir Ramadan, yang mana ia adalah waktu puncak.

"Saya tidak dapat menggambarkan perasaan dan suasana di sana dengan kata-kata, sebaiknya pengalaman itu perlu dirasai sendiri kerana sambutan di sana sememangnya mempunyai keistimewaan tersendiri," tambahnya lagi.

Ditanya mengenai sambutan Hari Raya pula, seperti kebiasaan, anak ketiga daripada empat adik beradik ini akan pulang ke kampung halamannya di Johor Bahru.

Tahun lalu, Fahrin tidak berkesempatan untuk merayakan hari pertama Syawal bersama keluarga kerana masih berada di Makkah. Namun tahun ini dia akan pulang lebih awal untuk meluangkan masa bersama keluarga tercinta.

Ceritanya lagi, dia hanya akan bercuti selama seminggu dan selepas raya, Fahrin akan kembali sibuk dengan kerjaya seninya. Antaranya, Fahrin akan kembali bekerjasama bersama Shell, di mana kontraknya sebagai duta jenama produk itu disambungkan kepada tiga tahun. Selain Shell, Fahrin juga duta kepada produk penjagaan diri, Garnier.

Fahrin juga akan kembali sibuk dengan aktiviti lakonan dan pengacaraan, yang secara tidak langsung membuatkan dirinya tidak putus-putus bersyukur kerana rezeki yang diterima tidak pernah putus. Namun dia perlu menyusun jadual kerjanya lebih berhati-hati, begitu juga dalam pemilihan tawaran kerja, supaya kebajikan diri tidak terabai.

Menurut pelakon yang murah dengan senyuman ini, kerjasamanya bersama jutawan internet, Irfan Khairi, juga sedang rancak berjalan rancak. Mereka berdua akan mengadakan sebuah lagi bengkel motivasi selepas Hari Raya nanti.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Perjuangan belum tamat

Posted: 08 Aug 2011 06:29 PM PDT

Hip

Bekas juara Mentor 4 mantapkan vokal, kembangkan bakat lakonan

LALUAN kemenangan juara Mentor musim ke-4 ini ada banyak liku-likunya kerana selepas menjuarai program realiti itu, namanya sedikit tenggelam sehingga ada beranggapan dirinya tidak berminat lagi dalam dunia seni.

Namun semua itu disangkal Mohd Izwan Mohd Nor, 23 atau Mohd, yang menganggap perjalanan seninya tidak pernah terhenti, malah dia kini sedang menghirup pula angin lakonan yang mula menerjah ke dalam jiwanya.

Bertemu jejaka ini pada Program Sanubari Bersama Anak-Anak Yatim di Starpoints Hotel Kuala Lumpur, Mohd yang tampil berbaju Melayu meraikan kira-kira 60 anak yatim dari sekitar Selangor ini, berkata rezeki seni sentiasa mengiringi dirinya. "Saya kini dalam persediaan memantapkan vokal dan persembahan untuk sebuah program hiburan TV. Kali ini saya amat berharap dapat ke peringkat akhir pertandingan ini apabila sebelum ini pertaruhan lagu Cinta tidak sampai ke penghujungnya," katanya yang akan menyanyikan lagu terbarunya, Nasib yang diakui mendapat tempat di hati kalangan peminatnya.

Terus menyingkap kisah seninya yang dilihat agak suam-suam kuku, jejaka ini terus-terusan menafikan dia sudah dilupakan malah memberitahu, buktinya kini dia berlakon di bawah bimbingan produser terkenal, Erma Fatima untuk membintangi sebuah drama muzikal.

"Drama muzikal ini sudah sebulan menjalani penggambaran dan saya memegang watak sebagai Mohd juga iaitu abang kepada anggota kumpulan rock yang mengisahkan perjalanan hidup anggota kumpulan rock dan ia dilihat sesuai dengan jiwa saya," kata pelajar jurusan akaun yang memberitahu sudah jatuh cinta dalam dunia seni selain mahu fokus terhadap seni sebagai kerjaya.

Mengakui ingin dikenali sebagai artis serba boleh, anak kelahiran Johor ini turut menceritakan bagaimana dirinya boleh terbabit dalam dunia yang berbeza dengan pendidikan yang diperolehi sebelum bergelar artis.
"Ia bermula sebaik saya menemani sahabat yang minat untuk hadir ke uji bakat Mentor. Dia peserta keenam manakala saya ketujuh yang diuji bakat pada hari itu, tetapi nasib menyebelahi saya apabila terpilih ke program itu.

"Daripada suka-suka, ia jadi kenyataan apabila saya ke peringkat seterusnya sehinggalah terpilih sebagai juara," katanya mengimbas kembali suratan takdir yang jatuh di bahunya sebagai anak seni.

Kata anak didik kepada penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain ini, daripada menganggap seni sebagai hiburan diri dan hobi, semua itu akhirnya bertukar kepada kerjaya utama kerana hatinya begitu terpikat sebaik terjun dalam bidang seni.

Ditanya sama ada keluarga pernah menghalang hajat hatinya itu disebabkan dia sepatutnya bergelar akauntan, Mohd ringkas menjawab apa yang disukainya tidak pernah dihalang keluarga.

"Arwah ibu, ayah dan adik beradik lain sentiasa menyokong saya malah sentiasa memberi semangat. Saya masih ingat pesanan ibu, supaya berhati-hati dan menjaga nama baik saya serta keluarga jika mahu menjadi artis dan semua itu masih saya genggam erat sebagai anak.

"Maklumlah saya juga tidak pernah berpisah dengan keluarga dan pada mulanya arwah ibu bimbang saya berada di Kuala Lumpur bersendirian dan risau saya tidak pandai mengawal diri," luah anak bongsu daripada sepuluh beradik ini yang cuba menahan sebak mengingati arwah ibu yang pergi menyahut panggilan Illahi pada tahun lalu.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.