Gosip Artis Malaysia |
Yasmin Hani Berkahwin Hujung Tahun Ini Posted: 19 Jul 2011 11:28 PM PDT LENGKAP membadai industri seni dengan cara tersendiri, Yasmin Hani yang cukup sinonim dengan bidang pengacaraan selain lakonan ternyata tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan kontroversi dan gosip nakal mengenai dirinya. Selepas hubungan cinta dirinya dengan pemuda bernama Don Nazar putus sekitar tahun 2009, Hani, 32, lantas ditohmah pula sebagai punca keruntuhan rumah tangga pelakon terkenal Ida Nerina dan bekas pemain drum kumpulan Blackrose, Shahrin atau nama sebenarnya Sha'arin Mohd. Razali. Manakan tidak, pernah suatu ketika Hani didakwa berkahwin secara senyap-senyap dengan Shahrin setelah lelaki kacak itu sah bercerai talak satu dengan Ida pada penghujung tahun 2010. Peluang keemasan bersua dengan jelitawan berbintang Gemini pemilik nama sebenar Yasmin Hani Ismail Richardson tidak dilepaskan daripada membicarakan soal hati dan perasaannya itu. Semuanya terungkai apabila figura genit itu diusik dengan soalan bila agaknya dia bakal mendirikan mahligai abadi yang diimpikan setiap wanita dalam hidup. Tanpa terduga dan cukup mengejutkan, pantas sahaja Hani menjawab: "Hujung tahun ini!" Hani lantas menjelaskan dia dan pasangannya itu kini sedang sibuk menyelesaikan segala prosedur dan persiapan sebelum mendirikan rumah tangga dan keluarga yang diimpikan selama ini. "Rasanya tidak perlu saya khabarkan siapa bakal suami saya kerana umum sudah mengetahui kisah antara saya dan Mr. S itu dan memang dia calon yang sesuai memandangkan keluarga masing-masing juga merestui hubungan kami berdua," katanya seakan-akan bermadah pula. Justeru, biarpun tidak menjelaskan Mr. S itu adalah Shahrin, namun jelas sekali lelaki yang dimaksudkan itu sememangnya Shahrin! Menurut Hani, pertengahan bulan Oktober dipilih sebagai tarikh paling afdal buat dia dan pasangannya itu untuk mendirikan istana cinta yang menurutnya, majlis perkahwinan mereka juga hanya akan diadakan secara kecil-kecilan bertempat di Duchess Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. "Syukur semuanya berjalan lancar setakat ini, baju, tempat, semua sudah ada dan majlis nikah dan sanding akan diadakan serentak di tempat yang sama pada hari yang sama. "Maklumlah, sudah setahun hubungan antara kami dan biarlah majlis itu seringkas yang mungkin asalkan ia benar-benar bermakna, menggembirakan kami dan yang penting cukup semua syarat," katanya yang juga mengimpikan perkahwinan dalam taman yang serba ringkas. Bergelar seorang isteri dan ibu bukan tugas mudah bagi Hani, namun cabaran yang mendepaninya perlu ditempuh dan dipikul seikhlas hati. "Insya-Allah saya akan cuba yang terbaik, tidak semua orang mampu memikul tanggungjawab itu dengan baik. Tapi apabila kita sudah sampai ke peringkat itu dan perlu melaluinya barulah kita boleh tahu sejauh mana keupayaan kita," bicaranya santun. Menurut Hani lagi, keserasian antara dirinya dan sang arjuna di hatinya itu dan elemen saling melengkapi antara satu sama lain menjadi pengerat ukhuwah untuk belayar bersama dalam bahtera perkahwinan yang bakal dilancarkan pelayarannya tidak lama lagi itu. Ujar Hani: "Dia (Mr. S) seorang yang sangat menyenangkan, sukakan muzik dan melancong seperti saya. Malah, dia juga pandai dan memiliki banyak ciri yang tidak ada pada saya dan senangnya kami melengkapi satu sama lain." Belayar solo Sembilan tahun mendirikan tapak kukuh dalam arena pengacaraan, Hani akhirnya belayar solo selaku pengacara bebas selepas menamatkan kontraknya dengan Astro pada tahun 2008. Tambah menggusarkan hatinya, selepas tamat kontrak bersama syarikat pengurusan Aquila Emas pada 19 Januari tahun lalu, dia terpaksa merencanakan karier seninya menggunakan resipinya sendiri. Begitu pun tegas Hani, tiada halangan untuk terus mara menyemarakkan bidang seni terutama kecintaannya terhadap dunia lakonan. "Saya pun tak tahu apa yang sudah jadi pada bidang pengacaraan, sekarang (tawaran) sudah semakin berkurangan tapi syukur Alhamdulillah sekarang semakin banyak tawaran untuk berlakon drama datang," jelasnya ketika ditemui selepas pratonton drama bersiri Wasiat dan Hantu Motel terbitan Astro Prima di Cineleisure Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini. Lebih selesa menjadi pengacara berbanding pelakon, itu jawapan paling ideal Hani tatkala ditebak sebab musabab mula serius berlakon drama dan terlalu memilih sebelum ini. "Masa dulu saya lebih selesa dengan pengacaraan dan saya juga takut pada keupayaan diri sendiri untuk membawakan watak dalam sesebuah filem atau drama. "Kadangkala bimbang jika adanya saya akan menjatuhkan artis lain yang turut sama berlakon disebabkan ada beberapa buah karya lakonan saya sebelum ini kurang menonjol," jelasnya lagi. Jika diberikan pilihan untuk mengendalikan sesebuah rancangan, tutur Hani program bersifat pengembaraan dan bual bicara menjadi keutamaannya. "Selepas tamat program Wacha, peminat selalu bertanya bila agaknya saya akan kembali mengacarakan program sebegitu. "Jika ada tawaran apa salahnya tapi jika diberi pilihan saya ingin mengacarakan rancangan aktiviti pelancongan ekstrem dan bual bicara bercorak kebajikan seperti Oprah Winfrey Show," getusnya. Perempuan jahat Menyentuh tentang karier lakonannya, terbaharu, bekas penyampai radio Era FM itu bakal mendukung watak seorang wanita jahat yang sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan harta menerusi drama bersiri 26 episod, Wasiat. Drama yang bakal ditayangkan di Astro Prima (saluran 105) itu diadaptasikan daripada telenovela Agrentina berjudul Herencia De Amor itu diarahkan oleh Faisal Ishak. Hani mengakui berdepan dengan kesukaran mencari sifat sebenar dan perwatakan dalam drama itu, namun ujarnya, perilaku nakalnya sewaktu zaman kanak-kanak menyuntik inspirasinya. "Pertama sekali apabila mendapat skrip drama ini, saya terkejut dan tercampak skrip disebabkan watak yang terlalu jahat. Rasa sangat jelik dan tidak berperikemanusiaan! "Namun sebenarnya setiap manusia ada stail jahat masing-masing dalam diri dan dengan cara itu saya salurkan kepada watak saya dalam drama ini selain mengimbau kembali kenakalan saya ketika usia kanak-kanak dan remaja dulu," akuinya yang terpaksa mengenang perasaan iri hati, dendam dan cemburu dalam hidupnya sebelum ini. Dalam drama itu, Hani akan memegang watak Marina iaitu isteri muda seorang lelaki kaya bernama Agus Rizal yang ingin membolot semua harta kekayaan suaminya itu. Wasiat akan ditayangkan setiap hari Rabu pada pukul 10 malam bermula 27 Julai ini turut menampilkan lakonan Farid Kamil, Beto Kusyairi dan Sara Ali. |
You are subscribed to email updates from Gosip Artis Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |