Utusan Online - Hiburan |
Posted: Cinta Ziela belum padamOleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
SEBAIK sahaja melangkah masuk ke rumah mewahnya yang terletak di pinggir Kuala Lumpur, mata terus tertancap kepada koleksi foto yang dibingkai kemas dan cantik di satu sudut. Meneliti satu persatu gambar-gambar itu memang sudah cukup jelas membuktikan bahawa kasih sayang wanita ini terhadap keluarganya memang cukup tebal. Apatah lagi, hampir kesemua koleksi gambar itu memuatkan rakaman detik-detik terindah bersama figura yang telah memainkan peranan cukup besar dalam kehidupannya. Namun, kini semuanya hanya tinggal kenangan apabila lelaki yang cukup tinggi darjatnya di mata wanita ini telah pun menemui pencipta-Nya pada 24 Januari 2008 pada usia 65 tahun kerana kanser prostat. Biarpun sudah tiga tahun menjadi seorang balu, tetapi, kerinduan Ziela Jalil terhadap Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayub masih lagi tebal di benak hatinya. Lebih-lebih lagi dengan kedatangan Ramadan 1432 Hijrah yang bermula hari ini, sesungguhnya Ziela tidak dapat lagi menyembunyikan perasaan rindu terhadap arwah suaminya itu. "Segala kenangan manis dan terindah yang pernah terlakar sepanjang perkahwinan kami masih segar dalam ingatan saya. "Walaupun sudah tiga tahun arwah meninggal dunia, begitu sukar untuk saya melupakan beliau. Saya harus akui setiap kali menjelangnya bulan Ramadan, hati ini begitu sayu dan sedih apabila teringatkan arwah," cerita Ziela tenang membuka bicaranya pada petang yang cukup mendamaikan itu. Ziela dan arwah suaminya itu mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 1991 dan hasil daripada perkahwinan mereka itu telah dikurniakan dengan sepasang cahaya mata, Puteri Julia Nabilah, 18 dan Megat Jufri Nasrullah, 16. Menyambung perbualan, Ziela memang tidak dapat menafikan bahawa hatinya cukup pantas terusik setiap kali teringatkan kenangan Ramadan yang datang bertandang ke mindanya. Sebagai seorang isteri selama 16 tahun kata Ziela, arwah suaminya itu memang seorang yang cukup ringkas dalam bab juadah berbuka puasa. "Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu menyusahkan isterinya dalam menyediakan juadah secara berlebih-lebihan. Biarlah ala kadar tetapi ia mampu membuka seleranya setiap kali duduk di meja makan," jelas Ziela sambil ketawa kecil teringatkan kenangan lalu. Jarang menjamah nasi ketika berbuka, ujar bekas pelakon popular tahun 80-an dan awal tahun 90-an ini lagi, suaminya itu lebih selesa menikmati kanji yang merupakan hidangan seumpama bubur lambuk. Sebagai anak jati Perak, jelas Ziela, memang arwah suaminya tidak akan terlepas daripada mahu menikmati santapan wajib daripada negeri kelahirannya. Kerana itu, dia pasti akan menghidangkan apa sahaja juadah asalkan ia mestilah masak lemak kuning, masak lemak putih mahupun kari. "Kalau bersahur, dia akan memastikan makanan seperti telur masin, ikan masin dan telur goreng akan terhidang di atas meja. "Bukan itu sahaja, arwah memang cukup suka menikmati ikan kembung rebus atau goreng selain ikan bilis yang digoreng dengan cili kering, bawang besar bersama air asam jawa. Jika ada itu sahaja, ia sudah cukup membuka seleranya," jelas satu-satunya anak tunggal kepada pasangan Allahyarham Abdul Jalil Ismail dan Fatimah Osman ini panjang lebar. Kenangan umrah Cukup sedar akan kedudukannya sebagai isteri kedua kepada bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, Ziela menjelaskan dia akan manfaatkan tiga hari gilirannya itu sebaik mungkin. Setiap kali di bulan Ramadan, mereka sekeluarga pasti akan menunaikan solat Tarawih berjemaah bersama-sama di rumah selain membaca al-Quran. Tetapi, kenangan paling indah buat Ziela setiap kali menjelangnya bulan yang penuh rahmat ini adalah apabila berpeluang mengerjakan umrah bersama-sama keluarganya. "Sepanjang saya berkahwin dengannya, memang sudah banyak tempat yang saya lawati bersama anak-anak biarpun ada ketikanya dia jarang bersama-sama kami kerana sibuk dengan tugasan serta komitmennya dengan madu saya. "Namun, jauh di sudut hati, saya mahu menunaikan umrah bersamanya dan anak-anak. Apabila saya menyuarakan hasrat kepadanya, dia menerimanya. "Mungkin berkat kesungguhan dan niat murni saya itu, Allah SWT makbulkan permintaan saya itu dan akhirnya kami dapat menunaikan umrah bersama-sama pada bulan April 2007. "Walaupun keadaan kesihatannya ketika itu tidak mengizinkan, tetapi Alhamdulillah dia dapat menunaikan umrah dengan sempurna dua hari sebelum kami pulang ke tanah air," ujar Ziela yang memberitahu rombongan itu turut disertai madunya, Puan Sri Faizah Shuaib serta teman-teman mereka yang lain. Ternyata, arwah suaminya cukup gembira apabila dapat mengejakan ibadah itu bersama keluarganya sehingga dia mahu melakukannya sekali lagi apabila merancang untuk menunaikannya pada bulan Februari 2008. Namun, kuasa Allah melangkaui segala-galanya apabila beliau meninggal dunia sebulan sebelum itu. Lalu, apabila Ziela diberi kudrat dan peluang mengerjakan umrah untuk sekian kalinya pada 9 Ogos ini, secara tidak langsung memori yang pernah tercipta itu mula bermain di kotak mindanya. "Kalau umur arwah masih panjang, sudah pasti beliau juga ternanti-nantikan peluang untuk mengerjakan umrah bersama-sama di bulan Ramadan. Tetapi apakan daya, Allah lebih menyayangi dirinya," ujar pemilik nama penuh Norzilah Abdul Jalil ini yang sudah mengerjakan fardu haji bersama dua anaknya pada penghujung 2006. Tiada cinta lain Dalam pertemuan itu juga, pemilik syarikat produksi Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. ini sempat ditanya tentang keinginannya untuk mencari pengganti arwah suaminya. Sambil melirik senyum manja yang sudah menjadi identitinya sejak zaman remaja lagi, Ziela menjawabnya dengan penuh terbuka. Tidak berselindung dalam memberikan hujahnya, jelas Ziela, dia pernah memikirkan ke arah itu (cinta baru). "Bohong kalau saya kata hati tidak terdetik apabila melihat mana-mana lelaki yang dilihat menarik pada pandangan saya. Tetapi, perasaan itu akan berlalu pergi dalam sekelip mata. "Sebaliknya, secara automatik jiwa saya akan terus teringatkan arwah suami lalu membuatkan jiwa saya kembali penuh dengan rasa cinta terhadapnya sama seperti perasaan sewaktu kami diijabkabulkan. "Lebih-lebih lagi kalau saya menziarah kuburnya di mana saya seolah-olah dapat merasakan kehadirannya di sisi saya ketika itu. "Cinta dan kasih yang begitu dalam terhadap arwah membuatkan saya tidak memikirkan sebarang persoalan cinta," ujar Ziela yang akan menziarah kubur arwah suaminya setiap hari Jumaat bersama anak-anaknya jika tiada hal mustahak. Kebahagiaan Bagaimana pula dengan dua orang cahaya matanya? Apakah mereka sendiri sudah bersedia untuk menerima pengganti abah mereka? Menjawab soalan tersebut, kata Ziela, secara lahiriah, anak-anaknya memang tidak kisah dan reda seandainya dia bertemu jodoh baru. Tetapi, sebagai seorang ibu yang memiliki naluri yang sangat kuat, Ziela tahu bahawa anak-anaknya masih belum bersedia. "Jadi, saya lebih selesa untuk terus hidup bertiga dan kebahagiaan saya adalah kerana anak-anak. Lagipun, arwah suami sendiri pun sudah memberitahu bahawa saya perlu mengutamakan anak-anak dalam apa jua hal sekalipun. "Sekarang ini, tugas saya adalah untuk terus mencari rezeki demi menampung kehidupan kami sekeluarga. "Soal jodoh biarlah Allah yang tentukan. Seandainya satu hari nanti saya ditemukan dengan seorang lelaki yang dapat menerima saya dan anak-anak serta sebaik arwah suami saya, insya-Allah, saya akan berkahwin juga. "Walau sekalipun saya sudah mendirikan rumah tangga sekali lagi kelak, memori saya bersama arwah suami tidak akan terus luput dari ingatan. Ia akan terus bersemadi dan kekal sehingga ke akhir hayat saya," ikrar penerbit drama yang karya terbitannya pernah dinobatkan sebagai Drama Terbaik Anugerah Skrin sebanyak empat kali ini lagi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search. | ||
Posted: Lagu terbaik Def Gab CJudul Album: Neolithic KOMEN: Album ini menggabungkan lagu-lagu lama dan baru Def Gab C. Kebanyakannya adalah lagu popular kumpulan ini seperti Cinta Sakti, Marilah Maria dan Ibu Kota Cinta. Album ini masih menampilkan gaya muzik dan bunyi asal kumpulan tersebut. Tidak banyak ubah suai atau adunan semula dalam album ini. Vokal Asheed masih jitu di mana lengguk suaranya yang tersendiri dapat dilihat hampir pada setiap lagu. Muzik rock masih teras dalam setiap lagu dalam album ini. Terdapat juga lagu yang boleh dikatakan baru dalam album ini seperti Kurniaan hasil ciptaan Asheed. Juga lagu Cinta Di Mana dan walaupun boleh dikatakan baru dan jarang diperdengarkan kepada umum. Selain itu, kekuatan vokal Asheed dan lengguk suaranya yang tersendiri, lagu-lagu dalam album ini turut menampilkan kombinasi gaya muzik rock lama dan baru. Terdapat 10 buah lagu dalam album ini yang mampu mengubat rindu para peminat mereka termasuklah satu lagi lagu popular mereka berjudul Merah. Bintang: HHHHH |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |