Adsense

Rabu, 20 Julai 2011

Utusan Online - Hiburan

Utusan Online - Hiburan


Ujian berat Ujian berat

Posted:

Ujian berat Ujian berat

Ujian berat Ujian berat

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar IRWAN MAJID dan ihsan PESONA PICTURES


KAMARULZAMAN Taib atau lebih dikenali sebagai Che Kem masih lagi menjadi pilihan Shuhaimi Baba untuk membawakan watak Tunku Abdul Rahman dalam filem TANDA Putera.


MESKIPUN memiliki pengalaman luas dalam bidang pengarahan filem, namun bagi pengarah wanita tersohor, Datin Paduka Shuhaimi Baba, mengarahkan filem terbarunya, TANDA Putera (Tanda) cukup mencabar kredibilitinya sebagai seorang pengarah.

Kata Shuhaimi atau lebih mesra disapa Shumi itu, Tanda bukan sebuah filem sembarangan jika hendak dibandingkan dengan lapan filem arahannya sebelum ini termasuk 1957 Hati Malaya.

Apatah lagi, dengan kos penerbitannya yang dianggarkan mencecah RM4 juta, kata Shumi, memang tidak syak lagi, Tanda merupakan filem terbesar yang pernah diarahkan.

"Saya harus akui Tanda menuntut cabaran yang bukan kecil kerana apabila kita berhadapan dengan kos yang begitu besar, maka, kualitinya juga haruslah setaraf dengan bajet yang telah diperuntukkan itu.

"Sudah pasti, saya mahukan yang terbaik untuk Tanda. Atas alasan itu jugalah, filem ini menghimpunkan barisan pelakon yang paling ramai iaitu hampir 30 orang pelakon baik daripada mereka yang sudah mempunyai nama mahupun pelakon baru," jelas Shumi ketika ditemui di lokasi penggambaran Tanda di Masjid Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Barangkali ada yang masih belum tahu Tanda merupakan sebuah naskhah nukilan Shumi yang mengisahkan tentang perjuangan dan persahabatan di antara dua negarawan iaitu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

Bagi menghidupkan watak bekas Perdana Menteri Kedua itu, tanggungjawab itu digalas oleh aktor terkenal, Rusdi Ramli manakala watak timbalannya pula menjadi milik Zizan Nin.

Selain mereka, Tanda juga dibintangi oleh Kamarulzaman Taib atau Che' Kem sebagai Tunku Abdul Rahman, Faezah Elai (Tun Rahah), Linda Hashim (Ton Puan Norashikin Mohd. Seth) dan Norman Hakim (Tun Hanif Omar).

Tidak ketinggalan, Fizz Fairuz yang membawakan watak Tan Sri Arshad Ayub, Nazril Idrus (Tun Dr. Mahathir Mohamad), Hasnul Rahmat (Tun Hussein Onn), Mohd. Khir Mohd. Noor (Abdul Rahman Hashim), Ngasrizal Ngasri (Datuk Harun Idris) dan Razali Hussain (Ahmad Razali Mohd. Ali).

Tanda turut menyaksikan bekas suami pelakon jelita, Maya Karin iaitu Steven David Shorthose sebagai doktor peribadi Tun Abdul Razak bernama Dr. Macpherson selain dua pelakon baru, Razif Hashim dan Sahee Shamsuddin sebagai Johari dan Najib Tun Razak.

Menyambung bicara, Shumi menjelaskan memandangkan proses penggambaran filem Tanda begitu rumit dan memerlukan masa yang lama, dia memilih barisan pelakon yang mampu memberikan lakonan terbaik tanpa proses latihan yang panjang.

"Ramai juga pelakon teater yang saya ambil untuk berlakon dalam filem ini. Walaupun tiada pengalaman, namun, mereka mempunyai asas lakonan.

"Malah, kami juga telah menghantar Rusdi dan Zizan untuk menghadiri kelas latihan golf selama tiga minggu bagi mempelajari teknik permainan itu dengan betul," ujar Shumi.

Bukan hanya membariskan pelakon yang besar, tetapi kata Shumi, rekaan set untuk filem Tanda juga antara yang cukup mencabar dirinya serta krew produksi.

Untuk filem kesembilan Shumi ini, ia memerlukan 60 set yang berbeza bagi menghidupkan era dari tahun 60-an hingga 80-an yang menjadi tunjang utama kepada penceritaan Tanda.

Ini termasuklah pembinaan lokasi di Setapak, London, Jalan Petaling dan beberapa lokasi penting yang pernah menjadi tumpuan sewaktu era pemerintahan Tun Abdul Razak terutama sewaktu tragedi 13 Mei 1969 yang dibina di Studio Finas, Hulu Kelang serta KRU Studios, Cyberjaya.

"Bukan mudah untuk menghasilkan semua rekaan set ini kerana ia memerlukan penelitian agar benar-benar hidup di layar lebar nanti.

"Bukan itu sahaja, cabaran lain yang dihadapi termasuklah pakaian seragam polis pada era itu. Namun kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia banyak membantu kami," kata Shumi.

Tambahnya, hanya 30 peratus sahaja penggambaran dilakukan di dalam studio, manakala selebihnya adalah di luar. Antara lokasi yang dipilih termasuklah Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara, Kampung Baru, Masjid Negara, Memorial Tun Abdul Razak, Kuang serta Bahau, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Tanda yang merupakan projek filem usahasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan diterbitkan dengan menggunakan Dana Penerbitan Filem Kenegaraan Dan Warisan itu juga akan menjalani penggambaran di London selepas Aidilfitri nanti.

Ia adalah untuk babak sewaktu Tun Abdul Razak mendapatkan rawatan terakhir sebelum meninggal dunia pada 14 Januari 1976 selain mahu mendapatkan suasana pada musim sejuk.

Untuk itu juga, kata Shumi, Tanda akan menggunakan teknik imej janaan komputer (CGI) bagi memberikan kesan khas yang dapat melancarkan lagi proses penggambaran filem ini kelak.

Mengenali Shumi juga, dia cukup menitik beratkan soal lagu tema bagi filem-filemnya dan Tanda juga tidak terkecuali.

Mengakui sudah pun berbincang dengan Sharon Paul selaku komposer lagu tema bagi filem ini, jelas Shumi, Tanda akan mempunyai dua buah lagu tema.

"Pihak kami sudah pun berbincang dengan Yuna untuk sebuah lagu yang akan digunakan bagi menggambarkan era itu.

"Selain itu juga, kami akan menggunakan lagu tema bagi keseluruhan jalan cerita Tanda. Untuk itu, kami sudah pun mencadangkan tiga penyanyi iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Najwa Mahiaddin. Semuanya terpulang kepada Sharon untuk menentukannya," kata Shumi yang kali terakhir muncul dengan filem 1957 Hati Malaya pada tahun 2007.

TANDA Putera dijangka tayangannya sekitar pertengahan tahun 2012.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bubarkan semua persatuan artis

Posted:

Bubarkan semua persatuan artis

Bubarkan semua persatuan artis

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar IRWAN MAJID


SEBAHAGIAN artis yang hadir di Forum Himpunan Bersama Bintang 2011 anjuran akhbar Kosmo! baru-baru ini.


HITS: Apakah alasan Datuk menggesa semua persatuan artis dibubarkan dan hanya bergabung dalam sebuah persatuan sahaja?

Freddie Fernandez: Jawapan saya mudah sahaja iaitu untuk tujuan penyatuan. Selama ini kita ada banyak persatuan seperti Karyawan, Seniman (Persatuan Seniman Malaysia), Papita (Persatuan Penyanyi, Pemuzik dan Penulis Lirik), Persatuan Artis Cina dan IRIM (Persatuan Industri Rakaman India). Kalau cadangan saya ini diterima, saya juga akan memastikan agar Karyawan juga dibubarkan. Apabila semua persatuan itu dibubarkan, maka kita buka peluang itu untuk semua ahli persatuan tersebut menubuhkan sebuah persatuan baru. Ketika itu mereka boleh pilih siapa pemimpin mereka. Sekarang ini artis-artis berpecah-belah dalam persatuan yang berbeza-beza. Sayangnya, ada persatuan artis yang tidak aktif atau hidup segan mati tidak mahu. Jadi, bagaimana persatuan seperti itu mahu membela kebajikan dan nasib ahli-ahlinya? Sebab itulah, apabila ada hanya sebuah persatuan artis maka barulah kita semua boleh bersatu padu dan kuat. Ia secara tidak langsung akan menjadi kekuatan kita untuk menyuarakan apa-apa juga kepentingan atau masalah yang timbul. Ketika itu, barulah mudah untuk kita menyampaikan semua perkara itu sehingga ke peringkat yang tertinggi termasuklah pihak kerajaan.

Tidakkah idea Datuk itu akan mengundang rasa tidak puas hati kepada persatuan-persatuan lain yang sudah lama ditubuhkan?

Saya rasa isu itu tidak timbul kerana saya yakin semua ahli Karyawan juga bersetuju dengan cadangan saya itu. Begitu juga dengan ahli-ahli persatuan lain, apatah lagi bagi persatuan- persatuan artis yang tidak aktif. Ini kerana, gesaan saya itu bukan sahaja terhadap persatuan-persatuan artis lain tetapi termasuk juga Karyawan. Niat saya satu sahaja iaitu untuk penyatuan. Kalau selama ini Karyawan aktif dengan pelbagai aktiviti kebajikan untuk ahli-ahlinya. Maka, saya yakin apabila semua artis bergabung dalam sebuah persatuan ia akan menjadi lebih aktif dan teratur. Sebab itu, tidak timbul isu rasa tidak puas hati dan sebagainya. Malah, saya juga sanggup meletakkan jawatan saya sebagai Presiden Karyawan serta merta jika saranan saya agar semua persatuan artis dibubarkan. Saya juga tidak mahu bertanding apa-apa jawatan dalam usaha menubuhkan persatuan yang baru itu nanti.

Apa komen Datuk apabila ada artis yang ragu-ragu dalam usaha ini, malah ada yang mencadangkan ditubuhkan sebuah persatuan atau koperasi seperti Koperasi Penggiat Tanah Air atau Kopstar baru-baru ini?

Dalam hal ini, ramai artis yang masih ragu-ragu kerana mereka seperti keliru dengan fungsi persatuan yang mereka sertai. Mereka seperti memandang remeh akan fungsi persatuan yang mereka sertai selama ini apatah lagi selepas mendapati tidak banyak perkara yang dilakukan bagi menjaga hak dan kebajikan mereka. Sebab itulah saya menyarankan agar ditubuhkan sebuah persatuan baru yang dipilih sebulat suara oleh golongan tersebut. Kita mahu buka buku baru. Biarlah kali ini pemimpin yang akan memimpin persatuan itu mereka yang benar-benar layak dan ikhlas memperjuangkan kebajikan ahli-ahlinya. Kita tidak mahu pemimpin yang menggunakan persatuan untuk kepentingan peribadi. Ini kerana, fungsi persatuan ialah bagi membela nasib dan kebajikan ahli-ahlinya. Dalam isu Kopstar yang disuarakan oleh penyanyi Ziana Zain dalam Forum Himpunan Bersama Bintang 2011 anjuran akhbar Kosmo di Kuala Lumpur baru-baru ini ia jelas tidak relevan. Kita harus faham koperasi dan persatuan dua perkara yang berbeza. Kita tidak mahu adanya Kopstar yang dilihat seolah-olah cenderung kepada kepentingan individu semata-mata.

Apakah usaha Datuk bagi merealisasikan penubuhan hanya sebuah persatuan artis di negara ini?

Sebagai permulaan, saya dan ahli-ahli Karyawan akan menjalankan kempen kesedaran buat semua artis akan peri pentingnya bergabung di bawah satu persatuan. Kami bercadang mengadakan beberapa forum dan perjumpaan bagi menjelaskan perkara tersebut. Dalam usaha ini, kami akan meminta kerjasama pihak media massa terutamanya syarikat-syarikat akhbar dan majalah bagi menyokong usaha ini. Apabila sudah ada kefahaman dan kesedaran itu, maka saya yakin ramai artis yang akan menyokong penubuhan satu persatuan ini. Apabila semuanya berjalan lancar, kita akan beri masa dan tetapkan satu tempat dan waktu bagi mengumpulkan semua artis. Ketika itu kita akan buat pemilihan dalam banyak aspek termasuklah siapakah yang akan memimpin persatuan itu. Kita jalankan pemilihan itu secara terbuka dan mengikut sistem demokrasi.

Apa kata jika usaha Datuk ini tidak mendapat sokongan daripada artis-artis?

Dalam hal ini, kita tidak akan memaksa mana-mana artis yang tidak setuju untuk bergabung dalam sebuah persatuan. Ataupun mereka lebih selesa untuk tidak diwakili mana-mana persatuan. Namun, dalam hal ini apabila penubuhan satu persatuan itu direalisasikan saya mahu pihak media massa membantu kita. Kalau boleh keutamaan publisiti yang hendak diberikan itu mestilah kepada artis-artis yang menjadi ahli dalam persatuan baru itu nanti. Mereka (ahli) juga akan diberikan kad keahlian sendiri di mana apabila mahu berurusan dengan media massa termasuklah wartawan mereka haruslah menunjukkan kad tersebut. Cara itu akan menggalakkan mereka menjadi ahli persatuan itu. Cara itu akan menjadi lebih teratur dan kita akan lebih memberi keutamaan kepada golongan terbabit.

Di sini, ia membuktikan berlakunya pertindanan fungsi sesebuah persatuan itu. Sebab itulah perlunya kita ada hanya sebuah persatuan. Di bawahnya nanti kita boleh wujudkan biro-biro sendiri misalnya yang mewakili penyanyi, pelakon, pemuzik dan sebagainya.

Akhir sekali apakah harapan Datuk dalam usaha merealisasikan penubuhan persatuan baru itu nanti?

Saya harap usaha ini akan menjadi kenyataan dalam waktu terdekat ini. Sudah sampailah masanya semua artis tanpa mengira apa juga profesyen agar bersatu dalam sebuah persatuan. Kalau kita bersatu dan mempunyai wakil ia akan memudahkan kita menyalurkan segala masalah kepada pihak kerajaan seperti Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Tetapi masalahnya sekarang pihak kerajaan pun sukar untuk membantu kerana artis-artis kita tidak bersatu padu dan ada banyak persatuan. Akhir sekali, saya anggap penubuhan persatuan baru itu sebagai langkah awal kita bersatu dan menyelesaikan apa juga isu lama serta baru yang timbul dalam industri hiburan di negara ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.