Adsense

Ahad, 31 Julai 2011

macam macam hiburan terkini

macam macam hiburan terkini


'Kejadian Khalwat Adalah Dugaan' - Norman Hakim

Posted: 30 Jul 2011 08:45 AM PDT

KUALA LUMPUR: Pelakon, Norman Hakim,35, pada Jumaat, tidak pernah menyangka akan menangis apabila mengetahui dirinya dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan berkhalwat dengan Memey Suhaiza,23,

"Saya tidak pernah menjangkakan akan berada dalam keadaan yang sangat emosional sebegini," katanya yang mengambil kesempatan untuk mengerjakan solat sunat syukur selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini tamat.

Norman atau nama sebenarnya, Mohamed Norhakim Zaidon juga menyifatkan apa yang berlaku adalah dugaan buat dirinya dan Memey.

Katanya lagi, Allah tidak memilih orang untuk diuji jika tahu dia tidak mampu untuk menghadapinya.

"Alhamdulillah dengan didikan orang tua, saya boleh menerima semua dugaan dan cubaan. Ini hanya satu fasa dalam kehidupan saya.

"Saya juga tidak akan berdendam dengan sesiapa dalam kes ini, malah saya reda jika ada orang yang dengki dengan saya," katanya.

Tambah pelakon drama "Wali" ini, setiap kali rasa dendam itu hadir, dia menyedekahkan Al-Fatihah kepada orang terbabit selepas disarankan untuk berbuat demikian oleh seorang ustaz.

Sementara itu, Memey yang hadir di mahkamah bersama Norman, menyifatkan keputusan tersebut sebagai 'hadiah perkahwinan' mereka yang akan berlangsung pada 24 September ini di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor.

"Ini semua berkat kesabaran dan doa kedua-dua belah keluarga. Syukur, sekarang bila saya mahu kahwin, rezeki datang dan segala perkara dimudahkan sampai ada pihak yang mahu menaja sehingga RM12 juta," katanya sebak.

Bakal pengantin baru itu hanya tersenyum apabila disoal berhubung perancangan hidupnya selepas bergelar isteri dan menjawab, dia kini sudah bersedia untuk menempuh fasa seterusnya.

Pada Jumaat, Hakim Syarie Selamat Yatim melepas dan membebaskan pasangan tersebut daripada tuduhan berkhalwat yang didakwa dilakukan di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP1/2, Taman Ukay Perdana, Ampang, di sini.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 1.45 dan 3 pagi, 30 Oktober 2008.Pendakwaan terhadap Norman dibuat mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala Memey dituduh mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen yang sama.

Mereka yang didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 20 Januari 2009 kini berhadapan dengan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Norman juga sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Abby Abadi dan bercerai pada 18 September 2008.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang anak, Mohamed Danish Hakim, 8, Marissa Dania Hakim, 6, dan Maria Danisha Hakim, 3.

Abby Abadi Sahkan Enggan Hadir Pernikahan Norman, Memey

Posted: 30 Jul 2011 08:43 AM PDT

PETALING JAYA: Pelakon Abby Abadi sudah mengesahkan tidak akan hadir ke majlis resepsi persandingan bekas suaminya, Norman Hakim dan Memey Suhaiza pada 28 September depan di sebuah hotel walaupun menerima kad undangan daripada mereka.

Norman dan Memey di jadual bernikah pada 24 September depan di Felda Tenggaroh, Mersing Johor iaitu rumah pengantin perempuan.

Ujar Abby, dia berbuat demikian kerana enggan merosakkan hari bahagia mereka yang digelar sebagai "wedding of the year" itu berikutan menerima tajaan bernilai RM12 juta.

"Jujurnya saya tidak akan hadir pada majlis itu. Saya tidak mahu merosakkan hari bahagia mereka," katanya kepada mStar Online di sini, Jumaat.

Mengenai keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Jumaat yang melepas dan membebaskan Norman dan Memey atas tuduhan berkhalwat kira-kira tiga tahun lalu, Abby enggan mengulas berhubung perkara itu.

Menurut Abby, dia tiada hak untuk memberi komen mengenai kes tersebut memandangkan bekas suaminya itu tiada kena mengena lagi dengannya.

"Itu adalah keputusan mahkamah. Jika mereka (Norman dan Memey) disabitkan bersalah, maka salahlah mereka dan jika keputusan berpihak pada mereka, maka mereka berada di pihak yang betul.

"Pada pendapat saya, sama ada saya beri komen atau tidak, Norman dan Memey tidak ada kena mengena pun dengan saya," katanya.

Tambah ibu tunggal kepada tiga orang anak ini, walau apa pun keputusan mahkamah, ia tetap tidak akan mengubah apa-apa aktiviti mengenai kehidupan sehariannya.

Ditanya adakah Abby sudah berbaik dengan Norman setelah isu tuntutan wang hantaran berjumlah RM11,111.11 terhadap Norman diperkatakan sebelum ini, menurut Abby mereka sekadar bertegur sapa mengenai perihal anak sahaja.

"Jujurnya, apabila timbul pertikaian mengenai isu tersebut (hantaran), ia sedikit sebanyak menjejaskan karier lakonan saya. Dan ia dilihat seperti saya yang mahu memanaskan keadaan.

"Oleh itu, saya letak tanggungjawab tersebut kepada peguam saya yang rasanya lebih tahu tentang perkara ini.

"Saya belajar daripada pengalaman apabila kita cakap sesuatu yang benar, ia akan terkena kepada kita. Jadi cakap pun tak guna dan biarlah orang yang lebih arif sahaja yang uruskan," ujarnya.

Dalam pada itu, mengenai hubungannya dengan pelakon Zul Arifin, mereka belum merancang untuk berkahwin dalam masa terdekat walaupun masing-masing pernah berbincang mengenai hal tersebut.

Abby dan Norman pernah berkahwin pada 8 Januari 2002 dan dikurniakan seramai tiga orang anak iaitu Mohamed Danish Hakim,8, Marissa Dania Hakim,6, dan Maria Danisha Hakim,3. Bagaimanapun mereka bercerai pada 18 Disember 2008.



Asyiela Mengaku Popular Kerana 'Upin & Ipin'

Posted: 30 Jul 2011 08:42 AM PDT

PETALING JAYA: Bintang cilik, Asyiela Putri Azhar, 9, yang meminjamkan suaranya untuk siri kartun animasi popular Upin &Ipin mengakui mulai popular dan mendapat perhatian di sekolahnya.

Dia yang belajar di Sekolah Rendah Kebangsaan Presint 9, Putrajaya mengakui siri animasi tersebut merupakan kartun popular yang di minat pelajar-pelajar sekolah tersebut.

"Di sekolah ramai yang tahu suara saya digunakan untuk siri Upin&Ipin, ramai juga yang menyuruh saya buat suara itu di sekolah.

"Tapi cikgu-cikgu banyak beri sokongan kepada saya dan mereka juga dalam perancangan untuk menjemput Upin&Ipin datang ke sekolah," katanya ketika ditemui pada Majlis Pra Dengar Album Raya Upin&Ipin, di sini, Rabu.

Tambah Asyiela, dia perlu membahagikan masa dengan bijak antara pelajaran dan tugas tersebut agar tidak tercicir.

"Seperti biasa saya akan ke sekolah pada waktu pagi dan sebelah petang akan ke studio untuk proses memasukan suara.

"Bagi rakaman lagu Hari Raya pula saya lakukan pada hujung minggu dan semuanya diuruskan oleh keluarga, jadi tiada masalah," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya tentang nyanyian, Asyiela berkata dia mempunyai minat yang mendalam dalam bidang itu.

"Ini kali pertama saya diberi peluang merakamkan lagu tapi saya tidak mahu serius dalam bidang tersebut tetapi jika untuk suka-suka sahaja bolehlah.

"Lagu-lagu Hari Raya yang saya nyanyi ini merupakan lagu-lagu yang saya gemari, cuma lagu Selamat Hari Raya yang dipopularkan oleh Datuk Sharifah Aini agak sukar dinyanyikan kerana bernada tinggi," katanya.



Dokumentari Bukan Islam Berpuasa Di TV AlHijrah

Posted: 30 Jul 2011 08:40 AM PDT

KUALA LUMPUR:Dokumentari One Month Ramadan In Kuala Lumpur merupakan sebuah dokumentari berorientasikan drama yang bakal menukar persepsi orang bukan Islam terhadap ibadah puasa.

Ia akan ditayangkan mulai 12 Ogos depan, pukul 9.30 malam menerusi saluran TV AlHijrah.

Menurut penerbitnya, Idris Shiekh Ahmad, program realiti dokumentari ini akan mengikuti perjalanan sebenar seorang wanita bukan Islam dari Amerika Syarikat yang datang ke Malaysia bagi menyahut cabaran mengerjakan ibadah puasa dalam bulan Ramadan.

"Ketika memulakan proses pembikinan dokumentari ini, kami telah mengiklankan tawaran tersebut di sebuah laman Forum Pengembaraan yang mencari seorang bukan Islam untuk merasai pengalaman berpuasa di Kuala Lumpur.

"Kami menerima terlalu banyak penyertaan. Selain Malaysia, Indonesia sambutan juga dari negara jiran yang lain. Kami akhirnya telah memilih seorang wanita yang bernama Lydia Perr yang berasal dari New York," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program Ramadan TV AlHijrah, di sini, Khamis lalu.

Tambah Idris, Lydia mempunyai latar belakang keluarga yang sangat menarik dan datang daripada keluarga berketurunan Yahudi dan ibunya beragama Kristian.

"Saya tertarik dengan Lydia dan memilihnya untuk menyertai program ini, ketika itu juga negara jiran Indonesia sibuk digemparkan dengan letupan bom.

"Namun dengan rasa ingin tahu, Lydia tidak mengendahkan nasihat keluarganya untuk datang ke Malaysia, walhal dia tidak pernah menjejakkan kaki di sini," tuturnya pengarah urusan MK Direct ini.

Tambah Idris, pelbagai peristiwa menarik yang berlaku ketika proses mengenalkan Lydia kepada ibadah puasa yang dapat disaksikan oleh penonton.

"Kami tidak memaksa dia untuk berpuasa penuh tapi dengan kerelaan dirinya sendiri Lydia mampu menahan lapar dan dahaga selama sebulan biarpun ketika dia keluar bersama rakan-rakan senegaranya.

"Di sini juga kita dapat lihat bagaimana hati Lydia sendiri terbuka untuk melakukan ibadah itu dengan ikhlas tanpa paksaan," katanya.

Kata Idris, mesej utama yang ingin disampaikan kepada penonton ialah berkenaan ibadah puasa kepada umat Islam, dan secara tidak langsung juga menukar persepsi masyarakat luar terhadap ibadah tersebut.


'Jejak Rasul 17' Dalam Format HD Bermula Isnin Ini

Posted: 30 Jul 2011 08:39 AM PDT

PETALING JAYA: Program dokumentari popular TV3, Jejak Rasul (JR) yang kembali untuk tahun ke-17 bermula 1 Ogos depan tampil dengan pembaharuan apabila diterbitkan dalam format definisi tinggi (HD) buat julung kalinya.

Dokumentari yang menyingkap paparan Legasi Muhammad S.A.W di Eropah Timur ini akan bersiaran sebanyak 30 episod dengan memaparkan kebangkitan Islam dengan menyelami budaya, kehidupan dan sejarah lampau penduduk Islam berketurunan Slavic, Tatar dan Caucasus di Rusia dan Ukraine.

Menurut Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar: "JR sudah sinonim dengan TV3. Setelah 16 musim bersiaran ia menjadi program utama kebanggaan kami dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Untuk musim terbaru, kru JR sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya menghasilkan 30 episod untuk menjejaki legasi Nabi Muhammad S.A.W di Eropah Timur.

"Kami berasa amat bersyukur kerana segala urusan dipermudahkan di bumi Russia dan Ukraine walaupun kru dan pihak produksi terpaksa berhadapan dengan masalah cuaca buruk kerana musim salji, masalah komunikasi, penyesuaian diri dan konsep penerbitan yang baru iaitu dalam format HD."

Kru produksi JR17 telah memulakan sesi penggambaran di Russia dan Ukraine dari pertengahan Mac hingga pertengahan April lalu dan dikendalikan oleh tiga kumpulan.

Kumpulan A yang diketuai oleh Mazlin Nordin selaku penerbit dan pengarah menjalani rakaman di Moscow, Rusia dan Ukraine. Kumpulan B yang dikendalikan oleh Wan Farid Wan Mohamed (penerbit dan wartawan) merakam legasi di St. Petersburg dan Tatarstan, Rusia sementara kumpulan C yang diketuai oleh Mat Nasir Yusof (penerbit dan wartawan) pula di Dagenstan & Chechnya, Rusia.

Pengembaraan JR17 bakal memaparkan pengembaraan sepanjang musim sejuk di Moscow, St. Petersburg dan Tatarstan dalam mengesan sejarah kemasukan Islam pada kurun ke 10, penemuan seperti masjid yang dibenarkan beroperasi pada era Komunis dan bagaimana pedagang Islam Tatar mengembangkan Islam ke Utara Rusia.

Selain itu, ia turut membawa penonton menikmati keindahan panorama musim bunga di Dagestan, Chechnya, Kiev dan Crimea. Kehidupan masyarakat Islam di pesisir Laut Caspian dan Laut Hitam yang ditemui produksi ini juga akan membongkar sejarah awal Islam memasuki bumi Russia pada kurun ke 8 oleh pejuang Arab.

Episod akhir JR Istimewa Hari Raya akan menemui penonton bersempena Hari Raya Aidilfitri pada Hari Raya pertama pukul 7 malam selama 1 jam.

JR17 akan disiarkan pada pukul 6.30 petang setiap hari bermula 1 Ogos depan di TV3.