Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Pelajaran tidak diabaikanBOLEH dikatakan industri hiburan tempatan kerap melahirkan pelakon-pelakon remaja yang masih lagi bersekolah. Ternyata kehadiran mereka tetap diterima ramai dengan mutu dan gaya lakonan yang setanding pelakon-pelakon dewasa. Bagaimanapun, menjadi seorang pelakon yang masih lagi di alam persekolahan tentunya bukanlah suatu perkara yang cukup mudah. Sama ada berlakon atau belajar, kedua-duanya memerlukan fokus serta komitmen yang sangat tinggi. Salah seorang pelakon remaja yang tidak asing lagi, Nur Elfira Loy mengakui pada tahun ini tawaran lakonan yang diterimanya agak banyak, meskipun pada tahun ini dia bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). "Memang ia satu cabaran yang hebat buat diri saya kerana melakukan dua perkara dalam satu masa. Biarpun masih sibuk berlakon sejak kebelakangan ini, tetapi pelajaran tidak pernah saya abaikan sama sekali. "Saya sedar peperiksaan SPM tinggal beberapa bulan sahaja lagi dan pada masa yang sama masih lagi meneruskan aktiviti lakonan. Namun, saya yakin masih lagi mampu untuk memberi tumpuan kepada pelajaran," ujar pelakon yang terkenal menerusi drama Qalesya. Menurut Elfira, biar sesibuk mana sekalipun jadual lakonannya, dia akan memastikan tidak ketinggalan terlalu jauh dalam setiap mata pelajaran yang diajar guru-guru di sekolahnya. Jelasnya lagi, antara langkah yang dilakukannya adalah dengan membuat ulang kaji pelajaran di rumah rakannya selepas waktu sekolah, manakala pada waktu malam pula dia akan menghadiri kelas tuisyen. "Lagipun saya memang terpaksa usaha dengan lebih keras kerana saya berada di kelas aliran Sains Tulen dan mata pelajaran yang dipelajari juga sangat berat seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan. "Malah, saya akui yang prestasi pelajaran saya agak tidak konsisten semenjak kebelakangan ini dan sebab itu saya bertekad untuk meletakkan pelajaran sebagai keutamaan sekarang," jelasnya. Menurut pelakon yang pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pelakon itu lagi, dia sangat beruntung kerana keluarganya memberi kebebasan sepenuhnya untuk dia membuat sebarang keputusan. "Walaupun ayah dan ibu tidak melarang saya untuk terus berlakon, tetapi mereka sentiasa memberi nasihat supaya tetap fokus kepada pelajaran. Jadi, buat masa ini saya akan cuba kurangkan aktiviti lakonan buat sementara waktu," ujarnya. Seorang lagi pelakon remaja yang turut mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini, Erin Malek memberitahu dia juga turut mengambil pendekatan yang sama untuk memberi lebih fokus kepada pelajaran. Menurut Erin, dia sudah mula mengurangkan aktiviti lakonan dan kali terakhir dia menjalani penggambaran adalah pada bulan lalu untuk telemovie Kain Pelekat Acap yang akan disiarkan di TV 9 pada Hari Raya Kedua.
"Sepanjang bulan Ramadan ini saya langsung tidak terlibat dalam sebarang penggambaran. Lagipun rasanya sekarang ini adalah bulan terbaik untuk saya berusaha lebih keras membuat ulang kaji memandangkan peperiksaan SPM pun tidak lama lagi. "Biasanya selepas tamat sesi persekolahan, saya akan terus sambung belajar dengan mengupah seorang tutor peribadi di rumah dan pada waktu malam pula saya akan menyelesaikan segala kerja rumah yang diberikan cikgu," jelas pelajar SMK Pandan Mewah itu. Bagaimanapun, Erin memberitahu dia perlu bersungguh-sungguh memberi tumpuan kepada pelajaran sepanjang bulan puasa ini memadangkan pada bulan hadapan dia akan terbabit dengan sebuah penggambaran drama. Ujarnya, dia akan menjalani penggambaran drama bersiri Klik untuk musim kedua sebanyak 13 episod yang akan disiarkan di saluran Astro Ceria setelah terbabit dalam drama yang sama pada musim sebelumnya. "Dijangka penggambaran akan berlangsung selama hampir sebulan dan sebab itu saya terpaksa menolak sebarang tawaran lakonan yang diterima buat masa ini. Walaupun akan sibuk berlakon, tetapi saya tetap bersedia untuk menghadapi peperiksaan SPM. "Saya akui yang saya ini bukanlah tergolong dalam kategori pelajar yang pandai, namun itu tidak bermakna saya akan ambil mudah dan semasa menjalani peperiksaan SPM nanti saya tetap cuba yang terbaik," ujarnya. Namun begitu, pelakon tersebut tidak menolak kemungkinan untuk kembali aktif berlakon semula selepas selesai menduduki peperiksaan SPM dan bersedia untuk menerima apa sahaja sebarang tawaran lakonan yang diberikan kepadanya. Tangguh Meskipun tidak menjalani sebarang aktiviti lakonan sepanjang bulan puasa, tetapi mengikut jadual sebelum ini Elfira sepatutnya akan menjalani penggambaran sebuah drama bersiri sebanyak 13 episod berjudul Dalam Hati Ada Taman.
Menerusi drama tersebut, pelakon yang turut membintangi telefilem seram iaitu Kum Kum di saluran Astro itu bergandingan dengan Randy Pangalila, seorang aktor yang cukup popular di Indonesia. Lebih menarik lagi, Elfira memberitahu bahawa sepatutnya pada bulan puasa ini dia terbang ke Itali selama dua minggu untuk menjalani penggambaran di situ bersama aktor berkenaan. "Mengikut perancangan sepatutnya saya akan ke Itali dan menjalani ibadah puasa di sana. Bagaimanapun, saya difahamkan ada sedikit masalah yang berlaku terhadap pihak Randy sehingga ia terpaksa ditangguhkan. "Memang saya berasa sedikit kecewa kerana hajat untuk menjejakkan kaki ke negara tersebut tidak tercapai, tetapi saya tidak kisah kerana sekurang-kurangnya dapat juga memberi tumpuan kepada pelajaran pada bulan puasa ini," jelasnya. Sementara itu, ketika ditanya mengenai makanan yang menjadi kegemarannya sepanjang bulan Ramadan, pelakon berkenaan menjelaskan dia lebih gemar menikmati pelbagai jenis kuih-muih untuk hidangan berbuka puasa. "Biasanya kalau di bulan-bulan yang lain saya memang agak jarang makan kuih. Namun, pada bulan puasa kalau pergi ke bazar Ramadan selalunya saya akan lebih banyak membeli kuih-muih berbanding makanan lain," jelasnya. Terima kenyataan Pastinya sudah ramai yang mengetahui tentang nasib yang menimpa Erin Malek dan keluarganya apabila kedua-dua ibu bapanya telah mengambil keputusan untuk bercerai pada awal tahun ini. Ternyata sambutan bulan puasa kali ini juga cukup berbeza buat pelakon berkenaan yang kini menjalani ibadah puasa bersama ibu dan adik-beradiknya yang lain setelah mengambil keputusan untuk tinggal bersama ibunya. Ketika ditanya adakah perasaan sedih menyelubungi dirinya pada detik-detik awal umat Islam menyambut bulan Ramadan, pelakon berkenaan menjelaskan ketika ini dirinya sudah dapat menerima kenyataan terhadap segala yang telah berlaku. "Pada mulanya perasaan sedih itu memang ada sedikit, tetapi bagi saya apa yang berlaku itu memang sudah ditakdirkan. Apa yang lebih penting sekarang saya perlu menjadi semakin kuat untuk mengharungi kehidupan bersama ibu. "Sebagai anak sulung, saya juga perlu menjadi contoh yang baik kepada adik-adik yang lain. Walaupun ayah dan ibu telah berpisah, tetapi hubungan saya dan ayah tetap baik," jelasnya yang semakin dapat menerima terhadap apa yang menimpa keluarganya sebelum ini. Akui Erin lagi, meskipun dia merupakan anak sulung tetapi dia seorang yang sangat manja dan kerap menangis sewaktu keluarganya mengalami masalah apabila kedua-dua orang tuanya berpisah dahulu. "Apa yang lebih penting sekarang ini saya perlu meneruskan kehidupan dan melupakan segala apa yang telah berlaku. Selain mahu berjaya dalam pelajaran, saya juga mahu terus mencipta nama dalam bidang lakonan," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||||
Posted: Minggu 'cinta' Hillary Duff
MINGGU ini merupakan minggu 'cinta' buat Hillary Duff apabila dia dan suaminya, Mike Comrie meraikan ulang tahun pertama perkahwinan mereka. Memberitahu sukar untuk mempercayai rumah tangga mereka kini sudah berusia setahun, Duff sangat teruja untuk meraikan cinta mereka. "Bagai tidak percaya perkahwinan kami sudah mencecah usia setahun. Masa sangat cepat berlalu dan kami telah melewati detik-detik yang begitu manis dalam rumah tangga kami," tulis Duff di akaun Facebook miliknya. Lebih daripada itu, Duff turut membuat pengumuman. Dia menulis: "Kami kini sedang menanti kehadiran seorang cahaya mata. Saya hamil dan sangat teruja untuk melalui fasa baharu dalam kehidupan saya nanti!" Pasangan yang berkahwin di Santa Barbara, California pada tahun lalu selepas pertama kali bertemu pada tahun 2007 itu juga amat berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong dan mendoakan kebahagiaan mereka. Terdahulu, pada bulan Mei yang lalu, Duff dan suaminya yang merupakan seorang pemain hoki profesional ada memberitahu mereka tidak terdesak untuk mempunyai anak. Dalam temu bual yang dibuat bersama Access Hollywood itu, Duff berkata: "Kami teruja untuk menjadi ibu dan bapa, tapi mungkin bukan sekarang. Ini kerana saya mahu membuat satu lagi produk dan berasa untuk hamil pada masa ini bukan masa yang sesuai. Mungkin kami memerlukan lebih masa untuk merancang keluarga." Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||||
Ustazah Pilihan bukan program kontroversi Posted: Ustazah Pilihan bukan program kontroversiKANAN:PENGURUS Saluran Astro Oasis, Izelan Basar (tengah) bergambar bersama tenaga pengajar program Ustazah Pilihan. SETELAH selesai sesi uji bakat pemilihan Ustazah Pilihan di seluruh Malaysia, Astro Oasis memperkenalkan pula Mudirah atau pengetua dan dua Mursyidah atau tenaga pengajar. Tiga peneraju utama itu bakal berperanan sebagai pembimbing dan penasihat dalam misi menyerlahkan ikon muslimah berpotensi. Ustazah Pilihan yang bakal memulakan siaran di Astro Oasis (saluran 106) pada 1 Oktober ini dipimpin oleh Dr. Robiah K Hamzah sebagai Mudirah bersama dua orang Mursyidah iaitu Profesor Dr. Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiyah Hassan. Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, tiga tenaga pengajar yang dipilih boleh dianggap sebagai lubuk emas untuk peserta Ustazah Pilihan menimba ilmu dan pengalaman. "Para peserta diharap mampu mencedok segala ilmu yang disampaikan semaksimum mungkin sebagai bekalan mereka untuk berhadapan dengan masyarakat kelak," katanya ketika ditemui selepas memperkenalkan Mudirah dan Mursyidah di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. Katanya, Ustazah Pilihan masih lagi berpaksikan pencarian pendakwah unggul dengan memaparkan kepentingan memikul tanggungjawab sebagai seorang wanita Islam yang bukan sahaja berperanan sebagai seorang isteri atau ibu, malah memikul tanggungjawab sebagai pendidik, pembentuk dan pemimpin generasi akan datang. Ditanya bagaimana pemilihan peserta Ustazah Pilihan dibuat, kata Izelan, terdapat tiga fasa pemilihan iaitu menguji peserta melalui bacaan surah-surah dalam al-Quran, bertanya mengenai isu-isu berkaitan wanita dan semasa serta ujian mengikut keperibadian masing-masing. "Fasa pertama, peserta bukan sahaja dilihat boleh membaca surah-surah yang diminta tetapi peserta juga perlu membaca mengikut bacaan dan tajwid yang betul serta bertaranum," katanya yang memberitahu tidak memilih wanita berpandukan paras rupa tetapi lebih kepada kebolehan mereka melontarkan suara di khalayak dengan berani dan jelas. Izelan juga menjawab pertanyaan media berhubung program Ustazah Pilihan yang boleh mencetuskan kontroversi kerana ia melibatkan wanita. "Sebelum program bermula sudah banyak yang bertanya. Alhamdulillah sudah banyak sesi lampias otak yang dibuat. Program Ustazah Pilihan akan dibuat mengikut syariah. Ujian yang bakal peserta hadapi juga tidak akan melanggar batas-batas seorang wanita muslim. "Sudah tentu cabaran untuk menghasilkan Ustazah Pilihan lebih berat berbanding Imam Muda, namun saya anggap ini cabaran yang harus kami hadapi seterusnya membuatkan program ini hebat di mata penonton," katanya. Mudirah Ustazah Pilihan turut berkongsi cabaran dalam memikul tugas sebagai pendidik. Menurut Dr. Robiah K. Hamzah, dia tidak menganggap cabaran untuk mendidik peserta Ustazah Pilihan dalam bentuk yang susah sebaliknya bermohon kepada Allah SWT agar program itu dapat melahirkan insan yang gemilang dan terbilang. "Kalau takut dikritik memang semuanya tidak akan menjadi. Kena mohon pada Allah agar program ini berjalan dengan lancar," katanya. Astro Oasis turut mengambil kesempatan memperkenalkan pengacara bagi program Ustazah Pilihan iaitu Siti Rohani Surani. Siti yang juga merupakan penyampai radio bagi saluran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu dipilih berdasarkan potensinya mengendalikan saluran IKIM dengan menarik. – FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |